Friday, December 3, 2010

PANDIKAR KUKUHKAN HUBUNGAN MALAYSIA-FILIPINA



PANDIKAR PERKUKUH HUBUNGAN MALAYSIA-FILIPINA
-Sekitar lawatan kerja Yang Di Pertua Dewan Rakyat ke Manila dan Cotabato City
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

SETIBANYA di Bangunan House Of Representatives di Kompleks Batasan, Quezon City, Filipina Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia disambut dengan penuh istiadat kehormatan. Pegawai-pegawai dan anggota kongres berbaris ketika Pandikar diiringi masuk selepas membalas tabik hormat daripada barisan kawalan kehormatan yang telah bersiap sedia menunggu ketibaan Speaker Parlimen Malaysia itu.
Kunjungan hormat kepada Speaker Dewan Perwakilan Filipina, Feliciano Belmonte adalah acara pertama yang tertera dalam jadual lawatan kerja rasmi beliau ke negara Filipina pada 17 hingga 20 November lepas. Pandikar yang diiringi isteri, Puan Seri Datin Seri Panglima Hadijah Teng Abdullah, Setiausaha Sulit Kanan, Ali Zulfakar Zainal Abidin, Pegawai Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa dan Protokol Parlimen Malaysia, Puan Lavinia Vyveganathan dan 30 anggota rombongan berada di Manila dalam perjalanan untuk menghadiri Sambutan Ulang Tahun ke 21, Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) di Cotabato City.
Di bangunan kongres itu, Pandikar telah beramah mesra dan bertukar pandangan dengan anggota-anggota kongres Filipina terutama anggota-anggota kongres dari Mindanao, Sulu dan Tawi Tawi. Selepas itu, beliau telah dijemput ke ruang pejabat Speaker Belmonte untuk menikmati jamuan ringan. Di ruang pejabat yang penuh bersejarah itu, mereka berbicara secara lebih informal. Perbincangan bermula dari usaha-usaha mengukuhkan hubungan bilateral antara Malaysia dan Filipina, mengenai keterkaitan sejarah antara kedua negara sahabat hinggalah cerita mengenai durian.
Pandikar berkata, durian merupakan raja buah di Malaysia sehingga terdapat acara khusus untuk menjamu anggota parlimen dengan buah durian setiap kali tibanya musim durian. Diplomasi durian itu ternyata mampu merapatkan hubungan antara anggota-anggota parlimen dari parti memerintah dan ahli-ahli parlimen pembangkang. Belmonte pula menceritakan pengalaman berkunjung ke Kota Kinabalu sewaktu ia masih bernama Jeselton pada tahun 1972.
Pandikar mempelawa Speaker Kongres Filipina itu untuk melawat Malaysia, untuk mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin antara kedua negara. Speaker Belmonte seorang yang budiman dan romantis dan penyayang, yang dapat dilihat dari gambar-gambar yang tergantung di dinding pejabatnya. Ada gambar keluarganya dan empat gambar lain yang kesemuanya menunjukkan seorang ibu yang pengasih sedang memangku anaknya yang masih kecil.
Selepas itu, Ahli Kongres Nur Jaafar telah mengiringi Pandikar ke ruang Sidang Kongres, dan beliau diberi tepukan gemuruh sebaik diperkenalkan kepada anggota dewan. Beliau telah ditemui oleh Hon. Pangalian M.Balindong, dan Hon.Ahmad Tomawis. Malah mantan Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo juga datang untuk bersalaman dengan Tan Sri Pandikar.
"Kalau Manny Pacquaio ada, mungkin kita boleh jumpa," kata pegawai pengiring kami, memberitahu mengenai ahli kongres dari Sarangani yang baru saja menang gelaran tinju dunia, yang kelapan baginya, di Amerika Syarikat.
Hari kedua kami di Manila, sebuah acara sambutan telah diadakan di kediaman seorang tokoh Islam di Manila, Sultan Abd.Ghani Batua. Delegasi Malaysia telah dijamu dengan makanan khas Islam Filipina yang menyelerakan termasuklah kari kepala kambing, yang khabarnya paling popular di sana.
Keesokan harinya, rombongan berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino untuk meneruskan lawatan kerja rasmi ke Cotabato City. Selepas turun dari pesawat Cebu Pasific, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia diberi kalungan bunga sebelum memeriksa kawalan kehormatan tentera ARMM. Selain isterinya, Puan Seri Hadijah Teng Abdullah, turut serta dalam rombongan itu ialah Duta Besar Malaysia Ke Filipina, Dato Seri Dr.Ibrahim Saad.
Selepas menunaikan solat Jumaat di Blue Mosque, rombongan Malaysia telah dijamu makan tengahari di sebuah restoran terkemuka di Cotabato City. Kira-kira jam 4.00 petang, Pandikar telah menyampaikan ucapan yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat Islam di sana di Pusat Kebudayaan Sharif Kabungsuan. Beliau yang menjadi tetamu kehormat pada majlis Sambutan Ulang Tahun ke-21 ARMM telah dijemput oleh Pemangku Gubernur ARMM, Ansaruddin Alonto Adiong dan diperkenalkan kepada hadirin oleh Setiuasaha Eksekutif ARMM, Atty Naquib Sinarimbo.
Pada sebelah malamnya, delegasi Malaysia telah diraikan dalam acara makan malam dengan tradisi `pagana' yang berisi pelbagai juadah yang menyelerakan. Majlis juga diserikan dengan persembahan bayuk oleh artis budaya terkenal di Mindanao, termasuklah penyanyi Putri Erlynda yang agak popular ketika ini.
Sebelum meninggalkan Mindanao pada tengahari Sabtu 20 November, Tan Sri Pandikar sempat berkunjung ke Pejabat Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) di Cotabato City. Beliau telah diberi taklimat mengenai situasi masyarakat Islam di Mindanao oleh Mejar Jeneral Dato' Baharom Hamzah, yang mengetahui IMT di sana.
Delegasi Malaysia meninggalkan Cotabato City pada sebelah tengahari dan tiba semula di Manila kira-kira jam 2.00 petang. Selepas check in semula di Hotel Ascott Makati, anggota rombongan bersiap siap untuk menghadiri majlis makan malam yang diberikan oleh Duta Besar Malaysia ke Filipina, Dato Seri Dr.Ibrahim Saad dikediamannya di Makati.
Tak ada ucapan perpisahan pada majlis makan malam itu. Semuanya menikmati juadah yang disediakan dan pelbagai resipi yang menyelerakan. Perasaan serta merta berubah seperti berada di negara sendiri ketika berada di kediaman duta besar itu. Banyak pengalaman yang terpahat dalam ingatan setiap anggota rombongan dari Malaysia itu. Kini terasa benar ungkapan hujan emas di negeri orang, yang boleh dilanjutkan dengan kata kata antara negara orang dengan negara sendiri, betapa berbeza.
Kerana ada perbezaan, kita dapat mengenali makna kesaksamaan.Kerana ada perbezaan, kehidupan bertambah warna warninya dan jika kita dapat saling mengenali, kita dapat mengukuhkan hubungan persahabatan antara dua negara yang berjiran.

*gambar ihsan Sdr Kamal Norfarid Kamarudin, Konsul Malaysia di Davao City

No comments: