Saturday, December 25, 2010

Dongeng Datu Matundun,Makil dan Bainili

Kebijaksanaan,perjuangan, survival, tipu muslihat atau dalam bahasa sekarang strategi dapat dipelajari dengan baik jika kita meneliti dan menghayati cerita mengenai Datu Matundun, Makil dan Bainili.

Datu Matundun adalah raja segala monyet, Makil seorang petani dan isterinya Bainili yang cantik rupawan dikisahkan bertanam tebu dan jagung sebagai sumber penghidupan mereka.

Dalam dongeng atau Iringa' Iranun yang terkenal itu,Makil dan Bainili diceritakan selalu saja ditimpa kesedihan kerana tanam-tanaman mereka sering dirosakkan dan dimusnahkan monyet-monyet yang berkeliaran di pinggir hutan. Sebaik melihat Makil dan Bainili bertanam jagung, dan ketika buahnya hampir masak, datanglah gerombolan monyet itu untuk memakan seterusnya menghabiskan tanaman pasangan suami isteri itu.

Setiap kali menanam, setiap kali monyet menyerang tanaman mereka.Kerana jumlahnya banyak, mereka tak dapat melawan, apatahlagi monyet-monyet itu mempunyai seorang raja bernama Datu Matundun.Ia sangat ditakuti, disegani oleh rakyatnya.

Kerana tidak tahan dengan perlakuan monyet-monyet yang tidak bertimbangrasa itu, berpakatlah mereka mencari kaedah untuk mengusir monyet-monyet itu, bahkan kalau perlu, membunuh mereka supaya tidak lagi mengacau tanam-tanaman.

Syahdan, maka Makil dan Bainili beroleh akal. Apa akal? Mereka berpakat untuk mengelabui monyet-monyet itu dengan meminta Makil pura-pura mati, dan Bainili pura-pura sedih dan menangis.

Pada mulanya tangisan Bainili itu tidak dipedulikan kawanan monyet itu.Tetapi apabila semakin lama, raungan tangis Bainili semakin menghiba, maka datanglah mereka bertanya apa yang sudah terjadi.

Tidak lain dari Datu Matundun sendiri yang datang untuk menyelidik perkara itu setelah mendengar ratap tangis itu, apatah lagi, Datu Matundun menyimpan hati dan jatuh cinta kepada Bainili, isteri Makil yang jelita itu.

"Kenapa adinda bersedih dan menghiba seperti ini?" Begitulah kira-kira pertanyaan Datu Matundun. Pertanyaan itu dijawab Bainili dengan tangisan. Tetapi kemudian dicelah-celah tangisnya itu, dia berkata "Uda' matai si Makil, mapia i mokmok, mamis i ka pagadad"
Kalaulah Makil tidak mati, dia seorang yang baik pekerti dan tanam-tanaman semua menjadi. Mamis i ka pagadad, boleh dihubungkan dengan tebu yang manis atau tanaman tebu yang tumbuh manis dan sedap pula.

Datu Matundun memujuk supaya janganlah Bainili bersedih ada, kerana dia bersedia menjadi pengganti.Seperti yang dirancang, Bainili bersetuju. Makil yang ketika itu berpura-pura mati hampir saja tidak dapat menahan hati mendengar pengakuan Bainili itu.Dia melirik kepada anjing-anjingnya yang telah disembunyikan terlebih dahulu dalam peti agar ia boleh menerkam Datu Matundun dan pengikut-pengikutnya.

Mendengar persetujuan Bainili itu, Datu Matundun tersangatlah gembira.Tidak terasa bahawa betapa mudah mendapatkan Bainili si jelita.Malam itu mereka berpesta. Semua pengikutnya menjamu selera kecuali seekor monyet yang bunting tidak bernama yang hanya bersandar di pintu rumah.

Datu Matundun sangat yakin dengan ketampanan dirinya. Kegagahan dan keberanian yang sukar ditandingi ketika itu.Dia pernah bercermin di jernih telaga, menatap wajahnya. Dia berkata"

uda' su tandungku
kamalayuan makau
uda' su burungusan
kasulugan kumulang
ka magindanaon aku

Dalam bayuk yang dituturkan semula OKK Haji Masrin Haji Hassin berkisah bahawa kononnya Datu Matundun berkata kalau bukan kerana tandung atau jambulnyanya, dia boleh melanglang hingga ke Semenanjung Tanah Melayu mahupun negeri Cina iaitu Macao.Uda su tandungku,Kamalayuan Makau bermaksud jika bukan kerana jambulnya beliau boleh merantau hingga tanah semenanjung atau negeri- negeri Melayu dan Macao, di negeri Cina yang ketika maju.
Uda Su Burungusan, kasulugan Kumulang, ka magindanaon aku.Kalau bukan kerana wajahnya yang dipenuhi bulu, sudah tentulah ia boleh pergi ke negeri Sulu dan Magindanao.

Dalam versi lain, disebutkan bahawa Datu Matundun berkata kalau bukan kerana jambulnya, ia boleh menjadi datu atau ketua di Brunei dan kalau bukan kerana wajah berbulunya itu, dia boleh jadi ketua di Magindanao.

u kena su tandunganku
mikindatu burunai aku
u kena su burungusanku
mikimangindanao aku.

Walau demikian, Datu Matundun tetap inginkan Bainili. Menurut cerita, kononnya ketika berahinya tidak dapat ditahan lagi, beliau mengejar Bainili, yang berlari lari pula berkeliling rumah.Makil yang sudah tidak boleh lagi bertoleransi melihat skenario itu,akhirnya bingkas lalu menendang tutup peti dan melepaskan anjing-anjingnya, yang terus saja menerkam, lalu menggigit dan membunuh Datu Matundun dengan segala pengikutnya. Hanya sesekor yang dapat lari, iaitu monyet yang hamil tua yang tadinya sedang duduk dipintu.

Kisah dongengnya ini sebenarnya panjang dan dramatik.Tetapi sekadar memperlihatkan betapa kerakusan, juga ketamakan boleh dikalahkan.Betapa si lemah, dalam hal ini, Makil dan Bainili juga boleh menang dalam pertarungan kerana mereka menggunakan strategi. Strategi boleh digunakan untuk mengalahkan kerakusan kuasa dan tamak haloba Datu Matundun, yang masih tidak dapat menyembunyikan kesukaan kepada perempuan cantik walaupun menyedari dirinya hanyalah seekor monyet.

Namun begitu, walaupun Datu Matundun Raja Monyet, dia mengatakan bahawa kalau bukan kerana kudrat dan ketentuan yang diberikan padanya, ia boleh saja menakluk benua, meskipun sampai ke Kamalayuan Makau-negeri melayu dan makau atau kasulugan kumulang, ka magindanaon aku-ke negeri sulu atau kalau dalam versi lain, kalau bukan kerana keterbatasan, Datu matundun juga boleh menjadi ketua di Brunei, yang masa itu pusat ketamadunan di Borneo.

Datu Matundun menyedari siapa dirinya.Tetapi bila teringatkan si Bainili, si cantik rupawan, dia lupa diri.Kerana itu, ia dapat dikalahkan tipu muslihat, dikalahkan strategi dan kebijaksanaan Makil dan isterinya, yang menurut sahibul hikayat,hidup makmur dan damai selepas itu.

No comments: