Thursday, December 23, 2010

Bertemu Bung Hatta dan Tan Malaka di Gramedia

Betapa gembiranya hati saya kerana pada minggu ini saya bertemu dengan dua bapak bangsa Indonesia. Setiap malam sebelum tidur, atau setiap kali ada masa terluang, saya cuba bermesra dan berbicara dengan mereka kerana memang sudah agak lama kami tidak berjumpa.
Saya terjumpa `Bung Hatta,jejak yang melampaui zaman' di kedai buku Gramedia di Pontianak. Buku yang ditulis Tempo itu banyak berkisah tentang kehidupan Bung Hatta, seorang tokoh yang saya kagumi dan menjadi idola saya sejak kecil iaitu sejak mengenal nama Mohamad Hatta. Beliau seorang tokoh yang suka menuliskan fikirannya, seorang yang punya banyak buku, seorang yang selalu tepat waktu, seorang yang berani berbeza pendapat, seorang yang takut berjuang, seorang yang beberapa kali hidup dalam pembuangan, seorang yang tak pernah mengaku kalah dan seorang yang tetap teguh pada prinsipnya. Buku yang diterbitkan Tempo itu dapat memperkaya wawasan dan pemahaman terhadap kehidupan Bung Hatta.

Seorang lagi yang menarik perhatian saya ialah `Tan Malaka, Bapak Republik Yang Dilupakan' juga hasil kajian Tempo. Mengapa nama Tan Malaka selalu disebut orang? Tokoh ini menyamai kehebatan Che Guevara. Tan Malaka, yang 21 kali berganti nama, dan melanglang dari Asia sampai Eropah, Rusia, Cina, Filipina, Thailand, dan berjuang untuk menegakkan Republik Indonesia. Buku ini sangat menarik untuk kajian sejarah mengenai peranan Tan Malaka dalam kebangkitan menentang penjajah di Asia.

Buku ketiga ialah novel karya A.Fuadi, mantan wartawan Tempo yang menulis Negeri 5 Menara, yang mengisahkan kehidupan seorang santri Alif Fikri, yang bersekolah di Pondok Madani, walaupun cita-cita awalnya jadi orang semacam Habibie.
Pada mulanya beliau `setengah hati' belajar di PM hanya kerana menuruti perintah ibunya yang mahukan beliau menjadi seperti Buya Hamka. Alif ingin memasuki SMA tetapi kemudian setelah mendapat cadangan daripada Gindo, pakciknya, beliau melanjutkan pendidikan di Pondok Madani. Sungguh satu kisah yang sangat menarik dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Membaca tiga buku ini, seolah-olah saya sedang berbicara dan bertemu dengan mereka. Bung Hatta dan Tan Malaka sudah lama tiada. Tetapi buku-buku yang ditulis mengenai mereka itu menunjukkan bahawa mereka masih hidup dalam ingatan rakyat Nusantara.
Sementara Novel Negeri 5 Menara A.Fuadi itu, yang dibeli di Kedai Buku Eaton di Centre Point, Kota Kinabalu, yang berkisah tentang pondok modern juga amat menyeronokkan. Saya sangat tertarik dengan ilmu ikhlas yang diajarkan di PM dan saya ikhlas membaca buku ini.

No comments: