Monday, February 7, 2011

ikan sepat makin mahal sekarang

Mahal juga?

Tapi biarpun mahal, saya tetap membelinya.Kerana kebetulan tak ada duit tukar,saya pinjam duit Sabat.

15 ekor ikan sepat siam itu harganya RM5.00.9 ekor ikan karuk (ikan puyuh) harganya RM5.00Ada juga ikan jalak (ikan haruan) tapi saya tidak membelinya.

"Kenapa mahal sangat?" saya bertanya kepada Awi Saiful. Anak itu hanya tersenyum sambil menawarkan ikan-ikan lain.Beberapa rakannya yang lain kelihatan suka ketika saya mengeluarkan kamera untuk memotret gambar mereka.

Ikan-ikan sepat siam, ikan karuk dan ikan jalak itu, ditangkap di Sungai Kawang-Kawang. Tidak seperti dahulu, ikan air tawar itu menjadi eksotik kerana ia semakin jarang diperolehi dan semakin mahal pula harganya.

Teringin makan ikan sepat, walaupun mahal, saya membelinya dan kemudian minta emak memasaknya. Singgah sejam dua di kampung Tamau Kota Belud dalam perjalanan dari Pitas ke Kota Kinabalu, walaupun singkat namun merupakan momen yang sangat bererti.

Sekurang-kurangnya bagi saya anak kampung, yang jarang punya kesempatan pulang kampung kerana kesibukan yang tak menentu.

Di rumah, saya meminta emak memasaknya.Dayang pula merebus ubi keledek dan jagung manis. Saya cuba update blog tetapi tak sempat kerana tiba tiba saja dayang menghidangkan daging burung tekukur.

Sudah lebih 20 tahun saya tak pernah mencicipinya.

"Itulah sebabnya saya tak jawap ketika abang tanya apa lauk kami tadi," kata dayang, sambil menjelaskan burung tekukur itu ditangkap oleh anak buah kami, amai alif iskandar. Kelmarin dulu dia dapat 11 ekor, kelmarin dapat tangkap empat ekor.

Itulah yang diberikannya kepada kami ketika mengetahui bahawa kami lama tidak makan tekukur.

Ingatan saya kembali ke masa kanak-kanak, ketika saya suka melastik burung tetapi jarang mengena.Saya suka mencari sarang burung tekukur dan suka makan telurnya, sesuatu yang kemudian hari saya kesali kerana ia dapat mengurangkan populasi burung.

Setiap petang Sabtu atau hari Minggu ketika itu, akan kelihatanlah trak askar ke Pintasan, entah untuk berlatih atau menembak tekukur atau burung punai, sesuatu yang menjadi pertanyaan kami ketika itu.Tahun-tahun pertengahan 70-an, ketika alam Tamau kaya dengan pelbagai jenis burung.

Jadi kelmarin petang, dapatlah saya menikmati ikan sepat dan daging burung tekukur, yang enak rasanya.Kalau dulu, ikan sepat murah dan mudah pula didapati, begitu juga tekukur, punai, wakwak dan sebagainya.

Sepuluh tahun lagi, masih ada lagikah ikan sepat, ikan karuk, burung tekukur, burung punai dan sebagainya itu, di kampung kami yang permai itu?


2 comments:

Danilo Sergio Pallar Lemos said...

You blog is were good.
I am follow.
www.vivendoteologia.blogspot.com

Tanakwagu said...

Sunguh bagus perjalanan mu.ssya juga minat ikan yg jarang ditemui ini.lebih baik jika kita semua menternaknya walaupun kecil kecilan d belakang rumah