Sunday, November 28, 2010

perjalanan mencari damai di Mindanao

PERJALANAN MENCARI DAMAI DI MINDANAO
-Sekitar acara sambutan ulangtahun ke-21 Autnomous Region in Muslim Mindanao (ARMM)

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

SEBAIK turun dari pesawat Cebu Pacific di Lapangan Terbang Cotabato, setiap anggota delegasi Malaysia disematkan bunga dan selempang Mindanao. Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia diiringi Duta Besar Malaysia ke Filipina, Dato' Seri Dr.Ibrahim Saad dan rombongan diberikan sambutan dengan barisan kehormatan tentera Autonomous Region In Muslim Mindanao (ARMM).
Selepas itu, delegasi Malaysia menunaikan solat Jumaat di Blue Mosque sebelum dijamu makan tengahari anjuran International Monitoring Team (IMT) Malaysia di sebuah restoran yang dikawal ketat pihak keselamatan.
Kira-kira jam 3.00 petang, delegasi Malaysia dibawa ke Pusat Kebudayaan Sharif Kabungsuan di Cotabato City untuk menghadiri Sambutan Ulang Tahun ke-21 Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM).
Ribuan orang membanjiri dewan terbesar di Cotabato City itu. Sambutan ulang tahun itu dihadiri oleh masyarakat Islam Bangsamoro dari seluruh Wilayah Mindanao. Pemangku Gabenor ARMM, Ansaruddin Alonto Adiong dalam ucapannya melahirkan rasa gembira kerana kehadiran tamu yang disegani dan dihormati, Tan Sri Pandikar Amin, yang membuktikan bahawa terdapat hubungan yang akrab antara Malaysia dan Filipina.
ARMM diisytiharkan secara rasmi pada 6 November 1990. Antara wilayah Islam yang bergabung dengan ARMM ialah Maguindanao, Lanao Del Sur, Sulu, Basilan (kecuali Isabela City) dan Tawi-Tawi dan Bandaraya Islam Marawi. Pusat pentadbirannya terletak di Cotabato City, sungguhpun Cotabato City tidak termasuk dalam wilayah ARMM.
Selepas diperkenalkan oleh Setiausaha Eksekutif ARMM, Naquib Sinarimbo kepada hadirin dan membacakan riwayat hidup beliau, Pandikar diberi tepukan gemuruh sebaik tampil di depan pentas..
Berucap kepada hadirin pada majlis itu, Pandikar menekankan betapa kedamaian amatlah penting untuk membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan di wilayah Islam yang mempunyai tiga juta penduduk itu.
Beliau berkata, keamanan dan pembangunan amat bergantung kepada penyelesaian rundingan damai antara Kerajaan Republik Filipina (GRP) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
Rundingan damai yang diadakan sejak 1997 tetapi gagal pada tahun 2000 dan kemudian Kerajaan Malaysia dijemput untuk menjadi fasilitator rundingan damai itu.
Pandikar menyatakan betapa penting proses perdamaian dianatara GRP dan MILF dan menekankan bahawa perdamaian di antara sesama anggota masyarakat Islam sendiri amat penting untuk memastikan kedamaian dapat dicapai.
Beliau menyatakan perbalahan antara keluarga dan dendam keturunan (rido) tidak boleh menjadi liabiliti untuk mencari kedamaian di Mindanao.
"Selain betapa pentingnya proses damai antara GRP dan MILF, perdamaian antara kelompok di dalam komuniti Islam di Selatan Filipinan juga perlu diberikan perhatian.
"Dengan tercapainya rundingan damai antara selatan Filipina, wilayah itu akan dapat mengalihkan perhatiannya dan memberi fokus untuk memajukan pembangunan," katanya.
Katanya, perdamaian akan membawa kemajuan, mengurangkan kemiskinan, meningkatkan pendidikan, meningkatkan taraf hidup untuk kesejahteraan rakyat.
"Tetapi jika kita inginkan kedamaian, yang paling penting ialah kita mestilah memulakan kedamaian itu dari diri kita.Kedamaian bermula dari hati kita, "katanya.
Beliau menyatakan, Malaysia sebagai fasilitator damai antara GRP dan MILF berharap rundingan damai yang adil dan berkekalan akan tercapai antara GRP dan MILF.
"Malaysia sangat komited untuk menyokong proses perdamaian GRO-MILF melalui Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT)," katanya.
Katanya, IMT telah bekerja keras bersama Office of Presdential Advisor on the Peace Process untuk memastikkan gencatan senjata antara kedua pihak yang bertelingkah.
Kehadiran IMT di wilayah ARMM telah mengurangkan pertempuran dan membantu mencipta suasana perdamaian di wialayh itu.
Pandikar juga menyatakan persahabatan antara Malaysia dan Filipina sangatlah erat tetapi ada ruang untuk meningkatkan hubungan bilateral dan multiliteral antara kedua negara.
Untuk itu, beliau mempelawa semua sektor, sama ada dari kerajaan pusat, wilayah dan rakyat negara itu untuk berkunjung dan melawat Malaysia.
Beliau yakin hubungan antara Malaysia dan Filipina akan dapat dapat ditingkatkan lagi. Untuk rekod, Malaysia menjadi rakan dagang kedua terbesar Filipina pada tahun 2009 dan Filipina merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada tahun lalu.
Katanya, banyak ruang untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan. "Sektor swasta antara kedua negara memainkan peranan yang besar untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan antara kedua negara.
Selain itu, Malaysia juga menawarkan program kerjasama teknikal jangka pendek melalui Malaysia Technical Cooperation Program (MTCP) dan banyak memberi manfaat kepada kepada golongan profesional di selatan Filipina untuk berkongsi pengalaman dalam pembangunan.
Sesuai dengan kapasitinya sebagai Speaker Parlimen Malaysia, Pandikar berkata Malaysia dan Filipina telah memainkan kerjasama dalam Inter Parliamentary Union (IPU), Asean Parliamentary Assembly (APA).
"Melaui IPU dan APA, Malaysia dan Filipina telah berjaya membina hubungan antara parlimen dan meningkatkan hubungan bilateral, regional dan global," katanya,
Dalam konteks regional, Malaysia dan Filipina mendahului pembangunan ASEAN. Sebagai pengasas ASEAN, Malaysia dan Filuipina mempunyai soldariti yang sama, visi dan cita-cita untuk meningkatkan hubungan regional.
"Ini sangat penting dalam merealisasikan ASEAN Community menjelang 2015.ASEAN Community akan menjadi komuniti multietnik yang bersatu dibawa satu identiti Asean," katanya.
Bagi merealisasikan cita-cita itu hubungan antara masyarakat perlu diutamakan.Bagaimanapun untuk meningkatkan hubungan antara negara ASEAN, adalah sangat penting untuk membina rangkaian infrastruktur, perdagangan, pelaburan dan teknologi informasi.
"Adalah sangat penting untuk membina Rancangan Jangka Panjang dan ASEAN Connectivity yang boleh mengukuhkan perhubungan antara wilayah ASEAN," katanya.
Katanya, Malaysia dan Filipina juga telah bekerjasama dalam Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Brunei-Indonesia-Filipina (BIMP-EAGA) sejak 1994. Selain itu, kedua-dua negara juga memainkan peranan penting dalam Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), , Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Forum Regional ASEAN (ARM).
Pandikar juga melahirkan keyakinan bahawa ARMM akan mampu meneruskan usaha untuk mencapain kedamaian dan pembangunan di wilayah Muslim Mindanao itu.
Hanya dengan perdamaian, pembangunan dan kemajuan dapat dinikmati oleh masyarakat di Mindanao. Beliau yakin jika semua pihak memberi kerjasama dan komitmen, kedamaian di Mindanao, tidak mustahil akan diperolehi.
Pandikar juga diberikan tepukan gemuruh sebaik-baik beliau berucap dalam bahasa Iranun dan menegaskan betapa pentingnya perpaduan dan penyatuan untuk memcapai kemajuan dan pembangunan.
Ramai yang hadir pada majlis itu menunggu-nunggu ucapan Pandikar dalam bahasa Iranun itu kerana ia menjadi topik utama dalam stesen radio yang membincangkan topik samaada beliau mampu berbahasa Iranun atau sebaliknya.
Selepas beliau berucap, persembahan kebudayaan telah diadakan yang diselangselikan dengan upacara penganugerahan kepada tokoh-tokoh yang berjasa dan memberi sumbangan terhadap proses pembangunan di Mindanao.
Pada sebelah malamnya, delegasi Malaysia telah diraikan dalam satu majlis makan malam `pagana' yang diserikan dengan persembahan kebudayaan seperti bayuk oleh Putri Erlynda. Selepas itu, tetamu kehormat menyaksikan pertunjukan bunga api bagi menandakan kemuncak sambutan Ulang Tahun ke-21 ARMM.

No comments: