Sunday, January 16, 2011

Din,rasanya saya mahu berkubur di Sabah-Catatan pertemuan dengan Ustaz Jalidar

MESKIPUN cuma sebentar, pertemuan dengan Ustaz Haji Jalidar Abdul Rahim amatlah menggembirakan saya.

Lama tidak bertemu beliau.Seingat saya,kali terakhir kami bertemu ialah dua tahun lalu, bulan Julai 2009.
Ustaz yang rendah hati ini menghubungi saya melalui pesan singkat SMS, mengkhabarkan bahawa beliau sedang berada di Sabah.

Tidak menyangka dapat bertemu beliau.Petang itu, sebaik beliau sampai dari Pulau Manukan menemankan isteri Kak Hajah Jamilah Haji Ahmad,mantan Ketua Unit Sastera DBP Sabah yang banyak berjasa kepada sastera Sabah, dan anaknya,Najihah, yang kini sudah menduduki SPM, beliau langsung saja menghubungi saya, dan kami sempat duduk minum di Restoran Choice berdepan Wisma Merdeka.

Kami bertukar khabar. Begitu cepatnya masa berlalu, Najihah yang dulunya sekolah tadika kini sudah dewasa dan rindu tanah tumpah darahnya,meskipun ibunya berasal dari Johor manakala sang ayah, berasal dari Medan, Sumatera.
Najihah lahir di Sabah, dan kerana itu, sentiasa menyematkan rindu kepada negeri tanah kelahirannya.

Banyak juga yang dapat kami percakapkan sebelum akhirnya kami terpaksa berpisah buat sementara kerana saya perlu menyiapkan beberapa artikel dan beliau pula sudah ditunggu Kak Milah di seberang jalan.

Beberapa hari kemudian, saya menerima SMS yang memberitahu bahawa sebaik pulang dari sabah, beliau batuk, demam, selsema dan kini berehati di rumah.Katanya beliau sempat mengadakan pertemuan dengan JM (Jasni Matlani), Kak Rubiah Nordin dan Sitti Rahmah. Perbincangan berkisar mengenai hasrat menubuhkan Pusat Kesenian Islam di Sabah.

"Kalau ada kerja tetap,mungkin saya akan kembali ke Sabah," katanya.
"Din,rasanya saya mahu berkubur di Sabah".

Itulah yang mengharukan saya, kesediannya untuk kembali berbakti di negeri dimana beliau menghabiskan sebahagian usianya.

Ketika berada di Sabah, beliau sempat bertemu dengan seniman Islam Papar iaitu Kumpulan Orkes Irama Padang pasir Noor El sabah telah berlangsung di kediaman Haji Harun Ali di Papar.

Haji Jalidar sebagai pendiri Orkes Dakwah El-Sabah pada masa lalu telah banyak mengharumkan nama Sabah dan Malaysia ke peringkat antarabangsa. Noor El-sabah pada tahun 1994 pernah mewakili Malaysiake festival The Garden Of Islam di Berlin Jerman.

Pada tahun 1994, mewakili Malaysia ke Pertemuan Seniman Muslim Asean dan Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Nasional di Ambon,Maluku, Indonesia.

Pada tahun 1996, Noor el-Sabah diundang menyerikan Festival Nasyid Peringkat Asean (MABIMS) di Kuala Lumpur, dan Kerajaan Malaysia pada masa itu telah melantik Haji Jalidar Abd.Rahim sebagai Pengerusi Hakim pada Festival tersebut.

Pada tahun 2000, sekali lagi Noor El-Sabah pimpinan Haji Jalidar diundang ke Majlis Nostalgia Lagu-Lagu Irama padang pasir 60-an di medan Indonesia.


Pada pertemuan malam itu,Haji Jalidar memaklumkan bahawa Kumpulan Noor El sabah akan diundang menyerikan Festival Nasyid Peringkat Sumatera Utara di kabupaten Batu Bara Indonesia dijangka diadakan pada penghujung tahun ini.

Beliau berharap Noor El Sabah untuk berlatih intensif, dan akan menyediakan lagu-lagu baru dan lama untuk latihan.

Di Pertemuan itu juga,Haji Jalidar mengingatkan perlunya `Hidup Terus Berkarya, berbuat baik bersatu hati selamanya.Katanya lagi, jangan lupa bahawa daerah Papar mula bangun dan berrtapaknya seni nasyid era tahun 70-an.

Papar telah mengharumkan nama Negeri Sabah pada tahun 1978 ketika Kumpulan Nasyid Noor El-Kawakib muncul sebagai johan nasyid peringkat Kebangsaan.

Dalam nada sebak, Haji jalidar terkenang dengan penyanyi solo vokal terbaik yang pernah diasuhnya,Allahyarhamah Hajah Norsiah Talip yang menjulang nama negeri ini satu ketika dahulu.

Haji Jalidar mengenang "Kita telah membuat album nasyid pertama di Malaysia.Noor El-Kawakib muncul dengan 8 buah lagu yang saya gubah semasa saya tinggal di tepian Sungai Papar yang banyak memberikan inspirasi mencipta ratusan lagu-lagu nasyid.

Seperti yang diketahui, setelah pencen dari JHEAINS, Haji Jalidar kini menetap di Shah Alam Selangor bersama anak-anaknya.

Beliau juga tidak lupa kepada orang yang banyak memberi dukungan atas berkembangnya seni nasyid di papar pada masa lalu. Dia antaranya, Datuk Haji Mohd.Noor Mansoor,Allahyarham Ahmad Tahir dan ramai lagi pejuang pejuang yang banyak membantu kini mereka dah tiada lagi.

"Setelah pencen, saya tak ada apa apa yang boleh dibanggakan.Hanya lagu dan karya serta juangku tak pernah pudar sepanjang hayat,"katanya menahan sebak.

"Aku punya pewaris, seniman seniman Islam yang kubangunkan bukan saja di papar, tapi hampir di seluruh Sabah,Labuan hingga Sarawak, Semenanjung hingga ke Indonesia",katanya.

Pada pertemuan dengan seniman Islam pada malam itu,Haji Jalidar kembali menggesek violinnya yang terkenal itu diiringi pemuzik pemuzik seperti Harun Ali,Pg Fuad Razak,Jair,Azmi,Ismail,Ampuan Zainuddin,Mazli, penyanyi Dayang Norliza dan Sabariah Hashim melantunkan beberapa buah lagu dan instrumen,"Cintaku,Kinabalu,Hempasan Duka.

Haji Jalidar sendiri menyanyikan Pusara Kasih mengakhiri pertemuan pada malam yang berakhir jam 12.00 malam itu.

2 comments:

Amin yang smart untuk MindaAjaib said...

salam buat sahabat lama..terharu sy membaca artikel ini..sesungguhnya dengan izin Allah harapan sy utk bertemu dengan ust. jalidar termakbul walaupun sebentar pada pertengahan februari 2011.Kali terakhir bertemu beliau ialah pada 2000.setelah 10 tahun,alhmdulillah bertemu juga.beliau masih seperti dulu,seorang yang rendah diri dan murah dengan senyuman.sebelum berpisah ada beliau titipkan nombor telefon.namun demikian kini sy tidak lagi dapat menghubungi beliau mgkin kerana mslh tidak dapat dielakkan.sy doakan beliau dilindungi dan diberi kesihatan olehNya. kpd shbtku, sdra abdnadin, moga Allah sntasa mberi ksihatan utk tuan trus melakar pena..takzim tuan

abd naddin said...

terima kasih sdr amin yang dimuliakan Allah. Semoga terus menulis dan berkarya.