Monday, December 27, 2010

catatan selepas majlis penyampaian HSS 2008/2009


HANYA pemetik gambus yang sedang mengemaskan alat-alat muziknya yang tertinggal dalam dewan sementara para tamu kehormat yang dimuliakan, para penerima hadiah yang bertuah, dan hadirin bersiap-siap untuk pulang ke rumah masing-masing.

Dewan yang kosong itu meninggalkan kehebohan dalam diri.Nyaring sekali.Baru sebentar tadi,orang-orang sastera berhimpun untuk meraikan pemenang-pemenang Hadiah Sastera Sabah 2008/2009.Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif dengan senang hati menyampaikan hadiah kepada 12 pemenang.

12 pemenang?
Ya, kali ini 12 pemenang, dengan 13 karya terbaik.Kenapa begitu sedikit? Sebelumnya HSS menyediakan hadiah untuk 10 pemenang genre puisi, 10 untuk cerpen, juga esei kritikan, drama dan sebagainya. Kali ini terdapat hanya 5 pemenang untuk genre puisi dan lima pemenang untuk genre cerpen.

Walau demikian, Ketua Pengarah DBP Malaysia, Dato' Haji Termuzi Abd.Aziz mengatakan bahawa "Hadiah Sastera Sabah yang diadakan sejak tahun 1990 ini tidak harus menjadi kegiatan rutin dwitahunan, sekadar untuk menyenangkan hati para penulis dan golongan sasterawan semata-mata, tetapi harus menjadi peristiwa yang lebih bermakna, lebih megah dan mempunyai impak yang luas terhadap rakyat Sabah".

Lebih megah? Saya hadir hampir semua majlis penyampaian HSS sejak tahun 1990 dan saya berani mengatakan bahawa majlis kali ini agak luar biasa kerana berbanding tahun-tahun sebelumnya, majlis ini tak ada buku cenderamata yang memaparkan biodata pemenang HSS.

Benar bahawa kali ini penulis diarak masuk dengan bunga manggar tetapi mereka tidak pula diperkenalkan kepada hadirin seperti apa yang dilakukan ketika majlis penyampaian anugerah juara lagu.

Sayangnya, juara puisi atau juara cerpen atau novel atau esei kritikan pada kali ini tidak diperkenalkan biodata ringkas mereka malah tidak tercatat dalam buku cenderamata seperti tahun yang swudah-sudah.

Aroma hadiah sastera kali ini juga kurang harum kerana tidak diadakan semegah dan semeriah dahulu.Bajetnya barangkali kepepet tetapi kita masih melihat adanya perkara-perkara yang perlu dibaiki. Alangkah baiknya kalau ada persembahan lagu-lagu puisi, persembahan baca puisi yang menang pada tahun tahun sebelumnya,jika tak boleh baca puisi yang menang HSS kali ini, alangkah baiknya jika ada pembacaan fragmen novel atau baca cerpen, jadi mungkin tak perlu kita mengadakan persembahan tali gantung dan menyatakan kita dianiayai seperti persembahan yang diadakan pada malam itu kerana ia kurang relevan dalam majlis seperti itu. Mungkin persembahan itu boleh diterima kalau ia merupakan satu babak dalam tumpalak rundum, iaitu skrip drama pentas yang menang HSS.

Persembahan teater pada malam itu, biarpun menarik tetapi menjadi kurang menarik kerana penganjur hanya memikirkan pengisian majlis dan bukan bagaimana menjadikan majlis HSS sesuatu yang bermakna dan sempurna.

Entah kenapa HSS 2008/2009 diadakan majlis penyampaiannya iaitu empat hari sebelum tahun 2011.Mungkin panel yang arif tidak dapat memberi penilaian dan keputusan dalam satu tahun ataukah mereka hanya dapat bahan dari urusetia dalam waktu yang tidak memadai.

Jika HSS diadakan pada bulan April atau Mei atau Jun atau Ogos,atau katakanlah September sempena Hari Malaysia, atau selewatnya Oktober, barangkali majlis itu tidak akan kelihatan sebegitu kelam kabut dan seolah-olah terpaksa diadakan untuk menyenangkan hati penulis. Barangkali pemilihan waktu pada Disember boleh diawalkan lagi, jika tidak mahu berdepan risiko hujan, risiko kesesakan hujung tahun dan sebagainya.

Kita dapat memberikan pujian kerana kali ini gambar pemenang ditayangkan di slide ketika diumumkan sebagai penerima hadiah, walaupun tidak semua, tetapi mungkin lebih baik jika nanti ia dibuat dengan lebih elok lagi.

Hadiah Sastera Sabah 2008/2009 adalah majlis yang begitu bermakna buat penulis dan DBP sendiri. Seperti kata, Dato Termuzi, DBP akan terus menghargai peranan dan sumbangan penulis dan sasterawan. Tetapi pada masa yang sama, timbul juga pertanyaan mengapa HSS yang sepatutnya diadakan dengan meriah itu hampir kehilangan ikatan dengan penulis Sabah?

Ada penulis yang menyatakan mereka tidak tahu adanya majlis itu.Ada yang memberitahu mereka tidak dijemput, ada juga yang terkejut kerana tidak seperti tahun-tahun sebelumnya majlis penyampaian kali ini tidak diwarwarkan, tiada publisiti yang mencukupi malah masih terjadi `typing error' di saat-saat akhir sehingga Pengarah DBP Sabah Zubaidi Abas tidak menyebutkan nama pemenang genre cerpen pada malam itu pada ketika dia menyebut nama-nama pemenang yang lain.

Itulah sebahagian keriuhan yang tertinggal dalam diri ketika majlis itu berakhir. Masih ada orang-orang yang sedang sibuk dalam sesi bergambar sekadar tanda bahawa mereka pernah hadir dalam majlis yang paling berprestij untuk sastera sabah.

Majlis berprestij itu kehilangan prestijnya, lebih disebabkan oleh kurangnya perhatian dan komitmen kita sendiri.Tahniah buat pemenang, tahniah buat DBP dan tahniah kerana masih bersusahpayah menganjurkan HSS 2008/2009 ditengah-tengah kekurangan dana dan terpaksa pula `berpacu dengan waktu' untuk menjayakannya.

Sunday, December 26, 2010

Pengumuman Hadiah Sastera Sabah 2008/2009


KOTA KINABALU: Dua cerpen dan tiga puisi yang tersiar dalam akhbar Utusan Borneo terpilih sebagai antara 13 harya yang memenangi Hadiah Sastera Sabah 2008/2009 yang diumumkan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah, Zubaidi Abas, petang ini.

Cerpen `Sebuah Cerita di Aidil Fitri' karya Aliuddin Mohd.Salleh yang tersiar dalam Utusan Borneo 29 Disember 2008, dan cerpen `Kerana Harmon' karya Ruhaini Matdarin yang tersiar dalam Utusan Borneo 24 April 2008 adalah antara lima cerpen yang terpilih daripada lebih 300 cerpen yang dinilai untuk hadiah sastera itu.

Cerpen-cerpen lain yang turut menang ialah Mutiara karya Pena Alam atau nama sebenarnya Rita Robert Rwantas yang tersiar dalam majalah Wadah Disember 2009, Kemboja Di Pusara karya Juri Durabi yang tersiar dalam Jendela Sabah Disember 2009, dan Ain karya Sitti Rahmah G.Ibrahim yang tersiar dalam Wadah September 2009.

Sementara itu, puisi bertajuk `Kupu-Kupu Laut" karya Pena Alam yang tersiar di Utusan Borneo 17 Mei 2009, Sebuah Gambar karya Mabulmaddin Shaiddin yang tersiar dalam Utusan Borneo 8 Januari 2009 dan puisi Hasnah Anjam bertajuk Padamu Tanah Terbilang, Inilah Sajak Penghormatan yang tersiar dalam Utusan Borneo pada 7 Julai 2008 turut terpilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Sabah bagi genre puisi.

Puisi-puisi lain yang menang ialah puisi bertajuk `Syukur Merdeka" karya Mohd.Zain Assoh yang tersiar dalam Wadah September 2009 dan Resah Puisi karya Abdul Manaf Kamaruddin yang tersiar dalam Harian Ekspress 15 Jun 2008.

Karya puisi itu dipilih daripada sejumlah 1,267 puisi iaitu 653 bagi tahun 2008 dan 614 puisi bagi tahun 2009 yang tersiar dalam pelbagai media tanahair.

Bagi genre Novel, penulis Ismail Haji Salleh menang melalui novel Iradat yang terbitan DBP 2008 manakala bagi genre drama, skrip Tumpalak Rundum karya Abd.Karim Gullam dan Nurul Syafiqah Abdullah terpilih sebagai penerima hadiah mengalahkan 10 skrip drama pentas yang dinilai.

Genre Esei Kritikan pula dimenangi Raymond Majumah melalui esi bertajuk Integrasi Sosial dalam Karya Kreatif Sabah yang tersiar dalam Jendela Sabah April 2008. Esei ini dipilih daripada 63 buah esei kritikan yang dinilai sepanjang 2008/2009.

Hadiah Sastera Sabah diadakan sejak tahun 1990 merupakan salah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan para penulis Sabah khususnya dalam penghasilan karya yang baik dan bermutu.

Majlis penyampaian Hadiah Sastera Sabah 2008/2009 akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Abdullah di dewan Besar DBP Sabah bermula jam 7.30 malam esok-27 Disember 2010.

Saturday, December 25, 2010

Dongeng Datu Matundun,Makil dan Bainili

Kebijaksanaan,perjuangan, survival, tipu muslihat atau dalam bahasa sekarang strategi dapat dipelajari dengan baik jika kita meneliti dan menghayati cerita mengenai Datu Matundun, Makil dan Bainili.

Datu Matundun adalah raja segala monyet, Makil seorang petani dan isterinya Bainili yang cantik rupawan dikisahkan bertanam tebu dan jagung sebagai sumber penghidupan mereka.

Dalam dongeng atau Iringa' Iranun yang terkenal itu,Makil dan Bainili diceritakan selalu saja ditimpa kesedihan kerana tanam-tanaman mereka sering dirosakkan dan dimusnahkan monyet-monyet yang berkeliaran di pinggir hutan. Sebaik melihat Makil dan Bainili bertanam jagung, dan ketika buahnya hampir masak, datanglah gerombolan monyet itu untuk memakan seterusnya menghabiskan tanaman pasangan suami isteri itu.

Setiap kali menanam, setiap kali monyet menyerang tanaman mereka.Kerana jumlahnya banyak, mereka tak dapat melawan, apatahlagi monyet-monyet itu mempunyai seorang raja bernama Datu Matundun.Ia sangat ditakuti, disegani oleh rakyatnya.

Kerana tidak tahan dengan perlakuan monyet-monyet yang tidak bertimbangrasa itu, berpakatlah mereka mencari kaedah untuk mengusir monyet-monyet itu, bahkan kalau perlu, membunuh mereka supaya tidak lagi mengacau tanam-tanaman.

Syahdan, maka Makil dan Bainili beroleh akal. Apa akal? Mereka berpakat untuk mengelabui monyet-monyet itu dengan meminta Makil pura-pura mati, dan Bainili pura-pura sedih dan menangis.

Pada mulanya tangisan Bainili itu tidak dipedulikan kawanan monyet itu.Tetapi apabila semakin lama, raungan tangis Bainili semakin menghiba, maka datanglah mereka bertanya apa yang sudah terjadi.

Tidak lain dari Datu Matundun sendiri yang datang untuk menyelidik perkara itu setelah mendengar ratap tangis itu, apatah lagi, Datu Matundun menyimpan hati dan jatuh cinta kepada Bainili, isteri Makil yang jelita itu.

"Kenapa adinda bersedih dan menghiba seperti ini?" Begitulah kira-kira pertanyaan Datu Matundun. Pertanyaan itu dijawab Bainili dengan tangisan. Tetapi kemudian dicelah-celah tangisnya itu, dia berkata "Uda' matai si Makil, mapia i mokmok, mamis i ka pagadad"
Kalaulah Makil tidak mati, dia seorang yang baik pekerti dan tanam-tanaman semua menjadi. Mamis i ka pagadad, boleh dihubungkan dengan tebu yang manis atau tanaman tebu yang tumbuh manis dan sedap pula.

Datu Matundun memujuk supaya janganlah Bainili bersedih ada, kerana dia bersedia menjadi pengganti.Seperti yang dirancang, Bainili bersetuju. Makil yang ketika itu berpura-pura mati hampir saja tidak dapat menahan hati mendengar pengakuan Bainili itu.Dia melirik kepada anjing-anjingnya yang telah disembunyikan terlebih dahulu dalam peti agar ia boleh menerkam Datu Matundun dan pengikut-pengikutnya.

Mendengar persetujuan Bainili itu, Datu Matundun tersangatlah gembira.Tidak terasa bahawa betapa mudah mendapatkan Bainili si jelita.Malam itu mereka berpesta. Semua pengikutnya menjamu selera kecuali seekor monyet yang bunting tidak bernama yang hanya bersandar di pintu rumah.

Datu Matundun sangat yakin dengan ketampanan dirinya. Kegagahan dan keberanian yang sukar ditandingi ketika itu.Dia pernah bercermin di jernih telaga, menatap wajahnya. Dia berkata"

uda' su tandungku
kamalayuan makau
uda' su burungusan
kasulugan kumulang
ka magindanaon aku

Dalam bayuk yang dituturkan semula OKK Haji Masrin Haji Hassin berkisah bahawa kononnya Datu Matundun berkata kalau bukan kerana tandung atau jambulnyanya, dia boleh melanglang hingga ke Semenanjung Tanah Melayu mahupun negeri Cina iaitu Macao.Uda su tandungku,Kamalayuan Makau bermaksud jika bukan kerana jambulnya beliau boleh merantau hingga tanah semenanjung atau negeri- negeri Melayu dan Macao, di negeri Cina yang ketika maju.
Uda Su Burungusan, kasulugan Kumulang, ka magindanaon aku.Kalau bukan kerana wajahnya yang dipenuhi bulu, sudah tentulah ia boleh pergi ke negeri Sulu dan Magindanao.

Dalam versi lain, disebutkan bahawa Datu Matundun berkata kalau bukan kerana jambulnya, ia boleh menjadi datu atau ketua di Brunei dan kalau bukan kerana wajah berbulunya itu, dia boleh jadi ketua di Magindanao.

u kena su tandunganku
mikindatu burunai aku
u kena su burungusanku
mikimangindanao aku.

Walau demikian, Datu Matundun tetap inginkan Bainili. Menurut cerita, kononnya ketika berahinya tidak dapat ditahan lagi, beliau mengejar Bainili, yang berlari lari pula berkeliling rumah.Makil yang sudah tidak boleh lagi bertoleransi melihat skenario itu,akhirnya bingkas lalu menendang tutup peti dan melepaskan anjing-anjingnya, yang terus saja menerkam, lalu menggigit dan membunuh Datu Matundun dengan segala pengikutnya. Hanya sesekor yang dapat lari, iaitu monyet yang hamil tua yang tadinya sedang duduk dipintu.

Kisah dongengnya ini sebenarnya panjang dan dramatik.Tetapi sekadar memperlihatkan betapa kerakusan, juga ketamakan boleh dikalahkan.Betapa si lemah, dalam hal ini, Makil dan Bainili juga boleh menang dalam pertarungan kerana mereka menggunakan strategi. Strategi boleh digunakan untuk mengalahkan kerakusan kuasa dan tamak haloba Datu Matundun, yang masih tidak dapat menyembunyikan kesukaan kepada perempuan cantik walaupun menyedari dirinya hanyalah seekor monyet.

Namun begitu, walaupun Datu Matundun Raja Monyet, dia mengatakan bahawa kalau bukan kerana kudrat dan ketentuan yang diberikan padanya, ia boleh saja menakluk benua, meskipun sampai ke Kamalayuan Makau-negeri melayu dan makau atau kasulugan kumulang, ka magindanaon aku-ke negeri sulu atau kalau dalam versi lain, kalau bukan kerana keterbatasan, Datu matundun juga boleh menjadi ketua di Brunei, yang masa itu pusat ketamadunan di Borneo.

Datu Matundun menyedari siapa dirinya.Tetapi bila teringatkan si Bainili, si cantik rupawan, dia lupa diri.Kerana itu, ia dapat dikalahkan tipu muslihat, dikalahkan strategi dan kebijaksanaan Makil dan isterinya, yang menurut sahibul hikayat,hidup makmur dan damai selepas itu.

Friday, December 24, 2010

Rakaman kenangan di Cotabato IV-di depan Blue Mosque


Sebenarnya Casib (tengah) agak terkejut bila mengetahui kami orang Iranun. Beliau yang ditugaskan mengawal rombongan kami rupanya orang Iranun dari Buldon. Bertugas sebagai anggota marin Filipina sebaik tamat dari Universiti of Phillipines. Beliau berkata jiwa Iranunnya masih kental dan ini beberapa kali ditegaskannya.
Gambar ini diambil selepas kami menunaikan solat Jumaat di Masjid Biru atau Blue Mosque dikalangan masyarakat setempat. Seorang lagi, yang berada dalam gambar, pandikar padi, (kiri) merupakan seorang yang kini sedang bergiat dalam bidang perkamusan Iranun. Beliau pernah mengikuti kursus jangka pendek dan memperolehi sijil linguistic di London.
Casib tidak menyangka ada orang Iranun dari Malaysia yang masih mampu berbicara dalam bahasa Iranun. Saya mengatakan bahawa nenek moyang orang Iranun di Mindanao mengakui bahawa nenek moyang mereka berasal dari Tempasuk. Ada banyak teori yang boleh mengesahkan pendapat ini, walaupun juga memang terdapat silang pendapat di kalangan para sejarawan.
Tetapi yang penting, apa yang harus difahami bahawa semua orang Iranun adalah Iranun yang mementingkan kasih sayang dan rasa persaudaraan sesama bangsa.

Rakaman kenangan di Cotabato I-bersama Atty Naquib Sinarimbo

Saya mulanya tidak perasan kerana lama tidak tidak berjumpa. Tetapi kemudian barulah saya menyedari bahawa orang yang sedang duduk di podium itu ialah kenalan lama saya.
Wah, beliau sekarang sudah jadi orang besar di Autunomous Region Of Muslim Mindanao (ARMM) sebagai Setiausaha Eksekutif ARMM.
Namanya Atty.Naquib Sinarimbo. Seingat saya, paling akhir beliau datang ke Kota Kinabalu ialah ketika bersama bapa yasin @ Madrigal Alonto. Kami sempat minum di kedai Pizza di Centre Point. Ketika itu, jika tak silap, beliau sedang menguruskan lawatan Governor Lanao del Norte, Zacaria Candao yang bercadang melawat Sabah.
Saya tidak menyangka bertemu beliau di Pusat Kebudayaan Sharif Kabungsuan itu, ketika saya mengiringi rombongan Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, Speaker Parlimen membuat lawatan rasmi sebagai tetamu kehormat dalam sambutan perayaan ke-21 ARMM.
"Masih ingat saya?" saya bertanya kepadanya. Beliau tersenyum dan gembira dengan pertemuan kami itu.
"Datang malam ini ya" katanya. "Sudah pasti kerana malam ini ada hidangan pagana untuk rombongan kami sebelum kemudian menyaksikan persembahan bunga api."
Melihat Naquib dan rakan-rakannya, saya melihat masa depan Mindanao yang cerah jika dipimpin oleh orang-orang muda yang mungkin boleh berbuat sesuatu untuk perpaduan yang kekal dan lebih menyeluruh.

Rakaman Kenangan di Cotabato III-bersama Kaka Alih S.Anso

Kaka Alih S Anso, wartawan penyiaran dari Bandar Upi Maguindanao merupakan rakan saya yang pernah ke Kota Belud bahkan sempat singgah di rumah di Kampung Tamau. Itulah sebabnya sebaik-baik kami bertemu, yang pernah diucapkannya ialah takziah dan simpati kerana beliau mendapat tahu mengenai ayah saya yang telah kembali ke rahmatullah. Dia tidak menyangka yang kami akan bertemu di Cotabato City pada hari itu, 19 November.Saya sengaja tidak memberitahu, pertamanya kerana saya fikir Upi jauh dari Cotabato City dan yang keduanya, saya ikut dalam rombongan rasmi yang kurang memungkinkan pertemuan itu.
Tapi rupanya, menurut Kaka Alih,dia sudah tahu mengenai lawatan itu, dan apatahlagi, turut serta dalam rombongan ialah saudara Datuk Aliasgar Haji Basri, rakan sekelasnya di AIM. Dalam lawatan ini saya sempat berjumpa dengan Prof Moner Bajunaid,Sukarno Pendaliday dan seorang rakan Maranao, yang saya terlupa namanya.Gambar ini dirakamkan ketika jamuan makan malam diadakan oleh ARMM bagi meraikan rombongan Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, Speaker Parlimen Malaysia yang menjadi tetamu kehormat Sambutan Ulang Tahun ke-21 ARMM.
Saya tahu Kaka Alih seorang Iranun yang masih kuat rasa berbangsa dan rasa keIranunannya. Itulah sebabnya beliau sanggup datang ke Sabah, semata-mata untuk melihat dengan mata sendiri keberadaan masyarakat Iranun di Kota Belud.
Katanya, dia akan datang lagi kerana sangat terkesan dengan kunjungannya yang pertama itu.

Rakaman Kenangan di Cotabato II- bersama governor ansaruddin

Selepas saja Potri Erlynda menyampaikan lagu bayuknya, majlis `pagana' di Pusat Kebudayaan Sharif Kabungsuan Cotabato City itu akan segera berakhir. Tapi sebelum itu, Pemangku Governor, HE Ansaruddin Alonto Adiong menyampaikan cenderamata kepada semua anggota rombongan dari Malaysia yang turut serta dalam lawatan Speaker Dewan Rakyat Malaysia ke Mindanao pada 17 hingga 21 November 2010.
Saya salah seorang daripadanya.

Thursday, December 23, 2010

Bertemu Bung Hatta dan Tan Malaka di Gramedia

Betapa gembiranya hati saya kerana pada minggu ini saya bertemu dengan dua bapak bangsa Indonesia. Setiap malam sebelum tidur, atau setiap kali ada masa terluang, saya cuba bermesra dan berbicara dengan mereka kerana memang sudah agak lama kami tidak berjumpa.
Saya terjumpa `Bung Hatta,jejak yang melampaui zaman' di kedai buku Gramedia di Pontianak. Buku yang ditulis Tempo itu banyak berkisah tentang kehidupan Bung Hatta, seorang tokoh yang saya kagumi dan menjadi idola saya sejak kecil iaitu sejak mengenal nama Mohamad Hatta. Beliau seorang tokoh yang suka menuliskan fikirannya, seorang yang punya banyak buku, seorang yang selalu tepat waktu, seorang yang berani berbeza pendapat, seorang yang takut berjuang, seorang yang beberapa kali hidup dalam pembuangan, seorang yang tak pernah mengaku kalah dan seorang yang tetap teguh pada prinsipnya. Buku yang diterbitkan Tempo itu dapat memperkaya wawasan dan pemahaman terhadap kehidupan Bung Hatta.

Seorang lagi yang menarik perhatian saya ialah `Tan Malaka, Bapak Republik Yang Dilupakan' juga hasil kajian Tempo. Mengapa nama Tan Malaka selalu disebut orang? Tokoh ini menyamai kehebatan Che Guevara. Tan Malaka, yang 21 kali berganti nama, dan melanglang dari Asia sampai Eropah, Rusia, Cina, Filipina, Thailand, dan berjuang untuk menegakkan Republik Indonesia. Buku ini sangat menarik untuk kajian sejarah mengenai peranan Tan Malaka dalam kebangkitan menentang penjajah di Asia.

Buku ketiga ialah novel karya A.Fuadi, mantan wartawan Tempo yang menulis Negeri 5 Menara, yang mengisahkan kehidupan seorang santri Alif Fikri, yang bersekolah di Pondok Madani, walaupun cita-cita awalnya jadi orang semacam Habibie.
Pada mulanya beliau `setengah hati' belajar di PM hanya kerana menuruti perintah ibunya yang mahukan beliau menjadi seperti Buya Hamka. Alif ingin memasuki SMA tetapi kemudian setelah mendapat cadangan daripada Gindo, pakciknya, beliau melanjutkan pendidikan di Pondok Madani. Sungguh satu kisah yang sangat menarik dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Membaca tiga buku ini, seolah-olah saya sedang berbicara dan bertemu dengan mereka. Bung Hatta dan Tan Malaka sudah lama tiada. Tetapi buku-buku yang ditulis mengenai mereka itu menunjukkan bahawa mereka masih hidup dalam ingatan rakyat Nusantara.
Sementara Novel Negeri 5 Menara A.Fuadi itu, yang dibeli di Kedai Buku Eaton di Centre Point, Kota Kinabalu, yang berkisah tentang pondok modern juga amat menyeronokkan. Saya sangat tertarik dengan ilmu ikhlas yang diajarkan di PM dan saya ikhlas membaca buku ini.

catatan pertemuan dengan Herry

Alhamdulillah, akhirnya saya berjumpa juga dengan Herry. Mantan guru dan pegawai bank di Nanga Pinoh inilah yang telah membantu saya menemukan kerabat keluarga isteri saya yang masih ada di Kota Pontianak.
Selepas saya memberitahunya bahawa masih ada keluarga isteri saya di Pontianak dan memberitahu bahawa mereka sekarang berada di Gang Mempelam, Jalan Jeruju, Herry mencari mereka walaupun ketika itu hujan mengguyur Kota Pontianak.
Saya tidak ingat tarikh yang tepat tetapi jika tak silap, hujung tahun lalu. Saya fikir ini antara kebaikan facebook kerana dapat mempertemukan keluarga yang terpisah sejak berpuluhpuluh tahun lamanya, malah hanya dihubungkan melalui surat menyurat.
Pada kunjungan yang lepas, saya tidak sempat bertemu Herry kerana ketika itu beliau berada di Nanga Pinoh. Mujurlah p;ada kunjunga kedua ini, Herry berada di Pontianak dan kami akhirnya bertemu di pintu masuk Gramedia itu. Herry Terima kasih banyak, Tuhan saja yang bisa membalas jasa saudara.

kirana kejora di tvone

Secara kebetulan ketika berada di Pontianak-5 Dis-sahabat saya, Kirana Kejora ditemuramah di TVone yang disiarkan secara langsung.Kirana sedang membicarakan mengenai novelnya yang terbaru-Bintang Anak Tuhan-yang mengisahkan mengenai penderita HIV.

