Tuesday, November 23, 2010

Betapa sukarnya mencari damai di cotabato

Betapa sukarnya mencari damai di Cotabato


Perkataan kedamaian, keamanan, keharmonian, toleransi, persefahaman, kerjasama, gotong royong hanya dapat difahami dengan baik jika anda berkunjung ke Cotabato City.

Kalau sebelum ini kita kurang mengerti betapa bermaknanya kata-kata itu, dan betapa bertuahnya lahir di sebuah negara yang aman lagi sentosa seperti negara kita,ada baiknya kita berkunjung ke Cotabato dan merasakan pengalaman berdepan dengan kesangsian, kebimbangan, ketakutan malah kedengkian.

Kerana itu,kata-kata damai,sejahtera, aman bahagia hampir tidak ditemukan di kota mahupun belantara wilayah Mindanao.

Tidak perlu mencarinya di dalam mana-mana kamus kerana kata-kata telah dihanyutkan arus sungai Rio Grande.Oleh sebab itu, kita mungkin merasakan betapa kata-kata itu begitu indah sekali didengar ketika sedang berada dalam wilayah yang penuh pertikaian, perang, dendam dan pembunuhan.

Tetapi kata-kata itu kehilangan maknanya di Mindanao.Kita seolah-olah hidup di antara tanduk kerbau dan setiap ketika merasakan betapa kita ingin cepat pulang agar terhindar dari bahaya.

Barangkali ada diantara kita yang sempat mencari selempang yang bertulis `cotabato' sebagai kenang-kenangan bahawa kita pernah berada di suatu tempat dimana nyawa boleh dijualbeli dengan murah, misalnya dengan sebuah handphone.

Hanya sekadar inginkan handphone berharga RM100 ringgit, seseorang sanggup membunuh dengan M16. Gara-gara mencuri kerbau seseorang sanggup membakar bukan saja rumah hingga pokok kelapa, malah sanggup membakar satu kampung hanya kerana melepaskan geram, juga dendam berpanjangan.

Saya tidak dapat menggambarkan dengan pasti, perasaan saya sebaik-baik menaiki pesawat Cebu Pasific untuk berlepas pulang dari Cotabato.Mindanao sebuah wilayah yang memiliki sumber alam yang kaya. Setiap tahun, Mindanao menerima peruntukan paling banyak lebih dari tempat lain tetapi kehidupan mereka miskin dan melarat

Mungkin betul belum ada yang mati kebuluran kerana kekurangan makanan tetapi ramai yang menderita kerana kedaifan dan kemelaratan terutamanya di kawasan Autonomous Region in Muslim Mindanao (ARMM).

Hampir tidak kelihatan bangunan bertingkat dan berkilat di Cotabato.Ekonominya hampir tidak bergerak dan ketinggalan agak jauh dibelakang.Padahal wilayah-wilayah Islam di Mindanao boleh dibangunkan dengan baik sekiranya mereka mempunyai pemimpin yang boleh menjadi pemersatu dan dapat diterima semua orang.

Tahun ini, ARMM merayakan sambutan ulangtahun yang ke21.Di tengah sambutan ulang tahun itu, bekalan elektrik terputus tiga kali. Malam bergelap, samar dan tak jelas.

Namun lebih samar lagi masa depan Mindanao sekiranya kata-kata damai, aman, harmoni, toleransi dan sebagainya kembali mereka temui dalam kehidupan mereka.

Selagi mereka tidak menemukan kedamaian dan keamanan, tidak mungkin ada kemajuan dan pembangunan di wilayah Islam Mindanao.Tetapi jika kita ingin mencari kedamaian, ia mestilah bermula dari diri kita sendiri.

Itulah kata-kata Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia, Speaker Dewan Rakyat ketika berucap sebagai tetamu kehormat Ulang Tahun ke-21 Autonomous Region in Muslim Mindanao (ARMM) di Cotabato City kelmarin.

Menurutnya,sebelum perdamaian dicapai antara GRP dan MILF, terlebih dahulu mestilah ada perdamaian di kalangan komuniti Islam di Selatan Filipina.

Hanya dengan perdamaian di Mindanao, pembangunan akan membawa pertumbuhan ekonomi, mengurangkan kemiskinan, meningkatkan akses terhadap pendidikan dan meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.

Kedamaian harus bermula dalam diri, sebelum kita dapat memberikan kedamaian kepada orang lain.Kata-kata itu terngiang-ngiang sepanjang perjalanan pulang dari Mindanao.

1 comment:

BELUM PENDEKAR said...

Salam sdra Naddin,

Di tempat kita, ramai yang tidak mensyukuri kehidupan yang ada, Dan tidak pula menghargai persefahaman, kedamaian dan tolak-ansur yang telah tersemai dikalangan kita. Mereka lebih suka menimbulkan pertentangan Dan meniupkan kebencian kepada golongan tertentu.

Agaknya, baik juga kalaumereka ini dihantar ke Cotabato agar mereka lebih mensyukuri Dan mengharagai apa yang mereka miliki sekarang.

Satu tulisan yang baik. Tahniah sdra!.

Salam dari
BELUM PENDEKAR.