Thursday, November 18, 2010

Apakah masih ada orang Iranun di Sumatera?

Apakah masih ada orang Iranun di Sumatera?

Saya sukar menjawabnya walaupun Pujangga Melayu abad ke-19, Raja Ali Haji melalui karya agungnya Tuhfat Al-Nafis ada menulis mengenai angkatan tiga anak Raja Tempasuk yang berangkat untuk membantu Sultan Mahmud III untuk menghalau Belanda di Tanjung Pinang pada 1787.

Benar, fakta sejarah juga menunjukkan Panglima Besar Reteh, Tengku Sulong yang berperang melawan Belanda pada 1858 merupakan Raja Iranun di Reteh,bahawa beliau merupakan anak kepada Raja Maimunah, Puteri Yang Di Pertuan Besar Siak dengan suaminya Tok Lukus seperti yang dicatat dalam karya Raja Ali Haji itu.

Tetapi yang lebih menarik ialah informasi yang dituturkan oleh tiga personaliti Iranun, yang mungkin boleh dijadikan petunjuk bahawa kemungkinan besar terdapat komuniti Iranun di Sumatera, kemungkinan di Riau, Siak atau Jambi atau mungkin tempat lain di Sumatera.

Informasi mengenai Iranun atau (mungkin mereka mengenalkan diri sebagai ilanun di Sumatera) diperolehi daripada Ustaz Sateri Putung.

Ustaz Sateri pernah bercerita bahawa ketika beliau menuntut di IAIN Sunan Gunung Jati di Bandung,pada awal 90-an beliau pernah mendengar bahawa terdapat komuniti Iranun di Sumatera. Khabarnya ada orang memberitahu bahawa terdapat bahasa yang serupa dengan Iranun dituturkan di Sumatera. Dimana di Sumatera? informasi mengenai keberadaan Iranun disana masih kabur.

Informasi kedua ialah cerita yang dikasihkan Bapa Pinjaman (Pinjaman Haji Hassin). Katanya sewaktu berada di Balui, Lanao del Sur pada tahun 1978, beliau pernah bertemu dengan seorang tua Iranun dari Sumatera yang berkahwin dengan orang tempatan di Balui. Ketika itu, lelaki Iranun itu berusia kira-kira antara 70 tahun atau 80 tahun.Ini memperkuatkan lagi keyakinan kami bahawa memang terdapat orang Iranun di Sumatera yang mungkin memperkenalkan diri sebagai Ilanun Sumatera.

Informasi ketiga diperolehi daripada Haji Karim Macalatas, seorang peniaga Maranao di Quaipo, Manila.

Kira-kira empat tahun lalu, ketika membeli kain di Pasar Tanah Abang, Jakarta, beliau dan rakannya Amirudin, pernah terserempak dengan orang yang bercakap dalam bahasa Iranun yang juga kebetulan sedang membeli kain tudung. Mereka empat orang, tiga lelaki dan satu perempuan.
Haji Karim berasa hairan dan terkejut mendengar ada orang sebangsa dengan mereka yang ditemui di Indonesia.
Ketika ditanya orang-orang itu mengakui bahawa mereka merupakan orang Ilanun dari Sumatera.
"Saya sedang sibuk mengikat kain ketika itu dan membiarkan rakan saya Amirudin bercakap-cakap dengan mereka dan meminta alamat mereka," kata Haji Karim.

Sayangnya ketika Haji Karim diminta bertanya kepada Amirudin mengenai alamat orang-orang Iranun yang dikatakan berasal dari Sumatera itu, Amirudin masih tercari-cari lagi dimana beliau telah menyimpan buku alamat itu.
Maklumlah, ia sudah berlalu empat tahun yang lepas. Beliau kini sedang mencari dimana beliau menyimpan buku catatannya itu.

Persoalan mengenai apakah masih ada orang Iranun di Sumatera, barangkali masih perlukan kajian dan penyelidikan.

No comments: