Monday, November 8, 2010

catatan di tanjung pinang 1

Kelmarin petang, selepas tiba di Tanjung Pinang, kami dibawa oleh Anto Rambe ke Hotel Laut Jaya. Malamnya kami hanya makan di sebuah restoran kepunyaan orang Solo.Makanannya sedap belaka.Saya sempat mengucapkan `matur nuwun' sebagai ungkapan terima kasih dalam bahasa Jawa kepadanya. Tapi hanya itulah juga ungkapan Jawa yang saya ketahui selain turu, ora mangan, ngakalin dan sebagainya.

Pada hari kedua itu, kami dijadualkan untuk bertemu dengan Gubernur Riau. Tetapi beliau dan wakilnya sedang bertugas di luar kota.Kami ditemui oleh Assisten Gubernur, Said Agiel.

Beliau agak tertarik dengan tujuan kedatangan kami iaitu menelusuri jejak Raja Tempasuk yang telah menghantar angkatan 30 perahu besar untuk membantu Sultan Mahmud III untuk menghalau Belanda dari Tanjung Pinang kira-kira 223 tahun yang lalu atau tepatnya Mei 1787.
Raja Tempasuk yang mengutus tiga orang anaknya, Raja Tambak, Raja Muda dan Raja Alam dan isterinya Raja Aisyah dan panglima besarnya, Raja Ismail, seperti yang disebut dalam Tuhfat Al-Nafis-karya Raja Ali Haji itu, dikatakan tidak kembali lagi ke Tempasuk.
Apa yang menjadi persoalan ialah mengapa Sultan Mahmud meminta bantuan kepada Raja Tempasuk dan Raja Tempasuk menghantar pula anak kandungnya sendiri, bukan orang lain- untuk membantu Sultan Mahmud menghalau Belanda.
Kami ingin menelusuri apakah masih ada jejak sejarah, jurai keturunan atau kesan-kesan peninggalan orang Iranun atau penempatan mereka di Kepulauan Riau untuk menyambung kembali silaturrahim yang lama terputus itu.

Kami juga sempat bertemu dengan Ketua Seksyen Budaya, Haryono dan Ketua Seksyen Pariwisata. Haryono kemudian mencadangkan kami untuk berjumpa dengan Bapak UU Hamidy dan Pak Tenas Efendy di Pekan Baru.

Selepas itu, kami berkunjung ke Museum Sultan Sulaiman, dan disana sempat menyaksikan keagungan kerajaan Melayu Riau yang lampau. Sempat menyaksikan Sejarah Tanjung Pinang dalam peperangan 1784.
Selain itu, kami juga sempat menyaksikan koleksi perkahwinan orang Melayu dan Galeri Melaka yang terdapat di Muzium itu.
Di Muzium, kami juga sempat bertemu muka dengan Ibu Rini, salah seorang pegawai kanan Muzium Sultan Sulaiman dan menyatakan tujuan kedatangan kami ke Riau untuk menjejaki sejarah lampau. Selepas itu, kami check-out dari Hotel kerana petang itu kami perlu ke Batam untuk mencari penerbangan ke Pekan Baru, Riau, tapi sebelum itu, kami sempat berkunjung ke Makam Raja Ali Haji di Pulau Penyengat.

No comments: