Sunday, December 12, 2010

catatan selepas menonton tarian parinang

Kehidupan sesebuah masyarakat mungkin boleh digambarkan dengan baik melalui tarian yang dicipta berdasarkan budaya dan kehidupan seharian masyarakat itu, begitulah kesan saya ketika menonton Tarian Parinang yang ditarikan penari-penari Lembaga Kebudayaan Sabah. Tarian Parinang itu berupaya menggambarkan kehidupan seharian sukubangsa Iranun, sebagai petani dan nelayan manakala kaum wanita mereka menjadi penenun yang kreatif. Saya agak kagum dan berterima kasih kepada Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS) dibawah pentadbiran pengurus besarnya, Datu Rosmadi Datu Sulai yang mengambil inisiatif untuk mempopularkan tarian parinang ini. Usaha-usaha sebegini wajar diteruskan kerana ia dapat memperkaya dan memperkukuhkan khazanah kesenian tradisi kita.
Sukubangsa Iranun, yang jumlahnya dianggarkan 25,000 orang di seluruh Sabah meliputi 22 kampung di Kota Belud, tiga di Tungku,satu di Kudat dan sebilangan lagi di Likas dan Inanam merupakan etnik minoriti di negeri ini walaupun bangsa Iranun mempunyai peranan penting dalam sejarah menentang penjajah ratusan tahun yang lampau.
Sungguh demikian, benarlah kata peribahasa` Luya su sasatiman, katumbar su madakel', bagi menggambarkan walaupun sedikit, Iranun mempunyai sumbangan besar dalam sejarah negeri kita.
gambar ehsan Hasyuda Abadi

No comments: