Sunday, March 28, 2010

Catatan di Kampung Telaga 2

Anak-anak yang berkerumun itu barangkali teruja melihat helikopter itu tiba-tiba saja mendarat di Padang Kampung Telaga, sebuah kampung yang jauh terpencil di daerah Pitas.Saya pula merasa begitu teruja kerana buat pertama kalinya menginjakkan kaki ke tempat asal leluhur saya.
Saya sangat berterima kasih kepada Datuk Haji Abdul Rahim Bakri yang juga Ahli Parlimen Kudat yang mengajak saya membuat liputan program lawatannya di kanibongan dan Telaga. Walaupun sudah lama menyimpan niat ke kampung Telaga, tapi saya tidak pernah membayangkan akan sampai secepat itu.
Beberapa kali memang ada rancangan ke Telaga, tapi perancangan tinggal perancangan apabila kehidupan ini dihambat kesibukan kesibukan..

Petang itu hari cerah. Datuk Rahim yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan diberi sambutan agak meriah, apatah lagi ramai orang di kampung itu merupakan kaum kerabatnya juga.
Salah satu keistimewaan Datuk Rahim ialah kerana kebersahajaannya. Rajin menyapa warga kampung, bertanya khabar mereka.

Beliau sempat bergambar dengan AJK Majlis Bersama Rakyat (MBR) Kampung Telaga sebelum berangkat pulang ke Kota Kinabalu.









Catatan di Kampung Telaga

Sebelum ini memang saya menyimpan hasrat untuk berkunjung ke kampung Telaga Pitas, kampung leluhur nenek perempuan saya sebelah ibu yang bernama Bai Rupiah @ Piang bte Datu Tating @ Datu Ating @ Datu Taing @ Datu Mohd.Tahir. Moyang saya itu terpaksa berpindah randah kerana merupakan penentang penjajah dan kerana itu, sama seperti pejuang-pejuang lain dikenali dengan pelbagai nama.
Beliau mempunyai seorang sepupu bernama Imam Maning di Kampung Telaga itu. saya masih ingat arwah pakcik saya, Haji Rakunman menyebut nama-nama seperti Dayang saluh, dayang Talu sebagai keluarganya. Nenek saya itu, sepupu dua kali dengan Tun Mustapha, menurut cerita yang saya dengar dari orang-orang tua.
Salah seorang pakcik saya diberi nama `Maning' sempena nama Imam Maning supaya susur galur keluarganya tidak hilang.
Jika sampai ke Kampung Telaga, sebut saja nama Imam Maning dan semua orang pasti tahu, katanya.
Saya tidak pernah membayangkan akan samapi ke Telaga naik helikopter. Saya bersyukur kerana sewaktu bersembang-sembang dengan penduduk kampung , saya berkenalan dengan Abd.Gafar Ajak, penduduk kampung Telaga yang mengaku masih anak cucu Imam Maning. Beliau merupakan menantu Apa Anggar, orang Iranun dari Kota Belud, dan masih kenal ramai ipar-iparnya di KB termasuk Haji Aturan, Haji Ekin, arwah Indagan dan Rendaan.
Katanya, antara cucu Imam Maning itu ialah Abdul Rahman Haji Jainal yang duduk di sebelah saya. Saya meminta nombor telefon tetapi tidak sempat memperkenalkan diri.
Saya sempat mengambil gambar kenang-kenangan bersama mereka. Saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk berkenalan dengan kaum kerabat ketika menyertai lawatan bersama Datuk Rahim Bakri ke Kanibongan dan Telaga, jauh di Pitas.

Saturday, March 27, 2010

Catatan di Kanibongan i


Saya tidak menyangka dapat berjumpa dengan saudara Mokuji Maturon di Kanibongan. Makuji atau Maskuji memang seorang tokoh teater Sabah yang tidak asing lagi, malah skripnya pernah menang di peringkat kebangsaan. Maskuji tidak syak lagi telah memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan teater di negeri ini.
Tetapi pertemuan kami di SMK Kanibongan itu merupakan satu peristiwa bersejarah juga kerana saya dapat bertemu beliau di kampungnya sendiri. Makuji merupakan Yang Di Pertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SMK Kanibongan, Pitas yang boleh dihubungi dengan menempuh jarak selama tiga jam menggunakan kereta.
Makuji berkata SMK Kanibongan merupakan sekolah yang paling lama menumpang di Malaysia.Oleh sebab itu, beliau mahukan supaya kerajaan dapat membina bangunan kekal dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

sekadar catatan ketika singgah di Pitas



Kami singgah sebentar di Pitas untuk mengisi minyak dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu.
Sebelum berangkat pulang, kami sempat mengabadikan gambar kenangan. Jarang ada peluang sebegini. Di kiri sekali, saya sendiri.
Di sebelah saya ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Haji Abdul Rahim Bakri yang juga Ahli Parlimen Kudat yang membawa kami melawat Kanibongan dan Telaga di Pitas pada hari itu. Yazeer Mahmun, rakan dari TV3 yang memiliki banyak pengalaman membuat liputan sama ada di dalam atau di luar negeri. Dua dari kanan, Kapten Azim Mustapha yang mempunyai rekod lebih 10,000 jam penerbangan dan kanan sekali, Mahmud Haji Amat Shah, Pengarah JPA Wilayah 11. Orang yang sudi merakamkan gambar kami ini, ialah Mohd.Sairin Mohd.Ibrahim, Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri.
Perjalanan itu memang sangat mengesankan. Sepanjang perjalanan itu saya menikmati kecantikan alam negeri kita dari udara.

Catatan di Kanibongan 2




Saya belum mandi ketika mendapat panggilan daripada Saudara Mohd.Sairin pagi itu. Mesejnya ringkas. Katanya, Datuk mengajak saya untuk melawat ke Kanibongan.
"Bila?"
"Hari ini, jam 10.00 pagi"
"Bila balik?"
"petang ini, jam 3.00" katanya.
"Bagaimana kita kesana"
"Naik heli" katanya.
Saya menjawab okey. Saya berfikir peluang seperti itu, jarang diperolehi. Apatahlagi, saya fikir itulah pertama kali saudara Sairin menelefon saya.Sebelum ini, saya hanya tahu namanya sebagai seorang pegawai kanan di Pos Malaysia.
Selesai mandi saya terus bergegas ke KK dan dari sana naik teksi ke Tanjung Aru. Saudara Sairin sudah menunggu di pintu Sabah Air. Ketika melangkah masuk, barulah saya ketahui bahawa Datuk yang mengajak saya ke kanibongan dan Telaga itu rupanya Datuk Haji Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Kudat. Kami sudah lama kenal iaitu sejak beliau belum menceburkan diri dalam politik. Dan satu yang amat saya salut beliau ini, ialah beliau tidak pernah lupakan kawan.
Saudara Yazeer TV3 juga ada, dan gembira juga kerana saya boleh membantunya memegang mikrofon ketika interview nanti. Selain itu, ada saudara Mahmud, pengarah JPA wilayah II.
Kami sempat bercerita mengenai susurgalur keluarga dengan Saudara Sairin, yang apabila mengetahui saya dari Kota Belud, terus menyebut nama Laliman, yang juga salah seorang warisnya.
Saudara Sairin memberitahu saya bahawa nombor telefon saya diperolehinya daripada Azrone yang tidak dapat ikut kerana ke Keningau.
Jam 10.00 lebih sikit, kami berangkat dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu menuju kanibongan. saya lupa melihat jam tangan saya tetapi jam 10.38 pagi, kami sudah berada di atas kampung Rampayan pada hari sabtu 27 Mac itu. Sebelumnya saya cuba memandang ke bawah melihat hamparan sawah padi. Juga saya sempat melihat tanah kering, bukit yang gondol, hutan-hutan, ladang kelapa sawit dan saya terasa betapa indahnya pemandangan.
Kami tiba di Kanibongan tepat jam 11.10 pagi.Cuaca amat baik di sepanjang perjalanan itu. Saya mengambil kesempatan untuk bergambar kenang-kenangan sebaik turun dari Helikopter Sabah Air.

catatan di kanibongan 3






Sebaik tiba di padang sekolah itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Haji Abdul Rahim Bakri diberi sambutan meriah. Persembahan tarian Mongigol, tarian tradisi suku kaum Rungus ditarikan anak-anak sekolah. SMK Kanibongan memang agak jauh tempatnya, dan kehadiran Datuk Rahim yang juga Ahli Parlimen Kudat amat menggembirakan penduduk Kanibongan, Pitas.
Saya sempat mengabadikan gambar di sekolah itu. Pelajar-pelajarnya baik dan setiap kali berselisih mengucapkan selamat pagi kepada saya, tamu yang sebenarnya baru pertama kali memijakkan kaki ke sekolah itu.

Wednesday, March 24, 2010

tetombol nu suang moyoh,tapi nya tetombol nu bua jomo

Tetombol nu suang moyoh tapi nya tetombol nu bua jomo
Sungai besar dapat ditutup tapi mulut orang tak dapat ditutup.
Peribahasa ini membuktikan `suang' atau sungai mempunyai kaitan erat dengan masyarakat bajau. Sungai dianggap sumber kehidupan yang sangat penting. Sungai merupakan sumber air yang utama, bukan saja untuk minum, mencuci pakaian dan mandi-mandi bahkan sungai menjadi tempat mencari rezeki, memancing ikan, memasang bubu dan sebagainya.
Suku kaum Bajau yang kebanyakannya masyarakat agraria, adalah golongan petani yang memiliki sawah yang luas untuk mereka bertanam padi. Tanaman padi memang memerlukan sistem pengairan yang baik, dan sumber air yang utama, ialah sungai.
Dari sungailah mereka dapat menangkap ikan, seperti ikan serawi, tilapia, korok dan sebagainya untuk sumber makanan mereka.
Menurut sudut pandangan masyarakat Bajau, sungai yang menempat kedudukan penting dalam sistem kehidupan mereka itu, boleh diempang , dialihkan alirannnya untuk tujuan tertentu.
Kelahiran peribahasa tetombolnu suang moyoh tapi nya tetombol nu bua jomo, mungkin berdasarkan pemerhatian mereka terhadap sistem aliran sungai itu.
Bagi mereka sungai yang besar pun boleh ditutup tetapi mulut manusia sebaliknya tidak dapat ditutup dengan mudah.
Sungai yang begitu besar pun masih kalah besar dengan mulut orang. Mulut orang lebih besar daripada sungai yang besar kerana sementara sungai besar dapat ditutup atau dihentikan alirannya, mulut manusia tidak dapat ditutup, mungkin kerana besarnya atau kuatnya aliran kata-kata pujian dan makian, kata-kata fitnah atau umpatan, dan pelbagai lagi jenis kata yang mengalir deras dari mulut orang, yang boleh membawa kebaikan sekaligus keburukan.

Tuesday, March 23, 2010

Soal plus minus dan makaminus

Kehidupan selalu merupakan perkiraan plus minus. Campur tolak atau untung rugi adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan terutamanya bagi mereka yang berkecimpung dalam perniagaan. Bukan itu saja, sesuatu langkah atau tindakan selalu dihubungkan dengan perkiraan plus minus ini.

Memang ada juga orang yang membina perhubungan atau pertemanan berdasarkan plus minus ini. Bahkan kita juga tidak terlepas daripada memeriksa kehidupan ini dengan melihat plus minus sebagai natijah daripada segala apa yang telah kita laksanakan sebelumnya.

Saya sengaja menyebut plus minus ini setelah teringat satu perkataan Iranun yang diucapkan oleh abang sepupu saya, Amai Adlan iaitu makaminus.

Dalam bahasa Iranun, makaminus merujuk kepada perbuatan yang merugikan hingga membawa kerugian harta benda. Nyakaminus pula membawa maksud membawa kerugian yang tidak disengajakan.

Jadi dalam bahasa Iranun juga, makaminus atau nyakaminus juga memiliki unsur tolak-. Makaminus, boleh juga diertikan sebagai boleh membawa kemuflisan. Atau menghabiskan harta hingga papa kedana.

Perkara yang menjadi perhatian saya ialah sejak bilakah bahasa Iranun menggunakan perkataan makaminus atau nyakaminus ini kerana seingat saya ia sudah lama digunakan oleh orang Iranun sejak lama dahulu, walaupun saya tidak menafikan bahawa ia semakin jarang digunakan generasi muda Iranun sekarang.Malah mungkin mereka tidak lagi memahami makna perkataan itu.

Apakah perkataan makaminus atau nyakaminus mempunyai kaitan dengan soal plus minus ini. Cuma perkataan minus tidak memiliki makna dalam bahasa Iranun kecuali jika ia menerima imbuhan maka atau nyaka. Maka (akan berlaku) nyaka (telah berlaku ).

Persoalan ini amat menarik untuk dikaji, bukan saja dari aspek kajian bahasa tetapi merangkumi bidang kehidupan yang lain kerana makaminus amat erat hubungannya dengan plus minus.

Sunday, March 21, 2010

Antara skru dan jentera, nasib golongan pekerja di Sabah

Skru mungkin benda yang kecil tetapi tanpa skru , sebuah jentera mustahil dapat digerakkan. Jika kekurangan skru, jentera tidak dapat berfungsi seperti yang dikehendaki. Walaupun golongan pekerja boleh diumpamakan sebagai skru yang teramat penting untuk menggerakkan jentera, tetapi skru dan pekerja merupakan dua perkara yang berbeza. Skru adalah benda yang kaku-dan bisu-, manakala pekerja lahir bersama jiwa, akal dan perasaan.

Majikan yang baik, sudah pasti memiliki seni mengurus dan mentadbir perasaan pekerjanya. Jika mereka gagal mengurus perasaan pekerja, mereka tidak akan ambil tahu mengenai keperluan dan hak hak pekerja. Oleh sebab itu, ada majikan memperlakukan pekerja mereka seperti jentera. Mereka tidak peduli mengenai kebajikan dan kesejahteraan pekerja mereka sebaliknya meminta pekerja memberikan komitmen sepenuhnya kepada kerja mereka.

Hak-hak pekerja seringkali diabaikan, kadang sengaja dilupakan oleh majikan mereka. Terdapat pekerja yang dibayar gaji yang rendah dan tidak setimpal, ada pekerja yang dinafikan untuk mendapatkan elaun kerja lebih masa, terdapat pekerja yang tidak dinaikkan pangkat, bahkan ada pula yang mengadu peluang kerja yang sepatutnya mereka miliki diberikan kepada orang lain.

Perkara-perkara seperti inilah yang dibincangkan dalam majlis pertemuan wakil-wakil Kesatuan Sekerja iaitu CEUPACS, MTUC dan ahli-ahli badan gabungan mereka dengan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Dato' Siva Subramaniam.

Antara perkara yang dibangkitkan dalam pertemuan di Tingkat 8, Centre Point itu ialah masalah elaun kerja lebih masa yang tidak dibayar kepada pekerja yang berhak menerimanya. Seperti yang dikemukakan Kesatuan Pekerja JPJ, terdapat kakitangan yang tidak diberi elaun dengan alasan berkhidmat kurang 8 jam. Bahkan ada diantara mereka terpaksa menggunakan kereta sendiri untuk bertugas tetapi mereka tidak mendapat kemudahan untuk membuat tuntutan dan sebagainya.

Selain itu, terdapat juga aduan mengenai peluang-peluang pekerjaan yang sepatutnya diberikan kepada rakyat Sabah tetapi diberikan kepada orang lain. Malahan jawatan setaraf pembantu tadbir N17 diberikan kepada orang-orang dari luar Sabah. Kesatuan meminta supaya perkara itu dapat dilihat oleh Siva memandangkan hakikat itu sukar diterima. Jika jawatan pegawai tinggi, atau jawatahn berbentuk kepakaran didatangkan dari Semenanjung, ia boleh diterima tetapi `takkanlah jawatan keranipun, rakyat Sabah tidak layak menjawatnya".

Isu berkaitan elaun perumahan yang tidak seimbang juga dibangkitkan. Jika seorang kakitangan N17 dari Sabah dipindahkan ke Semenanjung, mereka hanya layak mendapat elaun sebanyak RM630 sebulan berbanding dengan jika kakitangan N17 dari Semenanjung, dipindahkan ke Sabah mereka layak menerima jumlah yang lebih tinggi iaitu RM830 sebulan.

Situasi ini memang menimbulkan ketidakseimbangan.Kerajaan perlu mengkaji dan menawarkan solusi yang boleh diterima oleh kakitangan kerajaan di negara ini.

Dato' Siva menganggap isu-isu ini agak kritikal dan perlu ditangani. Presiden Kesatuan Sekerja Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datu Masdan Nurasin pula membangkitkan masalah berkaitan semakan gaji selepas pelabuhan-pelabuahn Sabah diswastakan.

Menurut Datu Masdan, semakan gaji itu sepatutnya dibuat selepas 6 bulan penswastaan tetapi kini, ia masih belum disemak selepas 5 tahun Pelabuhan sabah diwastakan.

Dibangkitkan juga mengenai jumlah cuti tahunan yang dikatakan berkurang selepas diswastakan, padahal ketika perjanjian, pekerja dijanjikan akan menikmati kemudahan yang tidak kurang baiknya daripada sebelum ia diswastakan.

Implikasi penswastaan kepada pekerja ternyata membebankan mereka. Kami Ibarat kucing yang disimpan dalam karung allu dibuang ke dalam sungai, kata seoarng pemimpin kesatuan yang bercakap mengenai penswastaan dan kesannya terhadap pekerja.

Pemimpin-pemimpin kesatuan juga meminta supaya had umur persaraan dilanjutkan kepada Usia 60 dan bukan 58 seperti yang ada sekarang. Isu ini nampaknya belum selesai lagi. Ada diantaranya mengadu, umur persaraan mereka ditentukan ke angka 55. Pesuruhjaya Suhakam dalam jawapannya menyatakan bahawa perlunya keseragaman had umur persaraan di antara kakitangan kerajaan dan swasta, iaitu ditetapkan kepada 60.

Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Perdagangan Malaysia (MTUC), Catherine Jikunan pula mahukan supaya partisipasi golongan pekerja dalam PBT dipertimbangkan supaya suara pekerja dapat didengar. Catherine juga membangkitkan mengenai perlunya peluang-peluang pekerjaan diberikan kepada golongan pekerja di Sabah dan kerajaan mempunyai tanggungjawab dengan apa yang dimaksudkan sebagai `negara berpendapatan tinggi'. Ini penting kerana sebelum negara mencapai taraf negara berpendapatan tinggi, kenaikan harga barang sudah melambung tinggi ketika golongan pekerja masih menerima upah yang murah.

Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Perkayuan Sabah (KPPIPS,S70) melalui wakilnya Jevry Anggah menimbulkan mengenai masalah pekerja asing yang bekerja dalam industri perkayuan. Katanya, masalah itu perlu diambil perhatian kerana ia melibatkan isu hak asasi manusia dimana pekerja saing itu mudah dieksploitasi.

Kesatuan Pekerja Kesihatan pula menimbulkan mengenai masalah kesesakan di hospital hospital di negara ini. Bagaimana kualiti perkhidmatan kesihatan dapat ditingkatkan jika masalah kesesakan terus berlaku. Dato' Siva mengakui bahawa pihaknya mendapat aduan mengenai masalah kesesakan itu, bukan setakat di sabah tetapi di seluruh negara.

Turut dibangkitkan dalam pertemuan kira-kira tiga jam itu ialah isu-isu berkaitan pencen dan sebagainya dan masalah itu akan turut dipanjangkan ke pihak atasan oleh Dato' Siva sendiri.

Masalah pekerja dari Sabah di Semenanjung turut dibangkitkan. Mengulas mengenai masalah ini, Siva meminta supaya satu badan dibentuk untuk membolehkan pekerja dari Sabah yang ingin bekerja di Semenanjung dapat melalui proses yang betul, gaji terjamin seabaginya. Beliau meminta supaya Kementerian Sumber Manusia memberi perhatian terhadap isu-isu yang kritikal itu.Siva berjanji untuk membangkitkan isu itu apabila bertemu dengan Kementerian Sumber Manusia.

Beliau juga meminta agar MTUC dan CUEPACS mengambil peranan penting untuk menangani isu-isu pekerja. Beliau juga meminta golongan pekerja supaya sentiasa berhubung dengan MTUC dan CUEPACS bagi menangani masalah yang mereka hadapi. Katanya, selalunya pekerja akan rugi jika mereka tidak memperjuangkan hak-hak mereka kerana ia membawa implikasi yang amat serius.

Jika masalah-masalah pekerja tidak diperjuangkan seperti bayaran wang pencen, gaji yang rendah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, sudah tentu mereka akan berasa lemah berdepan dengan cabaran zaman. Jika kebajikan pekerja tidak diberikan perhatian, kita akan mendapati satu masa nanti mereka tidur di tepi jalan dan dibawah jambatan atau di rumah-rumah kebajikan.

"Tujuan pertemuan itu diadakan ialah untuk mengetahui lebih dekat masalah pekerja di Sabah di semua sektor," kata Setiausaha Suhakam Sabah, Jasmih Slamat.

Katanya, pertemuan itu diadakan ekoran terdapatnya aduan yang dibuat kesatuan sekerja mengenai pekerja yang tidak dibayar gaji dan kemudahan dan imbuhan lain.

Ketika menutup pertemuan itu, Dato Siva Subramaniam menyatakan bahawa golongan pekerja sama pentingnya dalam pembangunan sesebuah negara.Pekerja juga memberi sumbangan yang besar kepada negara kita.Ini satu fakta yang amat penting dan tidak dapat dinafikan oleh siapapun.

Mencari gambar yang hilang



Saya mencari negatif gambar ini, tapi tak terjumpa. Gambar kira-kira lima tahun yang lalu.Saya sebenarnya berhasrat untuk memperbaharui press card yang kebetulan rosak ketika tiba-tiba saya terfikir, rupa-rupanya waktu lima tahun itu telah banyak berubah.
Kini saya kelihatan semakin tua.Jikalau sang usia memberitahu kita bahawa kehidupan kita hanya satu kali, maka marilah kita memberikan makna kepada kehidupan ini.
Mencari negatif gambar yang hilang, mujurlah bukan mencari diri yang hilang.

Hajat ke Aceh akhirnya tercapai
















HAJAT KE ACEH AKHIRNYA TERCAPAI
-catatan perjalanan Hajat Haji Lassin menyusuri silsilah keluarga Duaming di Aceh Darussalam

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

Impian untuk melihat Serambi Mekah itu sudah tersemat di hati Cikgu Hajat Haji Lassin sejak sekian lama. Aceh dengan segala cerita dan kisah yang terkandung di dalamnya sentiasa menarik perhatian Cikgu Hajat bukan saja kerana wilayah itu memang memiliki sejarah yang tersendiri dan merupakan Wilayah Indonesia yang paling akhir dapat ditakluki Belanda, tetapi nama Aceh memiliki makna yang khusus di hatinya.

Ketika peristiwa Tsunami meluluhlantakkan Aceh, peristiwa itu membuat fikiran Cikgu Hajat sedih dan berkecamuk. Ratusan ribu mati dihanyutkan ombak atau tertimbus tanah dan bangunan, orang-orang berlari, meratap dan menangisi nasib mereka, penderitaan yang seperti tidak ada penghujungnya tetap membuat kerinduan kepada Aceh tak kunjung padam.

"Mari kita ke Aceh melihat Masjid Baiturrahman yang tetap bertahan walaupun dilanda tsunami," katanya pada satu hari. Di wajah isteri dan anak-anaknya tergambar perasaan gembira sekaligus kepiluan.

Gembira kerana mereka dapat melancong ke luar negeri, dan pilu mengenangkan nasib ribuan orang yang kehilangan keluarga, ribuan orang yang merana berjuang untuk sebuah kehidupan selepas ditinggalkan ayah, ibu, suami, isteri dan anak-anak mereka akibat tragedi tsunami itu.

Tetapi hajat di hati Cikgu Hajat sukar diukur betapa kuatnya. Misinya ke Aceh itu bukanlah semata-mata untuk `makan angin' tetapi misinya kali ini adalah untuk mencari keluarga.

Segalanya bermula pada satu hari pada tahun 1998 sebaik-baik beliau mendapat tahu bahawa nendanya berasal dari Aceh. Menurut cerita lisan, Atuknya yang bernama Duaming merantau dari Aceh lalu sampai ke Sabah tahun 1881 dan kemudian bermukim di Kampung Linau Kota Belud yang pada waktu itu dikenali sebagai Tempasuk dan beranak pinak di sana.

Beberapa hari sebelum berangkat ke Aceh, Cikgu Hajat yang juga mantan Pensyarah Pusat Latihan Guru-Guru Bumiputera Sabah dan mantan Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran dan Luar Bandar) Tuaran telah mempersiapkan diri untuk mencari orang-orang yang boleh dihubungi ketika di Aceh. Sayangnya, Cikgu Hajat kehilangan alamat orang-orang yang boleh dihubunginya di Aceh.

Oleh sebab itu, Cikgu Hahat bersama isteri, Hajah Noriah Lambut dan anak-anaknya Aspawi Hajat, Sarinah Hajat, Mohd.Eranza Hajat tetap meneruskan perjalanan ke Aceh melalui LCCT Kuala Lumpur.

Sebelum itu, mereka telah menempah tiket untuk melancong selama enam hari ke Aceh. Mereka membulatkan tekad untuk berkunjung ke Aceh kerana mencari susur galur keluarga.

Mujur tanpa disangka, ketika menanti panggilan untuk memasuki pesawat, beliau dipertemukan dengan seorang perempuan yang berbudi bahasa dan berhati luhur. Hari itu 3 Mac 2010, kira-kira jam 11.00 pagi. Cikgu Hajat melihat jam tangannya, dan beliau tidak sedar bahawa Tuhan telah mengatur perjalanannya sedemikian rupa.

Perempuan dalam lingkungan 40-an itu, mudah tersenyum dan berwajah ceria itu duduk sebaris dengannya. "Hanya selang dua kerusi," kata Cikgu Hajat. Sementara menunggu pintu masuk ke pesawat Air Asia itu terbuka, tiba-tiba perempuan itu bertanya:" Pakcik mahu kemana?".

"Saya nak ke Banda Aceh," jawab Cikgu Hajat.
"Dengan keluarga?"
"Ya, saya dan lima orang lagi"
"Makan Angin?"
Memikirkan pertanyaan itu lahir dari hati yang ikhlas, Cikgu Hajat menceritakan tujuan sebenarnya ke Aceh. "Nenek saya berasal dari Aceh", katanya. Bagi masyarakat Bajau, nenek boleh digunakan untuk merujuk datuk dan nenek sekaligus.

Beliau memberitahu itulah kali pertama beliau ke Aceh. Wanita yang mulia itu rupanya merupakan isteri kepada Bupati Aceh Besar, Drs.Tgk.H.Bukhari Daud. Sesampainya di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda, beliaulah dan isterinya yang sibuk menguruskan urusan mengecap pasport dan dokumen perjalanan. Selain itu, beliau telah menyediakan dua buah kereta yang membawa Cikgu Hajat sekeluarga ke rumahnya di Lorong Lampanaki, Banda Aceh.

Perjalanan satu setengah jam dengan kapal terbang itu tidak terasa letihnya.Bagi Cikgu Hajat pertemuan yang berlaku secara tidak sengaja itu membawa rahmat yang tidak terkira. Selepas bertanya khabar, sepanjang perjalanan itu, banyaklah kisah yang dipertuturkan terutamanya kisah-kisah sekitar tsunami yang berlaku beberapa tahun yang lampau.

"Di rumah beliau, kami berbual panjang mengenai susur galur silsilah keluarga. Saya menceritakan susur galur keluarga yang akhirnya membawa saya ke Aceh", kata Cikgu Hajat.

Alangkah terkejutnya, dan alangkah gembiranya, apabila mengetahui bahawa Drs.Bukhari juga merupakan generasi keempat daripada Allahyarham Du Amien, buyut kepada Allahyarham ayahnya yang bernama Daud.

Di Aceh, Duaming dikenali sebagai Du Amien. Du, menurut cerita adalah gelaran kepada orang ternama teuku, tengku, Nyak dan sebagainya manakala Amien bermakna Amien bermaksud Yang Benar.

Oleh kerana faktor sebutan, Du Amien yang menurut cerita merantau ke Asia untuk mengembangkan agama Islam akhirnya dipanggil dengan nama Duaming oleh orang-orang Bugis. Mereka tidak dapat menyebut Amin sebaliknya Aming, papan disebut papang, ikan disebut ikang dan sebagainya.

Kalau bukan kerana beliau yang mengakui keturunan keempat Du Amien, Cikgu Hajat mungkin tidak berani memperkatakannya. Ini kerana Drs.Bukhari merupakan tokoh masyarakat dan pembesar negeri. Malah kelihatan beberapa pengawal berkawal di rumahnya bepakaian serba kuning dan dua orang pemandu yang mengangkat beg pakain ke rumah.

"Saya sempat menasihatkan anak-anak saya supaya menjaga disiplin dan tingkahlaku mereka kerana orang yang kami datangi itu merupakan pegawai tinggi," kata Cikgu Hajat mengenang kunjungan itu.

Tetapi keluarga tetap keluarga, tidak kira sama ada miskin kaya, berpangkat atau berharta. Oleh sebab itu, Cikgu Hajat tidak putus memanjatkan rasa syukur ke hadratNya. Drs. Tgk. H Bukhari Daud dan isterinya juga bersyukur kepada Allah SWT kerana mempertemukan medreka yang mempunyai kaitan keluarga.

Mengikut cerita, Du Amien keluar ke Asia (demikian catatan sejarah menurut kisah yang dituturkan Drs.Tgk.H.A Rahman Kaoy, Ketua MAA Provinci Nanggroe Aceh Darussalam) untuk mengembangkan agama Islam. Mereka mengenali Asia sebagai kawasan nusantara tetapi mereka tidak tahu bahawa Du Amien itu berlayar dan merantau sehinggalah sampai ke Kampung Linau dan berkahwin pula dengan Timah, orang Dusun Dari Tambulian yang merupakan keluarga Lantukan. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Abdullah Duaming dan Abdulaham (Dulaham Duaming).

Bagaimanapun, Drs.Tgk H.A.Rahman Koay yang juga Ketua Adat NAD mengatakan bahawa Du Amien itu masih keturunan Sultan Alauddin Riayat Syah, dan mempunyai kaitan silsilah keluarga yang sama dengan Tjut Nya Dien, pahlawan Aceh.

Penemuan itu ternyata membuka lebih luas cakerawala pencarain keluarga Duaming. Cikgu Hajat tidak menyangka bahawa Duaming, yang berasal dari Lamparo, Aceh Besar merupakan pengembang agama Islam.

Rupa-rupanya beliau merantau hingga ke Sabah yang dikenali North Borneo dalam misi dakwah. Alangkah baiknya, itu yang bermain dalam fikirannya, jika ada yang masih menyimpan dokumen bertulis seperti kitab, catatan harian oleh nenek moyangnya kerana biasanya guru-guru agama menyimpan catatan perjalanan mereka.

Selepas misi mencari keluarga itu berjaya mempertemukan beliau dengan orang yang mempunyai kaitan keluarga dengannya, Cikgu Hajat menghabiskan masa untuk berkeliling Aceh.

Sepanjang di Aceh. beliau dan keluarga sempat ke Aceh Besar, Aceh Selatan, Aceh Utara, Aceh Barat Daya melihat kesan-kesan tsunami, melihat kebudayaan aceh, sempat ke Pantai Lok Nga, pantai yang cantik dan sempat berkunjung ke rumah Aceh.

Banyak pemandangan yang menarik sepanjang kunjungan ke wilayah yang baru saja menikmati kedamaian hasil kesepakatan di Helsinki. Tetapi yang paling bermakna bagi diri Cikgu Hajat ialah pertemuannya dengan keluarga Duaming di Aceh.

Friday, March 19, 2010

Catatan pertemuan dengan Kamal Ishak

Kak Ony menelefon beritahu ada kawan datang dari KL. Oleh kerana saya tak dapat keluar ke tempat yang jauh maka saya mencadangkan tempat pertemuan kami di kedai di bawah ofis.
Alangkah terkejutnya saya bila diberitahu bahawa kawan dari KL itu rupanya Kamal Ishak!.
Kenapa tak beritahu lebih awal? Rupanya Kak Ony pun baru mendapat perkhabaran dripada rakannya yang mengatakan bahawa Kamal berada di KK untuk mengendali Bengkel Penulisan Skrip Filem di UMS.
Saya sebenarnya tidak pernah bertemu Kamal sebelum ini. Tapi saya banyak mendengar namanya. Beberapa skripnya amat menarik perhatian saya, terutamanya skrip `landasan' yang antara pelakonnya yang saya ingat Rosli Rahaman.
Dalam pertemuan singkat itu, kami sempat bersembang sembang mengenai filem-filem kita jika dibandingkan dengan filem dari luar.Kita datang ke pawagam hanya semata untuk menonton filem dan tidak sampai ke tahap `membaca filem'. Penulis skrip kita juga barangkali, kurang membaca sehingga skrip yang dihasilkan agak lemah.
Kalau di Indonesa, novel seperti Laskar pelangi, seperti Ayat Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih berjaya diangkat menjadi filem yang mendapat sambutan luar biasa. Di tempat kita, jarang berlaku perkara seperti itu.Tidak banyak novel kita diangkat ke filem.
Perbincangan kami sampai ke filem-filem Iran,Children of Paradise, Film China seperti Not One Less dan ada satu lagi Road Home arahan Zhang Yi Mou, yang belum sempat saya tonton lagi.
Seorang rakan dari Semporna, Sani Haji salleh yang tiba kemudian bercerita mengenai legenda Tandawan Selamiah dan tentang pulau-pulau di Semporna.
Banyak perkara yang kami bualkan, tapi banyak yang tak sempat dibicarakan. semoga ada pertemuan lain untuk dapat berbincang mengenai filem. Filem yang berkisah tentang kehidupan.
gambar-gambar ini dirakam oleh Sdr Vigor, yang berasal dari Sri Aman sarawak dan kini menuntt dalam bidang penulisan di Sekolah Pengajian Seni UMS







Thursday, March 18, 2010

u kena su karuruyud, a tantu a karuruyud

Saya mudah didatangi keharuan, pabila membaca untaian bayuk ini. Suku bangsa Iranun memang kaya budayanya. Juga tinggi tamadunnya.Masakan tidak dalam bayuk ini, sudah disebutkan mengenai tumarumpung yang bermaksud meneropong yang diambil dari kata tarumpung yang bermaksud teropong. Selain itu, perkataan kumumpas yang diambil dari perkataan kompas. Ini membuktikan betapa masyarakat ini memang arif mengenai istilah istilah maritim kerana mereka sendiri pelayar dan penakluk laut yang berani.
Tapi bukan itu yang membuat saya terharu. Apabila merenungkan maksud bayuk ini yang begitu mendalam maknanya.
Bayuk ini melambangkan betapa teguhnya masyarakat Iranun menjaga harga dirinya, dan mempertahankan martabatnya.
Mereka tidak akan sembarangan meminta bantu kepada orang lain kecuali kalau orang itu benar-benar mereka anggap saudara dan keluarga terdekat mereka.
Banyak hal yang dapat dikaji daripada sepotong bayuk ini.
Kalau bukan saudara, yang benar saudara, kalau bukan keluarga yang bukan sebenar keluarga, aku tak akan berani meluahkan rasa hati, begitulah kira-kira maksudnya yang disampaikan dalam bentuk kiasan.

U di' bu' su ayunku
a bpangenian sa intan
di' aku makarau
tumarumpung sa rinau.


U kena' su karuruyud,
a tantu a karuruyud
di' aku maka aku
kumumpas sa linanu'.

bayuk Hajah Intan kg Rampayan Ulu

jika bukan saudaraku,
yang amat tersayang,
aku tak berani
meneropong laut tenang

Jika bukan keluarga
yang sebenar keluarga
aku takkan mengaku
mengkompas laut teduh.

-terjemahan bebas Mabulmaddin Hj Shaiddin

Memeriksa kehidupan











Hidup yang tidak diperiksa adalah hidup yang sia-sia.Saya tidak ingat siapa yang mengucapkan kata-kata itu. Kata-kata yang kemudian mempengaruhi saya untuk memeriksa semula kehidupan yang singkat ini.
Semoga saya memberi manfaat kepada orang lain kerana sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia lain.
Foto ini dirakamkan tanpa saya sedari oleh Jebat.Net Photography. Fotographernya Jebat atau Mohd.Iderimziza Idris adalah kawan baik saya, dan Jebatlah yang merakam foto ini.Foto yang membuat saya memeriksa diri.Terima Kasih

Saturday, March 13, 2010

Catatan tentang arwah si babau

Pemergiannya secara tiba-tiba. Saya tidak pernah menyangka dia akan pergi secepat itu. Masih muda orangnya, mungkin dalam awal 30-an. Dia meninggal khabarnya kerana terlanggar kerbau, iaitu dalam perjalanan balik ke rumah selepas melawat isterinya di hospital Papar.
Namanya Aslin tapi kami memanggilnya si babau. Babau bermaksud bisu. Tapi memang dia seorang yang bisu.Kalau tak silap saya, isterinya juga bisu.
Saya terkesan dengan kepulangannya yang tak diduga itu kerana kami sudah lama tidak bertemu. Jika ke kota kinabalu, dia selalu mencari saya di ibu pejabat USIA, dan para ustaz tahu bahawa jika dia datang, dia pasti sedang mencari saya.
Walaupun babau, arwah termasuk seorang yang suka bersahabat. Orangnya baik dan suka `berbicara' menggunakan bahasanya sendiri, yang anehnya dapat kami fahami. Setiap lenggok bahasa isyaratnya itu dapat diterjemahkan membuat kami tertawa. Dan saya kira memang arwah cuba untuk mengajak kami tertawa dengan telatahnya.
Isterinya orang Benoni, arwah dari Kg. Kotabungan Kota Belud. Tentang dimana mereka berjumpa dan bagaimana mereka bercinta, tidaklah saya ketahui.
Arwah babau memang yang seorang yang kuat inisiatifnya dalam mengharungi arus kehidupan. Saya dapat menyaksikan betapa arwah gigih mencari rezeki dan kerana ramai kenalannya, dia seorang yang agak murah rezekinya.
Saya hanya diberitahu beliau meninggal kelmarin dulu. Saya tak sempat menziarahinya. Saya berdoa semoga rohnya ditempatkan disisi orang-orang yang beriman.Al-Fatihah.

Friday, March 12, 2010

dari `pentaran', ke `torong jungkir' ke `sedi timbang'

Saya membayangkan kami duduk di `pentaran' pada petang itu. Sambil berehat merasai hembusan bayu yang segar. Kami bercerita mengenai kekayaan bahasa ibunda dan kerana ketiga-tiga teman saya berbicara pada hari itu orang Bajau, maka berceritalah kami mengenai nasib dan masa depan bahasa bajau di negeri ini.
Pada mulanya kami hanya berdiri, tetapi saudara Mohd.Syum mengajak kami minum, lalu kami memilih kedai kopi fortune yang terkenal dengan kopinya yang sedap.
Itulah yang menjadi `pentaran' kami petang itu. Pentaran dalam bahasa Bajau sama maksudnya dengan `pantaran' dalam bahasa Iranun. Ia merupakan satu bahagian rumah-yang sengaja dijadikan tempat berehat terutamanya ketika petang. Dalam bahasa melayunya bahagian ini dikenali sebagai beranda ataupun anjung.
Perkataan `pentaran' itu, menurut saudara Mohd.Syum, sudah digunakan oleh RTM. Ada satu tempat di RTM yang dinamakan pentaran RTM iaitu pentas tempat membuat persembahan dan sebagainya.
Di antara kami, yang menguasai banyak bahasa ialah saudara Aliyudin Ben, masih bekerja di Jabatan Perubatan. Beliau selalu mengajak saya bertutur dalam bahasa Iranun, yang dapat dikuasainya dengan baik. Beliau juga mahir berbahasa Bajau, loghat KB, Tuaran, Mengkabong, Kawang, Inanam dan sebagainya.Fasih berbahasa kadazandusun, bahasa Inggeris dan malah boleh bercakap bahasa Inggeris seperti Karpal Singh.
Seorang lagi rakan bernama Pardio. Namanya saja Jawa tapi ada darah bajau ditubuhnya. Banyaklah isu bahas dan sejarah yang kami percakapkan, antara sebelum Kampung Rampayan Menggatal itu mendapat namanya, dulu tempat itu dipanggil kebatuan.
"Kita sukar menentukan mana yang dulu Berungis atau Mengkabong'" kata Aliyudin mengenai sejarah kedua tempat itu.
Dari sana percakapan kami beralih kepada soal istilah. Tersebutlah perkataan `torong jungkir', ia satu tempat yang terletak di bahagian hujung. Saya terfikir istilah ini boleh digunakan untuk sukan terjun junam dimana peserta perlu ke bahagian hujung toring jungkir sebelu melakukan aksi terjun.
Istilah sempayan pula kini semakin asing, padahal ia merujuk bahagian siling rumah. Sebut saja `sempayan' orang dengan cepat membayangkan bahagian siling rumah,
Istilah belanai merujuk kepada tempayan kecil manakala ipang istilah untuk tempayan biasa.
Kami juga membahas istilah sedi timbang, yang bermaksud berhampiran dengan kawasan tebing yang hampir runtuh. Jika sekarang kita selalu menggunakan `sedi suang' untuk tepi sungai, dahulu orang menggunakan perkataan sedi timbang.

Banyak juga tajuk yang kami kongsikan bersama tetapi kata saya teringat kata suadara Aliyudin , dalam dunia ini lebih baik bagi kita menjadi alap dela (lelaki yang baik) daripada lawa' dela (lelaki yang rupawan).
Jika kita tidak usahakan bermula dari sekarang bahasa ibunda kita akan hilang, katanya.

Monday, March 8, 2010

makin jarang YB YB kita minum di kedai kopi

Sudah semakin jarang YB YB kita duduk minum di kedai kopi. Duduk bersama rakyat dan berbual bersama mereka, merasai sedapnya kopi o, atau dua tiga tusuk sate.
Itulah yang terfikir oleh saya ketika tiba-tiba terjumpa Datuk Bolkiah Haji Ismail, ADUN Pitas yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar di kedai kopi, yang lebih dahulu dikenali kerana semangat satu malaysia. Taukeh kedai kopi itu orang Cina manakala penjual satenya orang Islam. Semua orang pelbagai bangsa memenuhi meja-meja di kedai kopi itu, yang selalu juga jadi tumpuan.
Keadaan itu hampir tidak didapati dimana-mana tempat di Semenanjung.
Tetapi di Sabah situasi itu perkara biasa. Minum kopi di waktu petang sambil makan roti bakar atau merasai sate.
Sebenarnya saya diminta datang oleh Sdr Ketua Pemuda UMNO Kudat, Sh.Sahar Sh.Ading kerana beliau berhasrat mengulas kenyataan YB Lim Kit Siang sewaktu lawatannya ke Sabah. Katanya, kenyataan LKS itu tidak sepatutnya dibuat kerana ia cuba meniupkan persengketaan.
Saya minta waktu lima minit kerana ketika itu sedang cuba mengemaskini blog.
Ketika saya datang itulah, saya agak terkejut kerana melihat Sh Sahar bersama Datuk Bol dan seorang lagi orang kg salimpodon sedang menikmati sate.
Di sebelah meja, ada Ag.Ramle, Jaafar, di sebelah lagi rakanrakan dari PKR Kunak, Abd.Wahid Jainal. Kedai kopi itu saya kira menjadi tempat pertemuan minum kopi, tempat yang selalu jadi pilihan orang-orang tidak kira parti, suku, agama dan sebagainya.
Sikap yang ditunjukkan oleh Datuk Bolkiah itu, sebenarnya itulah juara rakyat, kata Ezam kawan saya dari KB.Kerana beliau tidak bersikap meninggi diri walaupun menjadi YB dan pembantu menteri.
Sambil itu kami bercerita mengenai pembangunan di Pitas.Beliau mempelawa saya untuk berkunjung ke Pitas dan menulis mengenai proses pembangunan yang sedang berjalan di daerah itu. Saya menyanggupinya pada satu waktu yang diaturkan kelak.
Saya memang selalu bertemu dengan Datuk Bolkiah, tetapi pertemuan di kedai kopi itu meyakinkan saya beliau memang berjiwa rakyat. Sebenarnya bukan sekali dua saya terserempak dengannya di kedai kopi, tetapi itulah pertama kali pula saya duduk semeja dengannya, bercerita sambil makan sate.
Lama juga kami berbual mengenai Pitas, sehinggalah senja datang dan kami masing-masing bergerak meninggalkan kedai kopi itu.

Friday, March 5, 2010

Perebutan Pengaruh dalam PRU ke-13 di Sabah

PEREBUTAN PENGARUH DALAM PRU KE-13, UTAMAKAN KEHENDAK RAKYAT
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

Pilihanraya umum ke-13 pasti tidak akan berlaku hari ini atau esok tetapi esok lusa, pesta demokrasi tetap akan dirayakan oleh sebahagian besar rakyat yang layak mengundi. Parti-parti politik tidak kira parti komponen Barisan Nasional (BN) dan parti-parti pembangkang di negara ini masing-masing telahpun melaksanakan gerak kerja untuk memikat hati pengundi seterusnya memberi sokongan kepada mereka pada pilihanraya yang sepatutnya diadakan dua tahun dari sekarang.
Di Sabah, yang disifatkan sebagai `simpanan tetap' Barisan Nasional (BN) , gelora politik semakin terasa dengan kehadiran parti-parti pembangkang khususnya Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang masing-masing telahpun bertapak di negeri ini.
Pencak silat parti-parti pembangkang yang kurang menjadi sejak beberapa pilihanraya yang lalu tetap diberikan perhatian kerana dalam pilihanraya yang lepas, DAP yang bergabung sebagai anggota dalam Pakatan Rakyat telah berjaya menawan kerusi Sri Tanjung dan kerusi Parlimen Kota Kinabalu. Bahkan ramai pemerhati politik berpendapat, sekiranya berlaku pertembungan satu lawan satu, lebih banyak kerusi berkemungkinan boleh jatuh ke tangan pembangkang.
Namun senario politik selepas pilihanraya umum ke-12, tidak dapat tidak, perlu diberikan perhatian terutamanya oleh pemimpin-pemimpin parti, aktivis politik dan ahli-ahli parti kerana Sabah yang dikenali sebagai sebuah negeri yang sentiasa menyerlahkan budaya politik yang ramah dan santun selalu mampu mencipta kejutan.
Kejutan politik sepatutnya tidak berlaku sekiranya semua pihak arif dalam mentafsir kemahuan rakyat. Oleh sebab itu, politik Sabah sebenarnya mampu diramal dengan mudah sekiranya pemimpin-pemimpin mendekati rakyat, yang menjadi faktor penting menentukan proses demokrasi berjalan dengan lancar.
Terdapat beberapa parti politik pembangkang di negeri ini. Daripada semua parti politik itu, Parti Maju Sabah (SAPP) yang memisahkan diri daripada komponen BN tahun lalu, dijangka mampu mempengaruhi rakyat dan mengekalkan pengaruh di kalangan penyokong mereka. SAPP yang kini mempunyai dua DUN iaitu Likas, Luyang dan dua ahli Parlimen iaitu Sepanggar dan Tawau dikatakan akan bertanding sekurang-kurangnya 40 kawasan DUN, tetapi yang hampir pasti, mereka akan bertanding di kawasan pengundi Cina dan kawasan campuran dan beberapa kawasan bumiputera Islam.
Menurut sumber dalaman parti itu, semangat penyokong SAPP juga luar dari kebiasaan kerana ahli-ahlinya sanggup menghulurkan derma pada setiap program yang diadakan parti itu. Perkembangan ini wajar dibimbangi kerana jika selama ini ahli-ahli komponen BN hanya menghadirkan diri dalam aktiviti parti setelah dibayarkan tambang, diberi belanja makan dan sebagainya, tetapi kini semangat mereka perlu lebih kuat untuk mempertahankan kerajaan BN yang membawa kemakmuran kepada rakyat.
Parti Barisan Rakyat Sabah(Bersekutu) satu lagi parti pembangkang yang berpengkalan di negeri ini mengharapkan formula satu lawan satu yang diikrarkan bersama oleh parti-parti alternatif untuk berhadapan dengan kekuatan BN dalam pilihanraya akan datang dapat direalisasikan. Presidennya, Berman Angkap berkata jika formula satu lawan satu itu tidak berlaku, pembangkang wajar melupakan impian mereka.
Berman mahukan agar semua kerusi DUN ditandingi parti pembangkang tempatan sementara semua kerusi Parlimen diperuntukkan kepada Pakatan Rakyat terutamanya PKR. Cadangan ini belum tentu dipersetujui tetapi nampaknya inilah salah satu kaedah yang boleh ditempuh sekiranya Pakatan Rakyat mahu meyakinkan rakyat untuk menyokong mereka.
Kehadiran Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) yang mengisi halaman akhbar tempatan dua bulan juga perlu diberikan perhatian kerana seperti yang didakwa presidennya, Datu Mohd.Arshad Abdul Mualap, parti itu ditubuhkan atas kehendak rakyat.
Beliau mendakwa PPRS adalah sebuah parti multirasial yang kini mempunyai 80,000 ahli , menawarkan satu wadah penyatuan kepada rakyat Sabah. Misi menyatukan rakyat yang dibawa oleh PPRS adalah untuk menyatukan rakyat yang dikatakan oleh Arshad sebagai tersisih dan tidak berpuas hati kerana tidak mempunyai saluran untuk menyampaikan mesej kepada rakyat.
PPRS bagaimanapun, tidak mengisytiharkan sama ada parti itu pro pembangkang atau pro BN. Selain itu, dalam dua sidang media yang diadakan oleh parti itu,Januari lepas, pegawai-pegawai parti itu memberitahu mereka telah mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan di Kuala Lumpur, sesuatu yang membuatkan penyokong mereka menuntut bukti yang lebih meyakinkan.
Sementara itu, beberapa siri program yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat di Sabah mendapat sambutan yang menggalakkan. Program Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Star City dan program Sambutan Tahun Baru Cina Pakatan Rakyat di Kian Kok mendapat sambutan yang tidak diduga.Beberapa program lain juga menerima sambutan baik daripada rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Bagaimanapun, pemilihan wakil rakyat akan datang lebih banyak bergantung kepada soal personaliti manakala pengaruh parti parti yang akan bertanding, dijangka tidak banyak memberi kesan kepada rakyat. Jika terdapat personaliti atau individu yang berwibawa dan punya karisma, rakyat berkemungkinan akan memberi sokongan. Soal parti mana yang mereka wakili akan diletakkan sebagai faktor nombor dua.
Semua perkembangan ini perlu diamati dengan cermat oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Beberapa program yang diadakan seperti program Juara Rakyat mampu memberi kesan yang positif jika ia dilaksanakan dengan niat untuk menjuarai rakyat dan bukan semata-mata kerana mengikut arus perkembangan semasa. Konsep 1 Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri juga dengan mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian perlu diterjemahkan dengan baik kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Pengaruh Barisan Nasional di Sabah yang dipimpin oleh UMNO, PBS, UPKO, LDP,MCA, Gerakan,MIC memang diakui masih kuat tetapi kepercayaan rakyat terhadap mereka boleh berkurang sekiranya mereka tidak memperbaiki diri, tidak bermuhasabah dan terlalu membanggakan diri.
Senario terkini juga menyaksikan Barisan Nasional (BN) di Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Musa Haji Aman telah membuat beberapa langkah untuk memperkukuhkan pengaruh Barisan Nasional di kalangan rakyat. Beliau telah melantik 10 muka baru dan mengekalkan 15 muka lama sebagai penyelaras BN di seluruh bahagian di Sabah. Langkah ini dilihat sebagai tepat dan bijak untuk memastikan BN tetap kukuh dan berpengaruh serta terus disayangi rakyat.
Namun berapa banyak pun parti pembangkang dan betapa kuatpun komponen BN, sebahagian besar golongan rakyat akar umbi sebenarnya lebih berminat mengetahui penyelesaian kerajaan terhadap kenaikan harga barangan seperti gula, peningkatan sistem pengangkutan awam, pentadbiran yang telus dan bebas rasuah, serta pembangunan dan peningkatan prasarana, mengatasi masalah kekurangan tenaga, kekurangan doktor, dan pelbagai isu-isu lain yang berkaitan rakyat dan kehidupan mereka.
Kelangsungan kerajaan BN di Sabah dan sepak terajang parti pembangkang, banyak bergantung kepada sejauhmana mereka ikhlas dan komitmen kepada perjuangan untuk meningkatkan kesejahteraan dan keselesaan rakyat.

***Tulisan ini tersiar dalam Utusan Borneo pada 6 Mac 2010. Utusan Borneo merupakan akhbar berbahasa Melayu tunggal di Sabah

Thursday, March 4, 2010

Empat anak tercicir dari sekolah tanpa sijil lahir


EMPAT ANAK TERCICIR DARI SEKOLAH TANPA SIJIL LAHIR

TUARAN: Penderitaan yang dialami oleh seorang ibu, Welhemna Airin 32, tidak dapat digambarkan tetapi yang lebih membimbangkannya ialah anak-anaknya yang tidak dapat bersekolah kerana tidak mempunyai sijil lahir.

Empat anaknya, Nurliaraya Ahmad, 9 tahun, Nurul Izatul Ahmad ,7 tahun, dan Abdul Rahman Ahmad,5 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen manakala seorang lagi Intan Umira Ahmad, 13, yang walaupun mempunyai dokumen kelahiran tidak dapat meneruskan persekolahan kerana kemiskinan hidup.

Surat lahir kanak-kanak itu tidak dapat diuruskan selepas ayah mereka, Ahmad Darus, rakyat tempatan berbangsa Bajau meninggal dunia selepas menderita pneumonia kira-kira setahun lalu.

Akibat kemiskinan dan kurang pengetahuan, dokumen kelahiran anak-anak itu tidak dapat diuruskan menyebabkan mereka tercicir dari persekolahan, kata Welhemna lagi.

Seorang lagi anaknya, Siti Fatimah melarikan diri dari rumah menyebabkan Welhemna keseorangan dalam menyara hidup keluarganya.

Ketiadaan sijil lahir menyebabkan anak-anak itu tidak dapat bersekolah kerana pihak sekolah enggan menerima mereka tanpa sebarang dokumen.

Ketika menceritakan perjalanan hidup yang dilaluinya, Wilhemna terpaksa melalui pelbagai cabaran termasuk pernah tidur di bawah tangga, di dalam dewan dan sebagainya.

"Kehidupan kami tidak menentu, kais pagi makan pagi tetapi saya berusaha untuk mencari duit untuk menyara anak-anak," kata Welhemna lagi.

Setelah ditinggalkan bekas suami, Welhemna menyara hidup anak-anaknya dengan menjual rokok.

Katanya, kadang-kadang beliau boleh memperolehi pendapatan RM20 sehari tetapi pendapatan itu tidak menentu kerana pihak berkuasa menjalankan operasi setiap hari.

Ketika ditanya mengapa beliau menjual rokok seludup, Welhemna menjawab "kalau tak jual, macam mana mahu makan?".

Welhemna tinggal bersesak dalam sebuah bilik sewa di atas sebuah rumah kedai di Pekan Tuaran dengan kadar sewa RM250 sebulan.

"Untuk memenuhi keperluan dan tuntutan hidup, beliau terpaksa merelakan anak-anaknya yang masih kecil itu untuk berjualan rokok.

"Kami sudah macam pendatang, kerana tidak mempunyai dokumen," kata Welhemna yang terpaksa bergantung kepada sehelai dokumen yang koyak.

Welhemna, yang dilahirkan di Sandakan pada tahun 1976, dari suku kaum Suluk, pernah memohon kad pengenalan sewaktu di Sandakan tetapi tidak dapat menguruskan permohonan kerana tidak mendapat izin suaminya.

Ditanya sama ada beliau pernah meminta bantuan keluarga arwah suaminya, beliau berkata, bagaimana mereka bantu kami, mereka pun hidup dalam keadaan susah.

Kini Welhemna mempunyai suami baru tetapi kedudukannya sebagai isteri kedua menyebabkannya tidak yakin terhadap `setakat mana jodoh mereka berpanjangan".

Beliau merayu kerajaan agar memberikan peluang kepada anak-anaknya untuk meneruskan persekolahan bagi masa depan mereka.

Welhemna juga meminta belas ihsan kerajaan agar memberikan rumah untuk mereka tempati anak beranak supaya mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa.



PERLU PERHATIAN...Wilhemna bersama anak-anaknya perlukan bantuan pihak kerajaan untuk memperbaiki kehidupan mereka.

Wednesday, March 3, 2010

Perihal nedas dan teriti

Kami singgah di Kampung Tambalang Tuaran dalam perjalanan pulang itu. Cikgu Hamid mahu berjumpa dengan Ketua Kampungnya, Maduin bin Hj Staat.

Pakcik Maduin berusia 74 tahun. Beliau baru pulang dari laut ketika kami sampai. Cikgu Hamid ada sesuatu urusan dengannnya. Apabila beliau mengetahui saya dari Kota Belud, maka bercakap Bajaulah kami, apatah lagi pakcik Maduin, mantan pesara RTM ini asalnya dari Kampung Timbang Dayang Kota Belud.

Saya sempat bertanya dari mana Kampung Tambalang mendapat namanya. Panjang ceritanya, kata Pakcik Maduin tetapi tambalang ertinya buluh.

Satu ketika dahulu, ada sebuah rumah yang dibuat daripada buluh, lantainya buluh, tiangnya buluh, dindingnya buluh, yang mula-mula di bina di kampung itu. Itulah yang dinamakan tambalang. Tapi banyak juga cerita lain mengenai asal usul kampung itu.

Semuanya `nedas'. Saya jarang mendengar perkataan nedas, kosakata dalam bahasa bajausama yang bermaksud `boleh digunapakai'. Perkataan ini boleh dicadangkan untuk diserapkan dalam bahasa Melayu untuk menggantikan istilah boleh digunapakai.

Saya memberitahunya bahawa ramai juga kaum kerabat kami di kampung Timbang Dayang itu. Arwah Haji Taip, Imam Ramlie, Marjan dan ramai lagi anggota keluarga besar kami. Maka berceritalah saya mengenai kisah asal usul nenek moyang kami

"Cerita kamu ini `teriti'," kata Pakcik Maduin. Teriti, satu lagi perkataan bajausama yang jarang sekali kedengaran. Apa maksud teriti, pakcik? Teriti maksudnya turun temurun. Saya fikir perkatan teriti ini juga boleh diserapkan dalam usaha memperkaya kosakata bahasa Melayu di negara ini.

Selain dua perkataan yang agak klasik itu, ada beberapa perkataan bajausama lagi yang jarang didengar.Mali' ertinya letih atau kepenatan, nepian ertinya pergi ke kedai, tamu dan sebagainya, dan banyak lagi yang perlu didokumentasikan untuk mengelakkannya dari kepupusan.