Isnin, 7 Februari 2011

Catatan pertemuan di Kota Marudu 7 Feb 2011

Tags

Penggera tidak sempat dibunyikan, akibatnya terbangun jam 8.30 pagi. Suasana pagi di Kota Marudu kelihatan seperti suasana pagi hari di kota-kota lain juga.
Kami minum di Rahaya Cafe, dan disana Cikgu Florece sudah menunggu. Kemudian Nong Tuyondo, cikgu di Tagibang yang terletak lima jam dari Kota Marudu-dan juga aktivis masyarakat.
Syukurlah dapat berjumpa mereka walaupun sekejap dan pertemuan itu sendiri bermanfaat untuk mendapatkan info update mengenai Kota Marudu.

Kalau dapat bertemu Alung Jasmin, yang jadi imam rawatib di Tandek itu bagus juga, tapi telefonnya tidak diangkat.
Bung Masrani pula tidak perlu ditelefon dan saya berhasrat untuk mengejutkannya di pejabatnya di Jabatan Perikanan.

Syukurlah, selepas mencuba beberapa kali, Alung menjawab telefon dan rupanya beliau kebetulan berada di Kota Marudu, berdekatan Milimewa.

Masrani sedang keluar ketika saya tiba dipejabatnya, dan kakitangan di pejabatnya menyangka saya kaki pancing dari KK.

Tidak lama kemudian, kami duduk minum di Restoran Sedia Menanti, dan saya sempat mengecaj telefon yang kehabisan caj.

Alung Jasmin kini bertugas sebagai penguatkuasa. Beliau salah seorang penulis dengan menggunakan nama Putera Rimba dan salah seorang orang kuat IPS malah seorang anggota pengasasnya.

Alung lama tidak menulis kerana `kehilangan masa' katanya. Saya memberitahunya bahawa penduduk Sabah sekarang lebih tiga juta orang, dan tidak sampai satu peratus atau katakanlah tidak sampai seribu orang yang dianugerahkan bakat untuk menulis dan menjadi penulis. Kepada yang dikurniakan bakat oleh Tuhan, hendaknya janganlah mensia-siakan anugerah yang diberikan dan kembalilaah menulis semula.

Masrani Madun, merupakan salah seorang penulis muda paling dihormati di Sabah satu ketika dahulu. Beliau seorang penulis yang berwibawa dan menghasilkan karya karya puisi yang pernah tersiar di Dewan Siswa, Dewan Sastera, Mastika dan banyak lagi. Puisi-puisinya juga mempunyai gaya pengucapan tersendiri. Cuma apabila kumpulan puisinya Dari Dalam Cermin, jika tak silap itulah tajuknya, tercicir dalam bas Kota Marudu, minatnya tiba-tiba sirna kerana kehilangan khazanah paling berharga baginya.

Kini beliau menulis semula. Beliau menyerahkan sebuah puisi untuk disiaarkan dalam akhbar. Namun kini, banyak masanya ditumpukan kepada aktiviti menulis dalam majalah Pancing, Kembara Kail. Hasil tulisannya tersiar dalam majalah kaki kaki pancing itu, daan saya kira ini perkembangan positif untuk menyuburkan minatnya kembali dalam penulisan karya kreatif.

Melalui bung Masrani, kami mendapat tahu, buku kumpulan puisi Stensil Pari-Pari karya Mabulmaddin Shaiddin sudah berada di Perpustakaan Kudat. Dari situ, percakapan kami berempat berkisar mengenai dunia perbukuan.

Kami juga bercakap mengenai penerbitan buku dan peluang peluang yang ada dalam bidang penulisan. Selain itu, kisah mengenai Sharif Osman yang bukunya pernah ditulis dalam bahasa Belanda, oleh sarjana Belanda , juga menarik. Sayangnya tidak ada yang dapat menterjemahkan buku itu dari bahasa Belanda ke bahasa Melayu dan pejuang seperti Sharif Osman yang mempertahankan tanahair dan dianggap sebagai perompak oleh penjajah, tidak dapat dihayati oleh generasi kita hari ini.

Tentu ada yang penting, kata Alung, sehingga kamu berada di sini.
Semua detik dalam kehidupan kita ini penting, kata saya kepadanya sambil tersenyum.
Pertemuan kita juga penting, saya memberitahunya lagi.