Sunday, December 19, 2010

terpaksa mendarat di Kampung Baru-Baru


Helikopter terpaksa membuat pendaratan cemas di Kampung Baru-Baru Tuaran akibat cuaca buruk. Kami dalam perjalanan pulang dari Kampung Rosob Pitas. Datuk Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pengangkutan terpaksa pulang ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Dewan Negara.
Kerana itu, kami terpaksa berangkat lebih awal dari Pitas.Jam 1.00 petang kami terpaksa terbang dan mendapat tahu dari Kapten Ridzwan, di Kota Belud sedang turun hujan. Bagaimanapun, kami perlu pulang ke ibu negeri kerana flight Datuk Rahim jam 5.30 petang.
Namun kita hanya boleh merancang, Tuhanlah yang menentukan bahawa kami terpaksa mendarat cemas di kawasan lapang berdekatan masjid Al Falah kira-kira 45 minit kemudian.
Hujan turun dengan lebat, tetapi menurut kapten, angin kuat bertiup menolak heli ke atas. Itu yang bahaya, katanya.
Selepas mendarat, Haji Sairin menghubungi sanak saudaranya. Kemudian seorang pemuda, Wadi anak Haji Suhaili bin Haji Jawak bin Panglima Ali, mengambil kami seterusnya menghantar kami ke Kelawat, bagi menunggu Tuan Mahmud, Pengarah JPA yang kebetulan sedang dalam perjalanan pulang dengan kereta.
Kami terpaksa meninggalkan Asmat, jurugambar RTM bersama Kapten sementara kami memilih berkereta ke Kelawat. Saya kebetulan sudah berjanji untuk hadir membuat liputan ke Majlis Seminar Motivasi anjuran Ko-Nusantara.
Saya menelefon isteri, yang agak bimbang juga kerana saya menaiki heli itu, tapi sudah menjadi tugas kami sebagai wartawan yang siap sedia membuat liputan walau kemana saja yang diarahkan dan diminta.
Pengalaman pendaratan cemas ini merupakan pengalaman kedua, setelah yang pertama dulu terpaksa mendarat di padang Kota Belud, juga kerana cuaca yang buruk.
Tapi saya pasti,Insya Allah, hari depan pasti cerah.

No comments: