Isnin, 14 Februari 2011

`Kalau datang hatiku gila'

Tags

`Minum kopi tidak bergula,
pahit pahit diminum juga,
kalau datang hatiku gila,
ambil kayu pukul kepala."

Mungkin ini merupakan salah satu pantun yang popular di kawasan Pantai Barat Sabah.Saya tidak tahu siapa yang mula mula mencipta pantun ini, apa yang jelas rakan saya dari Tuaran atau Kota Belud, dapat menghafal pantun ini di luar kepala.

Minum kopi tidak bergula, pahit-pahit diminum juga. Pembayang pantun ini menunjukkan budaya masyarakat kita, yang walaupun minum kopi tidak bergula, tetapi sanggup meminumnya juga walaupun pahit.

Seberapa kerap orang kita minum kopi pahit, tidak dapat dipastikan. Jika mereka minum di kedai kopi atau di warung-warung kampung, selalu mereka suka memesan `kopi o kau kau' yang maksudnya kopi pahit.

Satu kebiasaan? mungkin ya, mungkin tidak. Tahap kepekatan atau pahitnya kopi dalam minuman seseorang jelas ada hubungannya dengan sosio budaya masyarakat. Saya pernah membaca mengenai hubungan kopi dan fi'il masyarakat dalam novel Cinta Dalam Gelas karya Andrea Hirata.

Masyarakat kita, walaupun dihidangkan kopi pahit tetap meminumnya, bahkan menyukainya. Saya tidak pasti, apakah pada waktu pantun ini dicipta, masyarakat kita menghadapi krisis gula atau kekurangan gula ketika itu. Atau mereka tahu bahawa dengan gula berlebihan akan mendatangkan pelbagai penyakit seperti kencing manis dan sebagainya.

Tetapi walaupun tanpa gula, `pahit-pahit kuminum juga'. Hidangkanlah minuman, biar sepahit manapun, tetap akan diminum juga.

Entah kenapa dalam rangkap berikutnya, pemantun berkata `kalau datang hatiku gila, ambil kayu pukul kepala".

Kenapa hatinya gila? kenapa hatinya didatangi kegilaan? Gila dalam pantun ini boleh juga membawa maksud geram, marah, mengamuk, melenting, tidak puas hati dan gila dalam makna sesungguhnya.

Kerana sudah didatangi gila, maka ia tidak peduli lagi, langsung saja mengambil kayu lalu `pukul kepala'.

Soalnya, apakah masyarakat kita sedemikian ganas dan brutal, sehingga sanggup mengambil kayu memukul kepala kerana marah?

Tapi kalau dia gila, sudah tentu dia tak sedar lagi apa yang dia lakukan. Kerana itu, ia terus saja mengambil kayu lalu memukul kepala. Soalnya kepala siapa yang dipukulnya?

Kalau dia memukul kepalanya sendiri, mungkin kerana dia gila. Tapi kalau dia memukul kepala orang lain? Saya fikir pantun ini sangat berbahaya jika ia diucapkan oleh orang gila, apa lagi orang gila yang pandai berpantun.he he.