Wednesday, May 26, 2010

Satu petang di Utusan Borneo KK

Barangkali Amir Anuar terkejut melihat suasana di pejabat Utusan Borneo yang penuh tawa, ceria, jenaka dan gurauan. Wartawan Utusan Borneo dari Tawau ini singgah buat pertama kalinya di pejabat Editorial Utusan Borneo, pada satu petang sebelum balik ke Tawau.
Ketika itu, kebanyakan kami memang agak sibuk juga bersaing dengan waktu. Selepas memburu berita, kami duduk di meja masing-masing mencari `angle' dan memikirkan intro. Sebahagian yang lain sedang sibuk mengedit, rekaletak dan sebagainya.
Tapi kami tetap menyempatkan diri untuk bergambar kenang-kenangan sempena kunjungan saudara Amir itu.
Kebetulan kami semua berada di pejabat ketika itu.Hanya beberapa orang tak sempat hadir. Editor Eksekutif kami, Lichong Angkui duduk sementara kami masing-masing berdiri dengan gaya tersendiri.
Jangan hairan kalau staff Utusan Borneo Kota Kinabalu kelihatan awet muda belaka kerana walaupun di tengah-tengah kesibukan malah ditengah-tengah `tension' pun, mereka masih boleh tersenyum.Tahniah.

sekadar maklumat tambahan...kiri sekali, Erra, pelatih UMS yang rasanya sudah sebati dan menjadi sebahagian keluarga kami di UB.
Florieta, sub editor yang minat budaya.Dibelakangnya Willie, yang menjadi orang kuat crime desk, kemudian berbaju Hijau, Alex- pereka grafik yang hebat dan memiliki banyak pengetahuan yang luas, kemudian Jelifah, yang kini sub editor yang menangani sastera dan budaya, mariayati yang berpengalaman,kemudian Amir, rakan kami dari Tawau itu, Hashim, Editor Sukan yang suka menulis hiburan, pariwisata, Rozaini yang kalau tak ada dia, sepi sedikit di pejabat, Sahar pemberita mahkamah yang sudah banyak menghafal enakmen dan akta, Siti Aisyah yang periang,rajin dan suka menyanyi. Mana Nik Jasni?, Rozzalin, Si Bokara Chai pun tak ada . Chief Reporter, John Tambanan yang mengambil gambar kami. O rupanya, ramai lagi yang tak ada. Sdr Samsul yang selalu dipanggil bos samsul mungkin di biliknya, Masnah mungkin sibuk barangkali, Bellu-editor ruangan Kadazandusun juga tak ada, Vitalis dan Desmond di tingkat 4... Inilah warga Utusan Borneo yang menggelarkan akhbar mereka Citra Generasi Prihatin.


Wednesday, May 19, 2010

Saya selalu terjumpa dia

"Masihkah dia bertugas sebagai guru di pulau itu?
"Tidak lagi.Dia sudah pindah," kata seseorang.
"Ooo"
Saya sering melihatnya di kotaraya ini. Boleh dikatakan hampir tiap petang.Mungkin selepas mengajar di daerahnya yang terletak kira-kira 68 km di sebelah utara Kota Kinabalu, beliau turun ke KK. Atau mungkin dia tinggal di kota ini.
Biasanya apabila berselisih di jalan, saya hanya tersenyum atau melambaikan tangan. Saya tahu, dia juga, seorang pemimpin yang memegang jawatan di peringkat kampung, yang kemudian membuat orang kampung tidak berpuas hati kerana beliau jarang menjenguk kampungnya itu walaupun dia dipilih pengerusi JKKK.
Mungkin ada anaknya di sini, atau ada urusannya. Saya tidak tahu, tetapi saya pernah melihatnya berjalan dengan seorang perempuan, mungkin isteri baru.
Yang saya kesalkan ialah kerana saya mengenali dia. Saya mengenali dia sebagai seorang guru. Seorang guru yang sepatutnya berada di sekolah untuk mengajar anak-anak muridnya dengan penuh dedikasi.
Saya tidak mahu berburuk sangka. Saya hanya terkejut ketika melihat dia, malam itu, duduk menghabiskan masanya, bermain games.

Catatan tentang nama yang unik

Bila teringat rakan kami tertawa lucu, saya pula terasa lucu melihatnya ketawa kelucuan itu.
Barangkali dia tidak selalu mendengar nama-nama yang kedengaran aneh itu.Tetapi tentu ada sebab musabab mengapa orang-orang tua kita dahulu menamakan anak mereka dengan nama yang luar biasa itu.
Kalau minggu lalu, rakan kami-Aishah namanya, terbaca nama Haji Kampung Baru, dua tiga hari lalu sekali lagi beliau dikejutkan dengan nama Encik Liar Sungguh.
Sebenarnya banyak lagi nama yang kami jumpai sewaktu bertugas sebagai pengamal media ini. Ada yang namanya Usno, kerana ia dilhahirkan ketika parti Usno ditubuhkan. Ada yang namanya, Malaysia dilahirkan pada 16 September 1963 iaitu ketika pembentukan Malaysia, dan banyak lagi nama yang istimewa.
Di kalangan masyarakat Lundayeh, mereka memilih nama binatang misalnya buaya, harimau, dan sebagainya untuk diletakkan sebagai nama mereka. Tentu ada sebab mengapa mereka menamakan anak-anak mereka seperti itu.

Tuesday, May 18, 2010

Pengalaman didatangi Bahaya

Tanpa disangka, saya didatangi Bahaya petang tadi.
Bahaya dibawa oleh Masidar yang datang dari Kampung Koromoko, jauh di Kota Marudu. Beliau datang untuk mengadukan halnya kepada Suhakam, dan juga, kalau boleh, persoalan itu disiarkan di media.
Masidar terpaksa meredah hujan. Beliau yang biasanya berbaju batik, kalau turun ke KK itu, kelihatan basah kuyup. Saya kasihan melihatnya tetapi beliau berusaha datang tepat pada waktunya. Kami berjanji untuk bertemu jam 4.00 petang tetapi ketika itu, hujan turun menyiram ibu kota yang mengantuk menanti sinar matahari.
Masidar datang membawa Bahaya. Kemudian kami minum di Restoran Asrin,(dulunya Restoran Banu) di Jalan Gaya.
"Siapa nama pakcik tadi?" Saya bertanya.
"Nama Saya Bahaya.Tentu Tuan tidak percaya, nama saya Bahaya," katanya sambil menunjukkan intikatnya. Intikat sebenarnya yang bermaksud kad pengenalan, berasal dari perkataan identity card (ID) yang akhirnya disebut intikat di kalangan masyarakat kampung.
"Nama saya yang sebenarnya Bayah," katanya. "Tetapi dalam intikat saya, dia orang eja Bahaya.Saya bukan orang yang bahaya," kata Bahaya bin Unggus, yang berusia kira-kira 84 tahun, tetapi kelihatan masih kuat lagi.
"Oooo," hanya itulah yang saya dapat luahkan, ketika dia cuba berjenaka, bahawa kalau tidak masuk news, ini tentu bahaya!.

Sambil berbincang masalah sempadan tanah di Kampung Koromoko dan tanah pakcik Bahaya di kampung Samparita, yang dijual orang tertentu kepada syarikat, saya mempelawa mereka makan. Masidar berkata mereka belum sempat makan sejak pagi tadi.

Saya perhatikan Masidar makan dengan berselera tetapi Pakcik Bahaya hanya makan nasi, tanpa lauk. Beliau hanya meminta mangkuk, dan makan nasi berlaukkan air. Perbuatan ini dipanggil `dsabak' dalam bahasa Iranun, tetapi saya lupa bertanya, apa padanan kata itu dalam bahasa mereka, bahasa mereka.
"Banyak lauk di sana pakcik.Pakcik tak makan lauk," saya bertanya. Pakcik Bahaya berkata beliau tidak makan lauk kerana tidak mahu makan ajinomoto.

Saya bemaksud untuk belanja mereka makan tetapi Pakcik Bahaya beria-ia mahu membayar. "Semuanya 12 ringgit 50 sen," kata pelayan itu.
"Ini berapa?" Pakcik Bahaya menunjukkan gelas. "Ini berapa harganya?" katanya. Pelayan itu terpinga-pinga sebab belum pernah ada orang mahu membayar dengan harga minuman tetapi dengan harga gelasnya sekali.
Saya memanggil Hakim dan berkata, pakcik Bahaya mahu membeli gelas metal itu kerana beliau berkenan untuk memilikinya.
Hakim memberitahu, beliau tidak mempunyai gelas yang banyak seperti itu. Akhirnya dia menghadiahkan gelas itu secara percuma kepada Pakcik Bahaya.

Monday, May 17, 2010

Info terbaru untuk pengguna viagra

"Saya kenal orang tua itu", katanya ketika kami melintasi lorong itu.
"Orang tua yang mana?"
"Yang menjual viagra itu," katanya sambil menunjuk kepada seorang lelaki yang duduk di sudut kedai itu untuk menjual segala jenis ubat yang diperlukan oleh orang yang ghairah nafsunya luar biasa, hingga tidak dapat lagi membezakan mana yang dilarang dan mana yang dibenarkan.
"Macam mana kenal?' saya bertanya Amai Shafiq, yang memandu kereta selepasa kami menyantap ikan bakar di kedai Lilok.
Menurutnya, setiap kali ke Keningau, beliau sering dipesankan untuk membeli viagra kerana di Keningau ia dijual dengan harga RM14.00. Harga biasanya ialah RM8.00 manakala di tempat orang tua itu, ia dijual dengan harga RM4.00.
"Jadi saya menjualnya kepada mereka dengan harga RM12.00," katanya sambil memberitahu, viagra itu dikatakan boleh meningkatkan rangsangan berahi.
Saya tersenyum mendengarnya kerana tidak menjangka bagaimana Amai Shafiq begitu kreatif dan cepat menyambar peluang untuk menjual viagra kepada kenalannya yang mencari viagra.
Lain di Keningau, lain lagi di Beaufort, katanya yang membuat saya terus tertarik mencdengar ceritanya.
"Di Beaufort, ada orang menggunakan viagra untuk menegangkan leher ayam jantan," katanya.
"Biasanya jika ayam sabung diberi makan viagra, lehernya akan tegang dan kuat dan boleh memenangi pertandingan sabung ayam," katanya lagi.
"Jadi viagra bukan saja untuk menegangkan `anu' tetapi boleh juga digunakan untuk menegangkan leher ayam," katanya yang membuat saya tertawa kerana mendapat info terbaru itu.

Friday, May 14, 2010

Catatan mengenai seorang bekas guru

Kehidupan bekas guru itu,bagi saya amat memprihatinkan. Selepas bersara, ternyata beliau dicengkam derita terus menerus.
Mengenangkannya saya selalu ditimpa dukacita. Tapi apakan daya saya tak mampu membantunya.
Cikgu itu, sebutlah namanya Cikgu A, merupakan seorang guru yang pernah memegang jawatan di Jabatan Pelajaran. Selepas pencen, wang pencennya itu dilaburkan untuk satu skim yang kemudian terbukti merupakan skim penggandaan wang yang menyalahi peraturan yang ditetapkan Bank Negara.
Cikgu A yang melaburkan banyak wangnya tertipu dan kehilangan wangnya. Tidak cukup dengan itu, dia juga ditipu kawan sendiri berkaitan pembelian kereta.
Cikgu A sebenarnya boleh bekerja secara sambilan dengan menggunakan kepakarannya dalam bahasa Inggeris tetapi isterinya pula kuat cemburu. Apatahlagi sebelum itu, Cikgu A pernah kedapatan mainmain dengan perempuan oleh isterinya.
Jadi Cikgu A tidak banyak melakukan kegiatan lain untuk menambahkan penghasilan selain wang pencennya yang sedikit itu.
"Mungkin dia ketulahan," kata seorang cikgu yang menjadi kawan rapatnya.
"Kenapa pula Cikgu? "saya bertanya.
"Dia tidak peduli ibunya hingga ibunya meninggal," katanya.

"Tapi sekarang, syukurlah Cikgu A selalu ke masjid," kata kawannya lagi.

Thursday, May 13, 2010

eyan mengkak, eyan mengkulung

Situasi yang hampir serupa dan tidak mempunyai perbezaan yang terlalu ketara, dalam masyarakat Bajau Kota Belud dapat digambarkan dengan peribahasa ini. Eyan mengkak, eyan mengkulung.

Orang Bajau di Bandau pula memerikan mengenai keadaan yang hampir sama dengan peribahasa ini. Eyan bida' ni baa ngko kalimbubut.

Kalimbubut ialah perkataan Bajau untuk bisul. Tetapi jika di Kota Belud, Kalimbubut adalah Bisul yang tumbuh dari bawah pusat ke ke kaki. Bisul yang tumbuh dari bahagian Puat ke atas dipanggil Biring.

Tetapi Bisul yang tumbuh di dalam bahagian dalam organ tubuh kita dipanggil `Baa'. Jadi apa bezanya Baa ngko kalimbubut? Jika kedua-duanya bermakna bisul, yang satu bisul di luar manakala yang satu lagi bisul dalaman.

Tak ada bezanya.Kedua-duanya bernanah, kata ayah saya.

Petua menjadi pemimpin dari sudut pandangan seorang Iranun

Ketika Daranda ingin berlayar meninggalkan kampung halamannya, Inayunan a Bembaran memberikan beberapa pesan atau petua kepadanya supaya sentiasa menjaga diri.

Pesan ini mungkin boleh dilihat dalam konteks yang lebih luas, bukan setakat pesan kepada Daranda tetapi sebagai sebuah pesan yang mengandungi pesan moral supaya kita sentiasa menjaga hatibudi, sentiasa menggunakan akal fikiran dan kebijaksanaan dalam membuat sesuatu perkara.

Nasihat ini merupakan salah satu nasihat yang terkandung dalam Darangen iaitu cerita epik masyarakat Iranun, yang kini hampir dilupakan.

Jika ingin dihormati, seseorang mestilah membuat satu keputusan yang tidak berdolak dalik, sentiasa bercakap benar, sentiasa menjadikan akal sebagai pedoman dan mengambil tindakan yang bijaksana.

Pemimpin yang baik sentiasa cintakan kedamaian dan tidak sukakan sengketa. Jika ada yang boleh dijernihkan , maka ia hendaklah mengambil langkah untuk menjernihkan suatu perkara. Pemimpin haruslah sentiasa mencari jalan yang damai buat orang-orang yang dipimpinnya.

"ya aki' kandatu',
su di' ta aked a inged
mangindulung su akal
mangulin su ungagen
paluba' su pandapat
begkes su kira-kira.

terjemahan bebasnya ialah,
Jika ingin dihormati di rantau orang,
akal dijadikan pedoman,
kebijaksanaan dijadikan haluan,
pendapat dipersatukan,
fikiran diperkukuhkan.

Untuk menjadi orang yang dihormati, atau menjadi seorang pemimpin, maka si Daranda hendaklah menjadikan akalnya sebagai pedoman dalam perjalanan hidupnya. Daranda juga dinasihatkan Sultan supaya sentiasa menjadikan bijaksana dalam membuat keputusan, mempunyai pendirian yang teguh, menyatukan pendapat dan supaya `paluba su pandapat, begkes su kira-kira'. Penyatuan pendapat dan pertimbangan hendaklah dijadikan keutamaan oleh sesorang yang ingin menjadi `datu' atau ketua ketika berada di perantauan.


makapitu i sandar
i karampana a dar
ugkabalui a rinau
baluien den a rinau


makapitu i sandar
ikaridu' a siri'
ugkbalui a linanu
baluien den a linanu'


tujuh kali didatangkan
kedukaan jiwa
jika dapat dijernihkan
maka jernihkanlah ia

tujuh kali dipandang
dengan rasa sengketa
jika boleh didamaikan
maka damaikanlah dia.

"Ugkabalui a rinau, baluien a rinau
ugkabalui a linanu, baluien a linanu".Ungkapan ini membawa pengertian yang mendalam dan membawa pesan yang boleh difikirkan masyarakat kita. Walaupun didatangi kedukaan jiwa dan rasa sengketa, kita haruslah memilih `yang jernih' dan `yang damai'.
Jika dapat dijernihkan, maka jernihkanlah ia.Jika boleh didamaikan maka damaikanlah ia.

Salah satu episid dalam Darangen, iaitu epik Iranun seperti yang dituturkan Tuan Haji Asmah Haji Ibrahim kepada Sdr Mabulmaddin Haji Shaiddin.

Wednesday, May 12, 2010

Catatan singkat dari Menumbok











Sepuluh minit sebelum jam 6.00 petang, kami sudah tiba di Terminal Feri Menumbok. Selepas minum sebentar di kedai Muhibah, kami bergegas ke jeti untuk menunggu speedboat terakhir ke Pulau Labuan.

Tambang biasanya RM15 ringgit seorang tetapi pada petang itu, kami dikenakan tambahan RM5 lagi kerana bot laju itu adalah bot yang terakhir ke pulau itu.Alasan yang diberikan oleh pengusaha bot ialah kerana bila balik nanti, tak ada orang lagi yang mahu menumpang ke Menumbok.

Itu tak jadi masalah kerana apa yang penting ialah kami sampai ke Pulau Labuan pada malam itu. Saya tertarik untuk melihat isu berkaitan perkhidmatan feri, yang nampaknya mendapat sorotan pro dan kontra.

Tetapi saya tidak memberitahu sesiapa kecuali Eksekutif Editor kami yang prihatin dan dapat memahami tugas seorang wartawan yang memburu berita.

Saudara Hussin mengajak saya untuk meninjau masalah itu dan sudi pula menemankan saya ke Pulau Labuan bersama Ramlan.Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan orangorang di sana, dan baginya, yang penting saya dapat menurunkan laporan yang seimbang mengenai perkhidmatan feri itu iaitu setelah saya melihat dengan mata kepala saya sendiri.

Maka pada petang itu, saya secara tergesa meninggalkan pejabat untuk ke Labuan. Kami berangkat dari KK kira-kira jam 4.00 petang dan dengan kelajuan yang sederhana kami tiba di Menumbok kira-kira jam 5.50 petang.

Saya tidak pernah menaiki bot laju ke Labuan kerana setiap kali ke sana, saya selalu menaiki feri dari Menumbok ke Labuan dengan tambang RM5 atau dari KK terus ke Labuan.

Tetapi pada hari itu, kami terpaksa menaiki bot laju kerana perkhidmatan feri berangkat jam 4.30 petang tadi.

Yang penting kami sampai ke Labuan pada hari itu.

Setiap bot boleh mengangkut penumpang seramai 12 orang. "Kalau mahu charter, boleh juga, bayar RM150 atau atau 20x12 orang," kata Abd.Mana, seorang kenalan baru, yang rupa-rupanya abang kepada sdr Jaafar Abd.Wahid.

Perjalanan mengambil masa kira-kira 25 minit untuk sampai ke Pulau Labuan.Sesampainya disana, kami ke Hotel Pulau Labuan tetapi telah penuh. Sebelum ke Beta Service Apartment di Ujana Kewangan, kami sempat makan di Restoran Malindo.

Selepas membeli berus gigi dan sedikit kami naik ke apartmen yang terletak di Tingkat 13.Malam itu, kami menonton perlawanan badminton peringkat suku akhir antara Malaysia dan Denmark. "Kalau kalahpun tidak apa, yang penting ada semangat melawan," kata saya kerana khuatir episod perlawanan antara Jepun dan Malaysia berulang. Namun pasukan Malaysia menang pada malam itu dengan kiraan 3-2, dan saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan beregu kedua Malaysia.

Saya sengaja berkurung di apartmen dan tidak menyertai Hussin dan Ramlan yang keluar melihat Labuan waktu malam. Saya ingin menyiapkan beberapa tulisan dan kemudian berasa geram kerana talian broadband yang agak slow. Tidak lama kemudian mereka pulang sambil membawa KFC kerana di Labuan turun hujan.

Saya teringat Sepupu saya. Bustamam yang kami panggil ustaz itu kerana dia memang bertugas sebagai Ustaz di Lubok Temiang.Dia baru saja selesai main futsal dan saya menelefon sekadar memberitahu bahawa saya berada di Labuan pada ketika itu. Haji Shuaib Nasir pula, orang kuat DPIM Labuan dan Majlis Belia Labuan sedang berada di KL ketika itu.
Saudara Ramlan dan Saudara Hussin terlibat dalam perbahasan mengenai berkaitan soal keadilan, isu politik semasa dan saya membiarkan mereka berhujah sambil saya menaip dan makan biskut.

Kami tertidur hampir jam 2.00 pagi dan saya berasa rimas kerana tidak dapat mengirimkan beberapa emel kerana talian yang agak perlahan pergerakannya.

Keesokan harinya selepas bersarapan, kami singgah membeli baju kerana kami tidak membawa baju untuk menyalin pakaian. Kami check out kira-kira jam 1.30 petang kerana pengusaha feri hanya dapat diinterview kira-kira jam 3.00 petang nanti.

Kemudian kami ke terminal feri, menyaksikan feri berangkat dan selepas itu saya mengajak mereka ke Jabatan Kaji Cuaca untuk mencari Robby A yang rupanya baru pulang rumah di Membidai selepas bertugas pada shift waktu malam.
Sementara Saudara Hussin dan Ramlan mengurut kaki refleksologi, saya mengambil kesempatan untuk menghantar beberapa berita dari Restoran Chicken King.

Kira-kira jam 3.30 petang, kami ke Choice untuk bertemu orang yang kami ingin temubual mengenai masalah feri. Selepas itu, kami ke Kampung Ayer Labuan untuk memulangkan kereta dan kemudian meminta denakan Jelani menghantar ke Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

Setelah penumpang cukup 12 orang, kami pun berangkat dari Labuan kira-kira jam 5.25 petang dan sampai jam 5.42 petang di Menumbok. Terdapat banyak kereta sewa sedang menunggu penumpang ke Kota Kinabalu dengan tambang RM30 seorang.

Tapi kami ada kereta sendiri.Sepuluh minit kemudian,kami meninggalkan Menumbok dan bergegas pulang ke KK.

Sunday, May 9, 2010

Dari perapat ke Kampung Andap


Pokok kayu pahappat mungkin tidak lagi tumbuh di kampung itu.

Atau mungkin saya yang tidak tahu mana satu yang dikatakan kayu pahappat.

"Dari nama pokok kayu itulah, kampung ini di sebut kampung perapat.Pada mulanya ia disebut pahapat," kata Cikgu Maikal Haji Silal, Guru Besar SK Perapat Laut Kudat.

Itulah kampung yang pertama dalam senarai program Ahli Parlimen Kudat, Datuk Haji Abdul Rahim Bakri pada hari itu.
Kami tiba kira-kira jam 9 lebih sedikit di kampung itu dengan menaiki Heli dari Tanjung Aru. Cuaca amat baik. Saya sekali lagi diberi peluang ikut serta untuk membuat liputan lawatan beliau turun padang itu.

Kampung Perapat Laut merupakan sebuah perkampungan yang cantik.Kebanyakan penduduknya dari suku Ubian, dan mempunyai kaitan kekeluargaan dengan almarhum Tun Mustapha.

Sebaik tiba, kanak-kanak mempersembahkan seni silat sebelum Datuk Rahim diiringi ke Khemah yang disediakan.

Khemah itu didirikan di tepi pantai. Kelihatan laut yang terbuka dan pemandangan yang cantik. Pemandangan yang cantik itu amat merisaukan Ali Umra, Pengerusi JKKK di kampung itu, kerana bimbangkan ia terhakis.
Katanya, beliau telah mengemukakan permohonan-by hand- kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai keperluan membina tembok kerana jika tidak lama kelamaan pantai itu akan terhakis oleh ombak.
Majlis yang dinamakan Program Mesra Rakyat itu dianjurkan oleh Kemas Kudat dan dihadiri penduduk kampung Perapat.

Pada majlis itu juga, Ketua Kampung, KK Kuyui Muddu membacakan `surat cinta' kepada Datuk Rahim, surat cinta penduduk kampung kepada pemimpin mereka.

Surat cinta itu berisi permintaan penduduk kampung yang memohon supaya mereka diberikan jalanraya,bekalan air dan khemah.

Dalam ucapannya, Datuk Rahim membalas `surat cinta' itu. Katanya jalanraya itu kini ditadbir satu syarikat konsesi dan kerana itu adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menaik taraf jalan raya Kampung Perapat Laut itu, tapi beliau berjanji untuk melihat masalah itu.
Mengulas mengenai bekalan air , beliau berkata masalah bekalan air itu dijangka dapat diatasi apabila Empangan Milau, yang kini sudah 85 peratus siap akan beroperasi kelak.

Selain itu, beliau meluluskan bantuan khemah kanopi untuk kegunaan penduduk kampung sewaktu majlis kenduri kendara dan sebagainya.

Selepas itu, kami ke Kampung Ayer Kudat. Di sana, Rahim menyampaikan bantuan kepada 25 NGO di kawasan Parlimen Kudat selain memberikan bantuan kepada masyarakat Cina.

Tidak lama selepas itu, kami bergegas pula ke SMK Kudat untuk Majlis Penghargaan dan Pengiktirafan Pelajar Cemerlang. SMK Kudat merupakan sekolah lamanya dan beliau pernah menuntut di sekolah itu pada tahun 74-78.

Beliau berbicara mengenai keperluan pelajar untuk menjadi orang yang serba boleh, yang menguasai pelbagai bidang, pelbagai bahasa dan sebagainya.

Selepas majlis penyampaian sijil itu, kami naik heli terbang lagi ke ke Kampung Andap Bangau Sikuati. Di dalam helikopter itu kami sempat mengunyah sandwich kerana tidak sempat makan dan terpaksa mengejar masa.

Orang-orang kampung Andap sudah menunggu. Mereka mengenakan sigah Rungus bagi menyambut ketibaan pemimpin mereka.

Di Kampung Andap, saya menyaksikan orang-orang tua menarikan tarian mongigol. Kalau biasanya, hanya gadis gadis yang menarikan tarian ini, di Kampung Andap Bangau, kelihatan warga tua cuba sedaya upaya meeka untuk menyuburkan minat terhadap lenggok tarian Mongigol itu.

Tetapi gadis-gadis Rungus memang cantik belaka. Saya sempat menyaksikan pertandingan Unduk Ngadau. Selain itu, pemuda bergusti tangan dan tarik tali untuk memeriahkan lagi Pesta Kaamatan itu.

Sempat juga menemuramah Datuk Rahim sebelum heli terbang balik ke Kota Kinabalu. Kami perlu `drop' Ampal di Kota Belud, dan selepas itu terbang lagi tetapi hujan dan angin kemudian memaksa kami berpatah balik ke padang Kota Belud kira-kira jam 5.00 petang dan kemudian menuju Restoran Mayang sari dan makan soto ayam sambil menulis berita mengenai heli yang mendarat cemas itu.

saya anggap dia Hero


Walaupun saya agak terlambat mengenalinya, saya menganggapnya seorang hero.
Mungkin dia hanya orang biasa, seorang apek tua berusia 67 tahun.Mr Voo namanya.Bagi saya dia orang yang luar biasa meskipun dalam kehidupannya ia tampak lebih bersahaja.Apa istimewanya orang ini sehingga ia diberikan sijil penghargaan oleh SMK Kudat kelmarin atas jasa dan baktinya.
Meski rasa berbahagia,Mr Voo tidak menganggap dirinya hero.Dia hanya berbuat seperti apa yang orang lain buat.Dua hanya melakukan apa yang sepatutnya dia lakukan.
Dia tak menuntut apa-apa.Dia tak meminta apa-apa malah dia tidak peduli sama ada orang akan mengingat jasanya atau sebaliknya.Dia juga tidak punya apa apa untuk diberikan kepada orang.Dia tidak punya harta berlimpah,ilmupun tidak setinggi mana.
Mr Voo hanya punya sebuah telaga.Telaga itupun, seperti yang diakuinya dibuat oleh nenek moyangnya sewaktu dulu tiba di Kudat, ratusan tahun yang lalu.
Telaga sedalam 14 kaki itulah, yang dipenuhi air berisi budi dan jasa untuk orangorang yang pernah menggunakannya.Puluhan tahun lamanya,barangkali lebih 20 tahun, telaga itu menjadi sumber air buat pelajar-pelajar sekolah di sekelilingnya.Pelajar-pelajar sekolah yang perlukan air pada ketika bekalan air tidak mencukupi, pada ketika kemarau, pada ketika mereka tidak punya pilihan lain melainkan ke telaga itu mencari air.Setiap pagi, atau jam 4.30 petang hingga malam, Mr Voo membiarkan pelajar-pelajar itu mandi, membasuh kain, dan mengangkat sebaldi dua baldi untuk bekalan di asrama.
"Kalau Mr Voo mengenakan 50 sen saja untuk setiap pelajar, setiap hari, selama dua puluh tahun lamanya, barangkali Mr Voo sudah kaya," kata Pengetua SMK Kudat,Teh Seng Chai.Mr Voo hanya tersenyum. Tak pernah terlintas di hatinya untuk meminta bayaran.Rumahnya terletak di jalan bomba.Mr Voo Min Khon begitu prihatin terhadap kehidupan pelajar-pelajar terutamanya mereka yang sukar mencari air.
Dia punya telaga.Telaga itu tak hentihentinya terus menerus menjadi sumber bekalan air. Entah berapa ratus orang, atau berapa ribu pelajar dari sekolah-sekolah sekelilingnya yang pernah menggunakan air telaga itu untuk kegunaan seharian mereka.Mr Voo mungkin tidak punya banyak harta benda.
Dia hanya punya telaga.Dia bukan hanya mempunyai telaga yang berisi air . Dia punya telaga yang berisi keikhlasan dan kebaikan.Dari raut wajahnya, saya kira dia gembira ketika menerima sijil penghargaan dari pihak sekolah yang disampaikan oleh YB Datuk Abdul Rahim Bakri, Ahli Parlimen Kudat yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia.
Tapi saya tidak sempat bertanya apa perasaannya.Saya hanya ingin melihat dimana telaga itu.Apakah kita juga memilikinya?

Heli mendarat cemas di padang KB


Hujan lebat di Kota Kinabalu, begitu yang saya dengar melalui percakapan antara Kapten Ridzwan dan menara kawalan.

Tapi kami harus pulang dan perlu sampai di ibu negeri sebelum jam 5.00 petang.

Di Kampung Andap Bangau Sikuati, cuaca agak baik. Tetapi dikhabarkan hujan sudah melanda ibu kota.

"Kita cuba, setakat mana boleh terbang," kata Kapten.

Heli yang kami naiki terbang beberapa minit sebelum jam 4 petang. Ia terbang rendah menyusuri pantai.

Kami perlu singgah di Kota Belud, kerana Ampal, penyanyi terkenal Sabah itu turun di sana. "Nanti kami drop kamu disana," kata Datuk Rahim.

"Jangan drop Datuk,kalau drop nanti tak hidup lagi," katanya bercanda.

Ketika kami sampai di atas langit Rampayan, hujan gerimis sudah turun. Tidak lama kemudian heli hinggap di Padang Kota Belud untuk menurunkan Ampal kerana beliau dijangka membuat persembahan di Kota Belud malam ini.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu `orang kita' itu telah berjaya menghiburkan peminatnya dalam sambutan Pesta Kaamata di Kampung Andap Bangau dengan lagu-lagu dan telatahnya.

Selepas itu, kami terbang lagi dengan harapan dapat menembus cuaca atau paling tidak pun turun di padan pekan Tuaran.Di sana lebih dekat.

Tetapi sesampainya berhampiran Penimbawan, mendung tebal kelihatan dan di kejauhan sana hujan turun dengan lebatnya.

Kami terpaksa berpatah balik dan kemudian turun semula di padang pekan Kota Belud.

Selepas itu, kami minum di Mayang Sari sementra kapten terpaksa menunggu mengawasi helikopternya.

Biasanya heli tidak boleh terbang kala hujan turun atau tidak dibenarkan terbang di waktu malam kerana tidak mempunyai lampu.

Sambil makan soto di Restoran Mayang Sari itu saya sempat menghantar nota wartawan kepada Sdr.Lichong, Eksekutif Editor kami yang prihatin itu dan memberitahukan peristiwa yang telah menimpa kami.

Syukurlah juga kerana sempat bersembang dengan YB Datuk Haji Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pengangkutan, Haji Sairin, Saidi, kemudian Ampal dan krunya, Mohd.Fairuz wartawan TV3.

Kapten terpaksa meletakkan helikopternya di Balai Polis dan kami meneruskan perjalanan menerobos senja ke Kota Kinabalu. Di pertengahan jalan di hadapan Putrajaya Telipok kereta bersusun kerana kesesakan.Kami mencuba laluan ke jalan Telipok tetapi kemudian juga dinaiki air namun kami dapat melaluinya.

Kami sampai di KK tetapi kemudian tak sampai hati menghampakan pelawaan Datuk Rahim yang mengajak kami makan di sebuah restoran di Tanjung Aru.

Friday, May 7, 2010

Pensiangan dilanda banjir paling buruk


PENSIANGAN DILANDA BANJIR PALING BURUK SELEPAS 29 TAHUN
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

PENSIANGAN: Sebuah rumah panjang, sembilan buah rumah persendirian, tiga buah rumah PPRT, sebelas buah jambatan gantung, empat buah jeti dan lima `water graviti' dihanyutkan arus deras atau rosak teruk dalam kejadian banjir pada Khamis, yang dianggap paling buruk melanda Pensiangan dalam tempoh 29 tahun, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Nabawan, Datuk Bobbey Suan.

"Kejadian banjir itu berlaku selepas hujan lebat turun disertai petir mengakibatkan air sungai Saliuh yang bertembung dengan Sungai Tagol melimpah kira-kira jam 4.00 pagi (hari Khamis) menyebabkan banjir bertambah teruk melimpah hingga Ke Logongon, Pagalungan," katanya yang melawat mangsa banjir di Pensiangan dengan menaiki helikopter kelmarin.

Sebelum ini, hasratnya untuk melawat tempat kejadian pada Khamis terpaksa ditangguhkan apabila terpaksa berpatah balik selepas jalanraya yang menghubungkan Sepulut dengan Pensiangan terputus dan tidak dapat dilalui.

Beliau berkata, kerugian dianggarkan melebihi RM1 juta tidak termasuk harta milik persendirian seperti tajau, periuk belanga malah dokumen seperti surat beranak, kad pengenalan dan sebagainya. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian kali ini.

Bobbey yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan memberitahu, banjir seburuk itu tidak pernah berlaku di Pensiangan walaupun rekod menunjukkan bahawa kejadian banjir pernah melanda Pensiangan pada 1971.

"Sepuluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 1981,sekali lagi banjir berlaku di Pensiangan mengorbankan dua jiwa," kata Bobbey yang secara kebetulan berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Nabawan ketika itu.

Beliau menyifatkan kejadian banjir kali ini agak besar sehingga melibatkan kampung halamannya sendiri, iaitu di kampung Tampanon. "Air sungai melimpah lebih 20 kali dari paras biasa.

"Seumur hidup saya, tidak pernah berlaku banjir sebegitu di kampung saya," kata Bobbey kepada Utusan Borneo selepas melawat lokasi kejadian diiringi Pegawai Daerah, Bubudan OT Majalu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah dan Penolong Pegawai Daerah (Pagalungan), Sukiang Ensing.

Beliau juga memberitahu, tiang-tiang elektrik rebah menyebabkan bekalan elektrik terputus di Pensiangan tetapi hubungan melalui telefon tidak terjejas kerana menggunakan satelit.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa syukur kerana banjir mulai surut kelmarin dan mangsa-mangsa yang terlibat telah diberikan bantuan.

Katanya, walaupun hubungan jalan raya masih terputus tetapi laluan melalui sungai dengan menggunakan bot enjin kini boleh dilalui.

Beliau berkata, kerajaan akan membaiik pulih 11 buah jambatan yang hanyut, jeti dan bekalan air graviti untuk kepentingan masyarakat di Pensiangan.

Bobbey juga menasihatkan supaya masyarakat tempatan supaya tidak membina rumah yang `terlampau' dekat dengan sungai terutamanya di kawasan riapriant reserve iaitu beberapa kaki dari tebing sungai.

"Kita harus berhati-hati dan menjauhkan diri dari ancaman bahaya terutamanya jika banjir belaku seperti ini," katanya.

Beliau juga memberitahu, 19 buah keluarga yang terlibat iaitu tujuh di rumah panjang, sembilan keluarga di rumah persendirian, dan tiga keluarga PPRT telah diberikan bantuan makanan dan kini mereka tinggal di rumah saudara mara.




TERJEJAS...Antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di Pensiangan

Racun Semut! Racun Tikus!

Racun semut! Racun Tikus! Racun Semut, Racun Tikus. Racun semut racun tikus!
Jikalau anda pernah ke tamu Jalan Gaya, atau berjalan-jalan di Sinsuran atau Segama, tentu anda pernah mendengar kata-kata ini.
Ia hampir jadi ikon kota ini bahkan secara konsisten sejak mungkin lebih 15 tahun lalu, suara ini tetap kedengaran jika anda berkunjung ke pasar, ke tamu malah sudut-sudut di ibu negeri.
Racun semut, Racun Tikus.
Ia diteriakkan berulang-ulang oleh seorang lelaki cina, yang selama puluhan tahun menjual racun semut dan racun tikus. Empat patah kata itu hampir secara eksklusif menjadi miliknya.Hanya dia saja yang mengucapkan, melaungkan, meneriakkan, melagukan, menyanyikan kata-kata itu.Racun semut! Racun Tikus!
Saya hampir lupa kewujudan orang ini kalau saya tidak terdengar seorang yang lain, cuba menirukan suaranya ketika kami sedang makan di satu tempat yang dinamakan Kampung Nelayan di Bukit Padang.Saudara Sh.Sahar belanja makan. Daia cepat mengingatkan kepada saya mengenai racun semut racun tikus dan menduga kemungkinan lain untuk menterjemah kata-kata itu.
Mungkin kau boleh tulis betapa banyak tikustikus dalam dunia politik kita,katanya separuh bercanda.Merenung makna tikus, tikus tikus, menikus, dan makna tikus tikus lain, fikiran saya menerawang jauh. Tapi saya teringat lelaki setengah baya itu meneriakkan kata-kata itu.
Kenapa dia mengajak, mendorong, menyuruh, menggesa orang membeli racun. Mengapa racun yang dipilih olehnya untuk dijual.Saya fikir tujuannya holistik dan bukan semata cari keuntungan.
Racun Semut Racun Tikus?
Racun Semut Racun Tikus!
Bayangkan betapa lama orang ini berkempen supaya orang meracun tikus kerana sang tikus boleh membawa penyakit yang boleh menjangkiti manusia. Racun tikus racun tikus!, katanya. satu ringgit satu ringgit!
Hanya dengan satu ringgit kita boleh memerangkap tikus dan mengekalkan kebersihan di tempat kita.
Kalau banyak semut yang mengganggu, kita boleh membeli racun semut daripada penjual racun ini.
Tetapi yang membuat saya tertanya tanya kepada diri saya ialah betapa saya kurang peduli kepada orang ini, padahal sudah bertahun tahun saya melihatnya menjual racun semut dan racun tikus dengan gayanya yang tersendiri.
Dia sebenarnya salah satu ikon di kota ini, tanpa orang menyedarinya.
Siapa namanya? saya tidak pernah bertanya. Di mana dia tinggal? Sayapun tidak tahu?
Yang jelas melalui usahanya itu, beliau mendapat pulangan yang lumayan. Dengan itu beliau mampu hidup dan survive.
Mungkin juga kita tak perlu mengenalinya.Tetapi mahu tidak mahu kita harus akui bahawa dia telah berjuang buat sekian lama menjual racun semut dan racun tikus bukan semata untuk mendapat keuntungan tetapi untuk memastikan orang lain tidak diganggu oleh tikus atau semut.Supaya orang lain boleh nyenyak tidur tanpa terganggu.
Ya, benar-dia hanyalah penjual racun semut dan racun tikus tetapi dia telah mewarnai kehidupan di kota ini buat sekian lamanya.
Racun semut! Racun Tikus! Racun Semut! Racun Tikus!
Caranya mengalunkan suara memang `khas' dia sehingga bila orang cuba menirukan suara itu, kita akan cepat teringat kepada seorang lelaki, mungkin umurnya belum 50, yang secara konsisten menjual racun semut dan racun tikus sejak puluhan tahun lamanya.
Hi, agaknya adakah tikus tikus kecil dan semut semut kecil dalam tubuh kita ini ya? Dalam jiwa kita ini?

Monday, May 3, 2010

Buah jatuh tidak jauh dari pohonnya

Buah jatuh tidak jauh dari pohonnya. Menarik sekali kata-kata ini untuk difikirkan.Adalah benar, buah jatuh tidak jauh dari pohonnya.Hanya buah yang jatuh ke dalam sungai dihanyutkan oleh arus.Hanya buah yang dicuri orang,tak sempat jatuh seperti yang selalu berlaku di depan rumah kami di Kampung Titingan Hujung. Pokok mangga yang ditanam oleh mertua saya itu menghasilkan buah yang besar dan cantik. Oleh kerana itu, setiap kali berbuah, buahnya selalu saja diambil orang, sehingga tak sempat jatuh.

Buah jatuh tidak jauh dari pohonnya.Kalau ia jatuh di tempat yang berjauhan dari pohonnya, pastilah ia disebabkan oleh sesuatu yang luar biasa, misalnya oleh tiupan angin, oleh burung-burung dan sebagainya.

Kalau ada buah yang jatuh jauh dari pohonnya, pastilah ia sesuatu yang ganjil dan luar biasa.

Saturday, May 1, 2010

Pertemuan dengan Cikgu Raskan

Saya sedang menunggu tukang masak menyiapkan maggi rebus ketika saya melihat Cikgu Raskan Asing sendirian berjalan di Jalan Gaya. Mantan ADUN dilantik ketika zaman Berjaya ini meninggalkan banyak jasanya untuk anak negeri ini.
Saya mengajaknya minum. Tetapi beliau lebih suka minum teh di sebelah dan berkira-kira mahu mengajak saya ke restoran sebelah jalan. Tapi saya sedang menunggu maggi rebus kerana entah kenapa tiba-tiba terasa ingin makan maggi. Kalau isteri saya tahu, mungkin beliau akan berceramah panjang mengenai tabiat pemakanan saya yang kurang menyihatkan.
"Apa berita terkini?" tanyanya kepada saya sambil duduk. Saya mempelawanya minum tetapi beliau hanya membuka kotak rokoknya.
Tak ada apa apa berita yang luar biasa, saya memberitahunya. Kerana jarang bertemu tokoh ini, saya cepat bertanya keadaan di zaman dulu.
Beliau pernah menjadi Pengerusi Ko Nelayan dan dilantik sebagai ADUN lantikan di DUN Sabah, bergelar YB atau Yang Berhormat ketika zaman pemerintahan Datuk Harris. Datuk Harris memang diakui banyak membawa pembangunan di Sabah dan ketika masa jayanya, banyak agensi kerajaan telah ditubuhkan seperti Ko Nelayan, Korporasi Pembangunan Desa, Kosan, Safoda, Sama dan banyak lagi. "Ada lebih sepuluh agensi kerajaan ditubuhkan ketika zaman Datuk Harris," katanya.
Sebelum menceburi bidang politik,Cikgu Raskan pernah terlibat secara aktif dalam kegiatan bahasa dan sastera. Beliau merupakan salah satu tenaga penting dalam penubuhan Angkatan Gaya Baru (AGABA) yang dipimpin oleh Tun Fuad sebagai Yang DiPertua dan K.Bali sebagai Setiausaha.
Selepas lulus di Kent College, Cikgu Raskan ditempatkan di SK Ratau, Ranau sekitar tahun 58. Antara muridnya ialah Tan Sri Kasitah Gaddam dan Datuk Masidi Manjun. Sampai sekarang, jika bertemu, Masidi yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan danAlam Sekitar masih memanggilnya Cikgu.
Selepas itu, beliau telah berpindah ke SK Buit Hill Putatan selma empat tahun sebelum bertugas di SK Tanjung Aru. Di sinilah beliau aktif dalam kegiatan memperjuangkan bahasa dan sastera. Di kalangan, orang-orang yang menubuhkan AGABA, semuanya sudah meninggal dunia, tinggal beliau seorang diri.
Sekembalinya dari mengikuti kursus Colombo Plan selama enam bulan di New Zealand pada tahun 1961-62 , beliau pulang ke Sabah ketika Sabah mencapai kemerdekaan pada 1963. Beliau kemudian ditugaskan di Kota Kinabalu sebelum dipindahkan ke Kudat. Sebaik-baik SMRK Taun Gusi dibuka, Cikgu Raskan Asing menjadi pengetuanya yang pertama. Kemudiannya beliau dipindahkan sebagai Penyelia Hisab Sains di Jabatan Pelajaran sebelum mengambil keputusan menceburkn diri dalam bidang politik.
Saya sempat bertanya mengenai cabaran-cabaran guru pada zaman 60-an dahulu, bagaimana sikap ibubapa mereka terhadap pelajaran.
"Dahulu tidak seperti sekarang.Dahulu ibubapa tidak bimbang kerana mereka cukup makan, tidak payah bersusah susah. Tapi sekarang kesedaran mengenai betapa pentingnya pelajaran, sudah tertanam di jiwa ibu bapa," katanya.
"Minum pakcik," kata saya. Sementara mata saya melihat pelayan Restoran Asrin (dulunya Restoran Banu) yang belum juga membawa maggi rebus yang saya pesan sejak tadi.
Saya sempat mengorek pengalaman-pengalamannya dulu. Banyak topik yang kami bicarakan sehingga saya tidak sedar bahawa bukan maggi rebus yang dibawa oleh peekerja restoran itu sebaliknya maggi goreng.
Selepas makan, Pakcik Raskan pula yang membelanja makan kerana katanya "kita bukan selalu jumpa".