Selasa, 28 Disember 2010

catatan selepas majlis penyampaian HSS 2008/2009

Tags


HANYA pemetik gambus yang sedang mengemaskan alat-alat muziknya yang tertinggal dalam dewan sementara para tamu kehormat yang dimuliakan, para penerima hadiah yang bertuah, dan hadirin bersiap-siap untuk pulang ke rumah masing-masing.

Dewan yang kosong itu meninggalkan kehebohan dalam diri.Nyaring sekali.Baru sebentar tadi,orang-orang sastera berhimpun untuk meraikan pemenang-pemenang Hadiah Sastera Sabah 2008/2009.Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif dengan senang hati menyampaikan hadiah kepada 12 pemenang.

12 pemenang?
Ya, kali ini 12 pemenang, dengan 13 karya terbaik.Kenapa begitu sedikit? Sebelumnya HSS menyediakan hadiah untuk 10 pemenang genre puisi, 10 untuk cerpen, juga esei kritikan, drama dan sebagainya. Kali ini terdapat hanya 5 pemenang untuk genre puisi dan lima pemenang untuk genre cerpen.

Walau demikian, Ketua Pengarah DBP Malaysia, Dato' Haji Termuzi Abd.Aziz mengatakan bahawa "Hadiah Sastera Sabah yang diadakan sejak tahun 1990 ini tidak harus menjadi kegiatan rutin dwitahunan, sekadar untuk menyenangkan hati para penulis dan golongan sasterawan semata-mata, tetapi harus menjadi peristiwa yang lebih bermakna, lebih megah dan mempunyai impak yang luas terhadap rakyat Sabah".

Lebih megah? Saya hadir hampir semua majlis penyampaian HSS sejak tahun 1990 dan saya berani mengatakan bahawa majlis kali ini agak luar biasa kerana berbanding tahun-tahun sebelumnya, majlis ini tak ada buku cenderamata yang memaparkan biodata pemenang HSS.

Benar bahawa kali ini penulis diarak masuk dengan bunga manggar tetapi mereka tidak pula diperkenalkan kepada hadirin seperti apa yang dilakukan ketika majlis penyampaian anugerah juara lagu.

Sayangnya, juara puisi atau juara cerpen atau novel atau esei kritikan pada kali ini tidak diperkenalkan biodata ringkas mereka malah tidak tercatat dalam buku cenderamata seperti tahun yang swudah-sudah.

Aroma hadiah sastera kali ini juga kurang harum kerana tidak diadakan semegah dan semeriah dahulu.Bajetnya barangkali kepepet tetapi kita masih melihat adanya perkara-perkara yang perlu dibaiki. Alangkah baiknya kalau ada persembahan lagu-lagu puisi, persembahan baca puisi yang menang pada tahun tahun sebelumnya,jika tak boleh baca puisi yang menang HSS kali ini, alangkah baiknya jika ada pembacaan fragmen novel atau baca cerpen, jadi mungkin tak perlu kita mengadakan persembahan tali gantung dan menyatakan kita dianiayai seperti persembahan yang diadakan pada malam itu kerana ia kurang relevan dalam majlis seperti itu. Mungkin persembahan itu boleh diterima kalau ia merupakan satu babak dalam tumpalak rundum, iaitu skrip drama pentas yang menang HSS.

Persembahan teater pada malam itu, biarpun menarik tetapi menjadi kurang menarik kerana penganjur hanya memikirkan pengisian majlis dan bukan bagaimana menjadikan majlis HSS sesuatu yang bermakna dan sempurna.

Entah kenapa HSS 2008/2009 diadakan majlis penyampaiannya iaitu empat hari sebelum tahun 2011.Mungkin panel yang arif tidak dapat memberi penilaian dan keputusan dalam satu tahun ataukah mereka hanya dapat bahan dari urusetia dalam waktu yang tidak memadai.

Jika HSS diadakan pada bulan April atau Mei atau Jun atau Ogos,atau katakanlah September sempena Hari Malaysia, atau selewatnya Oktober, barangkali majlis itu tidak akan kelihatan sebegitu kelam kabut dan seolah-olah terpaksa diadakan untuk menyenangkan hati penulis. Barangkali pemilihan waktu pada Disember boleh diawalkan lagi, jika tidak mahu berdepan risiko hujan, risiko kesesakan hujung tahun dan sebagainya.

Kita dapat memberikan pujian kerana kali ini gambar pemenang ditayangkan di slide ketika diumumkan sebagai penerima hadiah, walaupun tidak semua, tetapi mungkin lebih baik jika nanti ia dibuat dengan lebih elok lagi.

Hadiah Sastera Sabah 2008/2009 adalah majlis yang begitu bermakna buat penulis dan DBP sendiri. Seperti kata, Dato Termuzi, DBP akan terus menghargai peranan dan sumbangan penulis dan sasterawan. Tetapi pada masa yang sama, timbul juga pertanyaan mengapa HSS yang sepatutnya diadakan dengan meriah itu hampir kehilangan ikatan dengan penulis Sabah?

Ada penulis yang menyatakan mereka tidak tahu adanya majlis itu.Ada yang memberitahu mereka tidak dijemput, ada juga yang terkejut kerana tidak seperti tahun-tahun sebelumnya majlis penyampaian kali ini tidak diwarwarkan, tiada publisiti yang mencukupi malah masih terjadi `typing error' di saat-saat akhir sehingga Pengarah DBP Sabah Zubaidi Abas tidak menyebutkan nama pemenang genre cerpen pada malam itu pada ketika dia menyebut nama-nama pemenang yang lain.

Itulah sebahagian keriuhan yang tertinggal dalam diri ketika majlis itu berakhir. Masih ada orang-orang yang sedang sibuk dalam sesi bergambar sekadar tanda bahawa mereka pernah hadir dalam majlis yang paling berprestij untuk sastera sabah.

Majlis berprestij itu kehilangan prestijnya, lebih disebabkan oleh kurangnya perhatian dan komitmen kita sendiri.Tahniah buat pemenang, tahniah buat DBP dan tahniah kerana masih bersusahpayah menganjurkan HSS 2008/2009 ditengah-tengah kekurangan dana dan terpaksa pula `berpacu dengan waktu' untuk menjayakannya.

1 comments so far

ya tuan, benar - langsung tidak ada kenang-kenangan kepada tetamu lain seperti yang berlaku sebelumnya. Adik saya yang ikut saya, hanya makan, memandang dan mendengar... semasa adik saya mendaftar di luar dewan, ingatkan dia diberi semacam'kertas' yang menyatakan apa majlis itu, tetapi itu tidak terjadi... sebagai pemenang, tentu saya gembira tetapi saya kasihan dengan adik saya yang tak ada apa-apa 'ole-ole' untuk diperlihatkan kepada isterinya hehehe...maaf..saya tidak suka komen, saya hanay suka menyatakan apa yang ada dalam fikiran saya...selamat tahun baru 2011... Raymond majumah.