Tuesday, February 15, 2011

Apa ertinya nilai 5 sen di KB

Jika berada di Kota Belud, pastikan anda tidak kekurangan lima sen!

Inilah pesanan seorang rakan saya pada satu hari. Mungkin dia tidak sedar bahawa saya juga berasal dari daerah itu.

Lima sen?

Saya mulai bertanya mengapa hanya dengan `kurang lima sen' menjadi satu pertimbangan untuk menilai martabat dan jatidiri seseorang.

Apa yang jelas dengan hanya kekurangan lima sen, tidak mungkinlah anda dipilih sebagai pemimpin.

Apa hubungan pemilihan seorang pemimpin dengan nilai pelengkap lima sen yang seharusnya dia miliki?

Saya sempat bertemu dengan seorang pemimpin yang dihentam kiri kanan dalam facebook dan blog baru-baru ini.Beliau kelihatan bersahaja, tidak berdendam juga tidak meluahkan kemarahan atau tidak memberi tindak balas keterlaluan terhadap perbuatan orang yang menghentamnya, hanya kerana dia tidak mahu dianggap `kurang lima sen'.

Orang Bajau KB kata, `kurang limo sen, nya' cukup deringgit'. Kurang sa lima sen, kata orang Iranun di Kota Belud.

"Nanti orang anggap kita sama saja dengan mereka `kurang lima sen' kalau kita melayani perbuatan mereka," katanya.

Untuk membuat saya lebih mengerti akan makna `kurang lima sen' di KB, saya menghubungi beberapa orang tokoh untuk mengetahui ulasan mereka mengenai ungkapan orang KB itu.

`Kurang lima sen' bermakna seseorang yang kurang pertimbangan.Ukuran untuk orang yang bertindak melulu, sembrono,ikutkan hati atau emosional,tanpa alasan kukuh, kerana tidak mampu berfikir secara bijak, seorang yang tak betul, tak ngam dan sebagainya.

Bahkan takrif ungkapan kurang lima sen sebenarnya membawa maksud yang lebih negatif dan lebih buruk lagi, yang mungkin dapat difahami dengan baik jika anda seorang yang tahu `nilai 5 sen' dalam kehidupan kita.

Tapi ungkapan `kurang lima sen' itu ditujukan kepada mereka yang suka bertindak tanpa berfikir atau seseorang yang tidak mampu berfikir kerana memang mereka tidak mempunyai kemampuan untuk berfikir seperti orang lain.

Itulah sebabnya, orang yang ingin menjadi pemimpin diselidiki dan diteliti untuk memastikan dia tidak kekurangan lima sen.

Kalau kurang lima sen saja, tentu ia dianggap tidak setanding dengan orang lain yang memiliki nilai pelengkap lima sen dalam kehidupannya.

Mungkinkah masyarakat kita sukakan nilai yang genap, sehinggakan nilai peribadi seseorang dinilai untuk menentukan dia tidak kekurangan lima sen. Di sini, kita mendapati nilai 5 sen, bukan sesuatu yang berhubung dengan kebendaan atau material.

Nilai 5 sen lebih berharga daripada apa yang kita fikirkan. Di Kota Belud dan sekitarnya, kita akan lebih berbangga jika kita tidak kurang lima sen.

Mungkin kita boleh membeli sesuatu dengan kekurangan lima sen-dengan menawar harganya, tetapi nilai martabat diri akan rosak binasa, kiranya kita dianggap orang yang `kurang lima sen'.

Kalau boleh, janganlah orang lain menganggap kita `kurang lima sen' dengan tindakan-tindakan melulu dan sembrono yang kita lakukan.

No comments: