Sunday, December 26, 2010

Pengumuman Hadiah Sastera Sabah 2008/2009


KOTA KINABALU: Dua cerpen dan tiga puisi yang tersiar dalam akhbar Utusan Borneo terpilih sebagai antara 13 harya yang memenangi Hadiah Sastera Sabah 2008/2009 yang diumumkan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah, Zubaidi Abas, petang ini.

Cerpen `Sebuah Cerita di Aidil Fitri' karya Aliuddin Mohd.Salleh yang tersiar dalam Utusan Borneo 29 Disember 2008, dan cerpen `Kerana Harmon' karya Ruhaini Matdarin yang tersiar dalam Utusan Borneo 24 April 2008 adalah antara lima cerpen yang terpilih daripada lebih 300 cerpen yang dinilai untuk hadiah sastera itu.

Cerpen-cerpen lain yang turut menang ialah Mutiara karya Pena Alam atau nama sebenarnya Rita Robert Rwantas yang tersiar dalam majalah Wadah Disember 2009, Kemboja Di Pusara karya Juri Durabi yang tersiar dalam Jendela Sabah Disember 2009, dan Ain karya Sitti Rahmah G.Ibrahim yang tersiar dalam Wadah September 2009.

Sementara itu, puisi bertajuk `Kupu-Kupu Laut" karya Pena Alam yang tersiar di Utusan Borneo 17 Mei 2009, Sebuah Gambar karya Mabulmaddin Shaiddin yang tersiar dalam Utusan Borneo 8 Januari 2009 dan puisi Hasnah Anjam bertajuk Padamu Tanah Terbilang, Inilah Sajak Penghormatan yang tersiar dalam Utusan Borneo pada 7 Julai 2008 turut terpilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Sabah bagi genre puisi.

Puisi-puisi lain yang menang ialah puisi bertajuk `Syukur Merdeka" karya Mohd.Zain Assoh yang tersiar dalam Wadah September 2009 dan Resah Puisi karya Abdul Manaf Kamaruddin yang tersiar dalam Harian Ekspress 15 Jun 2008.

Karya puisi itu dipilih daripada sejumlah 1,267 puisi iaitu 653 bagi tahun 2008 dan 614 puisi bagi tahun 2009 yang tersiar dalam pelbagai media tanahair.

Bagi genre Novel, penulis Ismail Haji Salleh menang melalui novel Iradat yang terbitan DBP 2008 manakala bagi genre drama, skrip Tumpalak Rundum karya Abd.Karim Gullam dan Nurul Syafiqah Abdullah terpilih sebagai penerima hadiah mengalahkan 10 skrip drama pentas yang dinilai.

Genre Esei Kritikan pula dimenangi Raymond Majumah melalui esi bertajuk Integrasi Sosial dalam Karya Kreatif Sabah yang tersiar dalam Jendela Sabah April 2008. Esei ini dipilih daripada 63 buah esei kritikan yang dinilai sepanjang 2008/2009.

Hadiah Sastera Sabah diadakan sejak tahun 1990 merupakan salah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan para penulis Sabah khususnya dalam penghasilan karya yang baik dan bermutu.

Majlis penyampaian Hadiah Sastera Sabah 2008/2009 akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Abdullah di dewan Besar DBP Sabah bermula jam 7.30 malam esok-27 Disember 2010.

No comments: