Monday, November 8, 2010

-Catatan di Tanjung Pinang 4- tumaligkud na basung, sumangur na budsaka

Jam 10.30 pagi,7 November, kami berangkat dari Laut Jaya Hotel ke Terminal Feri. Jam 12.30 tengahari dengan kapal Indomas kami akan meninggalkan Tanjung Pinang, Kota Gurindam Negeri Pantun itu.
Meskipun angin ribut dan awan kelihatan tebal pada awal pagi itu, tetapi tidak lama kemudian cuaca beransur-ansur ramah dan bersahabat.
Kelmarin-6 November-kami tidak dapat pulang setelah mendapati bahawa informasi kononnya ada feri yang berangkat jam 5.00 petang dari tanjung pinang adalah kurang tepat.
Kami telah check out lebih awal dari hotel, dan sebelum pulang, kami singgah di Toko Buku 171, Jalan DI Panjaitan,Km 9, Plaza Bintan, Center Blok Mayang, No.15, Tanjung Pinang.

Di sana saya sempat membeli beberapa buku antarnya Encik Dawud, Sastera Melayu Lama dan Raja Melayu, Ketika Daun Bercerita, Kumpulan Syair Anak Negeri, Mahmud Jadi Dua, Bulang Cahaya, Misteri Muslimah dan Three Cup Of Tea dengan harga Rp 307,000.
.Tetapi rupanya buku Sutardji Calzoum Bakri yang ada di kedai buku itu bukan untuk dijual, sebaliknya hanya untuk bahan pameran.
Kerana itu, saya minta kalau dapat buku itu difotokopi.
Sementara menunggu fotokopi siap, OKK Haji Masrin berbual dengan Abdul Rasyid, boss kedai buku itu.
Setelah mengetahui tujuan kedatangan kami ke Tanjung Pinang, beliau mencadangkan supaya kami menemui Tengku Hussein Saleh dan abang sepupunya, Tengku Ismail. Itulah sebabnya kami tidak jadi berangkat pulang pada pukul 12.30 tengahari itu, dengan andaian ada lagi satu feri akan berangkat pada jam 5.00 petang.
Rupanya informasi yang mengatakan feri berangkat jam 5.00 itu tidak tepat dan kami ketinggalan kapal.
Kerana itu, kami terpaksa menginap satu malam lagi di Hotel Laut Jaya.
Keesokan paginya, kami berangkat ke terminal feri lebih awal kerana tidak mahu mengulangi pengalaman kelmarin. Kami menjadi orang yang pertama masuk dan tidak ada orang lagi di Balai Berlepas.
Ada kira-kira satu jam lagi sebelum Indomas bergerak meninggalkan pelabuhan, tetapi bagaimanakah kapal itu bergerak dari pelabuhan sedangkan ia belum tiba lagi dari Johor?.
Sambil menghabiskan waktu, kami memesan minuman dan membaca suratkhabar. Saya makan kuih otak-otak, banyak juga kemudian memesan nasi ayam goreng. Sedap rasanya.
Dalam pada kami menunggu-nunggu itu, pekerja kedai itu, keturunan Bugis dari Kampung Bugis melayani kami berbual-bual.
Ketika makan itu, saya terkesan tuan haji itu tersenyum-senyum.Mungkin ada sesuatu yang menggelikan hatinya.
"Saya tidak mahu cakap tadi, saya takut kamu ketawa," katanya kemudian selepas pelayan itu pergi.
Katanya, secara fizikal, dalam bahasa Iranun, bentuk badan wanita itu boleh digambarkan dengan ayat `tumaligkud na basung, sumangur na budsaka'.

Basung adalah alat yang dibuat daripada kulit kayu, lebih kecil daripada `barait' untuk menyimpan padi. Tetapi budsaka' pula lebih besar daripada `barait', juga digunakan untuk menyimpan padi.


Ketika menghuraikan makna kata-kata itu, saya teringat kembali wanita di pelabuhan Tanjung Pinang itu.Orangnya ramah dan baik, anak tiga dan suaminya masih di Pekan Baru. Cuma bentuk badannya gempal, dan itu, dapat digambarkan dengan tepat melalui kata-kata `tumaligkud na basung, sumangur na budsaka.

Tidak lama kemudian, peluit kapal dibunyikan dan kami meninggalkan Tanjung Pinang, dengan seribu pengalaman, dan seribu kenangan.

2 comments:

M.Rakunman said...

ada terjumpa orang iranun dalam pengembaraan itu?

abd naddin said...

Alhamdulillah, kami mendapat petunjuk mengenai keberadaan keturunan Iranun di Kepulauan Riau Lingga.Sedikit masa lagi, kami akan melanjutkan kajian mengenai hubungan antara Tempasuk dan Riau Lingga di alam nusantara