Saturday, November 13, 2010

dawag ka sa padoman,a mirapas ku ku kaludan

Kehidupan,dalam alam pemikiran Iranun, selalu dihubungkan dengan gelora,ombak gelombang,angin kencang, lautan yang luas dan yang sejenisnya.Oleh sebab itu,insan Iranun yang memilih untuk merenangi lautan atau meniti gelora mestilah cekap membaca arah angin,kerlipan bintang-bintang dan sebagainya.Sebuah pelayaran tidak mungkin dimulakan sebelum mereka mahir membaca isyarat alam. Orang orang tua kita dahulu mahir membezakan yang mana bintang `manuk, yang mana `balatik', yang mana `mamoro-poro', yang mana `laya', yang mana `pagi, yang mana `bubu, yang mana bintang `makabangas, yang mana pula `karani'.

Kemahiran membaca isyarat alam ini merupakan satu keperluan sebelum memulakan sebuah pelayaran.Dengan melihat bintang,mereka dapat meramalkan musim, apakah musim kemarau, apakah musim hujan ataau apakah musim angin bertiup kencang.

Jika ramalan angin kencing, berdasarkan tanda-tanda di langit, mereka akan menangguhkan pelayaran menunggu cuaca teduh dan iklim berubah.Bagaimanapun, seorang pelayar menyedari dengan jelas bahawa pelayaran selalu berhadapan badai gelora, selalu bergelombang, arusnya kuat, tidak sentiasa tenang.Kerana itu, apabila mereka memilih untuk berlayar, mereka siap menghadapi segala kemungkinan, dengan tabah dan cekal.

Insan Iranun, dalam sejarah dan budayanya, sanggup merentas lautan dalam untuk meneruskan perjuangan. Namun sebelum mereka meniti gelora, mereka tidak segansegan untuk meminta agar diberikan pedoman untuk menyeberang samudera.

Ada sebait baik, yang dibacakan kepada saya oleh tokoh budaya Iranun,OKK Haji Masrin Hassin yang sangat baik untuk direnungkan.
"Begaika sa tanda,ka mititaiku ku ragat, dawag ka sa padoman, a mirapas ku sa kaludan".
Bayuk itu mungkin boleh diterjemahkan seperti begini"Berikan isyarat, untuk ku meniti gelora, berikan pedoman, untuk merentas lautan".

Melalui bayuk-seni puisi Iranun yang tinggi nilainya ini-jelas menunjukkan bahawa perjalanan kehidupan yang dijalani itu tidaklah dapat dipisahkan dengan ombak gelora, angin kencang atau lautan yang luas.

Saya fikir, mereka yang dapat sampai ke tujuan adalah mereka yang mampu berlayar dengan cekal, tabah, tidak takutkan cabaran dan mahir pula membaca cuaca.

No comments: