Rabu, 10 November 2010

MENJEJAKI SEJARAH DI TANJUNG PINANG

Tags


MENJEJAKI SEJARAH DI TANJUNG PINANG
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN

Perjalanan ke Tanjung Pinang mungkin perkara biasa bagi kebanyakan orang tetapi bagi OKK Haji Masrin Haji Hassin, ekspedisi itu amat bermakna untuk menelusuri jejak sejarah hubungan antara Tempasuk dengan Riau Lingga sejak 223 tahun yang lampau.

Tuhfat Al-Nafis karangan Raja Ali Haji menyatakan bahawa Sultan Mahmud III telah meminta bantuan Raja Tempasuk untuk menyerang Belanda di Riau dalam tahun 1787. Tuhfat Al-Nafis mencatatkan peristiwa itu dengan jelas "....maka dukacitalah baginda Sultan Mahmud serta Raja Indera Bongsu.Maka jadilah dukacitanya dan sushnya seumpama api maka memakanlah akan sabarnya.Maka jadi melakukan dan mengikutkan hawa nafsunya sebab kerana hendak melepaskan piciknya dan susahnya.Maka menyuruhlah ia satu utusan ke Tempasuk membawa surat kepada Raja Tempasuk minta pertolongan pada mengamuk Holanda di dalam Riau.Maka Raja Tempasuk pun menyuruh anaknya tiga orang, pertama Raja Tembak,kedua Raja Alam, ketiga Raja Muda beserta Raja Ismail menjadi panglima besarnya. Maka berlayarlah mereka itu ke Riau.Adalah kelengkapannya kira-kira tiga puluh penjajab dan berangai".
Catatan Raja Ali Haji itulah yang mendorong OKK Haji Masrin ke Tanjung Pinang. Yang Di Pertua Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) itu dengan disertai Ketua Penerangan BKI, Abd.Naddin Hj.Shaiddin yang juga wartawan Utusan Borneo telah membuat kunjungan bagi mengesan dan menjejaki keturunan orang-orang Tempasuk yang telah membantu Sultan Mahmud menentang Belanda di Tanjung Pinang pada Mei 1787.

"Soalnya kita tidak mungkin dapat bertanya kepada Raja Ali Haji kerana dia telahpun meninggal dunia pada 1872, tetapi beliau dengan jelas mencatatkan hubungan yang luar biasa antara Raja Tempasuk dan Sultan Mahmud," katanya. Peristiwa sejarah ini amatlah penting kerana ia menandakan hubungan istimewa antara kerajaan di Tempasuk dengan Sultan Mahmud III sehingga beliau sanggup menghantar tiga anak kandungnya, bukan orang lain, dan anak saudaranya untuk membantu mengusir Belanda dari Riau.

"Apa yang menjadi pertanyaan kita ialah apabila buku Tuhfat Al Nafis menyatakan bahawa anak-anak Raja Iranun dari Tempasuk itu tidak pulang ke Borneo sebaliknya meneruskan ke Reteh, dan terlibat lagi dalam peperangan di sana pada tahun 1858," kata Ketua Daerah berusia 60 tahun itu.

"Tujuan misi kami ialah untuk menjejaki sama ada masih ada keturunan Raja Tempasuk itu di Riau. Apakah mereka masih mempunyai petempatan atau perkampungan di sana.Kalau mereka semuanya sudah mati, dimana kuburnya," katanya lagi. Sudah tentu jumlah 30 penjajab atau kapal layar besar itu memuatkan panglima-panglima perang yang ramai.

"Sekiranya setiap penjajab mampu memuatkan 30 orang, bermakna 30 penjajab itu mampu memuatkan seramai 900 orang Iranun dari Tempasuk. Saya tidak percaya kalau semua mereka mati dalam peperangan itu.Pasti ada yang tersisa," katanya kepada Utusan Borneo.

Untuk itulah OKK Haji Masrin berangkat ke Tanjung Pinang untuk membuat penyelidikan mengenai perkara itu. Beliau tidak bersetuju sekiranya dikatakan bahawa kedatangan orang Tempasuk ke Riau itu sebagai khabar angin belaka sebagaimana yang dikatakan oleh sebilangan orang.

Tuhfat Al-Nafis atau Hadiah Yang Berharga adalah karya persejarahan yang penting. Ia dianggap oleh R.O. Winstedt sebagai karya sejarah terpenting yang ditulis sebelum abad ke-20, selepas Sulalatus Salatin tulisan Tun Seri Lanang. R.J. Wilkinson pula menggunakan Tuhfat Al-Nafis sebagai sumber sejarah, apatahlagi, peristiwa-peristiwa yang berlaku pada abad ke-18 dan 19 itu dicatat dengan tarikh yang tepat.

Sepanjang berada di Tanjung Pinang,Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) sempat mengunjungi Kantor Gubernur Kepulauan Riau dan sempat menemui assisten Gubernur Said Agiel. Selepas itu, mereka berkunjung ke Muzium Sultan Sulaiman sebelum berkunjung ke Pulau Penyengat untuk menziarahi makam Raja Ali Haji, pujangga Melayu itu, makam Engku Hamidah, Makam Yang Di Pertuan Muda Raja Jaafar, Makam Raja Haji Fisabilillah, Makam Istana Raja Ali Marhum Kantor dan melakukan solat di Masjid Raya Sultan Riau.

Selepas itu, mereka berlepas ke Batam untuk ke Pekan Baru, Riau keesokan harinya. Di Batam, misi penelusuran sejarah hubungan antara Raja Tempasuk dan Kerajaan Riau Lingga itu mendapat sorotan daripada Batam Pos, akhbar terbesar di Batam.

Hari ketiga di Indonesia diawali dengan kejadian mengerikan apabila Pesawat Airbus 380 milik Qantas Airways mengalami kerosakan mesin di langit Batam dan penutup jentera pesawat terjatuh di kawasan Batam Centre. Bagaimanapun penerbangan ke Pekan Baru dari Lapangan Terbang Hang Nadim Batam berjalan seperti yang dijadualkan.

Petang selepas mendarat di Lapangan Terbang Syarif Kasim II, BKI terus bertemu dengan tokoh sejarah dan budaya Riau, UU Hamidy. UU Hamidy merupakan pengkaji sastera dan budaya yang terkenal dan telah menghasilkan lebih 60 buku. Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaya pada tahun 1981 dan menulis berbagai aspek dunia Melayu sejak 1973.

Bapak UU Hamidy merasa amat tertarik dengan penyelidikan yang dibuat oleh BKI itu. Beliau mengakui bahawa istilah `lanun' itu berasal dari nama Ilanun atau Iranun. "Orang Iranun yang berjuang untuk menentang penjajah akhirnya diberi cap buruk oleh mereka," katanya sambil menyebut bahawa keadaan itu sama dengan orang-orang yang berjuang menegakkan agama Islam diberikan cap teroris.

Pada akhirnya, Iranun disebut lanun dan akhirnya ia berubah erti, dimana apa saja yang menentang Belanda, Sepanyol dan Inggeris disebut lanun. Kemudian semua yang menjalankan kegiatan menentang penjajah dianggap sebagai lanun. Inilah strategi penjajah untuk memecahbelahkan masyarakat Melayu di Nusantara.

Beliau berkata kemungkinan untuk orang Iranun mengekalkan bahasa mereka di kepulauan Riau amatlah tipis kerana mereka yang datang ke Kepulauan Riau itu terdiri daripada tentera dan panglima-panglima perang. Mereka kemungkinan berkahwin dengan orang Tempatan dan masuk dalam masyarakat Melayu atau orang persukuan.

"Kita diakali (ditipu) betul oleh kolonial. Orang yang betul-betul mempertahankan negara dianggap lanun, dan kemudian diberikan topeng yang buruk,padahal para syuhada itu berjuang untuk mempertahankan Islam " kata tokoh akademik yang pernah menjadi Ketua Pusat Kajian Islam dan Dakwah Universitas Islam Riau (1990) dan Dekan FKIP Universitas Islam Riau sehingga 1996 itu.

Bagaimanapun, UU Hamidy mengakui bahawa itulah pertama kali beliau mengetahui bahawa Tempasuk benar-benar wujud di alam Nusantara kerana mereka tidak mengetahui dimana letaknya Tempasuk. Beliau kemudian menghubungi salah seorang pengkaji sejarah di Aceh TA Sakti yang bertugas di Universitas Syiah Kuala., Banda Aceh. Beliau merupakan orang yang pertama melakukan kajian terhadap Perang Reteh yang berlaku pada tahun 1858. Beliau menyebut menyebut mengenai Tengku Sulong yang dikatakan Raja Lanun, dan dianggap sebagai salah seorang pahlawan di Riau.

Beliau juga menyarankan agar lebih ramai mahasiswa membuat kajian mengenai sejarah hubungan Tempasuk-Riau Lingga dan peranan orang Iranun dalam penentangan terhadap Belanda.

UU juga sependapat bahawa memamg Raja Tempasuk memiliki hubungan dengan Sultan Mahmud III beliau sanggup menghantar `bukan sebarang bantuan untuk membantu' sehingga merelakan darah dagingnya sendiri bagi menghalau Belanda dalam perang di Teluk Ketapang.

"Adalah menjadi kewajiban kita untuk menyelusuri jejak sejarah yang hilang ini dan mencari ibrah (pengajaran) daripadanya," katanya kepada Utusan Borneo. "Betapa ikhlasnya mereka berjuang sehingga mereka dilupakan sejarah," katanya sambil menyatakan rasa kagum kerana ketelitian Raja Ali Haji mencatatkan peristiwa sejarah itu.

Pada sebelah malamnya, OKK Haji Masrin ditemuramah oleh Ridwan, wartawan Metro Riau. Beliau menjelaskan tujuan ke Pekan Baru iaitu untuk menemui beberapa tokoh akademik untuk membincangkan mengenai hubungan antara Sabah dan Riau dari sudut sejarah.

Keesokan harinya, BKI menemui Prof.Dr.Yusmar Yusuf. Beliau merupakan seorang budayawan Riau dan merupakan pensyarah Departemen Sosiologi FISIP Universitas Riau. Dr.Yusmar juga merupakan Direktur Pusat Pengajian Bahasa dan Kebudyaan Melayu Universiti Riau dan telah menghasilkan 11 judul buku tentang Melayu.

Menurut beliau istilah `Lanun' sudah pasti diberikan oleh orang luar (exonym) untuk menyebut kelompok yang menentang mereka. Beliau memberikan beberapa pendapat mengenai keturunan Iranun di Kepulauan Riau Lingga. Beliau juga menyifatkan usaha BKI mencari jejak Iranun itu adalah usaha yang penting dari aspek persejarahan. Menurut beliau, keturunan orang Tempasuk mungkin masih boleh dikesan di wilayah perairan Lingga iaitu di Senayang, Daik dan sebagainya.

Bagi Dr.Yusmar hubungan antara Tempasuk dengan Riau adalah hubungan persemendaan atau persaudaraan. "Usaha yang dilakukan BKI adalah satu upaya melawan lupa. Cara melawan lupa (lupa terhadap sejarah)ialah dengan berkunjung ke centre of memories. Beliau juga menyatakan generasi kini adalah `anak-anak mall dan supermarket' yang tidak pedulikan sejarah.

"Tetapi mereka, pada satu masa nanti akan menyedari betapa pentingnya sejarah dalam membentuk peradaban masa depan," katanya. Melalui Dr.Yusmar beliau menghubungkan BKI kepada Machzumi Dawood, budayawan penulis yang telah bekecimpung dalam dunia penulisan sejak tahun 1971. Menurutnya, Machzumi mempunyai gudang pengetahuan yang banyak kerana beliau masih mempunyai hubungan keluarga dengan Dato Kaya di Lingga dan sudah tentu beliau mempunyai informasi yang diperlukan untuk menjejaki orang-orang Tempasuk di Riau.

Ekoran saranan itu, BKI terbang lagi ke Batam dan terus ke Pelabuhan Teluk Punggur untuk ke Tanjung Pinang semula. Pada petang hari Jumaat iaitu hari keempat di Riau, BKI berlayar lagi ke Tanjung Pinang kerana temujanji pada malam harinya. Machzumi agak tertarik mengenai usaha BKI menyusuri jejak sejarah lampau itu dan berjanji untuk memberikan informasi selanjutnya mengenai keturunan Iranun di kepulauan Riau.

Sebelum berangkat pulang keesokan harinya, BKI singgah di Toko Buku 171 di KM9. Disana, OKK Haji Masrin dipertemukan dengan Tengku Hussien Saleh dan Tengku Ismail, oleh taukeh buku, Abdul Rasyid yang turut mempunyai minat yang tinggi dalam persejarahan Melayu.

Beliau kemudian menemani BKI ke kediaman Tengku Hussein di Batu 10 dan disana BKI mendapat informasi yang dapat memperkuatkan dan memperkukuhkan penyelidikan yang dibuat sepanjang lima hari itu. Tengku Husein merupakan mantan anggota DPRD bagi Riau dan sering mengikuti rombongan Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) untuk menyusuri dunia Melayu. Beliau dan abang sepupunya Tengkun Ismail memperlihatkan silsilah sejarah kesultanan Melayu yang telah ditulis sejak 41 tahun lalu.

Kunjungan ke Tanjung Pinang, Kepulauan Riau dan Pekan Baru, Riau pada 2 hingga 7 November amatlah bermakna dalam mengungkapkan hubungan di antara Raja Tempasuk dan Sultan Mahmud III dan menjejaki keturunan panglima-panglima perang Iranun yang berjuang menentang Belanda sejak lebih 200 tahun yang lampau.

Setelah itu, BKI bergegas ke Pelabuhan Tanjung Pinang tetapi hari sudah petang dan feri yang ditumpangi hanya akan berangkat pada waktu tengahari keesokan harinya. Laut agak bergelora dan kapal-kapal besar dan kecil, perahu dan bot memenuhi Teluk Ketapang. "Di sinilah nenek moyang kita dahulu berjuang menentang penjajahan dan membangkitkan nasionalisme di kalangan rakyatnya," kata OKK Haji Masrin, sebelum pulang. "Kalau dahulu mereka datang dengan kapal layar, kini anak cucunya datang dengan kapal terbang," katanya mengenang jurang waktu yang memisahkan sejarah lampau dan masa kini, sepanjang seminggu di Tanjung Pinang, Kota Gurindam Negeri Pantun itu.

5 comments

kisah yang menarik. saya menanti cerita selanjutnya....ke mana menghilang 3 pahlawan Tempasuk itu

sdra hanafiah,
itulah juga yang menjadi tandatanya bagi kami.Dalam versi lain Tuhfat Al-Nafis, ada menyatakan bahawa Anak-Anak Raja Tempasuk itu menghadap Sultan Mahmud untuk memohon izin pulang tetapi bagaimanapun tidak dinyatakan sama ada mereka benar-benar berangkat meninggalkan Riau.Ada dinyatakan juga bahawa Raja Muda Okma tidak pulang selain juga ada dinyatakan kedatangan Tok Lukus dan Tok Akus ke Kepulauan Riau.

Hebat!!! Begitu besarnya erti persaudaraan Melayu tempo dulu sehingga sanggup belayar ribuan batu demi membantu saudaranya.
Mungkinkah semangat sedemikian akan kembali lagi kepada bangsa ini?

sdra Kunakian,
jika kita dapat mengembalikan rasa persaudaraan dan persahabatan antara sesama kita, alangkah baiknya. terima kasih kerana membaca artikel ini.

Tahniah.. Usaha yg sngt bermanfaat utk semua