Saturday, November 13, 2010

Akhirnya bertemu Hasan Aspahani di Batam






SAYA tidak menyangka dapat bertemu Bung Hasan pada malam itu. Perjalanan ke Batam memang tiada dalam jadual kerana sebelumnya kami merancang untuk ke Kepulauan Lingga dan Singkep lalu ke Kecamatan Reteh, di Indragiri Hilir. Tetapi kami perlu ke Pekan Baru dan jalan yang paling cepat ke sana ialah menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Hang Nadim di Batam.

Rupanya hasrat saya untuk menemui Bung Hasan sejak lapan tahun yang lalu terkabul dan akhirnya kami dipertemukan juga. Padahal sebelum itu, saya membayangkan Tanjung Pinang jauh dari Batam walaupun kelihatan dekat dalam peta. Itulah pertama kali, saya menjejakkan kaki ke Kepulauan Riau, yang mempunyai hubungan yang akrab dengan Sabah khususnya Tempasuk sejak 223 tahun yang lalu.

Jadi kami singgah di Batam, dan kemungkinan untuk bertemu Bung Hasan kembali terbuka.Bung Hasan, begitu saya menyapanya, adalah penyair dan juga wartawan, dan kini pemimpin redaksi di Batam Pos, Harian Pagi yang pertama, terbesar di pulau yang membangun dengan pesatnya.

Namanya Hasan Aspahani, tetapi saya memanggilnya Bung Hasan, sejak lapan tahun lalu ketika kami berkenalan melalui milis Sejuta Puisi yang dilihamkan dan dikendalikannya. Kami belum pernah bertemu. Hanya sesekali berbicara melalui milis atau sms. Walau begitu, persahabatan kami terasa akrab, mungkin kerana mempunyai minat yang sama dalam puisi, dan kebetulan pula sama-sama bekerja sebagai wartawan.

Sebenarnya kami sama-sama datang dari Borneo-Kalimantan tetapi berjumpa pula di lain pulau di Nusantara. Hasan merupakan anak seorang pekebun kelapa di Sei Raden, Kabupaten Kutai Kartanegara. Ketika masih di Sekolah Menengah Atas (SMA), Hasan rajin menghantar komiknya kepada surat khabar di Balikpapan, yang terletak kira-kira 80 km dari kampungnya.

Setelah lulus SMA, Hasan melanjutkan pengajiannya dalam jurusan Tanah, Fakulti Pertanian di Institut Pertanian Bogor (IPB). Selepas itu, beliau kembali bekerja di suratkhabar di Balikpapan. Hasan juga pernah bekerja dalam syarikat perhutanan sebelum kembali ke dunia tulis menulis.

Kini beliau merupakan pemimpin redaksi Batam Pos. Penyair yang juga wartawan ini, masuk ke dalam ruang puisi pada tahun 2000, seperti yang diakuinya. Sebelum itu, dia hanya bermain di pelatarannya. Hasan mengirimkan puisi ke suratkhabar dan bergabung dengan situs www.cybersastera.net dan sejak tahun 2002, berkarya dalam blog www.sejuta-puisi.blogspot.com yang direkabentuk oleh penyair TS Pinang untuk beliau. Puisi-puisinya tersiar dalam majalah Kompas, Koran Tempo,Seputar Indonesia,Pikiran Rakyat, Riau Pos, Inside Sumatera dan sejumlah antologi bersama seperti 100 Tahun Bung Hatta,Sagang 2000,Dian Sastro for President, Nubuat Labirin Luka, Yogya 5,9 Skala Richter,Les Cyberletres dan Tongue in Your Ear.

Bung Hasan juga pernah tampil dalam Resital Sastra dari Negeri Kata-Kata (2005) di Taman Ismail Marzuki.Tahun 2007, beliau diundang untuk membaca puisi di Yogyakarta. Selain itu, beliau menjadi editor tamu di majalah AdDiction (Jakarta) dan mengelola majala puisi internet PUISINET (www.puisi.net).

Kami menaiki keretanya pada malam itu ke Kompleks Sulaiman. Minum kopi sambil bertukar buku puisi. Hasan memberikan saya bukunya yang terbaru Luka Mata (2010), Telimpuh (2009), Menapak ke puncak sajak, Jangan Menulis Puisi Sebelum Baca Buku ini (2007) dan antologi para pecinta Selat Philips (2007).

Saya menghadiahkan buku puisi Stensil Pari-Pari karya Mabulmaddin Shaiddin, kerana kebetulan saya tidak membawa buku buku puisi yang lain. Beliau bertanya tujuan kunjungan kami ke Batam, dan saya menjelaskan bahawa kedatangan kami ke Kepulauan Riau didorong oleh Raja Ali Haji melalui bukunya Tuhfat Al-Nafis. Dalam buku itu, Raja Ali Haji menyatakan bahawa Sultan Mahmud dan adindanya Raja Indera Bongsu pernah menghantar utusan kepada Raja Tempasuk untuk meminta bantuan bagi menghalau Belanda di Tanjung Pinang pada 1787. Menurut buku itu, Raja Tempasuk mengirimkan tiga orang anaknya, Raja Tembak, Raja Alam dan Raja Muda dan anak saudaranya Raja Ismail sebagai panglima besarnya ke Riau beserta 30 penjajab atau kapal layar besar untuk membantu menumpaskan Belanda.

Dalam riwayat itu, disebutkan bahawa anak-anak Raja Tempasuk itu tidak pulang ke Tempasuk. "Itulah sebabnya kami ke Kepulauan Riau, untuk menjejaki kalau kalau masih ada keturunan Raja Tempasuk itu di Riau atau apakah masih ada jejak-jejak sejarah yang ditinggalkan seperti petempatan atau kuburan," saya memberitahunya.

Hasan nampaknya tertarik, dan beliau mengajak saya ke Graha Pena Batam, Batam Centre untuk melihat-lihat Batam Pos.Sesampainya disana, beliau meminta salah seorang redaktur, Deden Rosanda untuk mewawancara saya. Saya tak dapat mengelak, lalu menceritakan tujuan sebenar kami menjejaki keturunan Raja Tempasuk itu, supaya masyarakat Iranun khususnya mengetahui sejarah mereka.

Selepas itu, kami singgah minum air kelapa di satu tempat, saya lupa namanya. Saya bertanya Hasan bagaimana beliau mula meminati dunia persajakan. Katanya, beliau mulai tertarik setelah membaca Sapardi Djoko Damono, Goenawan Mohamad, Chairil Anwar dan Sutarji Calzoum Bachri.

Beliau mengimpikan Nusantara menghasilkan karya-karya yang besar. Negara-negara kecil d Eropah seperti Belanda melahirkan seniman-seniman besar, begitu juga Peranchis, Inggeris dan sebagainya. Beliau menyebut sekian banyak nama, penyair besar di dunia dan menyarankan agar penulis muda membaca karya-karya penyair besar untuk menghasilkan karya yang bermutu.

Kami bercerita mengenai pertemuannya dengan Nanang Suryadi.Walaupun mereka telah berkenalan sejak 10 tahun lalu, tapi baru minggu lalu bertemu di Tanjung Pinang. Hasan dan Nanang berkenalan sejak lama dulu, iaitu sejak mereka belum berumahtangga. Nanang menyair sebelum berumah tangga sebaliknya Hasan semakin rancak bersajak ketika sudah memiliki anak satu.

"Saya kembali lagi menulis di blog," ujarnya. Beliau tidak betah lagi di facebook kerana agak sukar untuk mencari entri entri yang lama, tidak seperti di blog yang boleh dirujuk dengan mudah.

Percakapan mengenai puisi memang menyeronokkan dan seperti tak ada penghujungnya. Bermula dari sajak Chairil, Goenawan, Sapardi, Soebagio, Sutarji, dan penyair-penyair yang lebih baru seperti Joko Pinurbo, Afrizal Malna, Dino Umahuk dan lain-lain lagi.

Beliau juga mengisahkan pertemuan dengan Sapardi dan mengulas puisi-puisi Sapardi. Dalam buku mengenang kepenyairan Sapardi, tulisan Hasan juga dimuatkan, yang membuatkan dia berbangga, katanya. Beliau juga mengisahkan bagaimana beliau bertukar-tukar sms dengan Sapardi, dan bagaimana Sapardi meluangkan masa untuk menjawab soalan-soalan mengenai karya dan kepenyairannya melalui SMS.

"Sungguh menarik sekali," kata saya kepadanya. Ia menjadi lebih menarik lagi apabila pertanyaan-pertanyaan melalui sms dan milis sejuta puisi itu, akhirnya dibukukan menjadi sebuah buku.

Penyair baru harus banyak membaca. Rajin menuulis dan berkarya terus menulis. Mereka juga haruslah embaca karya-karya bukan saja dari dalam negeri malahan dari luar negeri untuk memperkayakan wawasan.

Kecuali di Tanjung Pinang, pada tahun ini, Hasan tidak banyak menghadiri acara sastera. Barangkali kerana kesibukan setelah dilantik sebagai pemimpin redaksi Batam Pos. Tetapi Hasan terus menulis.

"Kalau ada teladan yang baik untuk seorang penyair dalam mengerahkan segenap kemahuannya menyelami puisi, ia adalah penyair Hasan Aspahani", kata TS Pinang. Ready Susanto dari Bandung menyatakan bahawa Hasan Aspahani membuktikan dalam saja-sajaknya, bahawa udea boleh diperolehi melalui berbagai cara dan dari berbagai situasi.Melawan kecenderungan untuk tergantung pada mood, Hasan malahan dengan asyik dan tak pernah bosan-bosannya berusaha menemukan idea-idea baru.

Malam sudah agak larut ketika kami melangkah pulang menangguhkan percakapan ke waktu-waktu yang lain.

No comments: