Tuesday, December 7, 2010

Catatan sebelum meninggalkan Bandara Supadio

Kalau ada perkara yang mengejutkan pada pagi terakhir sebelum kami berangkat pulang melalui Bandar Udara Supadio, ia adalah berita mengenai banjir besar yang mengepung Kota Pontianak.

Akhbar Metro Pontianak dengan motonya `Selalu Ada Yang Panas' hari itu melaporkan bahawa"Sedikitnya dua rumah hanyut, tiga rusak berat dan tujuh mengalami rusak ringan, akibat banjir pasang (Rob) yang melanda Kota Pontianak. Rumah warga yang berada di pinggiran Sungai Kapuas diterjang gelombang dengan ketinggian mencapai dua meter".

Sementara itu, Pontianak Post , Pertama dan Terutama di Kalimantan Barat melaporkan bahawa `banjir dan terjangan gelombang menyebabkan dua rumah hanyut dan 14 rosak berat di Kecamatan Pontianak Barat pada Rabu (8/12) siang.Sebanyak 200 warga setempat di ungsikan ke kantor camat kerana ketinggian air yang mencapai satu meter.
"Hanya satu barang yang bisa diselamatkan, yakni televisi.Barang lainnya hanyut semua bersama rumah", ujar Ridwan, yang rumahnya hanyut diterjang arus air pasang di pinggir Sungai Kapuas.

Kami sudah berkemas dan turun di lobi hotel Orchardz di Jalan Gajahmada.Khuatir juga jika kereta tidak boleh melalui jalan yang dinaiki air ke Bandara Supadio tetapi Pak Adi Rahmani memberi jaminan bahawa jalan ke arah lapangan terbang selamat untuk dilalui.

"Tak pernah seperti ini,"katanya."Kalau air naik hingga ke jalan( dia menunjuk seberang jalan) ertinya banjir kali ini agak besar,"tambahnya.

Kami sengaja berangkat lebih awal. Setelah check out, kami terus saja memanggil pak Adi yang telah sedia menunggu.Biasanya dalam perjalanan jauh seperti itu, adalah lebih baik datang lebih awal ke lapangan terbang.Apatahlagi jika kita membaca akhar Borneo Tribune Pontianak http://www.borneotribune.com, menuliskan mengenai bagaimana warga panik kerana banjir datang tiba-tiba.

"Sejumlah warga di Jeruju, Kecamatan Pontianak Barat dan Siantan, Pontianak Utara panik banjir dalam hitungan detik masuk ke dalam rumah mereka. Air setinggi 70 centimeter hingga 1 meter menggenangi sejumlah rumah warga.
Kejadian yang tidak disangka-sangka itu,berlangsung saat hujan disertai angin kencang menerpa Kota Pontianak sejak pukul 11.00 WIB (Waktu Indonesia Barat).

Saya teringat apa nasib keluarga yang tinggal di gang Mempelam, Jalan Jeruju? Semoga mereka selamat kerana menurut Pak Adi, penduduk di Jeruju semua masih di tempat pemindahan.

Ketika hujan turun itu, kami sebenarnya sedang makan di Rumah Makan Kakap.Angin tiba-tiba bertiup kencang disertai hujan.Sejurus selepas hujan reda, kami terus pulang ke hotel, dan hasrat saya untuk bertemu dengan keluarga tidak kesampaian kerana badai tropika yang tidak diduga itu.

Pak Adi juga menerima telefon dari keluarganya yang menyatakan rumah mereka juga turut dinaiki air, tetapi itu menurut Pak Adi, adalah fenomena di kota khatulhistiwa itu.

Oleh sebab itu, pada malam rabu itu, kami sengaja berjalan kaki mencari restoran untuk makan malam. Pak Nasril, penjual majalah itu memberitahu kami ada sebuah restoran di jalan tanjung pura, yang terletak tidak jauh dari situ dan boleh dihubungi dengan berjalan kami, terkenal kerana makanannya yang sedap. Rumah Makan Melda katanya sambil menambah ia restoran `orang kita'.

Kerana itu kami sanggup berjalan kaki, dekat setengah batu, sambil menarik seluar kerana jalan digenangi air untuk sampai ke restoran Melda. Padahal terdapat bebderapa kedai di tepi jalan tetapi kerana kata Pak Nasril, Rumah makan Melda, miliki `orang kita' maka kami sanggup berjalan kaki ke sana.

Pak Nasril yang telah berjualan majalah sejak kecil itu merupakan pegawai negeri dansejak 25 tahun lepas bertugas di Humas Pemerintah Kota Pontianak. Beliau kelihatan gembira kerana Pasukan Bola Sepak Indonesia berjaya mengalahkan Thailand 2-1. Kemenangan Indonesia itu membuatkan rakyat di negara itu melupakan sejenak kes rasuah yang melibatkan Gayus H Tambunan, masalah korupsi dan sebagainya.

Tak terasa sudah empat hari kami berada di Pontianak. Pada hari kelima, kami pulang melalui Bandar Udara Supadio. Penerbangan mengambil masa kira-kira 25 minit berbanding dengan perjalanan dari jam 7.30 pagi hingga 6.00 petang sewaktu kami menaiki bas Damri dari Kuching.

Pesawat Batavia Air terbang kira-kira jam 11.45 pagi dan dijadual tiba pada jam 12.10 minit tengahari.Bagaimanapun kami tiba jam 1.15 minit petang waktu Malaysia kerana perbezaan waktu satu jam antara Malaysia dan Indonesia Barat.

Saya duduk ditengah-tengah. Bung Hussain sesekali melepaskan lelah sambil melelapkan mata sepanjang perjalanan ke Kuching itu. Hasyuda pula sedang asyik menggambar pucuk-pucuk awan.

No comments: