Saturday, February 26, 2011

Ahli Nujum, PRU, dan generasi baru

Pada detik penentu itu, saya melihat P.Ramlee menggeletar, mungkin gentar,kerana takut tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan Udo Omar, ahli nujum negara Masai. Soalan bonus yang ditanyakan oleh Ahli Nujum Negara Masai itu tidak diberikan terlebih dahulu kepada Ahli Nujum Negara Beringin Rendang seperti soalan-soalan sebelumnya.

Tapi nasib menyebelahi P.Ramlee. Dalam keadaan serba kalut itu, entah bagaimana beliau terselamat setelah memanggil-manggil nama anaknya Belalang kerana sudah kehabisan tipudaya. Kebetulan pula, dalam genggaman Ahli Nujum Negara Masai yang sudah kehabisan akal itu, seekor belalang melompat entah dari mana.

Ini merupakan salah satu babak dalam Filem Nujum Pak Belalang yang walaupun sudah berkali-kali ditayangkan kita masih tetap suka menontonnya. Kita suka adegan berteka teki itu walaupun kita sudah tahu jawapannya.

Namun saya yakin kalau ditanyakan kepada Pak Belalang, beliau tidak akan dapat menjawab dengan tepat bilakah pilihanraya umum ke-13 akan diadakan. Bukan saja kerana soalan itu tidak termasuk dalam skrip filem tetapi juga kerana PRU-13 memang penuh dengan teka teki.

Teka teki tentang pihak manakah antara BN dan PR yang akan memenangi PRU-13. Apakah alternatif ketiga juga mempunyai pengaruh dalam pilihanraya kali ini, yang kita pasti akan diadakan tidak melebihi tempoh lima tahun.

Seorang rakan dari KL, dalam satu percakapan kami meramalkan bahawa perubahan senario politik hanya akan berlaku selepas pilihanraya ke-14, dan bukan ke-13.

Alasannya kerana PR belum dapat menunjukkan kekuatan, malah kurang persefahaman di kalangan barisan kepimpinan khususnya dalam PKR yang dilihat ada percekcokan yang mampu menumpulkan keyakinan rakyat kepada mereka.

Ketika itu, kendali kepimpinan negara akan banyak diwarnai tokoh-tokoh muda seperti Nurul Izzah Anwar, Razali Ibrahim, Khairy Jamaludin,Rafizi Ramli, Darell Leiking, Erveana Ansari, Tony Pua, Yusmadi Yussof, Jamawi Jaafar, N.Surendran dan sebagainya.

Tokoh-tokoh senior mereka seperti Azmin Ali, Saifudin Nasution Ismail, Abd.Rahman Dahlan,Salahuddin Ayub, Nasaruddin Tantawi, Ezam Mohd.Nor dan sebagainya akan tetap memegang peranan penting dalam lanskap politik negara.

Kemungkinan sistem dua parti akan mendominasi amalan demokrasi kita. Politik berdasar kaum akan sedikit demi sedikit terpinggir ke tepi dan yang akan muncul ialah politik yang menjunjung tinggi nilai-nilai keadilan, kebenaran, kejujuran demi kesejahteraan rakyat seluruhnya.

Ketika itu, generasi muda tidak lagi berbicara dan terlupa akan peristiwa 16 Mei, kerana ikatan emosi mereka dengan peristiwa itu agak longgar. Di Sabah, orang tidak sibuk menyatakan atau menekankan mengenai 20 perkara kerana generasi kita itu sudah melebur dalam satu entiti politik nasional dan tidak lagi berjuang kepentingan yang sempit.

Saya meramalkan kira-kira 10 tahun akan datang, politik Malaysia akan lebih menarik. Tidaklah seperti sekarang dimana hampir kebanyakan masa kita digunakan untuk bercakap politik, berbicara strategi atau tipumuslihat dalam politik, dan sebagainya. Hampir tidak banyak masa yang digunakan untuk memikirkan negara kerana pemimpin asyik berbalah, menyalahkan satu sama lain bagi kepentingan politik mereka.

Mungkin pada waktu yang akan datang, Nujum Pak Belalang tidak lagi diperlukan kerana waku pilihanraya sudah diketahui terlebih dahulu dan tidak lagi perlu meneka-neka.Semua pihak mendapat akses yang sama dalam media, semua pihak memiliki akses yang sama besarnya untuk bercakap dengan rakyat, tanpa ada yang ditutuptutupi dan disembunyi.Semua transparan.Apa yang diperlukan ialah semua orang bercakap benar, dan tunduk hanya kepada nilai-nilai.

Semua orang mesti berjiwa besar jika menang atau kalah. Tidak seperti apa yang berlaku apabila ahli nujum negara Masai kalah dalam peraduan teka teki itu, maka rajanya tidak puas hati lalu mencari muslihat untuk melarikan tuan puteri si bujur sireh.

3 comments:

BELUM PENDEKAR said...

As Salam sdra Naddin,
Saya kira, penyampaian sdra mengenai keadaan politik negara selepas PRU13 dan PRU14 sungguh menarik. Samada ia menjadi kenyataan atau tidak, itu soal kedua.. Yang penting pada saya ialah, bagaimana hebatnya sdra mengupas isu berkenaan yang asalnya tidaklah menarik sangat untuk diperkatakan oleh orang seperti saya yang tidak mempunyai kecenderungan yang tinggi pada politik. Saya ucapkan tahniah kepada sdra.

Pun demikian, bagi tujuan akedemik, saya mohon berkongsi pandangan saya mengenai lanskap politik pasca PRU13 Dan PRU14.

Berdasarkan keadaan semasa skrg ini, saya berpendapat bahawa BN Akan terus dominan dalam politik negara. Ini adalah kerana Barisan Parti Pembangkang yang ditunjangi oleh PKR ternyata tidak mempunyai asas perjuangan yang kukuh. Perjuangan mereka adalah lebih berlandaskan kepada usaha mencapai matlamat politik individu tertentu Dan bukannya kepentingan rakyat yang sebenar. Yang menjadi masalahnya ialah, mereka berpura- pura kononnya mereka memperjuangkan hak rakyat. Walhal, hakikatnya hanya Allah sahaja yang tahu. Saya masih ingat suatu ketika dahulu DSAI menghentam UMNO kononnya parti yang mengamalkan kronisme Dan napotisme.. Tapi, skrg ini apa bezanya dgn PKR.. Bukankah pemimpin PKR skrg ini kronisme Dan sdra kaum kerabat DSAI?..

Saya dengar YB Yusmadi semasa mengikuti rombongan YPDR keluar negara telah bertindak mengecam negara Malaysia melalui akhbar negara berkenaan. Soalnya, inikah jenis pemimpin muda yang kita mahu?.. Pada saya, kita boleh berbeda pandangan Dan pegangan politik, namun maruah negara adalah tanggungjawab bersama untuk menjaganya.

Salam.
BELUM PENDEKAR

abd naddin said...

Terima kasih atas respon saudara Belum Pendekar.Saya sangatlah menghargai dan menghormati pendapat saudara.

Pendapat saudara ada benarnya, tapi saya lebih suka kalau saudara tidak dipengaruhi oleh jargon jargon politik yang disensasikan media.

Seperti pak belalang, saya sebenarnya hanya ingin meneka-neka dunia politik kita 10 tahun akan datang, dan siapakah mereka yang akan mewarnainya.

Akan tetapi saya sukakan ayat saudara,hakikatnya hanya Allah saja yang tahu.

BELUM PENDEKAR said...

Insyaallah, saya bukan mudah terpengaruh dengan mana-mana fahaman politik berlandaskan laporan akhbar. Setakat ini, saya berani mengatakan bahawa saya masih berdiri atas pandangan dan penilaian saya sendiri terhadap senario politik negara. Saya ingin jelaskan bahawa, Justifikasi saya terhadap perjuangan parti pembangkang adalah berdasarkan sumber yang amat rapat dengan parti pembangkang sendiri dan bukannya media. Tapi itu tidak penting...

Yang lebih utama kepada saya sebenarnya ialah impian untuk melihat agar suatu masa nanti rakyat Sabah dapat menentukan siapa peneraju negeri kita sendiri. Sdra bayangkanlah, untuk menentukan Ketua Menteri kita pun, kita bergantung kepada Pusat untuk menentukannya. Kenapa ini berlaku?.. kerana pemimpin kita tidak mampu membuat penilaian yang baik dan bertolak ansur, siapa yang patut dan layak menduduki jawatan berkenaan. Bukankah kita telah lama kehilangan keistemewaan tersebut???... Soalnya lagi, sampai bila kita harus kehilangan hak berkenaan?

Inipun, hanya Allah saja yang tahu...