Saturday, February 26, 2011

HPN ke-18 rangsang ghairah penulis

SELEPAS Jumaat, saya terserempak dengan Awang Karim Kadir yang baru tiba dari Kudat. Sudah lama tidak berjumpa Karim kerana dia sudah lama juga menghilangkan diri dalam dunia kesusasteraan. Sebenarnya saya agak sukar juga untuk mencari sesuatu kategori untuk Awang Karim, tokoh yang serba boleh ini.
Beliau penulis cerpen dan puisi, juga deklamator puisi yang hebat.

Awang Karim juga penulis novel, bahkan beliau juga seorang seorang tokoh teater yang sangat aktif di Kudat suatu ketika dahulu. Lebih dari itu, beliau juga terlibat sebagai pelakon telefilem, penyanyi lagu puisi, malah pernah pula dia menjadi wartawan.
Beliau juga pernah bergiat dalam politik untuk menatang ideanya tetapi kini setelah tersesat dalam belantara politik, beliau kembali menulis dan bergiat semula dalam sastera.

"Sebenarnya saya sudah lama tidak menghadiri acara sastera," katanya sebaik kami duduk di Restoran Taufik itu. Kali ini beliau teruja untuk menyertai Hari Puisi Nasional (HPN) Kali ke-18 yang sedang berlangsung di Kampung Binsuluk Membakut. Sambil makan sambil menunggu penulis dari Kota Belud, Norawi Haji Kata yang akan ikut serta dalam HPN itu, kami sempat bercerita mengenai dunia teater yang digelutinya dan karya sejarah yang diminatinya.

Awang Karim sudah lama tidak menghasilkan karya.Paling akhir ialah apabila majalah Dewan Sastera memilih beliau sebagai Penulis Bulan Ini pada April 2010. Karya-karya Awang Karim terutamanya dalam cerpen dan puisi memiliki kekuatan tersendiri. Sebagai seorang penulis Sabah yang terkemuka, beliau juga pernah dihantar oleh DBP bagi mewakili Malaysia dalam Program Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Indonesia.

Beliau berharap penyertaannya dalam HPN ke-18 kali ini mampu meniupkan semangat baru untuk beliau kembali menghasilkan karya bermutu yang mampu mengangkat martabat kesusasteraan Sabah.

Hari Puisi Nasional ke-18 yang diadakan di Membakut itu sesungguhnya boleh dianggap sebagai satu peristiwa besar sastera tahun ini. "Binsuluk adalah sebuah perkampungan nelayan pinggir laut yang bakal menjadi tumpuan para penyair dari seluruh negara, termasuk dari negara jiran Indonesia dan negara Brunei Darussalam," kata Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) Jasni Matlani dalam tulisannya di Utusan Borneo.

HPN Ke-18 diadakan bersempena bersempena sambutan 40 Tahun GAPENA. "Pemilihan Binsulok sebagai tempat penganjuran pertemuan penyair yang dianggap prestij di Malaysia itu mempunyai signifikan tersendiri, bukan sahaja kerana perkampungan berkenaan mempunyai keindahan alam semulajadi, tetapi juga kerana masyarakat nelayannya yang unik, yang sudah pasti menggugah sesentiviti penyair," katanya lagi.

Antara tokoh yang hadir dalam Hari Puisi kali ini, kata Sukor Haji Usin, Ketua Satu IPS yang lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi ialah Tan Sri Ismail Hussein, Ketua Satu Gapena, Datuk A.Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah DBP, Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas, Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA) Mohd.Salleh Rahamad,Khalid Salleh, Presiden PEKASA,Jaafar Hamdan, Presiden Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amirudin Hanafiah , Othman Mahali, penulis veteran dari WP Labuan, Haji Hamzah Hamdani, Dr.Irwan, Zainal Abidin Suhaili , Ketua Satu Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), Mohd.Amran Daud dari DBP.

"Ketika ini ada program kesenian sedang dilangsungkan di Balai Seni Pimping," kata Hasyuda. Pimping merupakan kampung kelahiran Datuk Haji Mohd.Arifin Arif, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut yang juga salah seorang penulis terkemuka tanahair. Sejak lama beliau merupakan salah satu lokomotif kegiatan sastera Islam. Sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar dan mendalami pengajian dalam bahasa dan sastera Arab, Arifin sendiri telah berjaya menempatkan namanya dalam sastera di Sabah.

Bagaimanapun, penulis yang telah cintakan buku ini telah memotori kegiatan sastera sekembalinya di tanahair dan bertugas di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). Namun kemudian Arifin ruoa-rupanya mendapatkan tempat yang khusus dalam sejarah tanahair khususnya di Sabah kerana bukan saja dikenang sebagai tokoh penulis malah sebagai tokoh penulis yang menjadi wakil rakyat di daerah kelahirannya.

Kehadiran lebih 180 orang peserta dalam Hari Puisi Nasional (HPN) Ke-18 itu jelas menunjukkan betapa pentingnya peristiwa sastera bertaraf kebangsaan itu. Hari Puisi Nasional yang bertemakan “Puisi menjana gagasan 1 Malaysia” itu bakal mencipta sejarahnya tersendiri.

Hari Puisi Nasional ke 18 ini dianjurkan oleh GAPENA, Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Pejabat Daerah Kecil Membakut, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sabah, dengan kerjasama beberapa agensi lain seperti Jabatan Penjara Sabah , Institut Terjemahan Negara Malaysia, Akhbar Utusan Borneo sebagai media rasmi pertemuan dan juga beberapa badan NGO seperti PENA, Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan beberapa kerabat GAPENA yang lain.

Ini merupakan kali ketiga Sabah menjadi tuan rumah. Kali pertama pada tahun 1979, kali kedua pada 1987 dan kini Sabah berpeluang semula menjadi tuan rumah kepada para penyair dan penulis dari seantero nusantara.

Paling menarik ialah pemilihan penyair Datuk Jamdin Buyong sebagai Tokoh Penyair Gapena. Beliau merupakan sasterawan Sabah yang terkemuka sejak melibatkan diri dalam dunia penulisan sejak 70-an. Puisinya pernah menanh Hadiah Karya Sastera dan salah seorang tokoh penting yang menggerakkan kegiatan sastera dan budaya di sabah pada zaman kegemilangannya.

Hari Puisi Nasional (HPN) ke-18 akan tetap melekat dalam ingatan peserta yang datang dari seluruh pelusuk negara.Selepas ini Membakut dan sekitarnya, Binsuluk dan pantainya, Pimping dengan keramahan masyarakatnya, Sabah dan alam negerinya akan menjadi sumber ilham penulis dan penyair yang tak kunjung pudar.

2 comments:

bairahbai said...

kpd tuan punya blog ini, sy sangat tertarik pd entri adanya maklumat2 yang saya cari salama ini..
terutama sakali apabila kewujudan mengenai entri "irranun" disni..
lebi2 lagi apabila, tuan adalah salah satu daripada pengurus BKI.
Menguatkan lagi firasat ini untuk menghubungi tuan dengan secepat mungkin. saya ingin berbincang mengenai "kaum irranun"
jika tuan ingin memberikan kerja sama, sila la hubungi saya di bairah@ymail.com

abd naddin said...

terima kasih bairahbai.
saya hanyalah seorang yang minat menulis mengenai budaya Iranun.tapi kalau kiranya Bairahbai ingin menghubungi saya, bolehlah emel abdnaddin@yahoo.com.Jikalau berada di kota kinabalu, pejabat saya di Wisma KTS,berdepan wisma merdeka.salam