Sabtu, 29 Januari 2011

PM NAJIB,JALAN GAYA DAN 1MALAYSIA

Tags
PM NAJIB, JALAN GAYA & 1MALAYSIA

ENTAH bagaimana ketika asyik membidik lensa kamera ke wajahnya yang gembira, tiba-tiba Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak menghulurkan tangan untuk bersalaman. Saya agak terkejut juga tetapi bersyukur kerana dapat menyalaminya, kemudian dapat pula bersalaman dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim, ketika sedang asyik berkejar untuk mengambil gambar dan merakamkan peristiwa itu dalam sejarah.

Buat pertama kalinya seorang Perdana Menteri Malaysia berkunjung ke Jalan Gaya. Peristiwa itu pasti tidak dapat dilupakan warga kota dan rakyat Sabah yang turut berada di lokasi pada malam itu. Orang ramai, puluhan ribu jumlahnya, tidak kira bangsa dan agama bersesak sesak di Jalan Gaya tidak saja untuk merayakan Karnival Tahun Baru Cina 2011 malah untuk bersama menunggu ketibaan PM yang dicintai rakyatnya itu.

PM datang tepat jam 8.45 malam, kata Chin Tek Ming dalam facebooknya. Chin jelas gembira dengan sambutan luar biasa yang diberikan rakyat Sabah khususnya warga kota pada malam itu. Malah beberapa jam sebelum kedatangan PM, orang ramai sudah berdatangan dengan harapan dapat melihat wajah PM Datuk Najib dari dekat.

Penguatkuasa DBKK yang dedikasi itu malahan sanggup berdiri lebih dua jam untuk memegang riben yang akan digunting Datuk Seri Najib sebagai simbolik perasmian karnival itu.Sementara Ustaz Samli sudah bersedia dengan kamera untuk merakamkan gambar untuk dibahagikannya kepada rakan-rakannya di Kota Belud.

Perdana Menteri berjalan dengan cepat.Wajahnya riang dan tersenyum.Begitu juga Ketua Menteri yang kelihatan senang hati pada malam 28 Januari itu. Saya melihat Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Datuk Dr.Yeh Moh Chai, Datuk Seri Panglima Sari Tan, Datuk Chau Tet On,Datin Linda, Datuk Hajah Jainab malah ramai lagi kenamaan lain yang turut bersama berjalan kaki di Jalan Gaya, sebatang jalan yang penuh sejarah di ibu negeri Sabah.

Sebenarnya, Jalan Gaya juga merupakan sebatang jalan yang agak signifikan dengan konsep 1Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri sendiri. Di Jalan Gaya, dengan mudah kita dapat menemui kedai-kedai dimana rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama boleh duduk minum kopi bersama-sama tanpa sebarang prasangka.Inilah sebuah jalan yang menunjukkan betapa toleransi dan perasaan muhibbah dapat dipupuk dengan begitu berjaya.

Selepas berkeliling sebentar di Jalan Gaya, Datuk Najib dan tamu kehormat yang lain duduk minum kopi di Restoran Dah Hin Kartini, sebuah restoran yang terkenal dengan goreng pisangnya yang laris selan soto dan rojaknya yang sedap. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan Kak Tini dan Haji Yusop, pemilik kedai yang tiba-tiba mendapat pelanggan yang tidak disangka-sangka. Tentu sekali mereka gembira apatahlagi dapat bercakap sendiri dengan PM Najib mengenai minuman apa yang digemarinya.

Anaknya, Sahardy tidak menyangka bahawa teh tarik dan kopi yang disediakannya itu adalah untuk hidangan Perdana Menteri. "Saya tak tahu sebelumnya. (Tapi) Saya gembira kerana dapat menyediakan minuman untuk Perdana Menteri"

Ketika Perdana Menteri berada di dalam kedai itu, semakin ramai orang yang datang untuk menatap wajah PM dari dekat.Ramai yang datang bersama kameranya hampir mengalahkan jumlah jurugambar dan wartawan yang turut hadir membuat liputan pada malam itu.Malah kadang-kadang permintaan pegawai keselamatan untuk tidak merakam gambar sewaktu PM minum itu, tidak diendahkan oleh rakyat yang meminati PM.

"Tolong cuci gambar PM untuk saya," kata Pakcik Danah, seorang pesara polis."Kalau besar berapa harganya?" katanya kepada saya. Tetapi saya memberitahu bahawa saya sendiri sebenarnya tidak dapat sudut yang sesuai untuk merakamkan gambar PM , apa yang ada hanyalah gambar yang diambil pada waktu berkejar sambil bersaing dengan jurugambar lain di Jalan Gaya itu.

Kerana bukan seorang jurugambar maka gambar yang dapat diketik hanya sesuai untuk pelengkap berita yang ditulis. Tugas sebagai wartawan membuat kami selalu bersedia dalam keadaan apa saja untuk mendapatkan berita yang menarik. Tetapi apakah berita yang menarik bagi warga kota pada malam itu selain kunjungan PM di Jalan Gaya dan minum di kedai kopi di kedai Kak Tini?

Semakin lama, semakin ramai yang tertinjau tinjau di celah-celah orang ramai untuk melihat Datuk Najib. Saya tidak tahu apakah Datuk Najib dapat menikmati minuman yang dihirupnya ketika itu. Terlalu ramai yang ingin berada di tempat yang lebih dekat dengan PM tapi tidak dapat berbuat demikian. Malah saya agak kasihan juga kerana terdapat seseorang yang ingin menyerahkan surat tetapi terhalang oleh kerana ramainya orang itu.

Setengah jam kemudian, Perdana Menteri bangkit dan bersalaman untuk minta diri. Pada malam itu, beliau dijadualkan ke Tawau untuk melawat Lembangan Maliau.

Barangkali mungkin tergesa-gesa atau mungkin tidak ada yang sempat memberitahunya, Datuk Seri Najib terus bergegas tanpa sempat berhenti ketika melewati Tugu Peringatan Malaysia atau Malaysia Monument yang didirikan pada tahun 1963. Tugu Malaysia itu sebenarnya sangat penting sekiranya ia terus dijadikan monumen yang menunjukkan semangat pembentukan Malaysia.

Benar apa yang dikatakan seorang penulis, Musli Haji Oli yang mengatakan bahawa sepatutnya DBKK atau Muzium Sabah atau Persatuan Sejarah Malaysia Sabah menyediakan semacam penerangan, maklumat atau fakta sejarah yang menunjukkan kepada generasi muda betapa pentingnya Tugu Malaysia sebagai mercutanda pembentukan sebuah negara bernama Malaysia.

Sebelum menaiki kenderaan rasmi yang menunggunya,Datuk Najib sempat menyaksikan perrtunjukkan bunga api, gemerlapan di udara, cantik berwarna warni dan semoga cahayanya sampai menerangi hati kita semua untuk melahirkan pengertian mengenai Konsep 1Malaysia.

Isnin, 24 Januari 2011

Menghabiskan Three Cups Of Tea

Tags


Meskipun tidak berapa pasti berapa gelas minuman yang melepasi tenggorokan saya hari ini, tetapi saya dapat menghabiskan Three Cups of Tea di restoran yang kelima.


Hari ini saya `off day', hari dimana saya berehat dan melupakan sejenak hiruk pikuk dunia tapi saya berharap untuk dapat menghabiskan Three Cups of Tea dan menghirupnya sampai habis.


Kerana itu saya berharap dapat menghirupnya perlahan-lahan di meja paling hujung sambil menikmati minuman dan kesendirian.


Mungkin saya boleh meneguknya di Restoran Islamik di Kampung Air. Tetapi sebaik memasuki restoran mamak terkenal itu, saya diajak minum oleh seorang pemimpin kesatuan sekerja yang mengajukan beberapa pertanyaan mengenai isu politik semasa.


Selepas itu, saya masuk ke restoran kedua, Restoran Panjang, semata-mata untuk mencari meja agak tersorok agar saya dapat menghabiskan halaman yang tersisa, tetapi kemudian ternyata terjumpa Haji Arasad dari Semporna.


Belum sempat masuk ke restoran ketiga, di Kun Hin, Haji Amin dari Tuaran mengajak minum dan saya duduk bersamanya kerana lama tak jumpa.


Setelah itu, singgah di restoran Asrin di Jalan Gaya. Hujan turun tetapi ada sepupu menelefon mengatakan mereka sedang berada dekat ofis dan mereka ingin bertemu saya.
Sambil menunggu itu, hujan turun dengan lebatnya sementara mereka terus saja ke Yayasan Sabah kerana tidak menemui tempat meletak kereta dan sejam kemudian barulah mereka tiba semula di KK.
ii. Sebenarnya tinggal seratus halaman lagi.Saya membayangkan sedang duduk bersama Greg Mortenson sambil dijamu minum teh oleh Haji Ali di desa bernama Korphe. Greg Sahib sampai di Korphe tanpa disengaja. Selepas gagal mendaki puncak kedua tertinggi di dunia K2, beliau menuruni gunung untuk ke Askole. Malangnya dia tersesat ke Korphe. Desa miskin yang dihuni masyarakat suku Balti.
Di desa terpencil ini, Mortenson berjanji untuk mendirikan sekolah selepas melihat anak-anak serba kekurangan, tanpa peralatan, sanggup bersimpuh di atas tanah, tanpa guru, untuk bersekolah.
Sekembalinya ke Amerika Mortenson menulis 580 surat untuk mencari dana mendirikan sekolah untuk anak-anak Balti itu. Tetapi tak ada seorang pun di Amerika yang peduli untuk membantu anak-anak beragama Islam di Pakistan. Tetapi selepas kisahnya di tulis di sebuah majalah, seorang ilmuan, Jean Hoerni kemudian memberikan USD12,000 untuk membina sekolah di Korphe itu.
Setelah menempuh pelbagai rintangan dan cubaan, termasuk pernah diculik selama lapan hari oleh Taliban, Greg Mortenson mendirikan lebih banyak banyak sekolah lain dengan dukungan dana yang ditinggalkan Jean Hoerni yang disalurkan melalui Institut Asia Tengah (CAI). Beliau mendirikan sekolah di Lembah Halde, di Peshawar, malah kemudian ke Afghanistan.
Beliau juga terpaksa menghadapi waktu-waktu yang sukar apabila terpaksa berhadapan dengan fatwa dari ulama konservatif, bahkan ancaman kebencian dari rakyat Amerika selepas peristiwa 11 September kerana membantu menyediakan pendidikan untuk anak-anak masyarakat Islam.
Meskipun Greg Mortenson gagal mendaki puncak kedua tertinggi di dunia, tetapi beliau telah berjaya mendaki puncak batini. Beliau percaya bahawa anak-anak yang buta huruf itu perlukan pendidikan. Hanya melalui pendidikan, dunia menjadi terang. Katanya, cara terbaik untuk melawan ektremis dan terorisme adalah dengan mendirikan lebih banyak sekolah.
Three Cups of Tea merupakan sebuah kisah perjalanan yang sangat menarik. Buku ini membantu kita melihat potret masyarakat Islam di Pakistan, bahkan membantu masyarakat Barat untuk memahami betapa Islam mengajarkan toleransi, keadilan, kebaikan dan menolak keganasan. Ia juga dapat membantu menghapus salah faham terhadap agama Islam dan memungkinkan kita melihat, bahawa di Amerika sana juga ada orang-orang yang baik hati seperti Greg Mortenson dan rakan-rakannya.

Three Cups of Tea menceritakan misi seorang lelaki untuk menyebarkan kedamaian melalui pembinaan sekolah, termasuk sekolah-sekolah termasuk untuk anak perempuan.
Mortenson lahir di Minnesota pada tahun 1957.Tetapi ketika baru berusia setahun, beliau dibawa oleh ayahnya,Dempsey ke Tanzania.Beliau membesar di sisi Gunung Kilimanjaro yang terkenal di Afrika itu.
Beliau merupakan antara pengasas Institut Asia Tengah atau Central Asia Institutehttp://www.ikat.org/ , menubuhkan Pennies For Peace http://www.penniesforpeace.org/ , bersama David Oliver Relin menulis buku Three Cups of Tea, buku bestseller The York Times http://www.threecupsoftea.com/ , dan pengarang buku Stones into Schools http://www.stonesintoschools.com/ .
Atas kegigihan dan keprihatinannya yang tinggi, Mortenson menerima anugerah tertinggi Pakistan, Sitara-e-Pakistan (Star of Pakistan) pada tahun 2009 kerana komitmen yang ditunjukkan terhadap kemanusiaan dan memperjuangkan hak pendidikan, membasmi buta huruf di kawasan pedalaman dan pergunungan Pakistan selama 15 tahun.
Khabarnya, beliau juga dicalonkan untuk Nobel Peace Prize pada tahun ini.
Hasratnya untuk mendaki K2 pada 1993, walaupun akhirnya gagal, adalah untuk memperingati adiknya, Christa yang meninggal kerana epilepsy setahun sebelumnya.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Tentera Amerika di Jerman pada 1977-1979 dan mendapat pingat keberanian sebelum melanjutkan pelajaran du University of South Dakota dalam tahun 1983.
Sehingga tahun ini, di Pakistan dan Afghanistan, sebanyak 171 buah sekolah telah didirikan oleh Greg Mortenson dimana seramai 68,000 murid termasuk 54,000 murid perempuan, yang sebelumnya tidak mempunyai eksis terhadap pendidikan.
iii-Buku Three Cups of Tea adalah sebuah buku menarik, yang memberitahu kita bahawa kebaikan, ketulusan, keprihatinan selalu mendapat rahmat Tuhan.Three Cups of Tea, Tiga gelas teh di Pakistan dan Afghanistan menggambarkan alam pemikiran dan budaya mereka.
Pada gelas pertama, anda dianggap sebagai tamu.
Pada gelas kedua, anda dianggap sebagai kawan.
Pada gelas ketiga, anda dianggap sebagai keluarga.
iv. Pada gelas keempat, saya fikir cukuplah sampai gelas ketiga.

Sabtu, 22 Januari 2011

Ketika Aliff Farhan menyanyi lagu Insya Allah

Tags
KETIKA ALIFF FARHAN MENYANYI LAGU INSYA ALLAHOleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDINabdnaddin@yahoo.com
SEBAIK lagu itu dikumandangkan, Ahmad Aliff Farhan menggoyang-goyangkan badannya ikut menyanyi. Bagi seorang anak berusia empat tahun sepertinya, sebutannya memang belum begitu jelas, tapi lagu yang dinyanyikan itu dapat kita nikmati.Betapa lagu ini membuat kami gembira melihat telatahnya. Spontan kami semua dalam yang berada dalam kereta itu ikut menyanyi.
"Insya Allah...Insya Allah...Insya Allah..." Lagu Nyanyian Maher Zain, penyanyi keturunan Arab Lubnan dari Sweden itu mampu membuat kita tergetar olehnya.Bahkan lagu-lagunya diminati oleh hampir semua orang di seluruh dunia, tanpa mengira negara, bangsa dan agama.
Saya sendiri sering mendengar lagu-lagunya secara intens. Lirik-lirik lagunya mantap dan meresap, irama nyanyian menghibur jiwa yang lara kerana kesendirian, kesunyian. Lagu-lagunya amat mengesankan. Ia sesuai dengan jiwa kita yang sentiasa mengimpikan lagu lagu yang dapat membangun jiwa dan mendorong kita ke arah fikiran positif, ke arah hidup yang lebih bererti.
Sebelum ini, saya seringkali mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan Ebiet G.Ade, Kumpulan Bimbo, Kiai Kanjeng, Raihan, juga lagu-lagu yang dinyanyikan Yusuf Islam dan Sami Yusuf dan kini muncul Maher Zain yang muncul pada tahun 2009 dengan lagu-lagunya yang sederhana tetapi menarik.Beliau menyanyi dalam pelbagai bahasa tetapi paling banyak dalam English dan Arab.
Penyanyi yang juga merupakan lulusan dalam Aeronautical Engineering di Sweden, Maher mula bermain keyboard ketika berusia 10 tahun. Dua tahun sebelumnya, beliau yang dilahirkan di Tripoli Lubnan mengikuti keluarganya berpindah ke negara Scandinavia itu. Darah seni yang mengalir dari ayahnya,Mustapha Maher, juga seorang penyanyi, memberikan kelebihan kepada Maher, yang meminati irama muzik R&B, irama tradisi dan muzik pop kontemporari.
Beliau menyanyi dalam pelbagai bahasa, antaranya Arab, Turki, Perancis dan menurut khabarnya dalam bahasa Melayu sebagai penghargaan untuk peminatnya di Malaysia, Maher yang lahir tahun 1981 ini telah mengadakan konsert di pelbagai negara. Ketika masa remaja, beliau sering menghabiskan waktu di sekolah hingga malam untuk menyanyi, mencipta dan bereksperimen dalam muzik. Beliau kemudian diperkenalkan dengan kumpulan RedOne yang ketika itu sedang meningkat naik di Sweden. Beliau kemudian mendapat kesempatan untuk menceburkan dalam industri muzik di New York.
Entah apa yang menyebabkan sang penyanyi ini kembali mencari identiti dirinya, seorang Arab, Islam dan sekaligus orang Barat.Itulah sebabnya, pada 2009, Maher mula mencipta lagu-lagu religius yang ternyata mendapat sambutan hangat di seluruh dunia.Selepas menghasilkan album Thank You Allah berisi 13 lagu diedarkan pada November 2009, Maher menggegar dunia muzik antarabangsa. Ketika ini beliau telah mengadakan konsert di Algeria, Australia, Kanada, Mesir, England, Perancis, Belanda, Sweden, Amerika Syarikat malah di negara kita.
Saya tidak menghafal judul lagunya dengan baik tetapi saya ingat antara lagunya yang diminati ialah Allahi Allah Kiya Karo,Always Be There,Awaken,Baraka Allahu Lakuma.For the Rest of My Life, Hold My Hand,Inshallah, Open Your Eyes,Palestine Will Be Free, Subhana Allah, Thank You Allah,The Chosen One,Ya Nabi Salam Alayka dan sebagainya.
Lagu-lagunya diminati masyarakat. Malah abang Onn Arifin yang memberikan saya salinan CD lagu Maher Zain memberitahu bahawa lagu-lagu itu turut diminati juga oleh rakan Indianya, yang turut terbuai dengan irama lagu-lagu yang dibawakan Maher.
"Insya Allah, Insya Allah, Insya Allah..." Aliff Farhan dengan sebutanya yang masih pelat menyanyikan lagu itu.Kakaknya Sitti Mehran Yasmine, 10 dan abangnya, Ahmad Fawzan,5, turut ikut menyanyikan lagu itu.
Saya teringat betapa seringnya kita mengucapkan Insya Allah, dan kemudian melupakan ertinya. Di depan Tuhan, pasti kita dimintai pertanggungjawaban kerana dengan menyebut-nyebut nama Allah ketika berjanji, kita dituntut untuk menunaikannya. Insya Allah- membawa erti yang mendalam dan untuk mendapatkan ertinya, kita harus menghayati esensinya.
Betapa banyak lagu yang dicipta, betapa banyak lagu yang akhirnya berbicara sekitar duka lara kecewa hampa dan kemudian membentuk jiwa yang tidak dapat membebaskan kita dari minda terjajah oleh asyik mahsyuknya asmara. Betapa sedikit lagu yang dicipta untuk membangun jiwa, untuk membangun aspek spiritual kita. Lagu-lagu yang bercerita mengenai kesederhanaan, ketulusan, kejujuran, kekuatan tekad, kebaikan, kebenaran, keadilan sejagat, cinta kasih dan sebagainya.Rohani kita memang perlukan siraman hikmah, kata bijaksana dan saya fikir lagu-lagu ciptaan Maher Zain, Sami Yusuf, Yusuf Islam, Bimbo, Ebiet G.Ade, Kiai Kanjeng dan sebagainya, perlu kita dengar dan kalau boleh diperbanyak lagi.
Demikianlah sepotong lagu, Insya Allah-memberikan keinsafan buat kita.Saya melihat Aliff Farhan sukakan lagu itu selain lagu `Thank You Allah'. Kami turut terhibur melihat tingkahnya menyanyikan lagu Insya Allah. Bila besar nanti, kami berharap agar Aliff Farhan boleh mengerti makna lagu yang dinyanyikannya. Mungkin dia tak perlu menjadi Maher Zain tetapi semoga dia dapat mengaplikasikan makna lagu-lagu itu dalam hidupnya, dan semoga kita juga dapat memaknakannya dalam hidup kita juga.

Satu pagi di ruang pertemuan DBP Sabah

Tags
SATU PAGI DI RUANG PERTEMUAN DBP
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

TEPAT jam 9.00 pagi , kami memasuki ruang pertemuan itu. Tiga hari sebelum pagi Jumaat itu, kami memutuskan bahawa kami sendirilah yang datang berkunjung ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah untuk membincangkan mengenai kaedah terbaik yang boleh dilakukan dalam usaha menyemarak dan memartabatkan sastera Malaysia di Sabah.
Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas merakamkan penghargaan dan terima kasih kerana kunjungan itu. Beliau menyatakan sangat menghargai peranan Utusan Borneo, sebagai akhbar tempatan berbahasa Melayu yang gigih menyiarkan berita-berita berkaitan sastera, bahasa dan budaya, kegiatan kegiatan dan program DBP dan persatuan-persatuan penulis di negeri ini, yang disiarkan sama pentingnya dengan berita berita politik dan ekonomi.
Katanya, berbanding akhbar lain di Sabah, Utusan Borneo memiliki keprihatinan yang besar untuk membantu memperkembangkan bahasa dan sastera.Zubaidi berkata, DBP Sabah sedia membantu dengan lebih giat lagi usaha-usaha untuk meningkatkan kualiti dan martabat sastera di Sabah.
Kunjungan hormat yang berubah menjadi pertemuan semi informal itu dihadiri oleh Ketua Bahagian Sastera DBP Sabah, Nadin Haji Salleh, Pegawai Perancang Sastera, Noordin Zainal Abidin (Norza) dan Japar Haji Ungki, Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Jasni Matlani, Setiausaha Penyelaras Hari Puisi Nasional, Sitti Rahmah G.Ibrahim dan Norhayati Tasif berlangsung dalam suasana yang mesra.
Editor Eksekutif Utusan Borneo, Lichong Angkui berkata UB memang terpanggil untuk turut bersama memartabatkan dunia sastera di negeri ini. Beliau memberitahu mengenai beberapa langkah yang dibuat oleh akhbar Utusan Borneo untuk meningkatkan imej ruangan sastera dan budaya termasuk menyediakan ruangan berwarna, menambahkan ruangan sastera.
Selain itu, Utusan Borneo sedia dilibatkan dalam aktiviti-aktiviti sastera yang diadakan oleh DBP dan badan-badan persatuan penulis yang lain. Dalam pertemuan itu, Lichong berkata, ia merupakan salah satu komitmen UB dalam mendukung pengembangan sastera dan budaya tanahair.Beliau juga mengalu-alukan sumbangan artikel, sama ada berkaitan bahasa dan sastera untuk dimuatkan dalam akhbar Utusan Borneo.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas kerana terus menulis kolum untuk ruangan Ujana DBP, begitu juga kepada penulis Jasni Matlani yang turut menulis kolum di Utusan Borneo dan menyifatkan kolum-kolum itu mempunyai pengikut tetap yang tersendiri.
Sementara itu, Jasni Matlani menyifatkan ruangan sastera di Utusan Borneo teratur, cantik, menarik dan sentiasa berinovasi. "Bukan untuk memuji," katanya, beliau melihat bahawa UB turut memainkan peranan penting dalam menghidupkan sastera di Sabah, yang dikatakannya satu petanda bahawa sastera Sabah sentiasa hidup dan tidak mati.
Sambil berharap agar keprihatinan UB terhadap sastera itu berterusan, beliau juga mengharapkan agar UB terus memberikan dukungan dalam pembinaan penulis-penulis di Sabah.
Dalam hubungan ini, memang terdapat cadangan untuk mengadakan semacam Anugerah Utusan Borneo dengan kerjasama DBP Sabah, Bahasa dan IPS untuk memberikan anugerah kepada karya-karya terbaik yang disiarkan dalam Utusan Borneo setiap minggu.
Banyak juga perkara dibincangkan dalam pertemuan itu termasuk antaranya usaha untuk menyuburkan minat penulis untuk terus berkarya. Ketua Bahagian Sastera DBP Sabah, Nadin Haji Salleh mengucapkan setinggi tahniah kepada UB kerana sentiasa menyokong perkembangan bahasa dan sastera. Beliau juga menyebut Ruangan DBP Di Suratkhabar yang memberi peluang kepada penulis menghantar karya-karya mereka khususnya cerpen dan esei untuk disiarkan di akhbar. Ruangan itu memberi peluang kepada penulis untuk menulis dan diberikan honorarium kepada pengkarya.

Lantak paku jambatan jipun

Tags
Politik bukanlah seperti `lantak paku jambatan jipun'.
Saya sudah lama tidak mendengar ungkapan ini. Apabila seseorang berkata bahawa sesuatu perkara itu sudah `lantak paku jambatan jipun', itu bermakna tidak ada lagi perundingan atau dengan kata lain, tak ada lagi kompromi.
Seumur hidup saya, sekarang sudah 42, saya belum pernah melihat apa yang dikatakan jambatan jipun (Jepun) itu. Di Kota Belud, tempat kelahiran saya, kami hanya pernah melihat jambatan yang didirikan tentera Australia dan sekutunya, yang kini telahpun diganti dengan yang baru.
Dengan itu, saya tidak dapat membayangkan bagaimana kukuhnya paku yang dilantakkan ke jambatan jipun, atau apakah jambatan jipun itu sedemikian kuatnya sehingga tidak boleh runtuh?
`Lantak paku jambatan jipun' boleh diertikan sebagai tak ada lagi sebarang bentuk kompromi.
Tapi sejarah membuktikan bahawa dalam politik, tak ada yang namanya jambatan jipun.Kita dengan mudah dapat melihat betapa cepatnya perubahan, orang berubah atau dirubah oleh keadaan di sekililingnya.Hakikatnya bagi yang tak lebur dengan waktu akan dipatahkan oleh waktu.
Tapi politik, tegas seorang mentor saya, bukanlah `lantak paku jambatan jipun'.
Mungkin kalau jambatan lain, paku yang dipasang untuk binaan mudah dibuka, tetapi tidak begitu bagi `jambatan jipun'.
Ungkapan `lantak paku jambatan jepun' ini sangat popular di kalangan orang orang dulu atau orang dulu-dulu. Memang ada beza antara orang-orang dulu yang menekan `orang' dibandingkan dengan orang dulu-dulu yang menekankan dulu.Tapi sama ada orang-orang dulu atau orang dulu-dulu, pernah mendengar mengenai ungkapan `lantak paku jambatan jipun'.
Jika dikaji, ungkapan orang lama itu juga mengandungi keperitan dan kepayahan memukul paku di atas jambatan jipun atau dibina di zaman jepun atau dimanduri oleh tentera Jepun.
Ia bukan semata ungkapan biasa, tetapi mengandungi juga kepedihan-kepedihan dan kesakitan kesakitan.
Akibatnya, orang yang mengalaminya tak mengenal kompromi. Tapi politik sesuatu yang fleksible, sesuatu yang bermain dengan segala kemungkinan atau ada orang menyebutnya permainan segala kemungkinan.
Kerana itu, politik memang bukan lantak paku jambatan jipun.
Apakah itu juga bermakna bahawa politik adalah sesuatu yang mudah berubah, tidak boleh dipercayai,dipenuhi oleh petualang-petualang politik, tidak teguh pendirian dan sebagainya.
Lama nian saya tak mendengar ungkapan `lantak paku jambatan jipun'.
Sewaktu mentor saya mengatakan itu, saya teruja untuk mencari makna disebalik kata-katanya.

Ahad, 16 Januari 2011

Pulau Larapan yang penuh harapan

Tags




LARAPAN YANG PENUH HARAPAN

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

MATAHARI sedang tegak di atas ubun-ubun ketika kami singgah sebentar di Paglatunan eLarapan. Pusat telecentre yang menghubungkan penduduk pulau Larapan dengan komuniti global itu, mungkin merupakan salah satu pusat internet desa yang dibina di negeri ini.Pusat itu membolehkan masyarakat pulau itu mengakses internet 24 jam secara percuma dengan menggunakan tenaga solar.

"Ai habbal?" saya bertanya khabar kepada anak remaja yang sedang sibuk mencari Ronaldinho menggunakan enjin carian google. "Alap", katanya yang bermaksud baik dalam bahasa Bajau. Hampir keseluruhan 1,365 penduduk pulau itu terdiri daripada etnik Bajau Kubang, yang merupakan salah satu etnik Bajau yang berasal dari Semporna.

Pulau Larapan merupakan salah satu daripada 49 buah pulau yang terletak di daerah Semporna. Ia boleh dihubungi menggunakan bot kira-kira 15 hingga 20 minit dari pekan Semporna. "Itu kalau kita menggunakan enjin 40 hp," kata Penghalapan Haji Abdul Rahman Labatan, salah seorang ketua masyarakat di pulau itu. "Tapi kalau kita menggunakan enjin 70 kuasa kuda, tempoh perjalanan yang ditempuh hanya 7 hingga 10 minit," katanya lagi.

Penghalapan Haji Abdul Rahman merupakan salah seorang penduduk asal di pulau itu. Beliau merupakan anak kepada Penghalapan Labatan. Penghalapan Labatan adalah anak Penghalapan Musta'bal. Atuknya, Penghalapan Musta'bal merupakan anak kepada Penghalapan Asbarang manakala Penghalapan Asbarang adalah anak kepada Penghalapan Kayamin.

Gelaran Penghalapan diberikan kepada Kayamin oleh Sultan Sulu ketika sebahagian wilayah Sabah berada di bawah kuasa kesultanan itu. Penghalapan yang bermaksud `orang yang boleh dipercayai' dan diberikan kepada ketua masyarakat di Pulau Larapan, yang didiami pada mulanya oleh hanya lapan keluarga.

Sejak itulah keturunan Haji Abdul Rahman dipanggil Penghalapan. Barangkali kerana gelar Penghalapan atau orang kepercayaan itu, beliau merasa bertanggungjawab untuk mengetengahkan nama Pulau Larapan beserta segala cerita kisah kehidupan masyarakat di pulau yang agak terpencil itu.

Beliaulah yang mengajak Utusan Borneo untuk datang melihat proses pembangunan yang sedang berjalan lancar di pulau itu.Sebaik mendarat, beliau membawa saya melihat dewan serbaguna yang baru siap dua minggu sebelum itu.

Dewan yang tersergam megah itu, tidak syak lagi merupakan salah satu mercutanda di pulau itu. Penduduk kampung kini gembira kerana inilah pertama kami mereka menikmati kemudahan dewan serbaguna yang bernilai RM360,850.

Haji Abdul Rahman kemudian membawa saya melihat jeti pendaratan yang hampir siap. Jti sepanjang 1,500 kaki itu berharga RM580,594. Saya dapat membayangkan suasana senja yang romantik jika duduk di penghujung jambatan sambil memancing ikan. Alangkah baiknya jika diadakan program inap desa di pulau yang cantik itu. Kepada saya, Haji Abdul Rahman memberitahu bahawa beliau sedang merancang untuk memajukan industri inap desa (homestay) di kampung itu.

Beliau berkata, selain itu, sebanyak 10 buah rumah untuk rakyat termiskin berharga RM475,000 sedang dibina dan dijangka siap tidak lama lagi.Pembinaannya sedang rancak dijalankan sementara lorong pejalan kaki berharga RM95,000 juga dibina untuk meningkatkan kemudahan perhubungan di pulau Larapan.

"Semua ini adalah berkat keprihatinan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd.Shafie Apdal yang meluluskan peruntukan untuk meningkatkan kemudahan prasarana di pulau Larapan," kata Haji Abdul Rahman sambil menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Parlimen Semporna itu. Beliau berkata, Datuk Shafie menunjukkan komitmen yang tinggi untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan penduduk bukan saja di pulaun itu, malah di kawasan-kawasan luar bandar di seluruh negeri.

"Tidak lupa, masyarakat Pulau Larapan juga mengucapkan terima kasih kepada Haji Razak Tun Sakaran yang bersusahpayah membantu penduduk pulau dengan mengajukan masalah-masalah yang dihadapi masyarakat Pulau untuk perhatian Datuk Shafie," kata Haji Abdul Rahman lagi.

Menurutnya, jika tidak ada aral melintang, semua kemudahan prasarana itu akan dirasmikan secara serentak, mungkin satu atau dua bulan lagi sebaik siap sepenuhnya.

Selain itu, di Pulau Larapan juga dibina perpustakaan desa sejak 8 tahun lalu.Bagaimanapun, perpustakaan itu belum dapat digunakan oleh penduduk kampung. Namun Pusat Telecentre yang menggunakan tenaga solar hibrid kini sudah berfungsi.

Kemudahan itu dihasilkan menerusi penyelidikan Pusat Kecemerlangan Informatik Luar Bandar UNIMAS (Universiti Malaysia Sarawak), dengan pembiayaan Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi manakala sistem tenaga surianya dibiayai oleh Kerajaan Jepun, kata Pengarah Projek, Dr.Mohd.Faizal Syam Abdol Hazis ketika dihubungi Utusan Borneo melalui telefon.

"Pusat Telecentre yang menggunakan tenaga solar di Pulau Larapan ini membolehkan penduduk setempat mengakses Internet secara percuma," katanya.

Kemudahan tersebut dihasilkan menerusi penyelidikan Pusat Kecemerlangan Informatik Luar Bandar Unimas, dengan pembiayaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi manakala sistem tenaga surianya dibiayai oleh kerajaan Jepun.

Dr.Mohd.Faizal berkata menerusi kemudahan itu penduduk Larapan boleh berhubung dengan dunia luar setiap ketika. Menurutnya selain Paglatunan eLarapan, tiga telecentre juga dibina dalam Rancangan Malaysia ke-10 iaitu di Bario (eBario), di Lamai (eLamai) kedua-duanya di Sarawak dan di Buayan (eBuayan) di Sabah.

Meskipun Larapan memiliki lanskap yang menakjubkan tetapi pulau itu masih merupakan salah satu pulau termiskini di Semporna. Terdapat dua kampung di Pulau itu iaitu Kampung Larapan Hujung dan Kampung Larapan Tengah.

Kegiatan ekonomi utamanya ialah aktiviti perikanan. Sebahagian bekerja di ladang penternakan mutiara manakala ada diantara kaum wanitanya mengusahakan IKS untuk membantu keluarga.

Memang masih banyak permasalahan yang dihadapi penduduk di kampung itu. Haji Abdul Rahman memberitahu pada selain tidak adanya pusat kesihatan, penduduk juga masih bergantung kepada generator untuk tenaga elektrik kerana tenaga solar belum dapat berfungsi sepenuhnya.

Beliau juga memberitahu, penduduk-penduduk kampung pulau Larapan terpaksa membeli air untuk keperluan harian mereka.Mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak semata-mata untuk membeli air, dan dengan pendapatan yang terhad itu, penduduk Larapan mengharapkan kerajaan untuk membantu meringankan masalah yang mereka hadapi.

Utusan Borneo menyaksikan anak-anak prasekolah belajar dengan tekun di beranda sebuah rumah yang diubahsuai untuk kelas KEMAS.Guru mereka, Marlina Bulkani mengajar anak-anak itu sehingga mampu menulis,mengira dan membaca, sementara pelajar-pelajar kelas KAFA juga masih belum dapat bangunan sendiri.

Paling mengejutkan barangkali ialah jumlah anak-anak yang tercicir dalam menduduki bangku persekolahan yang semakin bertambah. "Tuan, tulislah mengenai masalah kami, banyak budak-budak kami yang `menganggur'", kata Puan Rosnah Pagtal. Rakannya, Puan Rafiah Talgit mengiakan. Mulanya saya fikir, istilah menganggur itu ditujukan kepada para belia menganggur sebagaimana lazimnya yang kita fahami.

Tetapi beliau memberitahu ramai anak-anak berusia 10 hingga 12 tahun ke atas terpaksa `menganggur' kerana terpaksa menghentikan persekolahan mereka di tengah jalan.

Penyebabnya ialah kerana arahan Jabatan Pelajaran yang meminta supaya anak-anak yang memasuki tahap dua atau tahun empat ditempatkan di Sekolah Berpusat Di Pulau Bum-Bum.

Akibatnya, menurut satu sumber, daripada 25 murid yang sepatutnya menduduki tahun empat di sekolah berpusat itu, hanya tiga orang yang mendaftarkan diri.

Sejak anak-anak pulau Larapan dikehendaki menduduki tahap dua di Sekolah Berpusat di Pulau Bum-Bum kira-kira lapan tahun lalu, semakin banyak anak-anak pulau itu terpaksa menghentikan persekolahan setakat tahun tiga.

Di Pulau Larapan, terdapat sebuah sekolah yang cantik dan mempunyai kelengkapan yang memadai. Tetapi hanya pelajar tahap satu iaitu dari tahun satu hingga tiga yang menduduki bangku sekolah di Pulau Larapan.

Sebaik memasuki tahun empat, pelajar-pelajar dikehendaki menyambung persekolahan ke Pulau Bum-Bum. Terbukti kemudian, langkah yang diambil itu amat membebankan ibubapa. Mereka tidak sanggup menghantar anak mereka yang masih kecil untuk berjauhan dengan ibubapa.

"Mereka masih kecil tuan. Ada diantaranya masih kencing di tilam.Mereka tidak mendapat penjagaan rapi di sana," kata Puan Rosnah. Selain usia yang masih kecil, kanak-kanak itu masih belum mampu mengurus diri sendiri.

Menurut Puan Rosnah, ibubapa juga tidak mampu menghantar anak mereka ke Pulau Bum-Bum.Sebabnya kerana mereka terpaksa mengeluarkan RM60.00 untuk tambang bot ke sana."Lain lagi tambang kereta dari jeti di Balimbang hingga ke SK Bum Bum iaitu RM40.00", katanya. Pernah beberapa kali, ketika mengambil anak mereka di Pulau Bum-Bum pada perang Jumaat, mereka terpaksa berjalan kaki ke Tundun.Sampai di Tundun mereka meminta ihsan untuk dihantar ke Balimbang dan sampai hampir tengah malam di Pulau Larapan.

"Keadaan begitu, amat menjejaskan kehidupan kami," katanya. Anak-anak takut dan ibubapa bimbang kerana setiap kali anak-anak itu terdedah kepada bahaya dilambung ombak kuat, yang sesekali melanda daerah kepulauan itu.

Guru Besar SK Larapan, Abdul Maid Hamzah mengakui sering menerima keluhan ibubapa yang mahukan anak-anak mereka diberi peluang melanjutkan persekolahan hingga tahun enam di sekolah itu seperti dahulu. "Kami juga telah menghantar surat untuk memaklumkan pihak kementerian mengenai permintaan ibubapa tetapi setakat ini belum ada jawapan," katanya.

Jumlah anak-anak yang tidak dapat meneruskan persekolahan di Pulau Larapan bertambah dari tahun ke tahun. Sejak lapan tahun lalu, ibubapa telah menyatakan keberatan mereka terhadap langkah kerajaan itu kerana bagi mereka ia tidak banyak membantu meningkatkan kecemerlangan.

"Apa yang pasti keputusan kerajaan itu telah menyebabkan ramai anak-anak tercicir dari pelajaran," kata salah seorang ibubapa yang berhimpun di bawah pokok kelapa meminta agar masalah mereka dapat dibaca dan diketahui oleh pihak atasan. "Kalau boleh kami merayu anak-anak kami dibenarkan bersekolah di SK Larapan kerana kami agak sedih melihat mereka `menganggur' dalam usia yang begitu muda iaitu 10 tahun," katanya.

Larapan memang sebuah sebuah pulau agak terpencil tetapi penuh harapan. Harapan untuk kemajuan dan pembangunan.Harapan untuk masa depan yang cerah dan kehidupan yang sejahtera. Tetapi bagi anak-anak yang tercicir daripada pelajaran itu, mungkin mereka tidak berpeluang mengeja harapan dan masa depan di Pulau Larapan.

Utusan Borneo 20/1/2011

Din,rasanya saya mahu berkubur di Sabah-Catatan pertemuan dengan Ustaz Jalidar

Tags
MESKIPUN cuma sebentar, pertemuan dengan Ustaz Haji Jalidar Abdul Rahim amatlah menggembirakan saya.

Lama tidak bertemu beliau.Seingat saya,kali terakhir kami bertemu ialah dua tahun lalu, bulan Julai 2009.
Ustaz yang rendah hati ini menghubungi saya melalui pesan singkat SMS, mengkhabarkan bahawa beliau sedang berada di Sabah.

Tidak menyangka dapat bertemu beliau.Petang itu, sebaik beliau sampai dari Pulau Manukan menemankan isteri Kak Hajah Jamilah Haji Ahmad,mantan Ketua Unit Sastera DBP Sabah yang banyak berjasa kepada sastera Sabah, dan anaknya,Najihah, yang kini sudah menduduki SPM, beliau langsung saja menghubungi saya, dan kami sempat duduk minum di Restoran Choice berdepan Wisma Merdeka.

Kami bertukar khabar. Begitu cepatnya masa berlalu, Najihah yang dulunya sekolah tadika kini sudah dewasa dan rindu tanah tumpah darahnya,meskipun ibunya berasal dari Johor manakala sang ayah, berasal dari Medan, Sumatera.
Najihah lahir di Sabah, dan kerana itu, sentiasa menyematkan rindu kepada negeri tanah kelahirannya.

Banyak juga yang dapat kami percakapkan sebelum akhirnya kami terpaksa berpisah buat sementara kerana saya perlu menyiapkan beberapa artikel dan beliau pula sudah ditunggu Kak Milah di seberang jalan.

Beberapa hari kemudian, saya menerima SMS yang memberitahu bahawa sebaik pulang dari sabah, beliau batuk, demam, selsema dan kini berehati di rumah.Katanya beliau sempat mengadakan pertemuan dengan JM (Jasni Matlani), Kak Rubiah Nordin dan Sitti Rahmah. Perbincangan berkisar mengenai hasrat menubuhkan Pusat Kesenian Islam di Sabah.

"Kalau ada kerja tetap,mungkin saya akan kembali ke Sabah," katanya.
"Din,rasanya saya mahu berkubur di Sabah".

Itulah yang mengharukan saya, kesediannya untuk kembali berbakti di negeri dimana beliau menghabiskan sebahagian usianya.

Ketika berada di Sabah, beliau sempat bertemu dengan seniman Islam Papar iaitu Kumpulan Orkes Irama Padang pasir Noor El sabah telah berlangsung di kediaman Haji Harun Ali di Papar.

Haji Jalidar sebagai pendiri Orkes Dakwah El-Sabah pada masa lalu telah banyak mengharumkan nama Sabah dan Malaysia ke peringkat antarabangsa. Noor El-sabah pada tahun 1994 pernah mewakili Malaysiake festival The Garden Of Islam di Berlin Jerman.

Pada tahun 1994, mewakili Malaysia ke Pertemuan Seniman Muslim Asean dan Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Nasional di Ambon,Maluku, Indonesia.

Pada tahun 1996, Noor el-Sabah diundang menyerikan Festival Nasyid Peringkat Asean (MABIMS) di Kuala Lumpur, dan Kerajaan Malaysia pada masa itu telah melantik Haji Jalidar Abd.Rahim sebagai Pengerusi Hakim pada Festival tersebut.

Pada tahun 2000, sekali lagi Noor El-Sabah pimpinan Haji Jalidar diundang ke Majlis Nostalgia Lagu-Lagu Irama padang pasir 60-an di medan Indonesia.


Pada pertemuan malam itu,Haji Jalidar memaklumkan bahawa Kumpulan Noor El sabah akan diundang menyerikan Festival Nasyid Peringkat Sumatera Utara di kabupaten Batu Bara Indonesia dijangka diadakan pada penghujung tahun ini.

Beliau berharap Noor El Sabah untuk berlatih intensif, dan akan menyediakan lagu-lagu baru dan lama untuk latihan.

Di Pertemuan itu juga,Haji Jalidar mengingatkan perlunya `Hidup Terus Berkarya, berbuat baik bersatu hati selamanya.Katanya lagi, jangan lupa bahawa daerah Papar mula bangun dan berrtapaknya seni nasyid era tahun 70-an.

Papar telah mengharumkan nama Negeri Sabah pada tahun 1978 ketika Kumpulan Nasyid Noor El-Kawakib muncul sebagai johan nasyid peringkat Kebangsaan.

Dalam nada sebak, Haji jalidar terkenang dengan penyanyi solo vokal terbaik yang pernah diasuhnya,Allahyarhamah Hajah Norsiah Talip yang menjulang nama negeri ini satu ketika dahulu.

Haji Jalidar mengenang "Kita telah membuat album nasyid pertama di Malaysia.Noor El-Kawakib muncul dengan 8 buah lagu yang saya gubah semasa saya tinggal di tepian Sungai Papar yang banyak memberikan inspirasi mencipta ratusan lagu-lagu nasyid.

Seperti yang diketahui, setelah pencen dari JHEAINS, Haji Jalidar kini menetap di Shah Alam Selangor bersama anak-anaknya.

Beliau juga tidak lupa kepada orang yang banyak memberi dukungan atas berkembangnya seni nasyid di papar pada masa lalu. Dia antaranya, Datuk Haji Mohd.Noor Mansoor,Allahyarham Ahmad Tahir dan ramai lagi pejuang pejuang yang banyak membantu kini mereka dah tiada lagi.

"Setelah pencen, saya tak ada apa apa yang boleh dibanggakan.Hanya lagu dan karya serta juangku tak pernah pudar sepanjang hayat,"katanya menahan sebak.

"Aku punya pewaris, seniman seniman Islam yang kubangunkan bukan saja di papar, tapi hampir di seluruh Sabah,Labuan hingga Sarawak, Semenanjung hingga ke Indonesia",katanya.

Pada pertemuan dengan seniman Islam pada malam itu,Haji Jalidar kembali menggesek violinnya yang terkenal itu diiringi pemuzik pemuzik seperti Harun Ali,Pg Fuad Razak,Jair,Azmi,Ismail,Ampuan Zainuddin,Mazli, penyanyi Dayang Norliza dan Sabariah Hashim melantunkan beberapa buah lagu dan instrumen,"Cintaku,Kinabalu,Hempasan Duka.

Haji Jalidar sendiri menyanyikan Pusara Kasih mengakhiri pertemuan pada malam yang berakhir jam 12.00 malam itu.

Kementerian Pelajaran diminta atasi masalah keciciran di Pulau Larapan

Tags
Daripada 25 orang pelajar SK Larapan yang naik Tahun 4 di Sekolah Berpusat di Pulau Bum-Bum pada tahun ini , mungkin hanya tiga empat orang yang masih bersekolah disana.

Mana yang lain?

KEMENTERIAN PELAJARAN DIMINTA ATASI MASALAH KECICIRAN DI PULAU LARAPAN

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDINabdnaddin@yahoo.com

SEMPORNA: Setiap tahun jumlah keciciran di kalangan anak-anak pulau Larapan, salah satu daripada 49 buah pulau di Semporna, semakin meningkat ekoran keputusan Kementerian Pelajaran yang mengkehendaki supaya anak-anak yang memasuki Tahap Dua atau Tahun Empat melanjutkan persekolahan mereka di Sekolah Berpusat Pulau Bum yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari pulau itu.'
Ketua Masyarakat Pulau Larapan, Haji Abdul Rahman Labatan berkata kerajaan perlu mengkaji semula keputusan itu kerana ia telah menyebabkan anak-anak dari keluarga miskin di pulau itu tidak dapat meneruskan pelajaran kerana bebanan yang ditanggung oleh ibu bapa mereka.
Katanya, sejak dilaksanakan kira-kira lapan tahun lalu, setiap tahun jumlah anak-anak pulau berusia 10 tahun ke atas yang tidak dapat menduduki Tahun Empat semakin bertambah.
Menurutnya, beliau mendapat maklumat daripada 25 pelajar sekolah yang sepatutnya mendaftar dalam Tahun Empat di SK Berpusat Pulau Bum-Bum, hanya terdapat tiga pelajar yang mendaftarkan diri.
"Selebihnya tidak dapat meneruskan pelajaran mereka manakala ada diantara mereka belajar di SK Sumandi yang terletak hampir sama jauhnya dengan Pulau Bum-Bum", katanya.
Beliau menyarankan agar Jabatan Pelajaran membenarkan anak-anak dari keluarga miskin untuk terus menduduki Tahun Empat di SK Pulau Larapan, yang mempunyai segala kemudahan yang memadai termasuk bilik darjah yang boleh menampung murid-murid sekolah itu.
Sebelum ini, anak-anak Pulau Larapan belajar di SK Larapan dari Tahun Satu Hingga Tahun Enam tetapi sejak lapan tahun lalu, SK Larapan hanya menampung murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga.
"Itulah sebabnya kita melihat banyak anak-anak berusia 10 tahun ke atas yang tidak mendapat pendidikan hanya berkeliaran di kampung kerana ibubapa mereka tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke Pulau Bum Bum," katanya.
Selain itu, kanak-kanak berusia 10 tahun itu masih kecil untuk mengurus diri mereka dan tindakan menghantar mereka untuk bersekolah jauh daripada ibubapa adalah tindakan yang kurang tepat.
Beliau memberitahu, ibubapa terpaksa mengeluarkan RM100 seorang iaitu RM60 untuk tambang bot dan RM40 untuk tambang kereta setiap kali menghantar anak mereka ke SK Berpusat di Pulau Bum-Bum.
Katanya, sungguhpun mereka disediakan asrama tetapi kebajikan anak-anak masih kecil itu tidak terurus malah sebahagiannya `masih kencing di tilam' kerana masih kecil dan tidak mampu mengurus diri sendiri.
Haji Abdul Rahman menyarankan agar ibubapa di Pulau Larapan dibenarkan menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran dalam Tahun Empat dan seterusnya di Pulau Larapan untuk memastikan masalah keciciran di kalangan pelajar dapat ditangani.
Jelasnya, beliau sering mendengar keluhan dan rungutan ibubapa yang kebanyakkannya miskin kerana tidak mampu menyekolahkan anak mereka yang masih kecil di tempat yang jauh dan terpaksa berhadapan dengan kemungkinan dibelit kemiskinan untuk beberapa generasi akan datang kerana ketiadaan pendidikan.
Beliau meminta keputusan itu dikaji semula dan anak-anak pulau Larapan dibenarkan meneruskan pembelajaran mereka di sekolah yang terdapat di pulau itu sendiri.
Walaupun menyedari niat kerajaan adalah baik untuk meningkatkan kualiti pencapaian murid dalam pelajaran tetapi keputusan itu juga menyebabkan anak-anak kecil menjadi `penganggur' sebelum waktunya.
Pulau Larapan yang mempunyai penduduk kira-kira 1,365 di dua buah kampung iaitu Pulau Larapan Hujung dan Pulau Larapan Tengah adalah sebuah pulau yang didiami oleh masyarakat Bajau yang miskin tetapi kini semakin terdedah kepada kemajuan kerana kerajaan telah membina Kuasa Tenaga Solar Hibrid dan Pusat Internet Desa, Perpustakaan dan memperbaiki prasarana di pulau itu.
"Tetapi semua ini hanya akan menampakkan ertinya sekiranya anak-anak pulau diberi peluang mengecap pendidikan yang secukupnya," kata Haji Abdul Rahman sambil meminta supaya permasalahan yang dihadapi ibubapa dan pelajar itu dapat ditangani segera sebelum lebih ramai kanak-kanak menjadi mangsa kerana tidak mendapat pelajaran.
"Bagi yang mampu, mereka boleh meneruskan pelajaran di SK Berpusat Pulau Bum-Bum tetapi bagi yang kurang mampu, biarlah mereka dibenarkan untuk menduduki sekolah hingga tahun Enam di SK Larapan," katanya.





Sabtu, 15 Januari 2011

Catatan sekembalinya dari Tawau

Tags
KK sedang bermandi hujan sebaik kami duduk di Restoran Maimunah Sinsuran.
Saya memesan teh tarik . Amai Azlan memesan kopi O.
Malam belum begitu larut.Jam tangan saya menunjukkan 11.30 malam, cepat setengah jam dari waktu yang sebenarnya.
Amai Azlan mengajak saya minum sebentar sambil mendengarkan update mengenai cerita kehidupan di KK sementara saya ingin cepat pulang untuk menulis dalam blog.
Pesawat terakhir Air Asia dari Tawau tiba jam 10.30 malam, terlewat 5 minit dari waktu yang dijadualkan. Sementara itu, ramai penumpang-penumpang MAS yang sepatutnya menaiki MH3056 dari TWU-BKI 14 Januari meluahkan rasa kesal kerana tidak dapat terbang walaupun tiket sudah `confirm' lebih awal. Staff di kaunter menyatakan pesawat `over booked'. Bagaimana boleh over booked? Oleh sebab itu, hampir 10 orang yang tak bernasib baik itu terpaksa menginap di hotel yang disediakan MAS.
Saya melihat ada pesawat MASwings, manakala sebuah pesawat Boeng 737 sedang tersadai di hangar. Ada di antara penumpang yang mengenali saya mengadu mengenai masalah itu kerana ada di antara mereka terpaksa menghadiri mesyuarat. Asmuni dan rakannya meminta saya menulis dalam hotline kerana mutu perkhidmatan yang kurang memuaskan itu.
Saya berada di Tawau sejak petang 9 Januari iaitu sebaik selesai menulis berita mengenai Majlis Persatuan Warga Tua Sabah (COSCA) melalui Timbalan Presidennya Robert Foo yang meminta supaya bantuan kebajikan warga tua yang tertangguh sejak Ogos dibayar segera kepada warga tua yang miskin, dan perlukan wang untuk keperluan seharian dan ubat-ubatan mereka.
Sepanjang berada di Tawau, saya sempat bertemu dengan Sdr.Kibin Haji Samad, Pengarah di Open University Tawau, Sdr Saman Haji Ungki yang kini menguruskan syarikat konsultansinya, Samsari Consultant di tengahtengah kesibukan menghantar anak -Ahad Fawzan ke tadika pra sekolah St Patrick dan petangnya ke PASTI.Sitti Mehran Yasmine sudah tahun 5 di SJK Yuk Chin hanya perlu dihantar jam 5.30 pagi untuk menaiki bas sekolah.
Ada keinginan untuk menghantar Fawzan ke sekolah Islamiah tetapi agak terlambat, kata Ustazah Rukiah, kerana sepatutnya kami datang hari Sabtu kepas. Tempat sudah penuh apatah lagi tak ada sesi petang. Jadi beliau mencadangkan agar fawzan sekolah Islamiah tahun depan.
Agak kecewa juga tetapi bukan rezekinya sekolah di situ tahun ini.Mudah-mudahan anak ketiga Ahmad Aliff Farhan juga dapat bersekolah di Islamiah.

Seperti yang dijanjikan juga saya ke Semporna pada hari Selasa. Haji Abdul Rahman Labatan, keturunan `penghalapan' membawa saya ke kampungnya di Pulau Larapan, kira-kira 15 minit dari Pekan Semporna untuk melihat mengenai proses pembangunan di kampung itu.
Dewan Serbaguna baru siap, sementara 10 buah rumah untuk rakyat miskin sedang dibina atas bantuan Felcra. Semua ini, kata Haji Abdul Rahman adalah berkat keprihatinan Datuk Mohd Shafie Apdal yang sentiasa pentingkan kebajikan masyarakat pulau. Beliau juga berterimakasih kepada Haji Razak Tun Sakaran, setiausaha menteri yang banyak membantu.

Ketika mengelilingi pulau itu saya bertemu dengan ibu-ibu yang mengadu mengenai anak-anak mereka yang berumur antara 10 hingga 12 tahun yang tidak dapat melanjutkan persekolahan kerana kemiskinan, dan takutkan ombak.
Saya sempat juga bertemu dengan anak-anak yang sepatutnya menduduki tahun 4 hingga 6 itu,tetapi meninggalkan bangku sekolah kerana tidak sanggup-dan ibubapa mereka juga tidak mempunyai kesanggupan-untuk menghantar anak mereka ke Sekolah Berpusat di Pulau BumBum kerana kos yang tinggi.

Saya membayangkan apakah anak-anak itu memiliki masa depan yang cerah? Itulah sedikit sebanyak yang bermain di fikiran saya ketika minum di Restoran Arif ketika kami dijamu makan tengahari dengan hidang yang menyelerakan.

Benar, bahawa memang banyak cerita yang boleh ditulis di Semporna.Malah sebaik duduk di Dyana cafe, saya ternampak Mansor Haji Santiri yang memberitahu saya tuntutan penduduk Pulau Menampilik terhadap Pulau Tabbalanos yang diberikan kepada orang perseorangan. Penduduk kecewa dan tidak berpaus hati kerana menurut mereka dari segi hak adat istiadat atau costumary right, mereka berhak ke atas tanah seluas tiga kali padang bola iaitu antara 3 hingga 5 ekar dan terletak 9 km dari Semporna.

Sementara itu, di Tawau, saya mendengar rungutan orang ramai mengenai harga bawang. Pakcik Salupo Mading, pemandu teksi mengeluh mengenai kenaikan harga bawang, yang pada minggu sebelumnya berharga RM7 sekg kini sudah naik RM18 sekg. Sungguh tak dapat diterima akal, katanya. Masalah kekurangan bawang agak kritikal. Di tempat lain, masih ada yang menjual RM10 tetapi di Tawau, harga bawang yang sudah rosak dan lama dan `ada sudah daunnya tumbuh' itu RM9.90 se kg. Tapi itupun sudah tidak ada. Kelmarin harga bawang di Tawau meningkat ke RM18 sekg.
Kalau tak ada bawang dari India, kenapa tak ambil saja bawang dari Indonesia? katanya.

Festival Kebudayaan Tawau yang mempertemukan peersembahan kebudayaan dari wilayah BIMP-EAGA disambut dengan agak ghairah oleh masyarakat Tawau. Saya lupa bertanya apakah dalam festival itu juga diselenggarakan seminar atau bengkel mengenai budaya?

Alhamdulillah, dalam satu minggu itu, saya sempat membaca buku Karim Raslan yang menarik mengenai pengamatannya tentang Indonesia bertajuk Ceritalah Indonesia. Karim merupakan intelektual Malaysia,peguam dan wartawan yang banyak menulis catatan perjalanannya dan pemerhatiannya terhadap masyarakat.Saya menyukai tulisan-tulisannya yang tersiar di berbagai suratkhabar dan majalah. Beliau juga menulis empat buku "Ceritalah:Malaysia in Transition," Heroes and Other Stories", Ceritalah 2:Journey Through Southeast Asia dan Ceritalah 3:Malaysia the Dream Deferred".
Yang paling menarik dari buku ini ialah beliau bercerita mengenani kehidupan rakyat kecil seperti mengenai pekedai kopi di Tung Tau,Ustaz Khairon dari Baungsari Surabaya, malah beliau menulis juga mengenai Gus Dur, Maluku, Islam Liberal vs Islam Literal,kemenangan SBY, mengenai etnik tionghua, Indonesia era pasca Soeharto dan sebagainya.

Satu lagi buku yang menarik ialah tulisan L.W.C Van Den Berg `Orang Arab di Nusantara'. Tulisan orientalis yang sangat terkenal dalam anthropologi sejarah kelompok Arab di Nusantara pada abad ke-18. Buku yang pertama kalinya diterbitkan 1886 itu diterbitkan semula oleh Komunitas Bambu pada 2010 dengan diberi kata pengantar oleh Karel A. Steenbrink dan Ismail Fajrie Alatas.
Buku ini menjadi sangat penting jika kita ingin melihat sejarah mengenai komuniti Arab yang tersebar di pelbagai tempat di Nusantara.

Ketika check in di Lapangan Terbang Tawau,barulah saya menyedari buku The Iranun of Sabah terbitan Pelanduk Publications tertinggal dalam beg di rumah di Tawau. Buku ini adalah buku terbaru yang perlu dimiliki oleh mereka yang berminat mengkaji mengenai masyarakat Iranun di Sabah.

Banyak yang perlu dicatatkan, tetapi benar-benar rasa mengantuk dan mahu tidur.

Jumaat, 7 Januari 2011

Terharu bertemu tuan DO

Tags
Pertemuan dengan mantan Pegawai Daerah Kota Belud, Edris Haji Yahya membuat saya gembira, dan terharu. Sudah lama tidak berjumpa beliau.Hanya sekali sekala sejak beliau bersara setelah menjawat jawatan DO KB selama 6 tahun 2 bulan, iaitu DO yang paling lama berkhidmat di Kota Belud.
Walaupun berasal dari Papar, beliau mempunyai ramai kerabat keluarga di Kota Belud. Agak menggembirakan kerana banyak juga topik yang kami ceritakan berkisar pengalamannya bertugas di KB.
Agak menarik juga bila beliau memberitahu bahawa beliau sering membaca minit-minit mesyuarat JKKK dan mendapati kebanyakannya isinya berkaitan projek. Amat jarang dibincangkan mengenai pembangunan pendidikan, menangani masalah sosial dan sebagainya.
Sebagai DO, beliau telah menyumbangkan khidmat baktinya di Kota Belud, termasuk antaranya mempertahankan Pekan Nabalu untuk kekal dalam pentadbiran KB.
Banyak perkara yang diperkatakan pada pertemuan yang berharga itu termasuk adanya pertalian keluarga antara nenek moyang. Datu kami, Datu Maharaja Dinda itu berkeluarga dengan Imam Mubin, Imam Rashid di Papar. Saya teringat keluarga kami bernama Sarjan Nayan yang agak rapat dengan arwah ayah saya.
Tetapi apa yang membuat saya terharu ialah rupa-rupanya beliau mengikuti tulisan-tulisan saya dalam blog ini.Rupanya beliau juga membaca tulisan saya. Terima kasih atas komen yang mendorong saya untuk menulis lebih baik lagi.

Sabtu, 1 Januari 2011

Tulisan UU Hamidy di Riau Pos

Tags
Ketika melayari internet, saya terjumpa tulisan Bapak UU Hamidy, seorang budayawan dan Sejarahwan Riau di akhbar Riau Pos pada 29 November 2010. Bapak UU Hamidy yang telah menghasilkan lebih 60 buku. Beliau yang menekuni pelbagai aspek budaya dan persejarahan dalam dunia Melayu sejak 1973, pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya pada tahun 1981.

Kami sangat berterima kasih di atas kesudian menulis mengenai Iranun dari Tempasuk yang dilabelkannya sebagai mujahidin yang membela martabat Riau tetapi akhirnya diberi cap penjahat oleh kaum penjajah.

Saya teringat pertemuan kami di Pekan Baru, Riau 5 November lepas. Sebaik mendarat di Bandar Udara Syarif Kasim II, kami terus mencari rumahnya. Setelah meletakkan beg di Hotel Holie, kami berjalan kaki ke rumahnya. Pak UU Hamidy sudah menunggu kedatangan kami. Sebelum itu, kami sudah berhubung dengan salah seorang cucunya, Pak Medri Oesno dan beliaulah yang menghubungkan kami dengan UU Hamidy.

Ternyata beliau sangat tertarik dengan misi perjalanan kami dalam menelusuri jejak sejarah Melayu.

Beliau mengakui bahawa istilah `lanun' itu berasal dari nama Ilanun atau Iranun. "Orang Iranun yang berjuang untuk menentang penjajah akhirnya diberi cap buruk oleh mereka," katanya sambil menyebut bahawa keadaan itu sama dengan orang-orang yang berjuang menegakkan agama Islam diberikan cap teroris.

Pada akhirnya, Iranun disebut lanun dan akhirnya ia berubah erti, dimana apa saja yang menentang Belanda, Sepanyol dan Inggeris disebut lanun. Kemudian semua yang menjalankan kegiatan menentang penjajah dianggap sebagai lanun. Inilah strategi penjajah untuk memecahbelahkan masyarakat Melayu di Nusantara.

Beliau berkata kemungkinan untuk orang Iranun mengekalkan bahasa mereka di kepulauan Riau amatlah tipis kerana mereka yang datang ke Kepulauan Riau itu terdiri daripada tentera dan panglima-panglima perang. Mereka kemungkinan berkahwin dengan orang Tempatan dan masuk dalam masyarakat Melayu atau orang persukuan.

"Kita diakali (ditipu) betul oleh kolonial. Orang yang betul-betul mempertahankan negara dianggap lanun, dan kemudian diberikan topeng yang buruk,padahal para syuhada itu berjuang untuk mempertahankan Islam " kata tokoh akademik yang pernah menjadi Ketua Pusat Kajian Islam dan Dakwah Universitas Islam Riau (1990) dan Dekan FKIP Universitas Islam Riau sehingga 1996 itu.

Bagaimanapun, UU Hamidy mengakui bahawa itulah pertama kali beliau mengetahui bahawa Tempasuk benar-benar wujud di alam Nusantara kerana mereka tidak mengetahui dimana letaknya Tempasuk.

Beliau kemudian menghubungi salah seorang pengkaji sejarah di Aceh TA Sakti yang bertugas di Universitas Syiah Kuala., Banda Aceh. Beliau merupakan orang yang pertama melakukan kajian terhadap Perang Reteh yang berlaku pada tahun 1858. Beliau menyebut menyebut mengenai Tengku Sulong yang dikatakan Raja Lanun, dan dianggap sebagai salah seorang pahlawan di Riau.

Beliau juga menyarankan agar lebih ramai mahasiswa membuat kajian mengenai sejarah hubungan Tempasuk-Riau Lingga dan peranan orang Iranun dalam penentangan terhadap Belanda.

UU juga sependapat bahawa memamg Raja Tempasuk memiliki hubungan dengan Sultan Mahmud III beliau sanggup menghantar `bukan sebarang bantuan untuk membantu' sehingga merelakan darah dagingnya sendiri bagi menghalau Belanda dalam perang di Teluk Ketapang.

"Adalah menjadi kewajiban kita untuk menyelusuri jejak sejarah yang hilang ini dan mencari ibrah (pengajaran) daripadanya," katanya kepada Utusan Borneo. "Betapa ikhlasnya mereka berjuang sehingga mereka dilupakan sejarah," katanya sambil menyatakan rasa kagum kerana ketelitian Raja Ali Haji mencatatkan peristiwa sejarah itu.



Opini » Mujahidin Iranun Sabah Oleh UU Hamidy
Mujahidin Iranun Sabah Oleh UU Hamidy
Posted by idris on November 29, 2010

(Pembela Martabat Riau Dicap Penjahat)

Mungkin banyak orang tak menyangka bahwa kata lanun yang diartikan perompak atau bajak laut itu rupanya berasal dari nama suku Iranun atau Ilanun.

Di negeri asalnya yang dulu pernah menjadi kerajaan bernama Tempasuk (Tempasok), puak ini disebut Iranun. Sedangkan di Riau disebut Ilanun.

Sungguhpun begitu kata yang paling populer ialah lanun, yang kemudian disematkan sebagai penjahat. Ini terjadi karena Belanda (dan juga penjajah Barat lainnya) tidak berdaya melumpuhkan serangan mereka di lautan. Karena itu dicaplah sebagai perompak dengan maksud agar pejuang Islam ini dipandang jahat.

Kata lanun yang dicap sebagai penjahat dengan mudah dapat dibandingkan pada kaum muslimin yang ingin menegakkan syariat Islam dewasa ini yang dicap dengan kata teroris.

Kaum muslimin yang sejati, takkan pernah surut semangatnya untuk menegakkan syariat Islam.

Sebab ini adalah pokok ajaran Islam yang mulia. Orang yang memburukkan syariat Islam hanyalah alat tipu daya setan. Dan Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya. Tatanan dunia dewasa ini benar-benar sudah babak belur oleh ulah demokrasi sekuler dengan tingkahlaku kapitalis yang serakah. Tak ada pilihan lain lagi untuk menyelamatkan umat manusia, selain surut kepada aturan yang telah diberikan oleh Maha Pencipta itu.

Pembela Martabat Riau
Keperkasaan mujahidin Iranun membela Riau dalam rangka jihad fi sabilillah dapat disingkapkan oleh kitab Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji yang ditulis tahun 1865 dilengkapi oleh karya Hasan Junus, Raja Ali Haji Budayawan di Gerbang Abad XX tahun 1989.

Setelah Belanda menguasai Batavia, lalu kemudian menduduki Melaka, maka ketegangan antara Riau dengan Belanda tak terhindarkan lagi. Mula-mula bagaikan api dalam sekam. Kemudian menjadi perang terbuka, adu kekuatan dan martabat. Riau telah mempertahankan martabatnya paling kurang dengan 3 babak peperangan lawan Belanda.

Pada tahun 1778 Raja Ali Haji menjadi Yang Dipertuan Muda Riau IV, berkedudukan di Kota Piring, pulau Biran Dewa, dekat pulau Bintan sekarang ini. Masa itu, perdagangan Riau amat maju, sehingga di pusat pemerintahan itu tercatat penduduk 90.000 jiwa. Suatu jumlah yang luar biasa masa itu.

Pada 18 Juni 1783 kapal Belanda di bawah pimpinan Togar Abo memasuki perairan Riau diiringi dengan pernyataan perang. Pada 21 Juni Raja Haji menjawab pernyataan perang itu.

Pada 23 Juni laskar Riau dengan Panglima Raja Haji memulai perang dengan menyerang 15 kapal Belanda dengan 1.500 personil. Pada 17 Januari 1784, perang babak pertama di perairan Riau berakhir.

Pada 11 Februari 1784 perang babak kedua dimulai, dengan mendaratnya pasukan Riau di Teluk Ketapang Melaka. Riau dapat dukungan dari orang Selangor dan Rembau. Secara beruntun kubu Belanda di Semabuk, Bunga Raya, Bandar Hilir dan Bukit Cina, dikuasai oleh laskar Riau. Pada 4 Maret 1984 Jacob Pieter van Bram tiba di Betawi dengan 6 kapal perang, 326 meriam dan 2.130 personil. Armada ini diarahkan untuk membantu Belanda di Melaka melawan Riau.

Dalam pada itu, Yang Dipertuan Besar Riau Sultan Mahmud mendatangi Yang Dipertuan Muda Raja Haji di Teluk Ketapang. Dalam pertemuan itu Raja Haji nenyatakan bahwa dia telah siap untuk mendapat fadhilat syahid. Pada 18 Juni pasukan Belanda berlabuh di Teluk Ketapang.

Terjadilah pertempuran habis-habisan Riau lawan Belanda. Panglina perang Riau Raja Haji tewas digelar orang Raja Haji Fi Sabilillah.

Perang Riau lawan Belanda babak ketiga dipimpin oleh Raja Ali ibnu Daeng Kamboja. Pada 27 Oktober 1784 Riau menyerang Belanda. Pada 1 November 1784 Surat Perjanjian Riau dengan Belanda ditandatangani oleh Sultan Mahmud. Raja Ali dan pengikutnya bergerak keluar Riau. Dari pantai Kalimantan, serangan terhadap kapal-kapal VOC (Belanda) tetap berlanjut. Sementara itu Belanda membuat garnizun dengan kekuatan 254 serdadu di Tanjungpinang.

Pada tahun 1786 Sultan Mahmud mengirim utusan dengan pimpinan Encik Talib kepada Raja Tempasuk (di Sabah Malaysia sekarang) minta bantuan mengamok (mengusir) Belanda di Riau.

Raja Ismail dibantu 3 putranya menyiapkan bantuan dengan 30 perahu perang bersama pasukannya.

Pasukan dari Tempasuk itu terdiri dari orang Iranun, Sulu, Jolo, Belangingi dan lainnya.

Pasukan ini di Riau disebut lanun. Sebab, mungkin orang Iranun yang paling besar jumlahnya atau paling hebat melawan Belanda. Pada tahun 1787 sampailah bantuan ini ke Riau. Panglima besar Raja Ismail langsung memimpin perang. Pasukan lanun mengamok tentara Belanda di Tanjungpinang.

Kubu Belanda diharu-biru sehingga dapat direbut. Akibatnya tidak ada lagi orang Belanda tinggal di Riau.

Di Mana Keturunan Iranun?
Berdasarkan keterangan kitab Raja Ali Haji itu, Raja Tebok dan Raja Alam putra Raja Ismail yang disebut juga Raja Lanun telah berhasil dangan pasukannya membela martabat Riau. Mereka mendapat sambutan baik dari pihak Riau dengan memperbaiki hatinya (dihibur) dipelihara, dipermuliakan sepatutnya.

Kemudian raja-raja lanun itu bermohon balik ke Tempasuk, melainkan Raja Muda Okma yang tetap tinggal di Riau. Tidak lama kemudian Sultan Mahmud pindah ke Lingga.

Pada 2-7 November 2010 telah datang ke Riau (Tanjungpinang dan Pekanbaru) 2 orang tokoh Iranun Sabah, yakni OKK Hj Masrin Hj Hassin Yang Dipertua dan Abd Naddin Hj Shaiddin Ketua Penerangan Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun Sabah (BKI). Mereka lngin menjumpai keturunan Iranun di Riau.

Hendak menyambung tali persaudaraan (silaturrahmi) kembali dengan suku Iranun di Sabah.

Dengan merujuk pada kitab Raja Ali Haji tersebut, keturunan Iranun yang tinggal di Riau tentulah anak-cucu Raja Muda Okma. Mereka ini tentu saja telah nikah-kawin dengan penduduk tempatan di Kepulauan Riau. Tapi, mungkin saja di antara mereka ada yang masih ingat bahwa mereka keturunan Iranun atau lanun baik melalui ranji Raja Muda Okma maupun laskar lanun lainnya yang juga sudah nikah-kawin dan menetap di Kepulauan Riau atau Riau.

Kalau Raja Muda Okma dan anak buahnya mendapat tempat bermukim di Riau dari Sultan Riau, semisal suatu pulau, tentulah keturunan ini akan mudah dikenal. Keturunan Iranun yang sudah 200 tahun terpisah dengan negeri Tempasuk Sabah, yang sekarang berada di Kepulauan Riau atau Riau dapat menjalin persaudaraan kembali dengan kaum kerabatnya di Sabah, Malaysia. Jika ini terjadi tentu amat beharga bagi kepentingan ekonomi, sosial dan budaya.

Lebih dari itu adalah rahmat Allah yang tiada terhingga. Mereka ini dapat menghubungi 2 tokoh tadi melalui alamat OKK Haji Masrin Hj Hassin Yang Dipertua Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun Sabah (BKI) PO Box 1, 89157 Kota Belud Sabah, Malaysia. Semoga Allah mempertemukan mereka dengan rahmat-Nya.***
UU Hamidy, Budayawan Riau.

http://riaupos.com/news/2010/11/29/mujahidin-iranun-sabah-oleh-uu-hamidy/.


Lihat juga tulisan Saudara Milus Haji Abdul Wahab mengenai kuasa Tradisional di Tempasuk

http://abuhilmie.blogspot.com/2010/07/kuasa-tradisional-tempatan-di-tempasuk.html.