Dalam bukunya, saya telah memberikan semacam prakata kerana kejayaan beliau melahirkan karya mengenai anak-anak yang menderita AIDS.
Saya fikir Kirana tergolong penulis yang berani.Beliau menulis dan menerbitkan bukunya sendiri dan keberaniannya ini wajar dijadikan contoh kegigihan penulis berkarya.
Saya merakam gambar ini di Kamar Hotel Orchardz, Jalan Gajah Mada, Pontianak sambil menunggu login fb yang agak perlahan setelah beberapa kali mencuba.

Sunday, December 19, 2010

di kuala abai

Petang agak berhujan di Kota Belud tetapi pemandangan di Kuala Abai kelihatan cantik.Saya sentiasa suka melihat pemandangan seperti ini. Saya pernah meluncur di atas airnya dalam perjalanan ke Pulau Mantanani. Satu ketika dahulu, tempat ini menjadi tempat mudiknya penjajah British, yang kemudian mendirikan penempatan di Tempasuk dengan residen pertamanya William Pretyman.

julkiram, kawan lama di Kanibongan

Sewaktu akan melangkah pulang meninggalkan Kampung Pangkalan Pantai Kanibongan, tidak disangka saya bertemu seorang kawan lama, Julkiram namanya. Dulu, sewaktu tahun-tahun 1990-1992, kami pernah satu pejabat di Wisma MUIS.Ketika itu, saya membantu-bantu Bung Hj Hussain di Haykal Associates, sementara itu Jul bekerja dengan seorang kontraktor dari Pitas. Jul pernah bercerita bahawa beliau juga pernah bekerja sebagai pemandu kayu balak (tugboat). Selepas itu, kami terpisah kerana Jul pulang kampung. Kami bertemu semula di Kudat, ketika saya membuat liputan mesyuarat UMNO di Dewan Tun Mustapha, dua tahun lalu setelah lama tidak terjumpa.
Tanpa disangka Ahad lalu, ketika membuat liputan acara perasmian Mini Dewan Kampung Pangkalan Pantai Kanibongan dan Kursus Bina Upaya dan Kemahiran Parlimen Kudat oleh Datuk Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pengangkutan, saya sekali lagi sempat bertemu Julkiram. "Sampai juga saya di kampungmu," kata saya kepadanya. Anaknya sudah lima.
Kampung Pangkalan sudah banyak berubah, berbanding lima tahun lalu, kata Datuk Rahim.Kalau dahulu, agak sukar untuk ke kampung Pangkalan. Dikelilingi pohon pohon rendang, kebanyakan penduduknya terdiri dari suku kaum Bajau dan suluk. "Ada juga suku Rungus di derio (di darat)" kata pakcik Dalah.Derio yang dimaksudkannya ialah Kampung Pantai. Sebuah kampung yang agak unik juga namanya kerana walaupun namanya kampung pantai tetapi terletak di tengah hutan. Mungkin sama dengan Lembah Pantai yang terletak di Kuala Lumpur, kata Datuk Rahim pula kepada saya.
Beliau disambut gembira oleh penduduk kampung di kampung yang kerana letaknya jauh, jarang dikunjungi pemimpin.
Ternyata WKAN membuat persediaan untuk sambutan majlis itu. Beliau berkata, kalau bukan kerana musim terang bulan, sudah tentu mereka berburu payau di Pulau Jambongan tetapi payau tidak mudah ditangkap ketika bulan terang.

Selepas menghadiri majlis itu, kami bergegas dengan helikopter ke Pitas. Saya tak sempat merakamkan gambar Kapten Ridwzan sedang membaca buku di tangga helikopternya sambil menunggu kami. Saya agak menyesal tak sempat mengambil gambar beliau itu kerana bagi saya, ia satu momen yang menarik.
"Kenapa lucukah membaca buku?" tanyanya.Saya beritahu saya suka merakam gambar itu kerana ia peristiwa yang jarang terjadi.
"Tak mahu," katanya kerana beliau tak mahu dimasukkan dalam facebook.
"Tidak kapten! saya hanya masukkan dalam blog," jawab saya tak kedengaran kerana kipas heli sudah dihidupkan.

gong dan kulintangan di Kanibongan

Paluan gong dan kulintangan itu terdengar dari sebuah bangsal yang dibentuk seperti perahu. Di kampung pangkalan pantai Kanibongan, penduduk kampung membuat persiapan rapi untuk menyambut ketibaan pemimpin mereka, Datuk Haji Abdul Rahim Bakri yang datang untuk merasmikan mini dewan.

Saya lebih tertarik dengan paluan gong dan titikan kulintangan itu. `Perahu' yang dibina juga kelihatan sangat kreatif. Dan walaupun itulah pertama kali menjejak kaki ke kampung itu, terasa keramahan para penduduknya. WKAN Bidin Hossin bekerja keras untuk memastikan majlis itu berjaya, walaupun bekalan letrik terputus dua kali.
Saya sempat bercakap dengan KK Dallah Harun, yang kebetulan duduk di belakang saya, mengenai budaya dan kehidupan masyarakat di kampung itu. Majoriti penduduk kampung terdiri dari orang Bajau dan Suluk dan ada sedikit Rungus. Cikgu Naibin pula memberitahu, di kalangan keluarganya sendiri di kampung Pantai, ada yang memeluk agama Islam, dan itu bukan masalah disana.

terpaksa mendarat di Kampung Baru-Baru


Helikopter terpaksa membuat pendaratan cemas di Kampung Baru-Baru Tuaran akibat cuaca buruk. Kami dalam perjalanan pulang dari Kampung Rosob Pitas. Datuk Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pengangkutan terpaksa pulang ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Dewan Negara.
Kerana itu, kami terpaksa berangkat lebih awal dari Pitas.Jam 1.00 petang kami terpaksa terbang dan mendapat tahu dari Kapten Ridzwan, di Kota Belud sedang turun hujan. Bagaimanapun, kami perlu pulang ke ibu negeri kerana flight Datuk Rahim jam 5.30 petang.
Namun kita hanya boleh merancang, Tuhanlah yang menentukan bahawa kami terpaksa mendarat cemas di kawasan lapang berdekatan masjid Al Falah kira-kira 45 minit kemudian.
Hujan turun dengan lebat, tetapi menurut kapten, angin kuat bertiup menolak heli ke atas. Itu yang bahaya, katanya.
Selepas mendarat, Haji Sairin menghubungi sanak saudaranya. Kemudian seorang pemuda, Wadi anak Haji Suhaili bin Haji Jawak bin Panglima Ali, mengambil kami seterusnya menghantar kami ke Kelawat, bagi menunggu Tuan Mahmud, Pengarah JPA yang kebetulan sedang dalam perjalanan pulang dengan kereta.
Kami terpaksa meninggalkan Asmat, jurugambar RTM bersama Kapten sementara kami memilih berkereta ke Kelawat. Saya kebetulan sudah berjanji untuk hadir membuat liputan ke Majlis Seminar Motivasi anjuran Ko-Nusantara.
Saya menelefon isteri, yang agak bimbang juga kerana saya menaiki heli itu, tapi sudah menjadi tugas kami sebagai wartawan yang siap sedia membuat liputan walau kemana saja yang diarahkan dan diminta.
Pengalaman pendaratan cemas ini merupakan pengalaman kedua, setelah yang pertama dulu terpaksa mendarat di padang Kota Belud, juga kerana cuaca yang buruk.
Tapi saya pasti,Insya Allah, hari depan pasti cerah.

Saturday, December 18, 2010

kotabungan

Ketika sedang asyik memerhati keindahan alam, tiba-tiba saya tersedar bahawa kami sedang berada di langit Kotabungan.Sebuah kampung yang didiami masyarakat Iranun di Kota Belud.Kebanyakan mereka bertani, kerana itu kita dapat melihat pemandangan sawah yang luas.

di pinangsoo

di pinangsoo,sebuah perkampungan Hakka paling awal di Kudat.Pinangsoo bermakna pokok pinang kerana dulu banyak pokok pinang yang terdapat di kampung itu.Di kampung yang terletak berdekatan Bak-Bak, kita dapat melihat kehidupan masyarakat cina yang bergantung hidup kepada hasil kebun, sehingga di kalangan masyarakat di daerah itu, ada yang menyebut mereka Cina Kebun.
Hari itu Sabtu, dan masyarakat di sana merayakan Sambutan Hari Krismas, yang dirasmikan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Haji Abdul Rahim Bakri. Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan mengingatkan masyarakat betapa pentingnya memelihara keharmonian di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Kerajaan katanya, prihatin terhadap permasalahan rakyat dan sentiasa mengambil langkah untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Saya sebenarnya menunggu-nunggu Datuk Rahim berucap dalam bahasa Cina kerana beliau memang pandai bercakap Cina tetapi beliau menyatakan kebanyakan penduduk di Pinangsoo orang Cina Hakka dan beliau hanya boleh bercakap Mandarin. Untuk waktu yang lama juga, Datuk Rahim pernah dilantik sebagai Konsul Dagang Malaysia di Taipei.

dalam helikopter

mungkin gambar inilah yang paling tinggi, kerana ia diambil di atas ketinggian, dalam helikopter ketika berada dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu Sabtu 18 Dis.

mungkin kaniong

saya tidak tahu nama pantai ini, mungkin kaniong, tapi saya tahu tempatnya cantik.

kuala rampayan

Melewati minanga a Marampayan, dan melihat kampung masyarakat Iranun, saya tidak pasti berapa banyak sejarah yang dicipta di kualanya. Satu ketika dahulu, ia merupakan laluan pedagang, yang berhenti untuk berlindung dari tiupan angin. Adalah dipercayai angkatan Iranun yang membantu Sultan Mahmud III pada tahun 1787, memulakan pelayaran mereka dari Kuala Rampayan, tempat yang bersejarah.



saujana tanah pintasan


Sawah yang menghijau dan masa depan yang tidak pasti di Kampung Pintasan. Kukira kau yang lebih arif kalau pada satu ketika nanti, atas nama agropolitan, tanah-tanah ini bersama kebun sawit, sawah padi, kelapa dan kehidupan penduduknya mungkin terpaksa menghadapi perubahan.
Hanya perubahan yang kekal, kata sebilangan orang, tapi kalaupun yang kekal hanya perubahan, perlukah perubahan itu dibuat tanpa menghirau keluhan dan rayuan mereka yang terlibat di dalamnya?
Kukira kau yang lebih arif menjawapnya.

ombak yang memecah di pantai Tamau

Betapa cantiknya pemandangan.Ombak yang memutih berpecahan di Pantai Tamau. Laut biru dan tanah yang hijau. Menyaksikan keindahan alam seperti ini, ingatan saya kembali ke waktu masih kanak-kanak.Ketika kecil dahulu saya terpaksa memanjat pokok kelapa untuk melihat pantai dari rumah kami .Setiap malam terdengar deru ombak, dan badai yang menggelora,amat akrab dengan kehidupan nelayan.
Foto ini dirakamkan ketika menaiki heli dalam perjalanan ke Kudat dari Tanjung Aru.Kami berlepas jam 8.00 pagi dan tiba di Padang Bandaran Kudat 45 minit kemudian.
Saya jarang melihat pemandangan ini, ombak yang menghempas pantai, -di pantai yang begitu saya kenali.

catatan di atas udara Kampung Tamau

Bukan mudah mendapat kesempatan berada di paras ketinggian seperti ini.Oleh sebab itu, kesempatan untuk menaiki helikopter dan berada di atas udara Kampung Tamau, kampung saya sendiri merupakan satu kesempatan yang tak patut disia-siakan. Dikampung ini saya dibesarkan, di tengah masyarakat petani dan nelayan. Ibu seorang petani manakala arwah ayah pernah menjadi kakitangan kerajaan.
Saya selalu ingin pulang kampung setiap kali ada kesempatan tetapi agak sibuk juga sejak kebelakangan ini.
Peluang untuk memotret wajah kampung sendiri merupakan satu pengalaman tersendiri yang jarang diperolehi.
Mengenal Datuk Rahim, iaitu sebelum beliau menceburi bidang politik, merupakan satu keniscayaan. Dulu beliau seorang pegawai bank, `bankers' sebelum menceburi bidang politik."Kalau tidak menjadi pegawai bank atau ahli parlimen, saya akan jadi jurnalis" katanya. Beliau memang suka menulis dan telah menulis untuk Berita Harian sejak 1982. Bukan mudah untuk menembus Berita Harian ketika itu. Itulah sebabnya, beliau sering mengirim berita kegiatannya dan tidak banyak mengalami penyuntingan.
Kampung Tamau, mungkin sebuah kampung yang biasa tetapi ia amat istimewa dalam kehidupan saya.





melihat mengkabong


Satu ketika dahulu,Kampung Mengkabong Tuaran merupakan sebuah perkampungan di atas air yang berusia ratusan tahun lamanya. Tetapi kemudian Kerajaan mengambil langkah untuk membina rumah-rumah baru menggantikan rumah-rumah lama. Rumah-rumah baru melahirkan generasi baru dengan budaya baru, juga mungkin idiom idiom yang baru.
Kalau sebelum ini, penduduknya amat mahir membezakan pasang surut air, tetapi mungkin pandangan dan sikap hidup berubah apabila tinggal di flat perumahan yang dibina.

pandangan di Teluk Likas


pemandangan di Teluk Likas yang masih menyimpan harapan.Semoga orang kita tidak terpinggir jauh di pinggiran.

hamparan wajah kota kinabalu

saya berharap kota kinabalu akan muncul sebagai sebuah kota yang peduli terhadap alam, terhadap budaya, dan melahirkan generasi yang berjiwa.Bukan semata menumbuhkan bangunan yang tinggi tetapi tidak memiliki jiwaraga.

kutatap wajahmu Sembulan


Sembulan, dulunya perkampungan bumiputera.Sekarang, mungkin tidak lagi

Wednesday, December 15, 2010

Al-Fatihah untuk arwah Abdul Nassir Said





















Nassir, aku bertanya, engkau telah kemana?
Oleh Abd.Naddin Hj.Shaiddin
bulan tenggelam
kesunyian bersulam
di larut malam.

aku bertanya
kau telah kemana
dalam kelana.

hairan
aku tak kunjung faham
tentang kelam
-karya mabulmaddin shaiddin 14 Dis 2010

Suaranya halus tetapi mudah mesra.Seorang yang sopan dan amat baik orangnya. Seorang yang penuh pengertian,seorang yang dedikasi dan penuh komitmen dalam tugasnya.Wajahnya ramah dan penuh persahabatan, dan hampir tak pernah menyakiti hati kami.

Demikianlah peribadi Abdul Nassir Said yang tiba-tiba pergi meninggalkan kita dalam usianya yang muda-36 tahun.Saya termangu didepan komputer buat beberapa ketika sebaik dimaklumkan mengenainya oleh Sdr.Nadin Haji Salleh. Beliau memberitahu saya bahawa arwah telah tiada. Ketiadaannya hanya disedari apabila dia tidak ke pejabat seperti biasa.Telefon tidak diangkat dan oleh kerana itu, rakan rakan sepejabat bergegas ke rumahnya.

Di sana dia yang tinggal seorang diri didapati telah pergi. Sebelum itu memang, dia dikatakan kurang sihat dan pernah pula bercuti beberapa hari apabila terkena hujan.Dia sudah kesana kemari untuk mengubati sakitnya, dan billa kami berjumpa, katanya-dia sudah agak beransur pulih dari sakitnya.

Tapi Nassir telah pergi pada hari itu. Tanpa diduga, tanpa ditemani sesiapa.Di rumah yang dibelinya di UA itu, dia tinggal seorang diri. Mungkin kerana dia tahu akan meninggalkan alam fana ini seorang diri tanpa ditemani.

Sejenak saya teringat beberapa gambar ketika kami bersama dalam penyelidikan bahasa. Nassir sebagai Pegawai Penyelidik Bahasa dan saya sebagai salah seorang penyelidik bahasa dan pengumpul kosakata.

Dalam satu gambar,Nassir kelihatan sedang memotret gambar gunung Kinabalu. Matahari baru saja terbit dan kami berada di kampung Sinisian. Suasana pagi di Kundasang terasa menenteramkan.
"Alangkah baiknya kalau kita boleh menatap pemandangan indah ini setiap pagi' saya berkata kepadanya.
Ketika itu bulan Ramadhan. Beliau sengaja memilih desa di pinggir bukit itu sebagai tempat kami berbengkel supaya suasana lebih tenang dan tidak terganggu. Selain itu, diharapkan supaya kami lebih dekat kepada persekitaran kampung untuk memudahkan kami mengingat dan merakam kata-kata bahasa etnik untuk memperkaya khazanah bahasa kebangsaan.
Beliau memang sukakan suasana kampung. Sebelum ini, kami pernah berkunjung ke Kampung Nala di Tungku dan beberapa kampung lain semata-mata untuk mendokumentasikan kosakata dalam bahasa Iranun. Satu ketika yang lain, beliau mempelawa saya untuk ikut serta dalam satu program derau bahasa di Kampung Senaja Pitas. Kami juga ke kampung Kusilad, kampung halaman penulis Juri Durabi.
Anak kelahiran Bukit Mertajam,Pulau Pinang, Nassir merupakan lulusan Sarjana Muda daripada Universiti Malaya malah sempat bertugas sebagai tutor di sana. Selepas itu, beliau bertugas di DBP dan kemudian ditempatkan di DBP Sabah sejak lima tahun lalu.
Nassir seorang yang gigih dan penuh dedikasi dalam tugasnya. Sebagai Pegawai Perancang Bahasa dan merupakan Ketua Unit Penyelidikan dan Pembinaan Bahasa DBP Sabah, beliau juga pernah berkeliling Sabah, ke Sandakan, Kinabatangan, Tenom, Kudat, Pitas, Kota Marudu dan beberapa tempat lain semata-mata untuk membuat kajian dan menjayakan projek bahasa sukuan, merancang penerbitan kamus bahasa sukuan, dokumentasi dan sebagainya.
Malah di tempat kerjanya, di DBP Sabah, Abdul Nassir menjadi tenaga utama untuk menjayakan penerbitan Majalah Etnik untuk melestarikan Bahasa Sukuan Sabah, serta menjadi tenaga utama untuk menempatkan DBP Sabah dalam Buku Guiness Book of Records melalui pembacaan Puisi Ria 50 Jam Tanpa Henti,Syair Ria, Sendait Ria 50 jam tanpa henti.
"Kita berasa kehilangan", kata Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas.

"Kita berasa kehilangan seorang staff yang sangat dedikasi, sangat komited dn kerja yang baik," katanya mengenang semula pemergian arwah Nassir yang kembali ke rahmatullah pada 14 Disember lepas di Kota Kinabalu.
"Bila dia tak ada, kita tercari-cari," katanya.
Oleh sebab itu, ketika dia tak datang kerja pada Selasa itu, kita mencarinya di rumah dan alangkah terkejutnya, mendapati beliau sudah tiada. Beliau tinggal seorang diri di UA dan memang sejak beberapa waktu itu, beliau pernah mengadu sakit.
Pemergian Abdul Nassir yang sangat tiba-tiba itu juga memeranjatkan masyarakat bahasa dan sastera di negeri ini. Beliau merupakan seorang pegawai DBP Sabah yang tidak mengenal penat lelah membantu melestarikan bahasa etnik di negeri ini.

Bersama pengkaji dan pakar bahasa sukuan, beliau mengadakan bengkel atau sidang bahasa Sungai, Kimaragang, Rungus, Bisaya, Bajau, Iranun, Kadazan Penampang, Dusun Ranau, Tambunan, dan sebagainya.Beliau sempat melahirkan kerisauan apabila memperkatakan etnik Sabah yang berjumlah kira-kira 35 etnik dan 215 sub-etnik itu.
Katanya, kelangsungan hayat bahasa sukuan Sabah semakin terancam dan kepupusan bahasa tidak dapat dielak dalam tempoh masa tertentu.
"Ini kerana pertuturan dalam bahasa ibunda hanya berlaku antara golongan tua sama ada di rumah atau di kawasan petempatan etnik masing-masing.
"Sesuatu yang menarik dalam memperkatakan bahasa sukuan di Sabah ialah setiap etnik memiliki banyak dialek yang masing-masing memiliki ciri-ciri yang tersendiri," katanya kepada saya suatu hari.
Murut contohnya, memiliki tidak kurang daripada 12 dialek yang dapat dikenal pasti melalui kawasan yang didiami. Setiap dialek diberi nama tertentu lazimnya merujuk kepada tempat di mana mereka tinggal.
Memperincikan perbezaan kosa kata bahasa Murut dalam menyebut perkataan “kucing”, Murut Timugon menyebut “using” sementara Murut Tagol menyebut “ungau” atau “usi”. Demikianlah kepelbagaian dalam kesatuan pelbagai etnik di negeri Sabah,' jelasnya panjang lebar.
Menurutnya, generasi muda khususnya yang berumur di bawah 20 tahun kurang menggunakan lagi bahasa etnik masing-masing menyebabkan kelangsungan hayat bahasa etnik di Sabah semakin terancam dan sedang mengalami kepupusan. Keadaan ini berlaku dalam hampir kesemua etnik di Sabah.
Katanya, usaha pendokumentasian bahasa dan sastera etnik Sabah perlu dilaksanakan dan diteruskan di samping mempergiatkan usaha-usaha ke arah pelestarian bahasa sukuan di Sabah.
"Walaupun masih sedikit kajian tentang hal ini, tetapi sudah terdapat tanda-tanda bahasa atau dialek tertentu amat sedikit bilangan penuturnya," katanya.
"Bahasa etnik Begak yang mendiami Mukim Tungku, di daerah Lahad Datu dikatakan hanya dituturkan oleh tidak lebih daripada 2,000 orang. Etnik Tobilung dari Kampung Mengaris di daerah Kota Marudu dikatakan amat sedikit penuturnya disebabkan pelbagai faktor."katanya.
Kini Abdul Nassir sudah pergi. Takkan lagi kembali. Kita berasa kehilangan. Saya tak sempat menatap banyak gambar lain, gambar gambar penuh kenangan, gambar ketika kami menaiki bukit, menuruni lembah, berjalan di tepi pantai, merasakan deburan ombak, dan bertanya istilah pohon-pohon, daundaun dan rerumputan semata-mata untuk memperkaya khazanah penguasaan bahasa kami.

Nassir, engkau telah kemana dalam kelana? Aku tahu kau akan menyaksikan pemandangan yang lebih indah dan abadi di alam sana.Al-Fatihah.

Rakaman perjalanan ke Mempawah

RAKAMAN PERJALANAN KE MEMPAWAH
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
Sejak pagi lagi, kami berangkat menuju Mempawah yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Kota Pontianak. Hari itu tahun baru Hijrah 1432. Suasana awal Muharam di kota itu tidak begitu terasa walaupun sekali sekala kami ternampak pawai perbarisan belia-belia Islam menyusuri jalan raya, mungkin atas inisiatif mereka sendiri.
Disember basah di kota yang dijuluki dengan nama Kota Khatulhistiwa itu. Petang kelmarin hujan tetapi perjalanan ke Mempawah dirasakan amat perlu untuk berkunjung ke makam salah seorang tokoh penting alam Melayu Nusantara pada abad ke-17 iaitu Opu Daeng Menambun, yang mendirikan kerajaan di Sebukit Rama, dan menjadi Raja Mempawah yang pertama.
Kami memutuskan untuk menyambut awal tahun baru dalam Kalendar Islam di Mempawah. Untuk pertama kalinya berada di negeri orang pada awal Muharam tentu merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Kunjungan ke Makam Opu Daeng Menambun, yang merupakan salah seorang daripada 5 anak raja Bugis dari Kerajaan Luwuk, Sulawesi adalah antara tokoh yang banyak mewarnai dunia Nusantara kira-kira tiga abad yang lalu.
Mempawah yang terletak di jalur perdagangan antara Pontianak, Singkawang dan Sambas memiliki kedudukan penting sebagai sebuah kerajaan dan pusat perdagangan yang terkenal ratusan tahun lalu. Tetapi kini Mempawah hanyalah sebuah kota di Kalimantan Barat, wilayah yang digelar wilayah seribu sungai kerana banyak sungainya malah sungai terpanjang di Indonesia, Sungai Kapuas, sepanjang 1,143 km terletak di Kalimantan Barat.
Sebelum jam 11.00 kami sudah tiba di Mempawah, sebuah bandar yang cantik. Di sepanjang jalan di tanam pokok-pokok yang cantik menghiasi bandar yang digelar Bumi Galahherang dengan keluasan 254,40 km. Selain Makam Opu Daeng Menambun, ia memiliki banyak destinasi pelancongan seperti Masjid Keraton Jamiatur Khair, Keraton Amantubillah,Pantai Kijing, Teluk Paku Pulau Temajo,Pantai Jungkat dan sebagainya.
Selepas menghirup kopi di sebuah kedai di pinggir jalan, kami menuju Desa Pasir. Makam Opu Daeng Menambun terletak kira-kira 9.7 kilometer dari jalan utama. Perjalanan terasa agak jauh kerana jalanraya sepanjang lebih 1 km dinaiki air. Tetapi kami memberanikan diri untuk berziarah ke Makam Opu Daeng Menambun, untuk sekadar membacakan al-fatihah dan merenung betapa beraninya mereka sebagai pahlawan yang menentang penjajahan Belanda.
Terlintas di fikiran kami, persoalan mengapa Daeng Menambun memilih Sebukit Rama untuk mendirikan kerajaan. Kemungkinan besar kerana tempat itu agak jauh, boleh dimudiki menggunakan laluan sungai manakala kerajaan terletak di tempat yang tinggi, agak mudah memerhati pergerakan musuh.
Terdapat 265 anak tangga yang dibina menuju makam. Saya tidak ingat tahun berapa Opu Daeng Menambun dilahirkan tetapi beliau wafat pada 26 Safar 1175 iaitu kira-kira 257 tahun yang lampau.
Tidak ada istana yang ditinggalkan, kecuali makam-makam. Mungkinkah pusat kerajaan didirikan di tempat lain dan tempat yang kami kunjungi ini hanya menempatkan tanah perkuburan?
Setelah mengambil wuduk, kami ikut mengaminkan doa yang dipanjatkan untuk almarhum. Terfikir juga bagaimana kuatnya karisma tokoh ini kerana walaupun setelah ratusan tahun ia masih menerima kunjungan ratusan orang setiap hari dari pelbagai bangsa, pelbagai agama.
Selain mereka yang datang dari tempat yang jauh, seperti Kota Pontianak, Sambas terdapat juga beberapa keluarga dari etnik tionghua yang berkunjung ke makam itu.
Barangkali kepimpinan Daeng Menambun mampu menembus batas perbezaan bangsa sehingga ia diterima sebagai tokoh yang dikeramatkan dan patut dimuliakan.Barangkali kerana semangat juang dan keikhlasan yang dimiliki Opu telah menarik ramai orang berziarah ke makam beliau.
Mungkin ada di antara mereka yang meminta berkat, membayar nazar dan sebagainya. Tetapi ziarah kami ke makam Opu Daeng Menambun itu adalah untuk menyusuri jejak sejarah yang banyak dirakamkan dalam sejarah Melayu.
Selepas berziarah, kami mula turun tangga demi tangga. Saya teringat satu ketika apabila mantan Presiden Indonesia, KH Abdurrahman Wahid atau lebih dikenali sebagai Gus Dur ditanya mengapa beliau sering berkunjung ke makam-makam.
Secara berjenaka beliau berkata, beliau berkunjung ke makam kerana mereka sudah tidak mempunyai kepentingan-kepentingan dunia.
Tetapi saya merasakan ziarah ke makam Opu Daeng Menambun itu memberikan banyak pengajaran. Betapa keikhlasan sebuah perjuangan tetapi diingati sampai sekarang. Betapa pemimpin-pemimpin dahulu berjuang menentang penjajah,mengetepikan kepentingan diri dan menyusun gerakan melawan penjajahan.
Walaupun lokasinya agak jauh tetapi tapak bersejarah itu tetap diperhatikan masyarakat. Saya kurang pasti sama ada kerajaan turut memberikan bantuan untuk memelihara tapak bersejarah itu tetapi yang pasti, jasa Opu Daeng Menambun dalam sejarah Melayu tetap diingati.
Tidak lama kemudian kami meninggalkan kawasan makam dan pulang semula ke Kota Pontianak. Tetapi sebelum itu, kami sempat mengelilingi bandar bersejarah itu dan menjamu selesa di sebuah restoran di tepi sungai Mempawah yang terletak berhadapan jambatan Entibar.

Catatan di sekitar dunia penulisan kita

CATATAN DI SEKITAR DUNIA PENULISAN KITA
MAHA SABAH MENGHASILKAN KUMPULAN PUISI
KUNJUNGAN Haji Mastun Abas ke pejabat Utusan Borneo sangat menyenangkan. Beliau yang popular dengan nama pena Maha Sabah adalah seorang penulis veteran yang telah berkarya sejak tahun-tahun 60-an lagi. Sebelum ini, sebagai seorang penulis berpengalaman yang rajin menulis, beliau telah menghasilkan novel bersiri bertajuk `Rambutnya Ikal Mayang' yang pernah disiarkan setiap Ahad di suratkhabar Utusan Borneo.
Kedatangannya kali ini membawa berita yang menggembirakan apabila kumpulan puisinya `Bayu Lama Angin Baru' diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Kumpulan puisi itu memuatkan 101 buah puisi terbaru, yang dihasilkan oleh penulis yang berasal dari Kota Belud ini.
Haji Mastun lahir di Kampung Taun Gusi pada tahun 1940. Pada tahun 1952 hingga tahun 1962, beliau menjadi guru sekolah di Tandek. Ketika itu, dengan menunggang kuda dari Kota Belud beliau mendidik anak bangsa yang dahagakan pendidikan. Tidak lama kemudian, beliau ditugaskan di Kelawat,dan kemudian menjadi Guru Besar di GPS Tamparuli.
Pada tahun 1963 hingga 1964, beliau memasuki Maktab Kent Tuaran. Lima tahun kemudian, beliau melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di New Zealand. Pada tahun 1973, beliau memasuki Maktab Perguruan Ilmu Khas. Selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Penolong Pegawai Daerah Kota Belud pada tahun 1974-1976. Pada tahun 1976 beliau dilantik semua ke Jabatan Pelajaran bagi mengajar Junior Secondary School di SMK Taun Gusi.Haji Mastun kemudian dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Pelajaran pada tahun 1976, Setahun selepas Berjaya Memerintah, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan.
Kelahiran kumpulan puisi Maha sabah ini sudah tentu amat menarik. Apatah lagi kebetulan kebanyakan puisinya itu pernah disiarkan di Utusan Borneo. Banyak puisinya yang menarik antaranya ialah puisi bertajuk Utusan Borneo. Puisi Utusan Borneo itu seperti berikut:
UTUSAN BORNEO
Betapa gembira para karyawandemi diberikan hamparan halamandunia bahasa kebangsaan mampu melangkah ke hadapankemunculan penulis-penulis muda bak cendawan mengutarakan aneka kisah dongeng malah cerita rekaankalungan bunga layak diberi kepada warga utusan!
Betapa berani nakhoda utusan membina pangkalantempat para juragan bahasa bertolak menuju pelabuhanmenghidang aneka plot pelbagai bentuk kiasanmenggalas erti kebertanggungjawaban kepada insanagar warga yang mendiami bumi merdeka celik penglihatantegak bermaruah, menjulang keperkasaan bahasa kebanggaan
Utusan Borneo, utusan negeri di bawah bayupenghidang pelbagai berita gembira mahpun yang sayu piluketerbukaan, kemesraan, kededikasian, kesopanan memikat kalbumalah mesra layanan kalian wartawan menjadi tarikan ayufiil mendahulukan ketinggian martabat harta, bangsa, agamamengemudiankan warga yang tidak bernama jangan menjadi tugu.
Saya tertarik dengan puisi ditujukan kepada warga Utusan Borneo ini. Sesungguhnya ia membawa pesan yang mendalam kepada warga dan pengamal media. Kumpulan puisi Bayu Lama Angin baru sesungguhnya merupakan satu sumbangan berharga untuk khazanah sastera negara. Usaha DBP Sabah layak diberikan pujian kerana berusaha mengumpul karya-karya penulis lama yang telah banyak berjasa kepada sastera tanahair. Cuma, barangkali pada cetakan yang akan datang, biodata penulis dapat disertakan, kerana pembaca juga ingin mengetahui dunia kepengarangan Maha Sabah yang telahpun terlibat dalam dunia kesusasteraan Sabah sejak tahun-tahun 60-an lagi.
Maha Sabah juga kini sedang berusaha untuk menerbitkan novel Air Telaga Zam-Zam dan satu lagi novel bertajuk Rambiada. Ini merupakan satu berita menarik dalam dunia sastera kita kerana sungguhpun sudah melewati angka 70, Haji Mastun Abas terus berkarya.
Sesungguhnya,Penerbitan kumpulan puisi Bayu Lama Angin Baru ini sudah tentu akan merangsang penulis-penulis lama dan baru untuk terus berkarya dan menyumbangkan ke arah usaha memartabatkan kesusasteraan kita.
KAK JANAH BERTANYA KHABAR
Kehadiran tanpa di duga penyair Norjanah Mohd.Adnan (Norjanah MA) ke pejabat Utusan Borneo pada petang Sabtu bersama kak Syidah (Rasyidah Mohd.Adnan) dan penyair Reyna Manja (Bakri Lumundaya) dan isteri merupakan satu kunjungan yang akan sentiasa tercatat dalam memori. Betapa tidak Norjanah, penyair yang dulu merupakan ahli Ikatan Penulis Sabah (IPS) telah lama bermastautin di Pulau Pinang dan agak lama juga menyepi dalam dunia kesusasteraan kita. Kak Janah datang bersama anaknya Aiman dan Hafiz ternyata agak terkejut juga melihat saya yang dulunya kurus tapi sekarang agak berisi.
Ia mengembalikan nostalgia dulu ketika tahun-tahun awal IPS tertatih-tatih dalam dunia kesusasteraan Sabah. Paling akhir kami berjumpa dengan Kak Janah ialah ketika Perkampungan Sasterawan di Labuan tahun 1990. Waktu yang cukup lama untuk menyatakan bahawa memang kunjungan itu sangat bermakna. Apatah lagi, penulis Reyna Manja, yang sudah lama juga tidak menulis. Inilah antara orang-orang yang menggalakkan saya menulis ketika mula terlibat dalam dunia sastera. Ketika itu, penulis Reyna manja merupakan AJK Biro Penulisan PISBA, yang mengajurkan beberpa bengkel penulisan. Beliau banyak menghadiri kegiatan-kegiatan sastera seperti Hari Puisi Nasional, Hari sastera, Bengkel Kewartawanan dan sebagainya. Ketika itu Bakri masih berkhidmat di Jabatan Ukur dan Topografi. Sekembalinya dari melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat, beliau menjadi pegawai Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM). Semoga beliau akan kembali menulis selepas ini.
Kunjungan mereka ke Utusan Borneo, pada petang Sabtu, sesungguhnya merupakan satu kejutan yang membahagiakan.

Sunday, December 12, 2010

catatan selepas menonton tarian parinang

Kehidupan sesebuah masyarakat mungkin boleh digambarkan dengan baik melalui tarian yang dicipta berdasarkan budaya dan kehidupan seharian masyarakat itu, begitulah kesan saya ketika menonton Tarian Parinang yang ditarikan penari-penari Lembaga Kebudayaan Sabah. Tarian Parinang itu berupaya menggambarkan kehidupan seharian sukubangsa Iranun, sebagai petani dan nelayan manakala kaum wanita mereka menjadi penenun yang kreatif. Saya agak kagum dan berterima kasih kepada Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS) dibawah pentadbiran pengurus besarnya, Datu Rosmadi Datu Sulai yang mengambil inisiatif untuk mempopularkan tarian parinang ini. Usaha-usaha sebegini wajar diteruskan kerana ia dapat memperkaya dan memperkukuhkan khazanah kesenian tradisi kita.
Sukubangsa Iranun, yang jumlahnya dianggarkan 25,000 orang di seluruh Sabah meliputi 22 kampung di Kota Belud, tiga di Tungku,satu di Kudat dan sebilangan lagi di Likas dan Inanam merupakan etnik minoriti di negeri ini walaupun bangsa Iranun mempunyai peranan penting dalam sejarah menentang penjajah ratusan tahun yang lampau.
Sungguh demikian, benarlah kata peribahasa` Luya su sasatiman, katumbar su madakel', bagi menggambarkan walaupun sedikit, Iranun mempunyai sumbangan besar dalam sejarah negeri kita.
gambar ehsan Hasyuda Abadi

IPS sewaktu dulu


Kak Norjanah MA ternyata masih menyimpan gambar ini.Gambar `dulu dulu'. Jika tak silap, gambar ini diambil ketika Manifestasi Seni di Pulau Memutik. Ketika Ikatan Penulis Sabah (IPS) baru setahun usianya, dan kami, yang dijuluki penulis muda, dengan semangat bergelora, cuba memperjuangkan aspirasi penulis baru untuk mengangkat martabat sastera tanahair di Sabah.
IPS ditubuhkan tahun 90, dan mendapat surat kelulusan pendaftaran pada tahun 92. Sebelum tahun 90 itu pun, penulis-penulis muda sudah giat untuk menulis dan memperjuangkan gagasan mereka.
Pada tahun-tahun awal penubuhan IPS sebagai gerakan sastera, ia dipimpin oleh Jasni Matlani manakala ketua dua ialah Ramlah Haji Othman, yang kami panggil Kak Mila. Ketua Satu IPS sekarang, Hasyuda Abadi (Sukor Haji Usin) merupakan orang yang pertama mengemukakan borang keahlian IPS. IPS ketika itu diperkuatkan dengan kehadiran Ailin Nor (Aliuddin Mohd.Salleh) sebagai Setiausaha ,Alung Jasmin (kini imam di Tandek) Ali Karim (kini memiliki syarikat penerbitan) Norjanah MA (kini di Pulau Pinang), Esther Bernard Mawan, Sharifah AM Noordin dan ramai lagi.
Tak terasa, IPS sudah 20 tahun usianya.Meski begitu, perjuangan memartabatkan sastera Sabah berjalan terus menerus.

Saturday, December 11, 2010

Kesan kunjungan di makam Opu Daeng Menambun






KESAN KUNJUNGAN DI MAKAM OPU DAENG MENAMBUN
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

Opu Daeng Menambun tidak memiliki kereta atau kapal terbang.Itu saya pasti. Pada zaman itu, Opu bergerak bersama pengikut-pengikutnya dari satu tempat ke tempat yang lain di kepulauan nusantara dengan perahu penjajab. Tetapi bagaimana orang tua lima bersaudara dari kerajaan Luwuk di Sulawesi Selatan itu menjadi tokoh-tokoh penting dalam persejarahan Melayu dalam abad ke-18, dan tetap diingati meskipun setelah 257 tahun berlalu?
Bagaimana orang dulu-dulu berkomunikasi antara satu sama lain dari tempat yang saling berjauhan? Ketika itu belum ada kemudahan internet, belum ada telefon bimbit, facebook, twitter, skype malah belum ada posmen. Barangkali mereka menggunakan radar batin, satelit batin untuk saling berhubungan, seperti yang dikatakan Prof.Dr.Yusmar Yusuf, pengkaji sejarah dari Riau. Kehebatan orang-orang tua dahulu adalah kerana mereka mampu membaca isyarat alam, mampu mentafsir gerakan bintang dan bulan, mampu meramal cuaca dengan baik untuk kemudian belayar beribu batu untuk berdagang, menyebar agama, menjalin hubungan diplomatik dan sebagainya.
Itulah yang membuat kami berdiri beberapa lama di makam Opu Daeng Menambun, yang terletak di puncak bukit di Mempawah. Menziarahi kuburan tokoh sejarah yang penting dan berpengaruh sehingga menjadi Raja Mempawah yang pertama, kami bertanya bagaimana tokoh ini begitu dimuliakan sehingga orang-orang dari berbagai tempat, berbagai bangsa bahkan berbagai agama berkunjung ke makam beliau?
Opu Daeng Menambun merupakan anak Daeng Rilekka. Bersama saudaranya, Opu Daeng Parani, Opu Daeng Marewah, Opu Daeng Chelak dan Opu Daeng Kemasi, mereka merupakan pahlawan-pahlawan berani yang digeruni dan disegani kerana keupayaan dan kemampuan mereka menakluk lautan, melaksanakan pelbagai strategi untuk menguasai dunia perdagangan dan pelayaran di alam nusantara.
Kami bertafakur di makam Opu Daeng Menambun itu. Ramai orang berdatangan membaca yasin, berdoa agar roh beliau ditempatkan di sisi orang-orang yang saleh. Mungkin juga ada diantara mereka membayar nazar atau memohon restu atau mencari berkat tetapi yang lebih penting lagi ialah bagaimana walaupun setelah ratusan tahun Opu Daeng Menambun masih tetap diperingati sampai sekarang?
Makam beliau di Sebukit itu dikunjungi ratusan pengunjung, terutamanya setiap Khamis dan hari Minggu. Saya tidak tahu kenapa. Tetapi makam yang telah berusia lebih 200 tahun itu tetap terpelihara. Menapaki anak tangga yang dikatakan berjumlah 265 kesemuanya, saya bertanya dalam hati, bukankah di negeri kita juga terdapat banyak tapak bersejarah?
Namun seberapa ramai yang mengenali tokoh-tokoh seperti Syarif Osman, Datu Tating, Embo' Ali, Kurunding, Santara,Kamunta, Antanom, malah Mat Salleh yang begitu terkenal itu tidak diketahui dimana kuburnya. Tugu peringatan Mat Salleh di Tibabar Tambunan perlu dinaiktaraf lagi, Bukit Mat Salleh di Inanam mungkin boleh dijadikan tapak bersejarah, kuburan Syarif Osman di Kota Marudu juga boleh dipelihara dengan sebaik-baiknya malah banyak lagi yang boleh dipulihara bukan saja untuk memberikan kesedaran sejarah buat generasi baru tetapi juga boleh menjadi tarikan pelancong ke negeri ini.
Banyak yang dapat kita pelajari daripada peristiwa peristiwa bersejarah ini. Melalui tokoh-tokoh sejarah ini kita dapat belajar mengenai perjuangan, pengorbanan, keikhlasan, keberanian, persaudaraan, persahabatan, maruah, teknologi pelayaran dan sebagainya. Kita juga dapat belajar mengenai ketamakan, pengkhianatan, kuasa, monopoli, keangkuhan, perubatan malah batas dan wilayah.
Kunjungan ke makam Opu Daeng Menambun dalam usaha menemukan akar bangsa dan menangkap getar sejarah , saya tiba kepada satu kesimpulan bahawa sebuah kekuasaan boleh runtuh sekiranya rakyatnya tidak bersatu,iri hati, dengki mendengki, saling bertelingkah sesama sendiri sehingga memberi ruang dan peluang kepada orang asing berkuasa dan memerintah dan kemudian bukan saja menjajah negeri malah sampai kini masih menjajah minda kita walaupun setelah puluhan tahun merdeka.
Saya tidak tahu apa yang akan dikatakan Opu Daeng Menambun sekiranya ia masih hidup dan melihat kami bertafakur di makam beliau. Mungkin Opu merasa tidak begitu selesa melihat tingkah orang-orang yang terlalu memuja beliau. Saya fikir pejuang-pejuang lama berjuang dengan penuh keikhlasan, tanpa perlukan imbalan, pangkat dan harta benda.
Apa yang masih berlegar-legar dalam fikiran saya ialah betapa tingginya tempat beliau dimakamkan itu.Di puncak bukit. Jauh di pedalaman Mempawah. Dari atas bukit itu, kita boleh melihat dataran rendah. Sungai yang mengalir, pokok-pokok yang mungkin ratusan tahun usianya. Betapa tepatnya pilihan mereka mengenai lokasi pemakaman itu. Apakah tempat ini merupakan tapak kerajaan Mempawah yang pertama atau ia hanya merupakan tanah pemakaman, tempat jasad disemadikan?.
Lokasi Makam Opu Daeng Menambun itu agak jauh tempatnya. Kami berkereta dan terpaksa merentasi air banjir untuk sampai ke kawasan permakamannya. Terdapat puluhan pengunjung ketika itu. Ada yang datang dengan bas, ada yang datang dengan kereta. Tapi pasti tak ada yang datang dengan penjajab atau kapal layar.Betapa zaman telah berubah.Betapa waktu cepat beredar tetapi Opu Daeng Menambun tetap tercatat dalam hikayat, buku sejarah, cerita rakyat dan dalam imaginasi kita sendiri.
Betapa hebatnya orang dulu. Betapa kuatnya ilmu mereka. Betapa perkasa dan betapa beraninya mereka.Betapa dengan penuh rasa bangga sebagai anak-anak nusantara, mereka berani berdepan dengan kuasa penjajah, faham kolonialisme. Tetapi kita, kini makin tercabut dari akar budaya dan akar bangsa kita.Malah kita cenderung lupa diri dan hilang keyakinan dan bangga diri terhadap bangsa dan negara kita.
Kadang-kadang kita menganggap bahawa segala yang datang dari luar begitu bagus dan kita sering meremehkan diri, memperkecilkan kemampuan kita. Tetapi terbukti sejak dulu, kita memiliki peradaban dan ketinggian tamadun sama seperti bangsa barat. Ketika bangsa Viking merentas Eropah, kita juga merupakan pelayar hebat yang mampu membuat perahu-perahu besar dan berlayar meyeberangi lautan.Ketika bangsa luar mampu membuat simen, kita juga memiliki teknologi serupa.
Kita harus bangunkan kembali rasa bangga dan percaya diri sebagai bangsa yang bermaruah, yang sanggup berjuang melepaskan diri dari cengkaman penjajahan minda. Apakah ciri-ciri untuk menjadi peribadi, bangsa dan negara yang bermaruah. Maaf! Saya lupa menanyakannya kepada Opu Daeng Menambun.
UTUSAN BORNEO 12.12.2010

Tuesday, December 7, 2010

Catatan sebelum meninggalkan Bandara Supadio

Kalau ada perkara yang mengejutkan pada pagi terakhir sebelum kami berangkat pulang melalui Bandar Udara Supadio, ia adalah berita mengenai banjir besar yang mengepung Kota Pontianak.

Akhbar Metro Pontianak dengan motonya `Selalu Ada Yang Panas' hari itu melaporkan bahawa"Sedikitnya dua rumah hanyut, tiga rusak berat dan tujuh mengalami rusak ringan, akibat banjir pasang (Rob) yang melanda Kota Pontianak. Rumah warga yang berada di pinggiran Sungai Kapuas diterjang gelombang dengan ketinggian mencapai dua meter".

Sementara itu, Pontianak Post , Pertama dan Terutama di Kalimantan Barat melaporkan bahawa `banjir dan terjangan gelombang menyebabkan dua rumah hanyut dan 14 rosak berat di Kecamatan Pontianak Barat pada Rabu (8/12) siang.Sebanyak 200 warga setempat di ungsikan ke kantor camat kerana ketinggian air yang mencapai satu meter.
"Hanya satu barang yang bisa diselamatkan, yakni televisi.Barang lainnya hanyut semua bersama rumah", ujar Ridwan, yang rumahnya hanyut diterjang arus air pasang di pinggir Sungai Kapuas.

Kami sudah berkemas dan turun di lobi hotel Orchardz di Jalan Gajahmada.Khuatir juga jika kereta tidak boleh melalui jalan yang dinaiki air ke Bandara Supadio tetapi Pak Adi Rahmani memberi jaminan bahawa jalan ke arah lapangan terbang selamat untuk dilalui.

"Tak pernah seperti ini,"katanya."Kalau air naik hingga ke jalan( dia menunjuk seberang jalan) ertinya banjir kali ini agak besar,"tambahnya.

Kami sengaja berangkat lebih awal. Setelah check out, kami terus saja memanggil pak Adi yang telah sedia menunggu.Biasanya dalam perjalanan jauh seperti itu, adalah lebih baik datang lebih awal ke lapangan terbang.Apatahlagi jika kita membaca akhar Borneo Tribune Pontianak http://www.borneotribune.com, menuliskan mengenai bagaimana warga panik kerana banjir datang tiba-tiba.

"Sejumlah warga di Jeruju, Kecamatan Pontianak Barat dan Siantan, Pontianak Utara panik banjir dalam hitungan detik masuk ke dalam rumah mereka. Air setinggi 70 centimeter hingga 1 meter menggenangi sejumlah rumah warga.
Kejadian yang tidak disangka-sangka itu,berlangsung saat hujan disertai angin kencang menerpa Kota Pontianak sejak pukul 11.00 WIB (Waktu Indonesia Barat).

Saya teringat apa nasib keluarga yang tinggal di gang Mempelam, Jalan Jeruju? Semoga mereka selamat kerana menurut Pak Adi, penduduk di Jeruju semua masih di tempat pemindahan.

Ketika hujan turun itu, kami sebenarnya sedang makan di Rumah Makan Kakap.Angin tiba-tiba bertiup kencang disertai hujan.Sejurus selepas hujan reda, kami terus pulang ke hotel, dan hasrat saya untuk bertemu dengan keluarga tidak kesampaian kerana badai tropika yang tidak diduga itu.

Pak Adi juga menerima telefon dari keluarganya yang menyatakan rumah mereka juga turut dinaiki air, tetapi itu menurut Pak Adi, adalah fenomena di kota khatulhistiwa itu.

Oleh sebab itu, pada malam rabu itu, kami sengaja berjalan kaki mencari restoran untuk makan malam. Pak Nasril, penjual majalah itu memberitahu kami ada sebuah restoran di jalan tanjung pura, yang terletak tidak jauh dari situ dan boleh dihubungi dengan berjalan kami, terkenal kerana makanannya yang sedap. Rumah Makan Melda katanya sambil menambah ia restoran `orang kita'.

Kerana itu kami sanggup berjalan kaki, dekat setengah batu, sambil menarik seluar kerana jalan digenangi air untuk sampai ke restoran Melda. Padahal terdapat bebderapa kedai di tepi jalan tetapi kerana kata Pak Nasril, Rumah makan Melda, miliki `orang kita' maka kami sanggup berjalan kaki ke sana.

Pak Nasril yang telah berjualan majalah sejak kecil itu merupakan pegawai negeri dansejak 25 tahun lepas bertugas di Humas Pemerintah Kota Pontianak. Beliau kelihatan gembira kerana Pasukan Bola Sepak Indonesia berjaya mengalahkan Thailand 2-1. Kemenangan Indonesia itu membuatkan rakyat di negara itu melupakan sejenak kes rasuah yang melibatkan Gayus H Tambunan, masalah korupsi dan sebagainya.

Tak terasa sudah empat hari kami berada di Pontianak. Pada hari kelima, kami pulang melalui Bandar Udara Supadio. Penerbangan mengambil masa kira-kira 25 minit berbanding dengan perjalanan dari jam 7.30 pagi hingga 6.00 petang sewaktu kami menaiki bas Damri dari Kuching.

Pesawat Batavia Air terbang kira-kira jam 11.45 pagi dan dijadual tiba pada jam 12.10 minit tengahari.Bagaimanapun kami tiba jam 1.15 minit petang waktu Malaysia kerana perbezaan waktu satu jam antara Malaysia dan Indonesia Barat.

Saya duduk ditengah-tengah. Bung Hussain sesekali melepaskan lelah sambil melelapkan mata sepanjang perjalanan ke Kuching itu. Hasyuda pula sedang asyik menggambar pucuk-pucuk awan.

catatan di makam daeng menambun

Menapaki tangga demi tangga ke makam Raja Mempawah yang pertama, Opu Daeng Menambun, dan melihat sungai yang mengalir di bawah bukit, pokok-pokok yang mungkin ratusan tahun usianya, saya berasa seperti turut mengalir bersama sejarah.

Makam Opu Daeng Menambun, yang terletak kira-kira 5 km dari Desa Pasir, Kecamatan Mempawah Hilir didirikan di atas sebuah bukit. Beliau kembali ke rahmatullah kira-kira 257 tahun yang lalu iaitu pada 1175 H, atau 1753M.

Kerajaan Mempawah didirikan pada abad ke 18. Opu Daeng Menambun merupakan salah seorang daripada 5 anak raja Bugis paling berpengaruh di Nusantara pada tiga abad yang lalu. Beliau mendirikan Kerajaan Mempawah yang terletak di jalur perdagangan Pontianak,Singkawang dan Sambas.

Saya tidak sempat menghitung berapa jumlah anak tangganya, yang tercatat ialah 265 anak tangga tetapi jumlah anak tangga itu konon berbeza jika dihitung dari seorang ke seorang yang lain.

Di makam Daeng Menambun, saya menghadiahkan al-fatihah. Ramai juga yang membaca surah yasin.Saya juga lihat pengunjung yang sanggup datang dari berbagai daerah di Indonesia malah saya melihat pengunjung dari berbilang bangsa datang berziarah.

Kami terfikir apa kekuatan yang dimiliki Opu Daeng Menambun, sehingga meskipun sudah ratusan tahun berlalu, beliau masih tetap `hidup' walaupun telah meninggal dunia pada 257 tahun lepas.

Jalan ke makam beraspal tetapi dinaiki air sejauh kira-kira 1 km. Mujur Pak Adi Rahmani, yang menjadi pemandu kami seorang yang agak berani juga kerana sanggup meredah jalan yang belum pernah kami lalui itu.

Ziarah ke Makam Daeng, bagi menjejaki sejarah lampau merupakan satu pengalaman yang amat berharga. Bung Hussain sudah lama menyimpan hasrat untuk berkunjung kemari, dan kami bersyukur -saya dan Hasyuda Abadi- kerana diajak sama untuk melawat Pontianak.

Pada pagi tahun baru hijrah ini, kami ke Mempawah, iaitu kira-kira dua jam perjalanan dari Pontianak. Dalam perjalanan itu, saya menerima sms dari kampung yang menyatakan Pakcik Haji Mohd.Arshad Ekong kembali ke rahmatulllah.

Sebenarnya saya banyak belajar daripada allahyarham.Belajar dari sikapnya yang tenang, dan berjiwa luhur.Saya berasa sedih juga mengenangkan saya tidak berada di kampung ketika ini. Suatu yang telah ditentukan bahawa pada kunjungan kedua ini, saya mendapat khabar pakcik meninggal manakala pada kunjungan pertama dahulu, ayah yang berpulang.

Jadi ziarah kami ke Makam Daeng Menambun itu ternyata memberikan pengalaman kerana kami dapat belajar dari semangat juang dan keikhlasan yang dimiliki Opu. Keikhlasan perjuangan yang dimilikinya itu menarik ramai orang untuk berziarah ke makamnya.

Memang ada yang meminta berkah, membayar nazar dan meminta restu, berdoa di makam Opu tetapi kami datang semata-mata untuk menghadiahkan alfatihah dan menyatakan rasa hormat kami kepada Opu Daeng Menambun yang gigih berjuang menentang penjajahan.

Tetapi saya kira, bangsa kita sebenarnya masih terjajah.Kalau dulu leluhur kita sanggup berjuang menentang penjajah tetapi hingga kini,kita masih tidak berupaya keluar dari minda yang terjajah.

Saturday, December 4, 2010

sekadar satu perhentian dalam perjalanan ke Tebedu

Hetty Koes endang terus bernyanyi ketika bas berhenti .Tak nampak signboard yang menyatakan nama bandar.Oh ya, Tarat, kata konduktor bas itu. Penumpang bas mengambil pelaung ke bilik belakang, yang kalau di Indonesia di panggit WC atau kamar kecil. Kalau di negara kita dipanggil tandas atau kata orang putih toilet. Di manila dipanggil CR atau comfort room.

kini bas bergerek lagi, dan bung hussain asyik memandang hutan, pohon pohon yang tumbuh di kanan kiri jalan.HA sedang menulis di facebook saya kira, dan saya pula sedang menanti akan sampai kemanakah talian digi ini.sampai tebedu atau sampai kemana yang boleh dijangkaunya.
jangan jangan kau hancurkan cintanya, jangan lagi sayang.jangan jangan lagi kau redupkan cinta yang indah ini, begitu kata Hetty dalam lagu yang entah apa tajuknya.

Catatan perjalanan ke Tebedu

Bas Damri perlahan-lahan bergerak meninggalkan stesen di Batu Tiga. Cahaya matahari muncul di celah-celah awan pada pagi yang ramah ini. Duduk di kanan saya ialah Pak Diaman, pria asal Surabaya yang bekerja di Sibu.
Di sebelah kiri saya, Bung Hussain dan Hasyuda Abadi. Kami sedang dalam perjalanan ke Pontianak dan dijangka tiba di sana kira-kira jam 4.00 petang.

Awal pagi lagi, Saudara Jebat Pani muncul di lobi hotel untuk menghantar kami ke stesen bas.Banyak maklumat berguna yang saya perolehi mengenai Sarawak dengan segala keunikan dan keistimewaannya.

Melalui Jebat, saya dapat tahu gambir sarawak yang selalu dicari lakilaki itu sebenarnya berasal dari China, selalu disebut orang dengan nama Samjit.Kemudian diberi jenama Gambir sarawak.
Jangan salah faham, katanya.Gambir sarawak ada dua. satu memang gambir berbentuk segi empat, yang juga boleh digunakan untuk ubat-ubatan dan sirih pinang.

Mulanya saya bertanya apa rahsianya kelihatan muda padahal usianya sudah menjangkau angka 54. Bung Hussain mencelah dengan berkata sambil bercanda bahawa itu mungkin kerana khasiat gambir sarawak. kami berasa lucu dan Jebat mengatakan gambir sarawak sebenarnya bukan dari Sarawak.

Ia mungkin sama dengan kopi tenom yangdijual di Kota Kinabalu, yang tidak semestinya dari Tenom tetapi diberi jenama kopi tenom.Sama juga, kata HA, perihal belacan dimana orang mengaku bahawa belacan yang mereka jual semuanya berasal dari kampung laut walaupun sebenarnya bukan.

Saya tidak sempat menghubungi sepupu saya di Kampung Tupong Batu, kerana pagi-pagi sekali harus berangkat ke kalimantan.Begitu juga rakan dan kenalan lain di Kuching. saya sebenarnya sedang tercari-cari jamshari saili, penggiat teater dari kampung Bako.sudah lama saya tidak berhubung dengan sahabat saya ini, Entah dimana beliau sekarang, masihkah di kuching atau di KL?

Hetty Koes Endang sedang menyanyi menghibur kami dalam perjalanan ke Tebedu ini.Mungkin hanya wajahku yang jauh berubah, katanya. Dalam hati saya mengatakan bahawa wajah boleh berubah, tapi persahabatan tidak.

catatan di Kuching 4 Disember

Lada mungkin tidak pernah tahu bahawa ia pedas.
Kalau ditanya kepada lada, dengan pertanyaan misalnya, apakah ia merasa pedas, mungkin jawapannya tidak.
Pedas lada hanya dirasakan oleh mereka yang memakan lada.Yang merasakan pedas lada adalah orang yang makan lada.
Tapi kami tidak makan lada ketika itu.Kami sedang perjalanan kembali ke hotel Harbour View setelah menikmati suasana petang di Kampung Boyan.
Di seberang sana kelihatan bandaraya Kuching yang cantik disimbah cahaya senja.
Kata-kata Haji Hussain mengenai lada dan pedas itu lahir begitu saja secara spontan, dan saya tidak ingat lagi apa punca lahirnya ungkapan itu.

2. Kami sedang berbicara mengenai kisah seseorang yang boleh disifatkan hanya songkoknya yang haji sementara perbuatannya masih tetap tidak berubah.Dia digosipkan dengan isteri orang dan dia seolah-olah tidak pedulikan pandangan orang. Bermacam cara dilakukan agar kelakuannya itu tidak diketahui isterinya.Sungguhpun ia digelar haji tapi yang haji hanya songkoknya, kata Bung hussain.

3. Kemudian teringatlah kisah seorang kenalannya yang kaya, banyak duitnya yang berkenan dengan seorang perempuan dari Medan. Kerana berkenan dengan wanita Medan itu, beliau diajarkan bahawa jika ditanya oleh kedua bakal mertuanya mengapa hanya mereka berdua saja yang datang untuk meminang, maka dia hendaklah menjawab,kami ini musafir. Begitulah jawaban standard yang diberitahukan kepadanya.
Jadi apabila bakal mertuanya bertanya mengapa hanya mereka berdua yang datang, kenalan tadi itu berasa gugup lalu menjawab `apa boleh buat, kami ini munafik". Setelah mendengar kata-kata itu, akhirnya pinangan orang itu ditolak.

4. Ketika kami makan itu, saudara Jebat Pani, rakan HA dari SPR menunjukkan teksi air yang sedang bergerak di sungai sarawak. Teksi air itu boleh disewa untuk menyusuri sungai jika tak ingin naik penambang. Saya terlupa sebentar Laksa Sarawak yang spesial itu sebaliknya tertumpu kepada pemandanfan sungai yang cantik.
Susah dapat ikan di sini, kata Jebat yang telah 30 tahun berkhidmat dengan SPR Sarawak. Beliau juga memberitahu telur penyu mudah didapati di Kuching dengan harga RM1.50 sebiji.
Haji Hussain pula teringat pengalamannya di sandakan dimana beliau terpaksa beredar cepat kerana menyangka penjual telur penyu yang menunjukkan isyarat tiga jari untuk menjual telur penyu.

5.Sayang Sarawak sungainya sempit.Tapi saya tak nampak sungainya yang dikatakan sempit itu. Kami duduk memerhatikan orang-orang yang memancing di Sejingkat Baraj. pada mulanya kami merancang untuk mengikuti River Cruise untuk menyusuri Sungai bermula jam 5.30 petang hingga 7.00 malam dengan harga tiket RM60 seorang tetapi kejabisan tiket.Terlalu ramai orang dan kouta 40 penumpang telah dipenuhi.
Kami bercadang untuk menaiki bot dengan tambang RM19 seorang dan sementara menunggu, kami minum petang di tebingan Kuching.
Bayangkan walaupun kami merancang untuk ikut perahu, tetapi Tuhan berkata lain, iaitu dengan menyuruh kami mengikut Jebat yang membawa kami berkeliling Kuching.

Friday, December 3, 2010

PANDIKAR KUKUHKAN HUBUNGAN MALAYSIA-FILIPINA



PANDIKAR PERKUKUH HUBUNGAN MALAYSIA-FILIPINA
-Sekitar lawatan kerja Yang Di Pertua Dewan Rakyat ke Manila dan Cotabato City
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

SETIBANYA di Bangunan House Of Representatives di Kompleks Batasan, Quezon City, Filipina Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia disambut dengan penuh istiadat kehormatan. Pegawai-pegawai dan anggota kongres berbaris ketika Pandikar diiringi masuk selepas membalas tabik hormat daripada barisan kawalan kehormatan yang telah bersiap sedia menunggu ketibaan Speaker Parlimen Malaysia itu.
Kunjungan hormat kepada Speaker Dewan Perwakilan Filipina, Feliciano Belmonte adalah acara pertama yang tertera dalam jadual lawatan kerja rasmi beliau ke negara Filipina pada 17 hingga 20 November lepas. Pandikar yang diiringi isteri, Puan Seri Datin Seri Panglima Hadijah Teng Abdullah, Setiausaha Sulit Kanan, Ali Zulfakar Zainal Abidin, Pegawai Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa dan Protokol Parlimen Malaysia, Puan Lavinia Vyveganathan dan 30 anggota rombongan berada di Manila dalam perjalanan untuk menghadiri Sambutan Ulang Tahun ke 21, Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) di Cotabato City.
Di bangunan kongres itu, Pandikar telah beramah mesra dan bertukar pandangan dengan anggota-anggota kongres Filipina terutama anggota-anggota kongres dari Mindanao, Sulu dan Tawi Tawi. Selepas itu, beliau telah dijemput ke ruang pejabat Speaker Belmonte untuk menikmati jamuan ringan. Di ruang pejabat yang penuh bersejarah itu, mereka berbicara secara lebih informal. Perbincangan bermula dari usaha-usaha mengukuhkan hubungan bilateral antara Malaysia dan Filipina, mengenai keterkaitan sejarah antara kedua negara sahabat hinggalah cerita mengenai durian.
Pandikar berkata, durian merupakan raja buah di Malaysia sehingga terdapat acara khusus untuk menjamu anggota parlimen dengan buah durian setiap kali tibanya musim durian. Diplomasi durian itu ternyata mampu merapatkan hubungan antara anggota-anggota parlimen dari parti memerintah dan ahli-ahli parlimen pembangkang. Belmonte pula menceritakan pengalaman berkunjung ke Kota Kinabalu sewaktu ia masih bernama Jeselton pada tahun 1972.
Pandikar mempelawa Speaker Kongres Filipina itu untuk melawat Malaysia, untuk mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin antara kedua negara. Speaker Belmonte seorang yang budiman dan romantis dan penyayang, yang dapat dilihat dari gambar-gambar yang tergantung di dinding pejabatnya. Ada gambar keluarganya dan empat gambar lain yang kesemuanya menunjukkan seorang ibu yang pengasih sedang memangku anaknya yang masih kecil.
Selepas itu, Ahli Kongres Nur Jaafar telah mengiringi Pandikar ke ruang Sidang Kongres, dan beliau diberi tepukan gemuruh sebaik diperkenalkan kepada anggota dewan. Beliau telah ditemui oleh Hon. Pangalian M.Balindong, dan Hon.Ahmad Tomawis. Malah mantan Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo juga datang untuk bersalaman dengan Tan Sri Pandikar.
"Kalau Manny Pacquaio ada, mungkin kita boleh jumpa," kata pegawai pengiring kami, memberitahu mengenai ahli kongres dari Sarangani yang baru saja menang gelaran tinju dunia, yang kelapan baginya, di Amerika Syarikat.
Hari kedua kami di Manila, sebuah acara sambutan telah diadakan di kediaman seorang tokoh Islam di Manila, Sultan Abd.Ghani Batua. Delegasi Malaysia telah dijamu dengan makanan khas Islam Filipina yang menyelerakan termasuklah kari kepala kambing, yang khabarnya paling popular di sana.
Keesokan harinya, rombongan berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino untuk meneruskan lawatan kerja rasmi ke Cotabato City. Selepas turun dari pesawat Cebu Pasific, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia diberi kalungan bunga sebelum memeriksa kawalan kehormatan tentera ARMM. Selain isterinya, Puan Seri Hadijah Teng Abdullah, turut serta dalam rombongan itu ialah Duta Besar Malaysia Ke Filipina, Dato Seri Dr.Ibrahim Saad.
Selepas menunaikan solat Jumaat di Blue Mosque, rombongan Malaysia telah dijamu makan tengahari di sebuah restoran terkemuka di Cotabato City. Kira-kira jam 4.00 petang, Pandikar telah menyampaikan ucapan yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat Islam di sana di Pusat Kebudayaan Sharif Kabungsuan. Beliau yang menjadi tetamu kehormat pada majlis Sambutan Ulang Tahun ke-21 ARMM telah dijemput oleh Pemangku Gubernur ARMM, Ansaruddin Alonto Adiong dan diperkenalkan kepada hadirin oleh Setiuasaha Eksekutif ARMM, Atty Naquib Sinarimbo.
Pada sebelah malamnya, delegasi Malaysia telah diraikan dalam acara makan malam dengan tradisi `pagana' yang berisi pelbagai juadah yang menyelerakan. Majlis juga diserikan dengan persembahan bayuk oleh artis budaya terkenal di Mindanao, termasuklah penyanyi Putri Erlynda yang agak popular ketika ini.
Sebelum meninggalkan Mindanao pada tengahari Sabtu 20 November, Tan Sri Pandikar sempat berkunjung ke Pejabat Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) di Cotabato City. Beliau telah diberi taklimat mengenai situasi masyarakat Islam di Mindanao oleh Mejar Jeneral Dato' Baharom Hamzah, yang mengetahui IMT di sana.
Delegasi Malaysia meninggalkan Cotabato City pada sebelah tengahari dan tiba semula di Manila kira-kira jam 2.00 petang. Selepas check in semula di Hotel Ascott Makati, anggota rombongan bersiap siap untuk menghadiri majlis makan malam yang diberikan oleh Duta Besar Malaysia ke Filipina, Dato Seri Dr.Ibrahim Saad dikediamannya di Makati.
Tak ada ucapan perpisahan pada majlis makan malam itu. Semuanya menikmati juadah yang disediakan dan pelbagai resipi yang menyelerakan. Perasaan serta merta berubah seperti berada di negara sendiri ketika berada di kediaman duta besar itu. Banyak pengalaman yang terpahat dalam ingatan setiap anggota rombongan dari Malaysia itu. Kini terasa benar ungkapan hujan emas di negeri orang, yang boleh dilanjutkan dengan kata kata antara negara orang dengan negara sendiri, betapa berbeza.
Kerana ada perbezaan, kita dapat mengenali makna kesaksamaan.Kerana ada perbezaan, kehidupan bertambah warna warninya dan jika kita dapat saling mengenali, kita dapat mengukuhkan hubungan persahabatan antara dua negara yang berjiran.

*gambar ihsan Sdr Kamal Norfarid Kamarudin, Konsul Malaysia di Davao City

Thursday, December 2, 2010

Ke mana kita akan pergi?

i-Saan tayo pupunta? where are we going? Itulah kata-kata terakhir Benigno Aquino sebaik turun dari tangga pesawat China Airlines Flight 811 di Manila International Airport pada 21 Ogos 1983.

Saya tidak tahu apa jawapan yang diberikan oleh anggota tentera Filipina tapi saya tahu Ninoy mati tertembak selepas itu.

Kemudian Marcos jatuh ditimpa kemarahan rakyat.Cory jadi Presiden.Selepas itu Fidel Ramos, Joseph Estrada, Gloria Macapagal Arroyo dan kini Benigno Noynoy Aquino.
Tapi persoalan masyarakat Islam di Mindanao belum selesai selesai.

Barangkali kalau Ninoy hidup lama, dan menjadi Presiden, aspirasi dan permasalahan masyarakat Islam di wilayah yang bergolak sedikit sebanyak akan dapat ditangani.
Ninoy pulang ke negara asalnya setelah tiga tahun di Amerika untuk membawa misi kedamaian.

Salah satu sebab utama beliau kembali ke Manila, walaupun dengan risiko mati atau dipenjara adalah untuk membantu menyelesaikan konflik berpanjangan itu.

"So here I am, offering myself to try to put a stop to the bloodshed in Mindanao.It is tragic and pathetic that filipinos should be killing each other only because of the lack of communications", itulah kata-katanya kepada Ketua Biro Agence France-Presse AFP Manila, Teodore Benigno.

Dalam ucapan yang tak sempat disampaikan, Ninoy antara lain menyatakan bahawa rekonsilasi nasional dan perpaduan juga penyatuan hanya boleh dicapai hanya dengan keadilan termasuk adil kepada saudara Muslim dan Ifugao.

"There can be no deal with a dictator.No compromise with Dictatorship". Beliau melanjutkan bahawa "In a revolution there can really be no victors, only victims.We do not have to destroy in order to build".

Beliau mengutip kata-kata Archibald Macleish yang tercatat di koridor University Harvard:
"How shall freedom be defended? By arms when it is attacked by arms; by truth when it is attacted by lies; by democratic faith when it is attacted by authoritarian dogma.Always, and in the final act, by determination and faith.

Kerana itu, Aquino pulang dari buangan. Ketika dinasihatkan oleh rakannya supaya beliau tidak pulang ke Filipina kerana berbahaya, Ninoy berkata "I'd rather die a meaningful death than lead a meaningless life"

Tapi antara kematian yang bermakna dengan kehidupan yang sia-sia, kita masih boleh memilih untuk satu kehidupan yang bermakna.

Untuk mencapai kehidupan yang berharga dan penuh erti itu, alangkah baik jika kita dapat menyingkirkan dendam dan konflik berpanjangan untuk menuju kedamaian yang berkekalan, yang akhirnya akan membawa kesejahteraan.

Saya sebenarnya belum habis membaca buku Ninoy Aquino The Man The Legend yang disunting oleh Asuncion David Maramba.Buku yang memuatkan cerita dan perwatakan Ninoy yang ditulis oleh rakan-rakannya, sungguh merupakan sebuah buku yang dapat menjelaskan kisah hidup, perjuangan dan idealisme Benigno Aquino, seorang pemimpin Filipina yang akhirnya mati, tetapi setelah kematiannya Filipina berubah.

Saan tayo pupunta? kemana kita akan pergi?. Pertanyaan ini bukan semata-mata pertanyaan Ninoy Aquino seorang, tetapi ia merupakan satu pertanyaan yang kini turut ditanya oleh sebilangan besar masyarakat Islam di wilayah selatan itu.

Mandat yang diberikan kepada International Monitoring Team (IMT) yang diketuai Malaysia akan berakhir beberapa hari lagi. Jika mandat itu tidak diperbaharui, Mindanao akan sekali lagi menyaksikan pertumpahan darah. Kedua-dua pihak, samaada Manila dan bangsamoro perlu memperlihatkan kejujuran dan keikhlasan dalam penyelesaian konflik di Mindanao.

Saan tayo pupunta? Ninoy tidak sempat melihat kemana destinasi tempat yang perlu dituju kerana dia telahpun pergi lebih awal tetapi saya yakin anaknya yang kini menjadi Presiden Filipina memahami impian, hasrat dan cita-cita ayahnya untuk mewujudkan pesan-pesan kedamaian untuk seluruh rakyatnya, tidak terkecuali masyarakat Islam di wilayah selatan.
ii-Saan tayo pupunta? Kemana kita akan pergi? pertanyaan dalam bahasa tagalog itu

terulang-ulang dalam fikiran saya ketika kami menaiki tangga pesawat Air Asia ke Kuching. Saya tidak lagi berada di Manila seperti minggu lalu tetapi sebaliknya meneruskan satu lagi perjalanan merentasi sempadan, kali ini ke Kalimantan Barat.

Dua minggu lalu secara tidak disangka, kami duduk berbincang-bincang di Tanjung Aru Plaza. Minum kopi bersama penulis Haji Hussain Qassau, seorang pejuang dalam bidang penulisan dan kewartawanan di Sabah dan Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS), Sukor Haji Usin atau lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi.

Tiba-tiba membuak keinginan untuk menulis dan membukukan karya-karya yang telah dihasilkan.Apa tandanya kita pernah hidup di dunia? Itu pertanyaan Bung Hussain, yang menggalakkan kami supaya menulis dan berkarya.

Untuk menyuburkan dan menyegarkan semangat menulis, beliau mencadangkan supaya kami melakukan semacam rihlah penulisan.

Jadi kemana kita akan pergi? Mari kita ke Pontianak dan menuliskan apa saja yang terlintas dalam fikiran, sama ada puisi, cerpen, catatan atau apa saja yang timbul dalam fikiran.
Itulah sebabnya tanpa disangka, kami berada di sini,Harbour View Hotel, transit sebentar di Kuching untuk meneruskan perjalanan keesokan hari.