Ahad, 27 Februari 2011

HPN ke-18 rangsang ghairah penulis

Tags
SELEPAS Jumaat, saya terserempak dengan Awang Karim Kadir yang baru tiba dari Kudat. Sudah lama tidak berjumpa Karim kerana dia sudah lama juga menghilangkan diri dalam dunia kesusasteraan. Sebenarnya saya agak sukar juga untuk mencari sesuatu kategori untuk Awang Karim, tokoh yang serba boleh ini.
Beliau penulis cerpen dan puisi, juga deklamator puisi yang hebat.

Awang Karim juga penulis novel, bahkan beliau juga seorang seorang tokoh teater yang sangat aktif di Kudat suatu ketika dahulu. Lebih dari itu, beliau juga terlibat sebagai pelakon telefilem, penyanyi lagu puisi, malah pernah pula dia menjadi wartawan.
Beliau juga pernah bergiat dalam politik untuk menatang ideanya tetapi kini setelah tersesat dalam belantara politik, beliau kembali menulis dan bergiat semula dalam sastera.

"Sebenarnya saya sudah lama tidak menghadiri acara sastera," katanya sebaik kami duduk di Restoran Taufik itu. Kali ini beliau teruja untuk menyertai Hari Puisi Nasional (HPN) Kali ke-18 yang sedang berlangsung di Kampung Binsuluk Membakut. Sambil makan sambil menunggu penulis dari Kota Belud, Norawi Haji Kata yang akan ikut serta dalam HPN itu, kami sempat bercerita mengenai dunia teater yang digelutinya dan karya sejarah yang diminatinya.

Awang Karim sudah lama tidak menghasilkan karya.Paling akhir ialah apabila majalah Dewan Sastera memilih beliau sebagai Penulis Bulan Ini pada April 2010. Karya-karya Awang Karim terutamanya dalam cerpen dan puisi memiliki kekuatan tersendiri. Sebagai seorang penulis Sabah yang terkemuka, beliau juga pernah dihantar oleh DBP bagi mewakili Malaysia dalam Program Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Indonesia.

Beliau berharap penyertaannya dalam HPN ke-18 kali ini mampu meniupkan semangat baru untuk beliau kembali menghasilkan karya bermutu yang mampu mengangkat martabat kesusasteraan Sabah.

Hari Puisi Nasional ke-18 yang diadakan di Membakut itu sesungguhnya boleh dianggap sebagai satu peristiwa besar sastera tahun ini. "Binsuluk adalah sebuah perkampungan nelayan pinggir laut yang bakal menjadi tumpuan para penyair dari seluruh negara, termasuk dari negara jiran Indonesia dan negara Brunei Darussalam," kata Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) Jasni Matlani dalam tulisannya di Utusan Borneo.

HPN Ke-18 diadakan bersempena bersempena sambutan 40 Tahun GAPENA. "Pemilihan Binsulok sebagai tempat penganjuran pertemuan penyair yang dianggap prestij di Malaysia itu mempunyai signifikan tersendiri, bukan sahaja kerana perkampungan berkenaan mempunyai keindahan alam semulajadi, tetapi juga kerana masyarakat nelayannya yang unik, yang sudah pasti menggugah sesentiviti penyair," katanya lagi.

Antara tokoh yang hadir dalam Hari Puisi kali ini, kata Sukor Haji Usin, Ketua Satu IPS yang lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi ialah Tan Sri Ismail Hussein, Ketua Satu Gapena, Datuk A.Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah DBP, Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas, Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA) Mohd.Salleh Rahamad,Khalid Salleh, Presiden PEKASA,Jaafar Hamdan, Presiden Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amirudin Hanafiah , Othman Mahali, penulis veteran dari WP Labuan, Haji Hamzah Hamdani, Dr.Irwan, Zainal Abidin Suhaili , Ketua Satu Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), Mohd.Amran Daud dari DBP.

"Ketika ini ada program kesenian sedang dilangsungkan di Balai Seni Pimping," kata Hasyuda. Pimping merupakan kampung kelahiran Datuk Haji Mohd.Arifin Arif, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut yang juga salah seorang penulis terkemuka tanahair. Sejak lama beliau merupakan salah satu lokomotif kegiatan sastera Islam. Sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar dan mendalami pengajian dalam bahasa dan sastera Arab, Arifin sendiri telah berjaya menempatkan namanya dalam sastera di Sabah.

Bagaimanapun, penulis yang telah cintakan buku ini telah memotori kegiatan sastera sekembalinya di tanahair dan bertugas di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). Namun kemudian Arifin ruoa-rupanya mendapatkan tempat yang khusus dalam sejarah tanahair khususnya di Sabah kerana bukan saja dikenang sebagai tokoh penulis malah sebagai tokoh penulis yang menjadi wakil rakyat di daerah kelahirannya.

Kehadiran lebih 180 orang peserta dalam Hari Puisi Nasional (HPN) Ke-18 itu jelas menunjukkan betapa pentingnya peristiwa sastera bertaraf kebangsaan itu. Hari Puisi Nasional yang bertemakan “Puisi menjana gagasan 1 Malaysia” itu bakal mencipta sejarahnya tersendiri.

Hari Puisi Nasional ke 18 ini dianjurkan oleh GAPENA, Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Pejabat Daerah Kecil Membakut, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sabah, dengan kerjasama beberapa agensi lain seperti Jabatan Penjara Sabah , Institut Terjemahan Negara Malaysia, Akhbar Utusan Borneo sebagai media rasmi pertemuan dan juga beberapa badan NGO seperti PENA, Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan beberapa kerabat GAPENA yang lain.

Ini merupakan kali ketiga Sabah menjadi tuan rumah. Kali pertama pada tahun 1979, kali kedua pada 1987 dan kini Sabah berpeluang semula menjadi tuan rumah kepada para penyair dan penulis dari seantero nusantara.

Paling menarik ialah pemilihan penyair Datuk Jamdin Buyong sebagai Tokoh Penyair Gapena. Beliau merupakan sasterawan Sabah yang terkemuka sejak melibatkan diri dalam dunia penulisan sejak 70-an. Puisinya pernah menanh Hadiah Karya Sastera dan salah seorang tokoh penting yang menggerakkan kegiatan sastera dan budaya di sabah pada zaman kegemilangannya.

Hari Puisi Nasional (HPN) ke-18 akan tetap melekat dalam ingatan peserta yang datang dari seluruh pelusuk negara.Selepas ini Membakut dan sekitarnya, Binsuluk dan pantainya, Pimping dengan keramahan masyarakatnya, Sabah dan alam negerinya akan menjadi sumber ilham penulis dan penyair yang tak kunjung pudar.

Ahli Nujum, PRU, dan generasi baru

Tags
Pada detik penentu itu, saya melihat P.Ramlee menggeletar, mungkin gentar,kerana takut tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan Udo Omar, ahli nujum negara Masai. Soalan bonus yang ditanyakan oleh Ahli Nujum Negara Masai itu tidak diberikan terlebih dahulu kepada Ahli Nujum Negara Beringin Rendang seperti soalan-soalan sebelumnya.

Tapi nasib menyebelahi P.Ramlee. Dalam keadaan serba kalut itu, entah bagaimana beliau terselamat setelah memanggil-manggil nama anaknya Belalang kerana sudah kehabisan tipudaya. Kebetulan pula, dalam genggaman Ahli Nujum Negara Masai yang sudah kehabisan akal itu, seekor belalang melompat entah dari mana.

Ini merupakan salah satu babak dalam Filem Nujum Pak Belalang yang walaupun sudah berkali-kali ditayangkan kita masih tetap suka menontonnya. Kita suka adegan berteka teki itu walaupun kita sudah tahu jawapannya.

Namun saya yakin kalau ditanyakan kepada Pak Belalang, beliau tidak akan dapat menjawab dengan tepat bilakah pilihanraya umum ke-13 akan diadakan. Bukan saja kerana soalan itu tidak termasuk dalam skrip filem tetapi juga kerana PRU-13 memang penuh dengan teka teki.

Teka teki tentang pihak manakah antara BN dan PR yang akan memenangi PRU-13. Apakah alternatif ketiga juga mempunyai pengaruh dalam pilihanraya kali ini, yang kita pasti akan diadakan tidak melebihi tempoh lima tahun.

Seorang rakan dari KL, dalam satu percakapan kami meramalkan bahawa perubahan senario politik hanya akan berlaku selepas pilihanraya ke-14, dan bukan ke-13.

Alasannya kerana PR belum dapat menunjukkan kekuatan, malah kurang persefahaman di kalangan barisan kepimpinan khususnya dalam PKR yang dilihat ada percekcokan yang mampu menumpulkan keyakinan rakyat kepada mereka.

Ketika itu, kendali kepimpinan negara akan banyak diwarnai tokoh-tokoh muda seperti Nurul Izzah Anwar, Razali Ibrahim, Khairy Jamaludin,Rafizi Ramli, Darell Leiking, Erveana Ansari, Tony Pua, Yusmadi Yussof, Jamawi Jaafar, N.Surendran dan sebagainya.

Tokoh-tokoh senior mereka seperti Azmin Ali, Saifudin Nasution Ismail, Abd.Rahman Dahlan,Salahuddin Ayub, Nasaruddin Tantawi, Ezam Mohd.Nor dan sebagainya akan tetap memegang peranan penting dalam lanskap politik negara.

Kemungkinan sistem dua parti akan mendominasi amalan demokrasi kita. Politik berdasar kaum akan sedikit demi sedikit terpinggir ke tepi dan yang akan muncul ialah politik yang menjunjung tinggi nilai-nilai keadilan, kebenaran, kejujuran demi kesejahteraan rakyat seluruhnya.

Ketika itu, generasi muda tidak lagi berbicara dan terlupa akan peristiwa 16 Mei, kerana ikatan emosi mereka dengan peristiwa itu agak longgar. Di Sabah, orang tidak sibuk menyatakan atau menekankan mengenai 20 perkara kerana generasi kita itu sudah melebur dalam satu entiti politik nasional dan tidak lagi berjuang kepentingan yang sempit.

Saya meramalkan kira-kira 10 tahun akan datang, politik Malaysia akan lebih menarik. Tidaklah seperti sekarang dimana hampir kebanyakan masa kita digunakan untuk bercakap politik, berbicara strategi atau tipumuslihat dalam politik, dan sebagainya. Hampir tidak banyak masa yang digunakan untuk memikirkan negara kerana pemimpin asyik berbalah, menyalahkan satu sama lain bagi kepentingan politik mereka.

Mungkin pada waktu yang akan datang, Nujum Pak Belalang tidak lagi diperlukan kerana waku pilihanraya sudah diketahui terlebih dahulu dan tidak lagi perlu meneka-neka.Semua pihak mendapat akses yang sama dalam media, semua pihak memiliki akses yang sama besarnya untuk bercakap dengan rakyat, tanpa ada yang ditutuptutupi dan disembunyi.Semua transparan.Apa yang diperlukan ialah semua orang bercakap benar, dan tunduk hanya kepada nilai-nilai.

Semua orang mesti berjiwa besar jika menang atau kalah. Tidak seperti apa yang berlaku apabila ahli nujum negara Masai kalah dalam peraduan teka teki itu, maka rajanya tidak puas hati lalu mencari muslihat untuk melarikan tuan puteri si bujur sireh.

Sabtu, 26 Februari 2011

GUSAR MELIHAT BETAPA CEPATNYA WAKTU

Tags
GUSAR MELIHAT BETAPA CEPATNYA WAKTU

YA, ada kalanya menerima jemputan kahwin seperti itu mampu membuat kita gusar. Inilah yang dialami oleh seorang rakan kami, Cek Mek namanya, selepas dia menerima jemputan kahwin dari kenalannya yang jauh.

"Tidak lagi seperti dulu.Setiap kali kita membuka kad jemputan kahwin, ada rasa gembira yang datang bersamanya," katanya kepada saya pada suatu pagi yang jernih. Kini keterujaan seperti itu semakin hilang. Jemputan kahwin boleh disampaikan dengan mudah dan cepat dengan hanya membuat `tagged' di facebook.

Teknologikah yang lebih cepat atau waktu yang lebih pantas berguling lalu menggilas nilai-nilai kekeluargaan di kalangan kita?. Kalau dahulu jemputan kahwin disampaikan menggunakan kad jemputan dengan pelbagai reka bentuk dan biasanya menggunakan kertas berbau wangi.

Masyarakat kita sebelum itu menjadikan satu kemestian untuk datang bertandang ke rumah keluarga, jiran dan kenalan untuk menyampaikan undangan perkahwinan. Ketika itulah mereka saling ramah tamah,bertanya khabar, kenal mengenali satu sama lain dan menyambungkan silaturrahim kerana lama tidak bertemu.

Dahulu, semua kaum kerabat keluarga bergotong-royong memasak lauk pauk untuk dihidangkan kepada tetamu. Keluarga sanggup datang dari kampung atau daerah yang jauh semata-mata untuk membantu menjayakan majlis. Sambil memasak, mereka bergurau senda dan kemesraan terjalin begitu indah kerana nilai-nilai kebersamaan dan nilai-nilai keluarga yang menjadi sebahagian daripada budaya kita.

"Tetapi kini, orang lebih suka menempah makanan melalui perkhidmatan `catering' kerana lebih mudah dan tidak menyusahkan keluarga," kata rakan kami itu. Kadang-kadang mereka mengadakan majlis di dewan besar dan di hotel-hotel.Jemputan datang, makan dan kemudian pulang.Begitu saja. Hampir tak ada ikatan perasaan antara orang yang dijemput dengan orang yang menjemput.

Namun perkara-perkara seperti itu memang tidak dapat dielakkan. Apatahlagi kerana sebilangan masyarakat kita sekarang tinggal dalam satu komuniti yang saling tidak kenal mengenali. Mereka kebanyakannya tinggal dalam taman perumahan, flat, apartmen dan sebagainya yang kurang memungkinkan untuk menyelenggara pesta perkahwinan secara tradisi.

Ya, saya tidak salahkan perubahan. Cuma apabila menerima jemputan kahwin yang di`tagged'kan dalam facebook, walaupun saya menghargainya, membuat saya menyedari betapa banyak nilai-nilai kekeluargaan, juga persaudaraan, yang hilang akibat kecepatan teknologi.

Tak mungkin kita dapat menghalang perubahan. Ia bukan satu penyataan putus asa sebaliknya itulah realiti yang terpaksa kita hadapi. Menurut seorang senior, kalau dahulu kita sanggup berjalan kaki dua tiga kilometer jauhnya tetapi sekarang untuk menuju masjid di seberang jalanpun, kita menaiki kereta.

Sekarang hampir tidak ada orang di bandar ini yang boleh hidup tanpa komputer, tanpa telefon genggam, dan sebagainya iaitu sesuatu yang dua puluh tahun dahulu belum begitu perlu.
Sekarang menggunakan handphone merupakan satu keperluan, tidak seperti dahulu ketika mula-mula telefon bimbit sebesar peti kecil mula diperkenalkan.Seiring dengan itu juga, perhubungan menjadi semakin pantas dan serba cepat. Ucapan selamat hari raya, ucapan tahun baru dan krismas pun dikirimkan cukup dengan hanya menggunakan sistem mesej singkat (SMS). Ucapan pesanan ringkas yang hampir kehilangan erti dan kurang berkesan berbanding dengan kiriman kad dan sebagainya.

Barangkali begitulah perubahan bergerak di celah-celah waktu. Walaupun sistem pesanan elektronik, emel, facebook, skype, twitter semakin digemari malah semakin perlu tetapi peranan pejabat pos masih relevan. Meskipun semakin hari, masyarakat kita semakin menuju `paperless' tetapi kertas masih juga perlu, buku-buku masih juga merupakan satu kemestian.

Kalau dulu, panah digunakan untuk berperang, sekarang ia telah berganti fungsi menjadi hanya bahan pameran di muzium. Malah kain batik satu ketika dahulu hanya digunakan sebagai kain sarung tetapi kini ia telah berubah menjadi baju batik, beg tangan batik, hiasan batik dan sebagainya. Kebudayaan berubah fungsi. Apa yang satu ketika dahulu menjadi senjata, kini berubah menjadi bahan pameran semata-mata.

Tetapi apakah nilai-nilai kebenaran, keadilan, kejujuran juga berubah? Saya cuba bercakap baik dan benar sebab baik belum tentu benar, saya teringat kata-kata seorang rakan saya. Kadang-kadang apa yang benar bagi kita, salah pula bagi orang lain. Apa yang adil bagi kita, tidak adil bagi orang lain. Tak ada yang mutlak untuk hal yang tidak mutlak. Tidak ada yang tetap untuk hal yang tidak tetap kerana yang kekal adalah perubahan.

Perubahanlah yang membuat rakan kami itu merenung jauh. "Kalau boleh saya ingin mempertahankan nilai-nilai yang dapat saya pertahankan. Saya tahu masa berubah tetapi saya tidak mahu menjadikan waktu yang berubah sebagai satu alasan untuk meninggalkan nilai-nilai luhur yang saya yakini".

Kegusaran terhadap pergeseran nilai yang akibat kemajuan teknologi yang telah merubah sistem kekeluargaan nampaknya beralasan. Saya tahu betapa terharunya dia kerana masih diingati kenalan yang jauh dengan menjemputnya datang melalui jemputan yang di`tagged'kan dalam facebook. Saya fikir beliau berasa gusar dan khuatir nilai-nilai kekeluargaan, nilai-nilai persaudaraan, nilai-nilai kebersamaan akan menghilang bersama arus pemodenan. Barangkali yang paling membimbangkan dia dan kita juga ialah betapa semakin lunturnya sikap prihatin dan kepedulian di kalangan kita sebagai kesan daripada globalisasi.

Ya, itu zaman sekarang. Waktu dahulu kita sudah tahu.Masa depan belum pasti bagaimana agaknya orang-orang berhubung antara satu sama lain, sepuluh atau dua puluh tahun lagi. Rasanya baru saja kita merayakan tahun baru. Sekarang sudah Februari.Tidak lama lagi Mac, April, Mei, Jun, Julai, Ogos, September, Oktober, November, Disember, Januari, Februari. dan kemudian lama kelamaan kita tidak sedar betapa kita semakin tua dan tidak mampu berfikir lagi.

Tetapi yang namanya waktu, tetap abadi.

Utusan Borneo 27 Februari 2011

Isnin, 21 Februari 2011

Nah! itu sapi? nampak sapi?

Tags

Satu ketika dulu, terdapat ramai orang Kota Belud yang memiliki terlalu banyak sapi. Kerana mereka memiliki banyak sapi maka sapi-sapi itu dibiarkan berkeliaran dekat pasar, di jalan-jalan raya termasuklah jalan ke kampung kami.

Kalau balik kampung, anak saya yang tertidur itu sengaja dibangunkan untuk melihat sapi-sapi itu.

"Nah! tu sapi! nampak sapi?"

Si anak kecil yang barangkali jarang melihat sapi sapi berkeliaran itu pun menunjuk sapi sapi itu sambil cuba bersuara menghalaunya.

Tapi cermin kereta itu tertutup.Sapi-sapi itu tidak mendengarnya. Apalagi tuan-tuan mereka yang hanya suka memiliki sapi tapi tidak suka menjaganya.

Satu waktu, abang saya dengan jengkelnya merakam gambar sapi dan tahi sapi sekaligus yang dilihatnya di depan stesen minyak menggunakan telefon genggamnya. Geram sekali dia sehingga mengatakan apa agaknya idea pemimpin-pemimpin yang ramai di Kota Belud itu untuk mengatasi soal remeh temeh seperti itu-soal tahi sapi, yang biarpun remeh tetapi mengganggu citra orang-orang KB.

Katanya, gambar itu boleh menimbulkan tafsiran bahawa stesen minyak di daerah kami itu bukan saja menjual minyak bahkan turut menjual tahi sapi.

"Saya rasa malu kerana bila orang mengingat KB, salah satu perkara yang melekat di kotak ingatan mereka ialah tahi sapi," katanya.

Tapi itu dulu, pekan KB sekarang jauh lebih bersih.Tak ada lagi sapi-sapi yang dibiarkan berkeliaran.

Cuma masih ada sapi-sapi yang berkeliaran di jalan-jalan raya di kampung-kampung di daerah kami.

Kadang-kadang walaupun tak nampak sapi, tapi nampak pula kotorannya.

Seorang kenalan yang datang ke KB secara bergurau menimbulkan idea bagaimana untuk mengatasi masalah sapi-sapi itu.

"Kita tangkap sapi sapi ini, kemudian proses, jual daging dalam tin.Lepas itu, keuntungannya kita bagi dengan pemilik sapi.Saya yakin tak kan ada lagi masalah sapi-sapi yang berkeliaran itu," katanya.

"Tapi macam mana nak proses, buat kilang pun susah kerana tak cukup bekalan air, tak cukup bekalan letrik," sahut seorang lagi rakan saya. Tapi baru-baru ini, pemimpin kita menyatakan masalah air itu tidak jadi masalah lagi kerana ia akan segera diatasi oleh kerajaan.

Bagus kalau begitu, ulas seorang lagi kawan mantan pencuri sapi. Dia mengakui bahawa untuk mencuri sapi agak mudah.Ia boleh dilipat dalam van malah boleh dimuatkan dalam kereta kancil.

Oh ya ka?.

Iya betul, katanya beria-ia sambil menyatakan perbuatan mencuri sapi yang berkeliaran di Kota Belud itu dapat pahala kerana membantu membina persekitaran yang bersih dari kotoran tahi sapi.

Segera saya teringat tentang orang yang pernah menjumpai bangkai sapi yang sudah tidak berkaki kerana kakinya sudah dipotong oleh pencuri.

Barangkali tak perlu curi sapi untuk mengatasi masalah sapi-sapi yang dibiarkan berkeliaran tanpa diakui pemiliknya itu.

Tangkap saja sapi itu kemudian simpan di majlis daerah dan denda pemiliknya selain bayar kos menangkap sapi.

Jika tak ada yang menuntutnya, sapi-sapi itu boleh dilelong. Kaedah pernah dicuba dan nampaknya berkesan tetapi ia belum lagi dapat mengatasi masalah sapi-sapi.

Barangkali perlu satu tempat khas untuk menternak sapi seperti dalam filem koboi. Tetapi setakat ini belum ada satu solusi dari mana mana pihak untuk mengatasi masalah sapi yang tidur ditengah tengah jalan seraya mengotorkan jalan jalan itu.

"Oh itu dulu, sekarang di pekan kita, tak ada lagi masalah sapi. Tak ada lagi persoalan, semuanya sudah selesai," kata seorang pekerja yang mengalami mimpi ngeri dikejar-kejar sapi.

Dia menceritakan kepada saya bagaimana dia berlari kerana dikejar kejar sapi dalam mimpinya itu.Kemudian tiba tiba sapi sapi itu mengadakan demonstrasi meminta diiktiraf hak-hak mereka untuk menubuhkan parti kerana ini negara demokrasi.

"Kami ada hak untuk memakan rumput di tepi-tepi jalan, kami ada hak untuk menggunakan jalan kerana tuan-tuan kami juga membayar cukai jalan!" Kemudian kononnya sapi-sapi itu memperlihatkan tanduk mereka yang tajam dan menanduk siapa saja yang tak setuju dengan mereka.

Sahabat, ngeri sekali mimpimu dikejar sapi itu ya!

Ahad, 20 Februari 2011

Tentang lelaki yang menjual nombor

Tags
Sudah lama saya memerhatikannya. Pada hari hari tertentu, beliau kelihatan sibuk. Duduk di depan skrin komputer. Sebentar kemudian mencetak keputusan cabutan itu dan memperbanyaknya. Setelah diperbanyak, beliau dengan giat dan ligat berjalan dari satu tempat ke satu tempat di tengah bandaraya ini untuk menjual kertas yang diperbanyaknya itu. 50 sen satu. Berjalan dari meja ke meja itu, beliau boleh menjual puluhan kertas keputusan cabutan itu. Saya tidak pasti apakah kanak-kanak PTI yang berkeliaran itu juga menjadi pekerjanya untuk menjual kertas yang difotokopi itu. Sebenarnya saya kagum dengan semangatnya. Dia bekerja keras untuk hidup di tengah kotaraya ini. Juga rajin menjual apa saja yang boleh menghasilkan duit. Saya rasa dia bukan Melayu. tapi saya lihat ramai juga orang Melayu yang membeli kertas keputusan nombor ekor yang dijualnya itu. Kemudian mereka bercakap sesama sendiri tentang nasib baik dan tidak baik. Tentang nombor yang hampir kena, tentang nombor yang tak dibeli, tentang nombor tertentu yang diramalkan dan di`pelihara' bertahun-tahun lamanya. Setiap hari tertentu, nombor itu sajalah atau nombor yang melintas dalam mimpi mereka saja yang diberi untuk `cari nasib'. Tapi yang mengagumkan saya ialah melihat orang itu bersemangat, sentiasa berlumba, bersaing, cekap , menjual dari meja ke meja keputusan nombor ekor itu. Sebentar kemudian dia sudah berada di tempat lain untuk menjual di meja lain pula. Berapa pendapatannya satu malam?. Saya tidak pasti tetapi kalau sehelai kertas fotokopi itu boleh dijual 50 sen sekeping, bayangkan kalau dia dapat menjual 100 keping atau 200 keping satu malam. Dia tak payah beli nombor. Dia hanya jual nombor kepada orang orang yang kaki nombor. Sementara yang lain menepuk nepuk dahi kerana tak kena nombor, dia senang hati kerana dapat menjual nombor. Saya perhatikan dia sudah lama menjual keputusan nombor ekor itu. Mungkin sudah lebih satu tahun. Saya tidak tahu berapa pendapatannya, tapi saya tahu dia dapat hidup hanya dengan menjual kertas berisi nombor-nombor itu.

Sabtu, 19 Februari 2011

Misteri Muslimah di Amerika, menarik untuk dibaca

Tags
Kehidupan muslimah Amerika sering dianggap misteri. Selalu pula disalahfahami kerana ketidaktahuan, kecurigaan dan ketakutan yang tidak beralasan. Sejak peristiwa 11 September, tekanan dan diskriminasi terhadap kaum muslimah di Amerika meningkat tetapi di sebaliknya minat warga Amerika untuk mempelajari agama Islam juga meningkat.

Fakta menunjukkan bahawa terdapat peningkatan jumlah penduduk Islam di Amerika iaitu daripada 1.1 juta orang sebelum tragedi 11 September kepada 6.7 juta orang selepas peristiwa itu. Ini menurut data yang diperolehi daripada Council of American-Islamic Relations.
Menurut The New York Times, kira-kira 25,000 memeluk Islam setiap tahun malahan wujud peningkataan orang hispanic yang beralih kepada Islam iaitu 11,000 setiap tahun.

Apa yang membuat mereka tertarik kepada Islam. Kebanyakan wanita itu merasakan bahawa mereka mendapatkan kebebasan dalam Islam dan Islam menjamin hak-hak wanita dengan lebih baik menurut al-Quran.

Bagaimana pula kehidupan Muslimah di Amerika? Misteri kehidupan ini yang diselongkar oleh seorang wartawan, Donna Gehrke-White dalam bukunya Face Behind The Veil terbitan Citadel Press.http://www.facebehindtheveil.com/.

Buku itu diterjemahkan dengan baik dalam bahasa Melayu Indonesia oleh Joko Subinarto dengan tajuk Misteri Muslimah-Kehidupan Luar Biasa Muslimah Amerika terbitan MQ Gress.
www.mqs.co.id

Buku itu mengisahkan kisah hidup 50 muslimah Amerika. Bagaimana keadaan hidup mereka, situasi yang mereka hadapi, bagaimana mereka bersikap hanya kerana dipandang serong oleh warga Amerika yang lain hanya kerana mereka bertudung, apa yang membuat mereka tertarik kepada Islam, Apa pandangan mereka terhadap Islam dan sebagainya.

Itulah yang dikupas dengan sangat baik oleh buku ini. Donna Gehrke-White mengadunkan laporan jurnalistiknya, dan yang paling mengagumkan ialah bagaimana dia menulis tanpa berpihak, menulis secara jujur tentang realiti yang dilihatnya dan dihadapinya.

Beliau menggolongkan Muslimah Amerika dalam lima golongan iaitu The New Tradisionalist iaitu Muslimah yang kembali mengenakan tudung atau hijab setelah beberapa generasi dalam keluarganya tidak berbuat demikian.Mereka merasakan perlunya menunjukkan bahawa mereka Muslimah.
Kelompok kedua ialah The Blenders, Muslimah yang tidak mengenakan tudung tetapi tetap menjalankan perintah agamanya dengan taat.Mereka menjalankan perintah agama dan berpandangan bahawa keIslaman dan keimanan seseorang tidak dilihat berdasarkan pakaian semata-mata tetapi amal perbuatannya dan kebaikan-kebaikan yang dibawanya.

The Converts iaitu Muslimah baru memeluk Islam.Mereka ini kebanyakannya daripada profesor, doktor, peguam, pejuang hak asasi manusia dan sebagainya yang melihat Islam sebagai agama yang mampu memenuhi aspek spiritual mereka.

The Prosecuted iaitu Muslimah yang berpindah ke Amerika Syarika kerana menghindari ekploitasi budaya di negerinya seperti Afghanistan, Iraq, Sudan, Somalia dan sebagainya yang kurang memberikan peluang pendidikan kepada anak-anak perempuan dan yang kelima The Changers iaitu kelompok yang mampu mempengaruhi perubahan kerana mereka merupakaan tokoh-tokoh pembaharu dalam masyarakat.

Banyak perkara yang sebelumnya tidak difahami orang barat terhadap Islam dapat diluruskan melalui tulisan Donna Gehrke-White ini. Misalnya pandangan terhadap hak-hak wanita, kesalahfahaman mengenai poligami, perkahwinan dan sebagainya.

Saya sangat menghargai ketulusan, kejujuran dan keterusterangan Donna Gehrke-White ketika menulis buku ini.Sebagai seorang yang berpengalaman selama 20 tahun sebagai wartawan di Miami Herald, Donna juga pernah memenangi Hadiah Pulitzer sebanyak dua kali, lulus sarjana di Universiti Drake, di Desmoines Iowa dan juga lulusa dari Universiti Texas,Austin.

Buku Face Behind The Veil atau Misteri Muslimah, Kehidupan Luar Biasa Muslimah Amerika yang mengisahkan kehidupan kehidupan 50 wanita yang menjadi warga Amerika ini sungguh menarik untuk dibaca. Menarik untuk dibaca bukan saja oleh kalangan Islam malah kalangan bukan Islam bagi mewujudkan suasana saling pengertian, saling hormat menghormati, meluruskan kesalahfahaman dan mewujudkan suasana damai diantara penduduk di muka bumi ini.

Puisi, berita terkini dan kopi yang tidak bergula

Tags
PUISI, BERITA TERKINI DAN KOPI YANG TIDAK BERGULA

Saya sedang memakan biskut ketika ketika tibatiba abang sepupu bertanya melalui sistem mesej singkat (SMS) mengenai pilihanraya kecil yang akan diadakan secara serentak di Merlimau dan Kerdau.

"APA berita terkini? Ada isu terbaru? ," tanyanya. Saya tidak memberi jawapan yang meyakinkan kerana kepala saya dipenuhi persoalan yang berkaitan dengan puisi. Kerana sebait puisi Kassim Ahmad, Partai Rakyat kalah dalam pilihanraya kecil Pasir Puteh pada tahun 1974.

Puisi Sidang Roh yang menuai kontroversi itu telah dimanipulasi dengan baik oleh ahli-ahli politik pada waktu itu sebagai salah satu isu sekaligus senjata yang digunakan untuk menumbangkan parti lawan dan memenangi pilihan raya.

Puisi Tak Terkuburkan? Saya ingat sebuah filem dokumentari mengenai Ibrahim Kadir arahan Garin Nugroho pada tahun 2000.Filem hitam putih itu bercerita mengenai seorang penyair yang ditangkap di Aceh dan sempat mencipta puisi ketika dipenjara selama 22 hari dalam tahun 1965 ketika terjadi pergolakan politik di Indonesia. Akhirnya beliau dilepaskan kerana ternyata salah tangkap.

Di medan Tahrir, ketika rakyat Mesir berhimpun se lama 18 hari, muncul seorang penyair bernama Tamim Al-Bargouty. Tamim merupakan seorang penyair yang diusir dari negerinya kerana menentang Perang Iraq.Beliau pindah ke Amerika dan menjadi pensyarah disana.

Beliau mengirimkan sajak di akhbar tempatan. Kemudian puluhan ribu fotokopi sajak-sajaknya disebarkan. Kemudian Sajaknya dibacakan melalui siaran televisyen Al-Jazeera dan dipancarkan ke layar besar. Akhirnya Hosni Mubarak yang telah berkuasa 30 tahun lamanya terpaksa berundur.

Penyair dan sajaknya, kata rakan saya Hasan Aspahani dari Batam Pos, mengingatkan kekuasaan yang lupa. Katanya, puisi (meskipun) dianggap hal yang remeh dan rapuh memang mempunyai peranan yang unik. Katanya, menulis sajak adalah untuk menjaga kewarasan, merawat akal sihat.

Apa isu terkini? Mungkin tak ada isu yang besar. Tetapi seorang ibu tua dari Kota Belud memberitahu bahawa kini sudah hampir empat bulan mereka tidak menerima bantuan kebajikan. "Pegawai berkata mereka akan datang ke rumah untuk melihat keadaan kami, sama ada kami layak menerima bantuan atau tidak.Tetapi sehingga kini, sudah empat bulan, mereka tidak juga datang-datang," katanya.

"Bagi mereka yang ada pendapatan, mungkin perkara itu tidak apa-apa. Tetapi bagi kami, kematian suami, dengan anak yang ramai, selalu sakit-sakit, bantuan kerajaan itu amat bermakna," kata Kakak Mayang.

Saya teringat Robert Foo, Timbalan Presiden Majlis Persatuan Warga Tua Sabah (COSCA) yang tidak berpuas hati kerana ramai warga tua yang tidak menerima bantuan RM300 sejak Ogos lepas kerana sedang mengkaji semula bagi menentukan status penerima.

"Kita menyokong tujuan dan objektif kajian semula itu supaya mereka yang tidak layak dikeluarkan dari senarai. Bagaimanapun, masa yang diambil terlalu lama sehingga menjejaskan penerima yang miskin dan betul betul memerlukan.

"Jabatan mahu kaji semula no problem...kita sokong...tapi kenapa ambil masa terlalu lama...Orang tua yang miskin tidak boleh tunggu terlalu lama kerana mereka amat perlukan bantuan," katanya sambil menambah, wang itu bukan saja diperlukan untuk keperluan seharian tetapi juga digunakan untuk ubat-ubatan.

Sebenarnya saya tidak dapat memusatkan fikiran. Kehilangan fokus, antara isu terkini, bantuan orang tua, pilihanraya kecil, tokoh-tokoh yang asyik berbalah kerana kepentingan politik mereka, dan puisi yang tak terkuburkan.

Apa cerita baru mengenai `Sultan' Sulu? Apa perkembangannya? Sesungguhnya saya tidak dapat menjawab dengan pasti. Saya teringat sebuah pantun lama yang popular di kawasan Pantai Barat Sabah yang bunyinya `minum kopi tidak bergula, pahit-pahit kuminum juga, kalau datang hatiku gila, ambil kayu pukul kepala'.

Saya sedar betapa ramai orang kampung di luar bandar yang minum kopi tidak bergula kerana kehidupan mereka yang tidak berkecukupan. Mereka terpaksa meminum air kehidupan walaupun pahit.Mereka terpaksa menelan kepahitan itu kerana kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak dan sebagainya.

Kenaikan harga barangan dan petrol, kata Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak, merupakan satu fenomena global."Tiada satu negara pun terlepas daripada kesan kenaikan itu," katanya.

Namun saya tidak pasti kepada siapa pantun itu ditujukan dan kenapa orang-orang dulu menciptanya. Kalau datang hatiku gila, ambil kayu pukul kepala!. Saya fikir soal `hatiku gila' ini berlaku kerana tekanan perasaan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Kerana itu, apabila didatangi sejenis kegilaan seperti itu, maka tanpa usul periksa, `ambil kayu pukul kepala'.

Minum kopi tidak bergula banyak kebaikannya dari segi kesihatan, asalkan jangan memukul kepala bila terasa pahitnya kehidupan.

UTUSAN BORNEO
20 FEBRUARI 2011

Rabu, 16 Februari 2011

Apa ertinya nilai 5 sen di KB

Tags
Jika berada di Kota Belud, pastikan anda tidak kekurangan lima sen!

Inilah pesanan seorang rakan saya pada satu hari. Mungkin dia tidak sedar bahawa saya juga berasal dari daerah itu.

Lima sen?

Saya mulai bertanya mengapa hanya dengan `kurang lima sen' menjadi satu pertimbangan untuk menilai martabat dan jatidiri seseorang.

Apa yang jelas dengan hanya kekurangan lima sen, tidak mungkinlah anda dipilih sebagai pemimpin.

Apa hubungan pemilihan seorang pemimpin dengan nilai pelengkap lima sen yang seharusnya dia miliki?

Saya sempat bertemu dengan seorang pemimpin yang dihentam kiri kanan dalam facebook dan blog baru-baru ini.Beliau kelihatan bersahaja, tidak berdendam juga tidak meluahkan kemarahan atau tidak memberi tindak balas keterlaluan terhadap perbuatan orang yang menghentamnya, hanya kerana dia tidak mahu dianggap `kurang lima sen'.

Orang Bajau KB kata, `kurang limo sen, nya' cukup deringgit'. Kurang sa lima sen, kata orang Iranun di Kota Belud.

"Nanti orang anggap kita sama saja dengan mereka `kurang lima sen' kalau kita melayani perbuatan mereka," katanya.

Untuk membuat saya lebih mengerti akan makna `kurang lima sen' di KB, saya menghubungi beberapa orang tokoh untuk mengetahui ulasan mereka mengenai ungkapan orang KB itu.

`Kurang lima sen' bermakna seseorang yang kurang pertimbangan.Ukuran untuk orang yang bertindak melulu, sembrono,ikutkan hati atau emosional,tanpa alasan kukuh, kerana tidak mampu berfikir secara bijak, seorang yang tak betul, tak ngam dan sebagainya.

Bahkan takrif ungkapan kurang lima sen sebenarnya membawa maksud yang lebih negatif dan lebih buruk lagi, yang mungkin dapat difahami dengan baik jika anda seorang yang tahu `nilai 5 sen' dalam kehidupan kita.

Tapi ungkapan `kurang lima sen' itu ditujukan kepada mereka yang suka bertindak tanpa berfikir atau seseorang yang tidak mampu berfikir kerana memang mereka tidak mempunyai kemampuan untuk berfikir seperti orang lain.

Itulah sebabnya, orang yang ingin menjadi pemimpin diselidiki dan diteliti untuk memastikan dia tidak kekurangan lima sen.

Kalau kurang lima sen saja, tentu ia dianggap tidak setanding dengan orang lain yang memiliki nilai pelengkap lima sen dalam kehidupannya.

Mungkinkah masyarakat kita sukakan nilai yang genap, sehinggakan nilai peribadi seseorang dinilai untuk menentukan dia tidak kekurangan lima sen. Di sini, kita mendapati nilai 5 sen, bukan sesuatu yang berhubung dengan kebendaan atau material.

Nilai 5 sen lebih berharga daripada apa yang kita fikirkan. Di Kota Belud dan sekitarnya, kita akan lebih berbangga jika kita tidak kurang lima sen.

Mungkin kita boleh membeli sesuatu dengan kekurangan lima sen-dengan menawar harganya, tetapi nilai martabat diri akan rosak binasa, kiranya kita dianggap orang yang `kurang lima sen'.

Kalau boleh, janganlah orang lain menganggap kita `kurang lima sen' dengan tindakan-tindakan melulu dan sembrono yang kita lakukan.

Isnin, 14 Februari 2011

`Ajungnya lilin layarnya kertas'

Tags
Sanggupkah kita menyeberang lautan api kalau perahu kita,ajungnya lilin, layarnya kertas?
Bagaimanakah kita dapat melalui lautan api itu dalam keadaan kita pasti terbakar?

Inilah persoalan yang muncul dalam fikiran saya, kita teringat serangkap pantun lama.

kencang angin kencang di atas,
lalu memutus tali kecapi
ajungnya lilin layarnya kertas
hendak lalu lautan api'.

Angin bertiup kencang di sebelah atas, mungkin kerana Sabah negeri yang berada di bawah bayu. Kerana tiupannya yang kencang itu, tali kecapi putus olehnya.Begitu kencangnya angin sehingga mampu membuat tali kecapi putus, amatlah mustahil untuk meneruskan perjalanan.
Dalam situasi `ajungnya lilin,layarnya kertas', bagaimana kita dapat melalui lautan api yang pasti membakar.

Mungkin tak ada pilihan yang tersedia. Walaupun agak mustahil untuk menyeberangi lautan api,namun orang tua kita dahulu mempunyai pemikiran yang tajam bagi menggambarkan ketidakberdayaan,juga keterbatasan, ancaman dan bahaya yang menimpa, dalam kehidupan kita seharian.




`Walau layar mengisi dunia, tidak dapat menghampir kastum'

Tags
`Walau layar mengisi dunia, tidak dapat menghampir kastum'.
Inilah sepotong pantun (saya tidak ingat pembayangnya) yang dikatakan ibu saya kepada arwah ayah saya ketika mereka baru berkenalan dahulu.

Walau layar mengisi dunia, saya tiba tiba terbayang bagaimana bentuk lautan kiranya setiap sudutnya dipenuhi kapal layar.Meskipun pantun ini merakamkan sikap keengganan pihak wanita yakni ibu saya, tetapi ia lebih sekadar menduga bagaimana dalamnya kasih ayah saya kepada ibu saya.

Katanya, `walaupun layar mengisi dunia, ia tidak dapat menghampir kastum'. Mulanya saya tidak mengerti apa makna kastum, dan apa itu kastum. Rupanya `kastum' merujuk kepada pelabuhan.Di kalangan masyarakat Iranun dan Bajau dulu, menyebut pelabuhan itu sebagai `kastum' kerana di setiap pintu masuk pelabuhan itu akan ada pemeriksaan kastam.

Jadi bayangkan, walaupun betapa banyaklah layar yang `mengisi dunia' tetapi ia tetap tidak dapat menghampiri pelabuhan.Dalam bahasa Melayu di kampung kami, selalu disebut `menghampir kastum'.

Pantun ini menjelaskan kepada kita beberapa perkara. Pertama, tradisi berpantun yang hidup subur dalam budaya orang lama yang kini semakin pupus. Kedua, bahawa kehidupan masyarakat kampung khususnya pada zaman-zaman 50-an, 60-an dan 70 an tidak dapat dipisahkan dengan kastum atau pelabuhan.

Kebanyakan penghijrah dari kampung khususnya dari Kota Belud, Kudat ketika itu bekerja sebagai buruh pelabuhan. Ketika itu, kebanyakan mereka paling tinggipun hanya mengecap pendidikan setakat darjah satu atau darjah dua, kerana akses kepada pendidikan agak sukar terutamanya sekolah di luar bandar.
Ketiga, pada masa itu, masyarakat Iranun akrab dengan kapal layar, walaupun dua ratus tahun sebelum itu mereka merupakan pelayar pelayar yang hebat di nusantara.

Keempat, kastum atau pelabuhan pada ketika itu menempati kedudukan istimewa di kalangan masyarakat kampung yang terpencil kerana kebanyakan orang yang berjaya, dapat pula memiliki rumah dan tanah, di kawasan bandaraya adalah mereka yang pada asalnya bekerja sebagai buruh pelabuhan dan mempunyai hubungan ekonomi dengan keluar masuk kapal di pelabuhan.

Kita dapat juga menyimpulkan bahawa kaum wanita Iranun ketika itu, bukan mudah didekati. Perlu perjuangan untuk mempersunting seorang gadis Iranun.Mereka agak skeptis terhadap pujukrayu lakilaki, sehingga dikatakan bahawa `walaupun layar mengisi atau memenuhi dunia' yang agak bombastik bunyinya, ia tetap tidak dapat menghampiri atau tidak dengan mudah dapat berlabuh di pelabuhan.

Pelabuhan, rupanya-rupanya bukan setakat tempat nakhoda menambatkan kapalnya tetapi juga tempat bermulanya ketamadunan. Hampir semua kota, pada zaman bahari, didirikan berdekatan pelabuhan. Sarjana Dr.Adrian Lapian yang mengkaji mengenai dunia pelayaran di nusantara pada abad ke-16 dan ke-17, tidak menafikan hakikat ini.

Jikalau pelabuhan dapat dihubungkan dengan peradaban, kapal layar (sebelum kedatangan kapal enjin) merupakan sarana pengangkutan utama yang bergerak dan menghubungkan pelabuhan ke pelabuhan yang lain. Sudah pasti, layar tidak dapat digunakan tanpa bantuan angin. Pada ketika itu, semua nakhida kapal bijak membaca arah angin sehingga banyak istilah angin muncul antaranya angin selatan, angin barat, angin timur, utara, tenggara dan sebagainya, yang digunakan dgn bijak oleh pelaut Cina dan India dan Arab juga Eropah untuk berdagang di selat Melaka.

Tanpa bantuan angin, jelas sekali walau layar mengisi dunia, tak akan dapat menghampiri `kastum'. Tapi kalaupun ada angin, kapal layar tidak dapat bergerak tanpa keahlian seorang nakhoda.

`Kalau datang hatiku gila'

Tags
`Minum kopi tidak bergula,
pahit pahit diminum juga,
kalau datang hatiku gila,
ambil kayu pukul kepala."

Mungkin ini merupakan salah satu pantun yang popular di kawasan Pantai Barat Sabah.Saya tidak tahu siapa yang mula mula mencipta pantun ini, apa yang jelas rakan saya dari Tuaran atau Kota Belud, dapat menghafal pantun ini di luar kepala.

Minum kopi tidak bergula, pahit-pahit diminum juga. Pembayang pantun ini menunjukkan budaya masyarakat kita, yang walaupun minum kopi tidak bergula, tetapi sanggup meminumnya juga walaupun pahit.

Seberapa kerap orang kita minum kopi pahit, tidak dapat dipastikan. Jika mereka minum di kedai kopi atau di warung-warung kampung, selalu mereka suka memesan `kopi o kau kau' yang maksudnya kopi pahit.

Satu kebiasaan? mungkin ya, mungkin tidak. Tahap kepekatan atau pahitnya kopi dalam minuman seseorang jelas ada hubungannya dengan sosio budaya masyarakat. Saya pernah membaca mengenai hubungan kopi dan fi'il masyarakat dalam novel Cinta Dalam Gelas karya Andrea Hirata.

Masyarakat kita, walaupun dihidangkan kopi pahit tetap meminumnya, bahkan menyukainya. Saya tidak pasti, apakah pada waktu pantun ini dicipta, masyarakat kita menghadapi krisis gula atau kekurangan gula ketika itu. Atau mereka tahu bahawa dengan gula berlebihan akan mendatangkan pelbagai penyakit seperti kencing manis dan sebagainya.

Tetapi walaupun tanpa gula, `pahit-pahit kuminum juga'. Hidangkanlah minuman, biar sepahit manapun, tetap akan diminum juga.

Entah kenapa dalam rangkap berikutnya, pemantun berkata `kalau datang hatiku gila, ambil kayu pukul kepala".

Kenapa hatinya gila? kenapa hatinya didatangi kegilaan? Gila dalam pantun ini boleh juga membawa maksud geram, marah, mengamuk, melenting, tidak puas hati dan gila dalam makna sesungguhnya.

Kerana sudah didatangi gila, maka ia tidak peduli lagi, langsung saja mengambil kayu lalu `pukul kepala'.

Soalnya, apakah masyarakat kita sedemikian ganas dan brutal, sehingga sanggup mengambil kayu memukul kepala kerana marah?

Tapi kalau dia gila, sudah tentu dia tak sedar lagi apa yang dia lakukan. Kerana itu, ia terus saja mengambil kayu lalu memukul kepala. Soalnya kepala siapa yang dipukulnya?

Kalau dia memukul kepalanya sendiri, mungkin kerana dia gila. Tapi kalau dia memukul kepala orang lain? Saya fikir pantun ini sangat berbahaya jika ia diucapkan oleh orang gila, apa lagi orang gila yang pandai berpantun.he he.

Sabtu, 12 Februari 2011

Satu obituari kepada arwah Wahab Haji Rumashid

Tags
"Amai Aliban baru saja kembali ke rahmatullah," kata Ustaz Haji Awang Laiman ketika terjumpa di Likas, tengahari tadi 12 Feb. Ketika itu saya sedang bercakap dengan Amai Murni (Mulkaseh Haji Renda) mengenai kampung kami yang mengambil bahagian dalam pertandingan kebersihan peringkat Bandaraya Kota Kinabalu.

Amai Aliban atau nama sebenarnya Wahab Haji Rumashid merupakan aktivis budaya dan masyarakat yang gigih. Orang kampung kami memanggilnya Amai Aliban kerana sudah menjadi budaya kami, seseorang itu dipanggil menggunakan nama anak sulungnya.

Arwah Wahab pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bumiputera Iranun Sabah (PISBA). Beliau merupakan seorang pendukung yang kuat terhadap kemajuan dan pembangunan masyarakat Iranun, baik dari segi sosial dan budaya.Beliau juga dikenal sebagai salah seorang tenaga utama, disamping Sdr Alimun Haji Unggoh, yang memperkenal dan mempromosikan tarian sumaranun, dayang sulut sulampid dan mang mang bumbungan dalam tahun tahun 80-an dan 90-an.

Pemergiannya ke alam baqa- dalam usianya lingkungan 70- merupakan satu lagi kehilangan besar bagi masyarakat di kampung Merabau, Kota Bungan, Tamau, dan sekitarnya.

Beliau juga merupakan salah seorang agen perubahan di kampung kami. Arwah Wahab merupakan salah seorang yang mula-mula sekali memiliki kereta `pairit' dari Kota Belud ke Api-Api ketika jalanraya masih bengkang bengkok dan mengambil masa hampir dua jam setengah untuk sampai ke ibu kota. Kereta Pairit adalah pengangkutan utama dari daerah kecil itu ke Kota Kinabalu. (Sebutan pairit itu,mungkin berasal dari pirate bermakna kereta sapu tapi digunakan dengan meluas dengan makna baru iaitu kereta pengangkutan awam dari kampung ke pekan).

Sepanjang ingatan saya, hanya empat orang dari kampung kami yang memiliki land rover (kemudiannya bas mini) yang menjalankan perniagaan pengangkutan dari KB ke KK. Mereka ialah arwah Jairin Idtung, arwah Haji Ak Atoh Tawar dan arwah Sadim Haji Samad. Dengan kepulangan arwah Wahab, maka generasi pertama agen perubahan di kampung kami telah tiada.

Saya menyebut mereka agen perubahan, kerana melalui mereka masyarakat dari kampung kami, dan dari Kota Belud amnya, melihat dunia luar dari Kota Belud. Ketika itu, perjalanan dirasakan amat jauh dan dengan tambang RM5.00, ramai orang memilih untuk ke ibu negeri, sama ada untuk bekerja, melanjutkan persekolahan atau urusan-urusan lain.

Saya bahkan pernah menaiki kereta arwah Sadim Haji Samad tanpa membayar tambang kerana saya baru saja selesai SPM ketika itu, dan pergi ke Kota Kinabalu untuk menimba pengalaman.

Mereka inilah, pakcik Wahab dan kawan-kawannya yang lain, yang menjadi agen perubahan dari kehidupan nelayan dan petani yang dijalani penduduk kampung beralih kepada menjadi pegawai dan kakitangan kerajaan, kakitangan swasta, ahli perniagaan dan sebagainya.

Ketika itu, suratkhabar belum begitu berpengaruh dalam kehidupan kerana tidak banyak dibaca orang. Peti televisyen juga hanya dimiliki beberapa orang di kampung kami .Kami selalu menonton di rumah halaman kedai arwah Jairin, Pa' Darun, Cikgu Ujud, Haji Ahmad dan lain-lain.

Kereta Pakcik wahab, arwah Jairin, Arwah Badtuan (Hj Ak Atoh Tawar) dan Pakcik Sadim lah yang menjadi sarana pengangkutan awam dari kampung kami ke Kota Belud kemudian ke Kota Kinabalu.

Tanpa mereka,Kampung Merabau, Tamau, Kotabungan dan sekitarnya mungkin agak lambat menerima perubahan dan pembangunan.

Pakcik Wahab atau Amai Aliban telah kembali ke rahmatullahi hari ini.Semoga rohnya ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman dan beramal saleh.Al Fatihah.

Merenung sejarah lampau dan orang yang tibatiba menjadi `sultan'

Tags
MERENUNG SEJARAH LAMPAU DAN ORANG YANG TIBA-TIBA MENJADI `SULTAN'.
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

Dengan berkirim salam kepada semua, Sultan Abdul Mumin menganugerahkan bahagian tertentu negeri dibawah kekuasaannya kepada Gustavos Baron de Overbeck dan Alfred Dent Esquire pada 29 Disember 1877.

Sultan menyatakan bahawa beliau `berasa perlu untuk menganugerahkan bahagian tertentu negeri di bawah kuasanya' kepada Overbeck dan Alfred Dent, yang disebutnya sebagai `sahabatnya yang setia serta dikasihi' dan bahawa semua itu dilakukan `atas kerelaannya sendiri'.

Entah kenapa beliau menyatakan begitu.Mungkinkah hanya basa basi diplomatik atau kerana beliau juga terpaksa menerima `balasan tertentu yang dipersetujui antara mereka sehingga beliau `berasa perlu' untuk melakukannya. Sejak itu, jalan sejarah negeri kita berubah.
Gustavos Baron de Overbeck dilantik sebagai Maharaja Sabah dan Raja Gaya dan Sandakan `dengan kuasa hidup dan mati ke atas penduduknya'.
Kita semua tahu, 86 tahun kemudian, pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara baru diisytiharkan di Padang Merdeka. Sabah menjadi sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat,walaupun terdapat tuntutan tidak sah Filipina ke atas Sabah.

Tuntutan ini bermula apabila Presiden Diosdado Macapagal menerima penyerahan kuasa tuntutan de jure ke atas Borneo Utara daripada Esmail Kiram 1 pada tahun 1962 disebalik fakta sejarah yang menyatakan bahawa Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II telah menyerahkan semua kuasa politiknya kepada Amerika Syarikat melalui perjanjian Carpenter pada 1915.
Sejak Sultan Jamalul Kiram II meninggal dunia pada 7 Jun 1936, semakin ramai yang membuat tuntutan bahawa mereka merupakan pewaris kesultanan Sulu. Masing-masing mereka memiliki keyakinan bahawa mereka pewaris Sultan menyebabkan kini terdapat lebih 300 orang di Filipina mendakwa diri mereka merupakan sultan Sulu yang sebenar.

Di Sabah sendiri, setakat ini, terdapat tiga individu yang mengaku bahawa mereka layak ditabalkan sebagai Sultan Sulu. Malah pada 2 Februari lepas, seorang lagi menabalkan dirinya sebagai Sultan Sulu dalam satu majlis di Kampung Likas.
Banyak persoalan yang timbul mengenai keabsahan perisytiharan itu. Persoalannya,bagaimana seseorang yang menjadi warganegara Malaysia boleh diisytiharkan sebagai Sultan Sulu ke-33 dan menubuhkan pula kerajaan Sulu dalam buangan di Sabah.

Sejarah tidak pernah berbohong. Sejarah hanya dimanipulasi pihak-pihak tertentu untuk kepentingan mereka.Tetapi sejarah, jika kita pelajari secara saksama, merupakan rangkuman fakta sebenar dan tidak boleh dimungkiri mengenai berahi kuasa, ketamakan dan keserakahan, penjajahan dan kedaulatan, juga kebijaksaan dan kemerdekaan.

Adalah tidak dapat dinafikan bahawa penjajahan, termasuk didalamnya penjajahan minda, melahirkan apa yang dinamakan `mentaliti terjajah'. Inilah yang menyebabkan kita menganggap bahawa dengan memiliki kekayaan, kedudukan atau kuasa, kita boleh menguasai fikiran dan mengaburi keupayaan orang lain dalam berfikir. Untuk dilihat berwibawa dan tinggi martabatnya, maka kita mengenakan busana dengan segala pingat dan pangkat di dada, dan menuntut pula orang lain untuk tunduk kepada kita.

Semuanya kerana ketamakan dan keserakahan. Sejarah Nusantara, hampir kesemuanya, berkisar mengenai bagaimana golongan penjajah, dari manapun asalnya, berebut harta, khazanah dan rempah-rempah dengan menjalankan pelbagai tipu muslihat untuk menguasai negeri kita. Mereka menerapkan faham kolonialisme, pecah dan perintah untuk menguasai wilayah kita dengan segala pujuk rayunya.

Barangkali inilah sebabnya, Sultan Abdul Mumin terpaksa memberitahu `seluruh negara di muka bumi' bahawa beliau berasa perlu untuk menganugerahkan bahagian tertentu di bawah kekuasaannya, dan sejak itu negeri kita terpisah pisah dan dipisah-pisahkan penjajah. Perkara ini, sudah tentu tidak terlepas dari taktik golongan penjajah untuk menguasai rantau ini.

Dalam prosesnya, banyak kerajaan, banyak kesultanan, banyak negeri yang kemudiannya dikalahkan, dan terhapus dalam tinta sejarah. Ini perlu diakui sebagai akibat proses sejarah yang panjang. Apa yang penting ialah kita memahami hakikat sejarah dan bangkit daripada ketertinggalan kita, dan kelemahan dan kedunguan kita.

Janganlah kita berfikir dan terpesona dengan kegemilangan lama. Sebaliknya marilah kita berfikir secara rasional dan bijaksana mengenai bagaimana seharusnya kita menata masa depan dengan lebih cemerlang. Kita memang perlu membaca sejarah tetapi kita hendaklah mengambil iktibar daripadanya.

Demikianlah, apabila seseorang tiba-tiba mengaku sebagai `Sultan' dengan segala kemegahannya, ramai di antara kita bukan saja terkejut atau mempertikaikannya tetapi juga khuatir, kalau kalau peristiwa itu akan menggalakkan lebih ramai lagi orang yang suka bermimpi dan menuntut yang bukan-bukan pada masa akan datang.

Pelbagai kerenah manusia telah kita pelajari dan saksikan sepanjang sejarah iaitu sejak Sultan Abdul Mumin Brunei menyerahkan surat tauliah pada 29 Disember 1877, semenjak Sultan Sulu, Jamalul Kiram II mangkat pada 1936 dan semenjak beliau menyerahkan kuasa politiknya mengikut Perjanjian Carpenter pada 1915. Tidak mustahil sekiranya muncul lagi orang-orang yang mengaku dan mengangkat dirinya `sultan', dan tidak mustahil sekiranya masih ada juga orang orang yang tidak tahu menahu menjadi pengikutnya.

Khamis, 10 Februari 2011

`Rasa dulu baru tahu', terkenang Cikgu Maslin

Tags
Rasa dulu baru tahu!
Ini cogankata di tahun 80. Ditulis dengan menarik di cermin belakang kereta Toyota Corona Cikgu Maslin Jari, itulah pertama kali kami diperkenalkan dengan hiasan aksesori kereta di Kampung Tamau.
Kehadiran kereta toyota corona Cikgu Maslin itu membawa satu pengertian baru kepada anak-anak seperti kami-ketika itu berumur 12 tahun-bahawa jika belajar lebih tinggi, kereta toyota seperti itu (ketika itu, rasanya kereta itulah yang paling cantik bagi kami) boleh dimiliki.
Rasa dulu baru tahu!, kata Cikgu Maslin.
Cikgu Maslin pernah mengajar kami sejak beliau berpindah ke SK Tamau. Saya masih ingat beliau mengajar kami mata pelajaran bahasa Malaysia manakala isterinya, Cikgu Masmor Payas mengajar kami bahasa Inggeris.
Guru-guru kami sewaktu di sekolah rendah dahulu merupakan guru-guru yang berdedikasi. Meskipun kadang-kadang waktu rehat, saya suka melihat bermain sepak takraw di halaman sekolah tetapi pelajaran murid-muridnya tidak pernah dilupakan.

Cikgu Maslin, dan isterinya, arwah Cikgu Masmor Payas merupakan antara guru yang dengan gigih mengajar murid-muridnya.
Rasa dulu baru tahu, itu yang dituliskan Cikgu Maslin di cermin belakang keretanya.

Saya merasakan betapa besar jasa-jasa guru-guru kepada kami. Saya ingat cikgu kami seperti Cikgu Ujud Haji Ali (Tuan Haji Hanafiah), arwah Cikgu Ady Mulong, Ustaz Aziz Rejab, arwah Cikgu Lalim (Abd.Halim Haji Ahmad), Cikgu Akrin Agap, Ustaz Hassan, Cikgu Laksan Deri, Cikgu Agun Bandari, Cikgu Baintan, dan guru besar Cikgu Saiman Hassan dan sebagainya.

Sebelum itu, aarwah Cikgu Perang, arwah Cikgu Moksan Datu Alang pernah mengajar di SK Tamau.
Saya juga ingat betapa besar jasa Cikgu Norbaina kepada saya. Ketika berada dalam darjah satu, beliau sanggup memandikan saya di sungai Tamau kerana baju saya yang kotor dan banyak pinga' (comot).

Sebenarnya saya suka membaca kata-kata Cikgu Maslin `Rasa Dulu Baru Tahu' yang diletak belakang keretanya itu. Sehingga apabila pulang kampung, saya tercari-cari tulisan itu.

Beberapa lama kemudian, barangkali setelah beliau pencen, Cikgu Maslin mengubah cogankata keretanya kepada `Harap dikenang, dilupa jangan'.

Cikgu, saya tidak akan melupakan jasa cikgu.Saya tidak akan melupakan jasa guru-guru di SK Tamau yang telah mendidik kami sehingga menjadi `orang'.Orang, bukan orang-orangan.

Sekadar apresiasi kepada tukang gunting rambut bernama Ah Lee

Tags
Sejak beberapa hari lalu saya mencari Ah Lee. Sudah dua tiga kali saya berkunjung ke Sinsuran tetapi saya diberitahu, Ah Lee masih bercuti. Walaupun berasa rimas kerana tak dapat bergunting rambut, saya tetap menunggu Ah Lee.

Rupanya, tanpa sedar, saya telah bergunting di kedai gunting Mei Mei itu sejak lebih 20 tahun lalu, dan tukang gunting saya ialah Ah Lee. Entah berapa ribu sudah kepala orang yang telah dipangkas rambutnya. Kalau sehari beliau menggunting rambut seramai purata 12 orang, bermakna dalam setahun beliau menggunting rambut seramai 3,000 hingga 4,000 orang.

Saya sendiri hanya bergunting rambut dengan Ah Lee.Tak tahu kenapa tapi saya rasa selesa bergunting rambut dengannya. Saya duduk dan tanpa bertanya lagi, dia tahu fesyen rambut yang saya sukai.

Sebelum Ah Lee, saya memang suka bergunting dengan abang ipar saya, Sh Baharun. Saya juga bergunting dengan Cikgu Bakri, dan sebelum itu dengan arwah Payatung. Sewaktu kecil, ayah sayalah yang selalu menggunting rambut saya, dengan pesan supaya saya jangan memberitahu orang lain bahawa beliau yang menggunting rambut saya kerana katanya, kalau orang tahu, nanti orang berduyun-duyun datang bergunting ke rumah kami.

Sejak 90-an iaitu sejak saya bekerja di DBP, saya bergunting rambut dengan Ah Lee di kedai gunting rambut Mei Mei. Waktu itu usia Ah Lee sudah 20 tahun. Kami sebenarnya sebaya, cuma saya kini sudah dikurnai 3 anak, Ah Lee baru dikurniakan dua anak.

Kami dilahirkan pada tahun yang sama. 1969. Tahun ayam, kata Ah Lee. Dia meminta saya berjaga-jaga kerana tahun 2011, tahun arnab,mengikut kepercayaannya bisnes tak menjadi bagi orang yang lahir pada tahun ayam. Jaga sikit dompet kamu, katanya, kerana kalau tak hilang,mungkin ada risiko dicuri orang.
Saya tersenyum kerana kebetulan pula, dompet saya hampir hilang dalam bas Tung Ma, tiga hari sebelum tahun baru Cina.

Ah Lee baru balik dari Tambunan kerana mengiringi tarian singa. Mujurlah beliau bekerja kelmarin kerana kalau tidak, tidaklah dapat saya bergunting rambut.
Saya teringat, Tan Sri Pandikar yang selalu bergunting di kedai gunting yang sama, sejak berpuluh tahun di KK.Juga Datuk Anifah Aman yang khabarnya suka bergunting rambut di Jalan Gaya.

Entah kenapa tidak ramai di antara kita, khususnya belia kita, yang memilih kerja menggunting rambut. Bayangkan betapa lumayan pendapatan mereka. Bayangkan kalau tak ada tukang gunting di dunia ini, sudah tentulah rambut kita panjang menggerbang kerana tidak digunting.

Saya sebenarnya kagum betapa tingginya ketekunan dan komitmen Ah Lee menggunting rambut, iaitu sejak masih bujang hinggalah kini sudah beranak dua. saya juga kagum dengan kapitan Cina KK, yang menjadikan kerjaya tukang gunting rambut untuk berhubung dan memimpin masyarakatnya.

Selasa, 8 Februari 2011

ikan sepat makin mahal sekarang

Tags

Mahal juga?

Tapi biarpun mahal, saya tetap membelinya.Kerana kebetulan tak ada duit tukar,saya pinjam duit Sabat.

15 ekor ikan sepat siam itu harganya RM5.00.9 ekor ikan karuk (ikan puyuh) harganya RM5.00Ada juga ikan jalak (ikan haruan) tapi saya tidak membelinya.

"Kenapa mahal sangat?" saya bertanya kepada Awi Saiful. Anak itu hanya tersenyum sambil menawarkan ikan-ikan lain.Beberapa rakannya yang lain kelihatan suka ketika saya mengeluarkan kamera untuk memotret gambar mereka.

Ikan-ikan sepat siam, ikan karuk dan ikan jalak itu, ditangkap di Sungai Kawang-Kawang. Tidak seperti dahulu, ikan air tawar itu menjadi eksotik kerana ia semakin jarang diperolehi dan semakin mahal pula harganya.

Teringin makan ikan sepat, walaupun mahal, saya membelinya dan kemudian minta emak memasaknya. Singgah sejam dua di kampung Tamau Kota Belud dalam perjalanan dari Pitas ke Kota Kinabalu, walaupun singkat namun merupakan momen yang sangat bererti.

Sekurang-kurangnya bagi saya anak kampung, yang jarang punya kesempatan pulang kampung kerana kesibukan yang tak menentu.

Di rumah, saya meminta emak memasaknya.Dayang pula merebus ubi keledek dan jagung manis. Saya cuba update blog tetapi tak sempat kerana tiba tiba saja dayang menghidangkan daging burung tekukur.

Sudah lebih 20 tahun saya tak pernah mencicipinya.

"Itulah sebabnya saya tak jawap ketika abang tanya apa lauk kami tadi," kata dayang, sambil menjelaskan burung tekukur itu ditangkap oleh anak buah kami, amai alif iskandar. Kelmarin dulu dia dapat 11 ekor, kelmarin dapat tangkap empat ekor.

Itulah yang diberikannya kepada kami ketika mengetahui bahawa kami lama tidak makan tekukur.

Ingatan saya kembali ke masa kanak-kanak, ketika saya suka melastik burung tetapi jarang mengena.Saya suka mencari sarang burung tekukur dan suka makan telurnya, sesuatu yang kemudian hari saya kesali kerana ia dapat mengurangkan populasi burung.

Setiap petang Sabtu atau hari Minggu ketika itu, akan kelihatanlah trak askar ke Pintasan, entah untuk berlatih atau menembak tekukur atau burung punai, sesuatu yang menjadi pertanyaan kami ketika itu.Tahun-tahun pertengahan 70-an, ketika alam Tamau kaya dengan pelbagai jenis burung.

Jadi kelmarin petang, dapatlah saya menikmati ikan sepat dan daging burung tekukur, yang enak rasanya.Kalau dulu, ikan sepat murah dan mudah pula didapati, begitu juga tekukur, punai, wakwak dan sebagainya.

Sepuluh tahun lagi, masih ada lagikah ikan sepat, ikan karuk, burung tekukur, burung punai dan sebagainya itu, di kampung kami yang permai itu?


Isnin, 7 Februari 2011

Catatan 7 Februari-singgah di kampung

Tags
Mungkin lebih 20 tahun, saya tak pernah mencicipi betapa enaknya daging burung tekukur.
Tapi petang tadi, ketika singgah di kampung, kebetulan anak buah menembak tekukur dan saya sempat menikmati betapa sedapnya tekukur.
Ingatan saya kembali ke masa kecil, ketika kami suka melastik burung tekukur tapi jarang mengena. Hanya burung wakwak yang dapat dijerat.
Entah berapa ekor burung tekukur yang dapat ditembak, saya tidak pasti.Namun alhamdulillah, saya mendapati diri tengah menikmati tekukur petang itu.

Lama tidak berkesempatan pulang kampung. Peluang seperti ini walaupun jarang merupakan momen yang sangat bererti.

Emak yang masak. Kebetulan saya sempat membeli ikan sepat siam dan ikan karuk (ikan puyuh). Ikan sepat masak campur pisang sabah. masak pedas. wah. lama betul tidak merasainya. Kemudian makan ubi keledek rebus, dan jagung rebus. ah, kalau selalu seperti ini, alangkah baiknya.

Sayang sekali saya terburu-buru kerana Aziz sedang menunggu di KB. Janji jam 3 lebih dan sekarang sudah jam 2.50 petang.

Catatan pertemuan di Kota Marudu 7 Feb 2011

Tags
Penggera tidak sempat dibunyikan, akibatnya terbangun jam 8.30 pagi. Suasana pagi di Kota Marudu kelihatan seperti suasana pagi hari di kota-kota lain juga.
Kami minum di Rahaya Cafe, dan disana Cikgu Florece sudah menunggu. Kemudian Nong Tuyondo, cikgu di Tagibang yang terletak lima jam dari Kota Marudu-dan juga aktivis masyarakat.
Syukurlah dapat berjumpa mereka walaupun sekejap dan pertemuan itu sendiri bermanfaat untuk mendapatkan info update mengenai Kota Marudu.

Kalau dapat bertemu Alung Jasmin, yang jadi imam rawatib di Tandek itu bagus juga, tapi telefonnya tidak diangkat.
Bung Masrani pula tidak perlu ditelefon dan saya berhasrat untuk mengejutkannya di pejabatnya di Jabatan Perikanan.

Syukurlah, selepas mencuba beberapa kali, Alung menjawab telefon dan rupanya beliau kebetulan berada di Kota Marudu, berdekatan Milimewa.

Masrani sedang keluar ketika saya tiba dipejabatnya, dan kakitangan di pejabatnya menyangka saya kaki pancing dari KK.

Tidak lama kemudian, kami duduk minum di Restoran Sedia Menanti, dan saya sempat mengecaj telefon yang kehabisan caj.

Alung Jasmin kini bertugas sebagai penguatkuasa. Beliau salah seorang penulis dengan menggunakan nama Putera Rimba dan salah seorang orang kuat IPS malah seorang anggota pengasasnya.

Alung lama tidak menulis kerana `kehilangan masa' katanya. Saya memberitahunya bahawa penduduk Sabah sekarang lebih tiga juta orang, dan tidak sampai satu peratus atau katakanlah tidak sampai seribu orang yang dianugerahkan bakat untuk menulis dan menjadi penulis. Kepada yang dikurniakan bakat oleh Tuhan, hendaknya janganlah mensia-siakan anugerah yang diberikan dan kembalilaah menulis semula.

Masrani Madun, merupakan salah seorang penulis muda paling dihormati di Sabah satu ketika dahulu. Beliau seorang penulis yang berwibawa dan menghasilkan karya karya puisi yang pernah tersiar di Dewan Siswa, Dewan Sastera, Mastika dan banyak lagi. Puisi-puisinya juga mempunyai gaya pengucapan tersendiri. Cuma apabila kumpulan puisinya Dari Dalam Cermin, jika tak silap itulah tajuknya, tercicir dalam bas Kota Marudu, minatnya tiba-tiba sirna kerana kehilangan khazanah paling berharga baginya.

Kini beliau menulis semula. Beliau menyerahkan sebuah puisi untuk disiaarkan dalam akhbar. Namun kini, banyak masanya ditumpukan kepada aktiviti menulis dalam majalah Pancing, Kembara Kail. Hasil tulisannya tersiar dalam majalah kaki kaki pancing itu, daan saya kira ini perkembangan positif untuk menyuburkan minatnya kembali dalam penulisan karya kreatif.

Melalui bung Masrani, kami mendapat tahu, buku kumpulan puisi Stensil Pari-Pari karya Mabulmaddin Shaiddin sudah berada di Perpustakaan Kudat. Dari situ, percakapan kami berempat berkisar mengenai dunia perbukuan.

Kami juga bercakap mengenai penerbitan buku dan peluang peluang yang ada dalam bidang penulisan. Selain itu, kisah mengenai Sharif Osman yang bukunya pernah ditulis dalam bahasa Belanda, oleh sarjana Belanda , juga menarik. Sayangnya tidak ada yang dapat menterjemahkan buku itu dari bahasa Belanda ke bahasa Melayu dan pejuang seperti Sharif Osman yang mempertahankan tanahair dan dianggap sebagai perompak oleh penjajah, tidak dapat dihayati oleh generasi kita hari ini.

Tentu ada yang penting, kata Alung, sehingga kamu berada di sini.
Semua detik dalam kehidupan kita ini penting, kata saya kepadanya sambil tersenyum.
Pertemuan kita juga penting, saya memberitahunya lagi.

Malam di Salimpodon Laut, Pitas

Tags
Jam 1.30 petang, saya telah berada dalam teksi Ismail bin Jamah, orang Payas Payas yang lebih dikenali sebagai Koso' itu, untuk ke Kota Belud. Di sana, Sabat telah menunggu dan sebaik-baik tiba kira-kira jam 3.15, kereta kancilnya terus memecut ke Kota Marudu.

Kami singgah sebentar di Goshen dan selepas minum kopi Radix, (dan sempat pula bertemu Cikgu Florese) kami terus ke Pitas.Jam 5.00 petang, saya perlu berada di Kampung Salimpodon Laut Pitas, menghadiri sambutan perayaan Tahun Baru Cina anjuran Ruddy Awah dan keluarga, yang disifatkan sebagai perayaan Tahun Baru Cina yang paling panjang dan paling unik di Malaysia.
Paling panjang kerana ia diadakan selama enam hari enam malam iaitu sejak 1 Februari hingga 6 Februari dan diserikan dengan banyak acara.
Paling unik kerana walaupun ia dirayakan oleh kaum cina tetaapi 90 peratus jawatankuasanya terdiri dari masyarakat sekitar pelbagai kaum di Pitas.
Suku kaum Cina di Pitas atau kebanyakan mereka lebih suka dipanggil `Cina Kebun' sebenarnya jumlahnya tidak ramai. Tetapi perayaan yang disambut dan menjadi tradisi keluarga Ruddy Awah sejak 25 tahun lepas, mungkin merupakan satu-satunya perayaan seumpama itu di Malaysia.
Pegawai Daerah Pitas, Sapdin Ibrahim bersetuju jika acara itu dapat dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai perayaan tahun baru cina paling panjang dan paling unik di Malaysia.

Jumlah hadirin lebih 1,000 orang. Ramai yang berdiri menyaksikan majlis penutupan itu yang diserikan dengan kehadiran Alex Raja Lawak, Ebi Kornelis, ahli silap mata terkenal George Adung, penyanyi Marsha, S.Willy bintang dari kudat, Ivy Jovah penyanyi Kimaragang dan pertunjukan tarian singa.

Acara habis kira-kira jam 11.00 malam. Kami beredar dari rumah Ruddy kira-kira jam 11.44 minit malam dan jam 12.30 tiba di Palm Villa, menginap satu malam kerana hotel sudah ditempah lebih awal.
Kami sempat minum di Restoran Asimah, di Anjung Goshen, menikmati soto campur sambil menonton perlawanan Chelsea dan Liverpool.

Masih 0-0 ketika kami pulang ke hotel dan hampir jam 3.00 pagi baru tertidur kerana pelajar UPM dari Kota Bharu berkira-kira untuk interview mengenai sejarah penubuhan Ikatan Penulis Sabah (IPS).

Sabtu, 5 Februari 2011

Mesir, bukan setakat Piramid dan Sungai Nil

Tags
MESIR,BUKAN SETAKAT PIRAMID DAN SUNGAI NIL
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

Tiket sudah dibeli.Tapi hasrat Asraf untuk belajar di Al-Azhar, universiti tertua di dunia itu mahu tidak mahu terpaksa ditangguhkan kerana terjadi pergolakan di Mesir.Puluhan ribu orang turun di jalan-jalan menunjukkan perasaan kecewa dan marah terhadap Presiden Hosni Mubarak yang berkuasa sejak 30 tahun. Ratusan orang mati,ribuan orang cedera dan terluka.Semua pelajar Malaysia terpaksa pulang ke tanahair atau singgah sementara di Jeddah menunggu badai amarah kembali reda.

Gejolak yang berlaku di Kaherah itu amat menarik untuk diteliti.Rakyat Mesir barangkali mempunyai sebab tersendiri sehingga mereka sanggup keluar mendesak presiden mereka untuk berundur.Sukar untuk menidakkan bahawa peristiwa ini berlaku sedikit banyak dipengaruhi oleh rangkaian kejadian di Tunis namun jika kita meneliti senario di dunia Arab,kita dapat menduga sebab musabab terjadinya peristiwa yang mendorong rakyatnya sanggup memperlihatkan kepedihan mereka.

Pendapatan yang rendah,kemiskinan dan kekayaan yang tidak merata, korupsi yang menggejala,serta represi yang dialami rakyat adalah antara bibit bibit yang tumbuh,mengakar dan menjalar menjadi kehampaan dan kekecewaan yang telah lama menunggu waktu untuk meledak.Tetapi Mesir boleh dikatakan sebuah negara yang makmur namun tekanan yang telah lama dirasakan oleh sebahagian besar rakyatnya menyebabkan mereka mhukan pergantian kepimpinan dan menggesa agar Hosni Mubarak melepaskan jawatan.

Juga menarik untuk disemak ialah sikap pentadbiran Obama terhadap apa yang berlaku di Mesir itu. Hosni Mubarak adalah sekutu utama mereka dan mendukung pemerintahan itu sekalipun ia tidak lagi bersesuaian dengan pandangan mereka terhadap demokrasi.

Jika mereka menyokong Mubarak, ia bermakna mereka kelihatan seolah-olah anti demokrasi. Sebagaimana yang kita ketahui, tempoh pemerintahan Hosni Mubarak telah berakhir pada 2009 tetapi kerana sokongan Amerika, beliau masih berada di tampuk pemerintahan negara itu.Melihat senario yang ada, kelihatan Hosni Mubarak sedang menghitung hari-hari terakhirnya.Bagaimanapun, kita tidak dapat menerima campur tangan Amerika terhadap kedaulatan negara lain dan sikap pentadbiran Hosni sendiri yang dilihat mengetepikan suara dan aspirasi rakyatnya,sebenarnya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Alasan yang diberikan Hosni hanyalah bahawa jika beliau turun takhta, keadaan akan bertambah kusut lagi.Hosni juga mengatakan bahawa beliau khuatir Ikhwanul Muslimin, yang ditakuti Washington tetapi mendapat sokongan rakyat akan memegang kuasa.

Hakikat bahawa gerakan pembangkangan kali ini lebih kuat, dengan munculnya ilmuan dan tokoh seperti Mohamad El Baradei dan juga parti-parti lan, menyebabkan apa yang berlaku di Mesir itu tidak luput dari sorotan dunia.Ikhwanul Muslimin,sebuah parti yang telah lama berjuang tetapi diharamkan pemerintah tidak terlepas dari tudingan sebagai pemicu kebangkitan rakyat.

Namun walaupun mereka mengatakan tidak berminat untuk mengambil alih kuasa tetapi mereka tetap mendesak agar Mubarak berundur.

Apa yang berlaku di Tahrir Square,(bukan Tiananmen Square) menunjukkan tahap kemarahan rakyat.Kita tidak mahu rakyat Mesir terpecah belah dan memudahkan anasir luar mengambil kesempatan di antara kesempitan. Kita tidak mahu ada unsur luar yang sengaja memprovokasi agar dunia Islam sentiasa berada dalam keadaan yang tidak tenteram.

Pergolakan politik yang berlaku di Mesir itu menyebabkan Asraf, anak sahabat saya, Ustaz Abu Masykur tidak dapat melanjutkan pelajaran ke Mesir. Mungkin selain Asraf, ramai lagi anak anak lain sedang berura-ura untuk melanjutkan pelajaran mereka ke Kahrerah, Iskandariah, Asfahan atau daerah-daerah yang menganjur sepanjang Sungai Nil.Meskipun tempatnya jauh tetapi tanah Mesir sentiasa dekat di hati kita.

Mesir adalah tempat dimana ramai nabi dan rasul kita pernah memanfaatkan hidup mereka untuk menyampaikan berita-berita mengenai kebenaran, keadilan dan kebaikan.Jika tidak silap saya, antara nabi kita yang bermukim diMesir yang terkenal ialah Nabi Yusuf,Nabi Ibrahim,Nabi Musa,Nabi Harun dan banyak lagi nabi nabi Allah yang lain.Selain itu,bermula dari Mesir juga, kebangkitan nasionalisme dan gerakan menentang penjajah di Nusantara mendapat pengaruh dari tokoh tokoh penting disana.

Mesir juga mengingatkan kita tentang tokoh gerakan pembaharu seperti Muhammad Abduh, Jamaluddin Afghani,dimana gerakan mereka itu sangat berpengaruh di Nusantara melalui terbitan buku dan majalah seperti Al Manar dan sebagainya.Banyak tokoh tokoh kita memang pernah belajar di Kaherah.Saya banyak menyaksikan Mesir melalui karya-karya Naquib Mahfouz, Tawfiiq Al Hakim. dan gambaran yang diberikan Habiburrahman El Shirazy dalam banyak novel-novelnya seperti Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih membantu pemahaman kita terhadap Mesir.

Bila bercakap tentang Mesir, saya akan teringat mengenai orang kampung kami yang meninggal di Mesir ketika cuba memasang antena TV di rumahnya sewanya. Meskipun begitu, mereka yang belajar di Al Azhar tetap memiliki tempat yang terhormat kerana ketinggian ilmu dan komitmen mereka terhadap untuk mendapatkan pendidikan walaupun terpaksa berdepan dengan kesukaran.

Saya teringat betapa ramai rakan-rakan yang belajar di bumi Mesir itu, antaranya. Ustaz Datuk Haji Mohd.Arifin Arif, ADUN Membakut, Ustaz Datuk Haji Suhaili Said, Datuk Haji Utoh Said Haji Usbah, Dr.Haji Mohd.Kassim Tussin,Ustaz Awang Laiman, Abdullah Maria,Ustaz Matning Rajunah,Ustaz Md Akmal Othman, Ustaz Jadmin Mohd.Soon, Antara mereka ramai yang menjadi tokoh yang terkenal dalam bidang masing-masing.

Ini menunjukkan betapa dekatnya hubungan kita dengan Mesir.Jadi apabila berlaku pergolakan dan kekacauan di Mesir, ia turut mengusik kedamaian di hati kita.Kini seramai 14,000 rakyat Malaysia di Mesir sedang dibawa keluar dari negara itu.Apa saja yang berlaku di Mesir tetap memiliki pengaruh bukan saja terhadap dunia Arab malah dunia Islam keseluruhannya.

Saya fikir, sebagai sebuah negara yang memiliki pengaruh dan wibawa yang cukup besar dalam dunia Islam dan dunia internasional, sudah sewajarnya negara kita mengambil peranan dalam proees untuk mencari kedamaian yang berkekalan di Kaherah dan dunia Islam yang lain.

Banyak perkara yang mengingatkan saya tentang Mesir.
Bukan setakat piramid dan sungai Nil.

Jumaat, 4 Februari 2011

Rakaman perjalanan di Semporna 31 Jan-2 Feb 11

Tags
Kalau takut dipukul badai, jangan berumah di tepi pantai.
Saya teringat peribahasa itu ketika menginap di floating pada hari itu.Bukan kerana kami berani, tapi saya telah berjanji kepada anak-anak bahawa kalau kami ke Semporna, saya akan membawa mereka ke hotel yang terletak di atas air itu.
Tahun lalu semua tempat sudah penuh tetapi alhamdulillah,kali ini anak-anak dapat merasai bagaimana rasanya tidur sambil dibuai suara ombak.

ii- Haji Abdul Rahman agak sibuk juga tetapi beliau cukup bermurah hati untuk menempah bilik di Dragon Inn itu.Untuk family room, dikenakan sewa sebanyak RM120 satu malam tetapi malam kedua, isteri saya tidak sanggup lagi melihat kerenah anak-anak yang sentiasa berkejar-kejaran di atas jambatan.Jadi kami memilih untuk bderpindah ke City Inn, di tengah pekan Semporna.

iii- Jam 3.00 petang, selepas makan tengahari, kami dibawa Mail ke kebunnnya yang terletak kira-kira 2km dari Simpang Semporna-Kunak.Peneroka meminta kerajaan agar memberikan hak kepada mereka untuk terus meneroka tanah, yang ketika ini dikatakan dituntut oleh satu pihak lain.
Saya sempat menemuramah dan mengambil gambar mereka sementara anak-anak asyik menuliskan nama mereka di pokok pokok kaktus.

iv- Kami menikmati makan malam di sebuah restoran di sisi jalan, berdekatan bot Arung Hayat. Selepas itu, kami ke kedai Guardian membeli ubat kerana Mehran,Fawzan dan farhan batuk-batuk dan demam selesema.

v. Tidak lama kemudian, Ustaz Haji Abu Masykur Arifin Nasution membawa kami berkeliling Semporna. Saya mengenali Ustaz sejak saya masih belia lagi, iaitu sejak Perkampungan Sasterawan di Sandakan 7-9 Disember 1986. Ketika itu beliau bertugas di Kuala Penyu.
Kini beliau telah bertugas di Semporna hampir 15 tahun, 8 tahun di Inabah Kamal dan kemudian dilantik Guru Besar Sekolah Agama Islam Pekan Semporna yang dianugerahkan pentadbiran terbaik sekolah agama tahun lalu. Sebelum ini, Ustaz Masykur pernah bertugas selama 13 tahun di Kuala Penyu dan sebelum itu, dua tahun di Pitas.

vi. Keesokan harinya, kami juga sempat bertandang dan dijamu makan tengahari di rumahnya di pekarangan sekolah Sekolah Agama Islam Semporna.Kemurahan dan kebaikan hati Ustaz itu tetap jadi kenangan kami sekeluarga. Anaknya Asraf dijadual ke Mesir pada 20 Februari tetapi keadaan masih kacau di kaherah,mungkin terpaksa ditangguhkan.Taufik pula masih menunggu keputusan peperiksaan SPM manakala Rofiqah masih PMR.

Saya sempat juga menyungkil beberapa pengalamann Ustaz Masykur selama 31 tahun dalam kiprah dakwahnya di Sabah.Terselit pengalaman-pengalaman lucu dan menarik. juga cabaran-cabaran dakwah yang perlu dihadapi.

Saya rasa ingin menulis mengenai halangan atau kekangan yang dikenakan oleh pemilik-pemilik supermarket di beberapa tempat di Pantai Timur, yang tidak membenarkan pekerja mereka mengenakan tudung.Bagi saya, ia sesuatu yang tidak patut, apatah lagi Islam merupakan agama rasmi di negara ini.

vii. Memang ramai juga rakan rakan di Semporna yang tak sempat diberi khabar mengenai kunjungan kali ini. Saya ternampak Madsakiran ketika kami minum kopi di Kedai Kopi United.Saya juga terlupa telefon Saidin Bashir, wartawan Utusan Borneo di Semporna.

viii. Md.Aziz memberitahu bossnya, Datuk Shafie Apdal akan merasmikan satu majlis di Lihak Lihak jam 3.00 petang.Katanya, dia akan minta SUKnya menjemput saya tetapi saya tak sempat datang kerana petang itu, jadual balik ke Tawau.

ix. Selepas tiga hari di Semporna, kami pulang ke Tawau menaiki bas Tong Talun dengan tambang RM10.00 seorang.Setiap seorang diberikan sebotol air mineral dan beberapa biji gula gula kiss me.

x. Satu jam empat puluh minit kemudian kami turun di Terminal Bas Tawau, dengan sedikit letih tetapi gembira.