Sabtu, 12 Februari 2011

Merenung sejarah lampau dan orang yang tibatiba menjadi `sultan'

Tags

MERENUNG SEJARAH LAMPAU DAN ORANG YANG TIBA-TIBA MENJADI `SULTAN'.
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

Dengan berkirim salam kepada semua, Sultan Abdul Mumin menganugerahkan bahagian tertentu negeri dibawah kekuasaannya kepada Gustavos Baron de Overbeck dan Alfred Dent Esquire pada 29 Disember 1877.

Sultan menyatakan bahawa beliau `berasa perlu untuk menganugerahkan bahagian tertentu negeri di bawah kuasanya' kepada Overbeck dan Alfred Dent, yang disebutnya sebagai `sahabatnya yang setia serta dikasihi' dan bahawa semua itu dilakukan `atas kerelaannya sendiri'.

Entah kenapa beliau menyatakan begitu.Mungkinkah hanya basa basi diplomatik atau kerana beliau juga terpaksa menerima `balasan tertentu yang dipersetujui antara mereka sehingga beliau `berasa perlu' untuk melakukannya. Sejak itu, jalan sejarah negeri kita berubah.
Gustavos Baron de Overbeck dilantik sebagai Maharaja Sabah dan Raja Gaya dan Sandakan `dengan kuasa hidup dan mati ke atas penduduknya'.
Kita semua tahu, 86 tahun kemudian, pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara baru diisytiharkan di Padang Merdeka. Sabah menjadi sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat,walaupun terdapat tuntutan tidak sah Filipina ke atas Sabah.

Tuntutan ini bermula apabila Presiden Diosdado Macapagal menerima penyerahan kuasa tuntutan de jure ke atas Borneo Utara daripada Esmail Kiram 1 pada tahun 1962 disebalik fakta sejarah yang menyatakan bahawa Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II telah menyerahkan semua kuasa politiknya kepada Amerika Syarikat melalui perjanjian Carpenter pada 1915.
Sejak Sultan Jamalul Kiram II meninggal dunia pada 7 Jun 1936, semakin ramai yang membuat tuntutan bahawa mereka merupakan pewaris kesultanan Sulu. Masing-masing mereka memiliki keyakinan bahawa mereka pewaris Sultan menyebabkan kini terdapat lebih 300 orang di Filipina mendakwa diri mereka merupakan sultan Sulu yang sebenar.

Di Sabah sendiri, setakat ini, terdapat tiga individu yang mengaku bahawa mereka layak ditabalkan sebagai Sultan Sulu. Malah pada 2 Februari lepas, seorang lagi menabalkan dirinya sebagai Sultan Sulu dalam satu majlis di Kampung Likas.
Banyak persoalan yang timbul mengenai keabsahan perisytiharan itu. Persoalannya,bagaimana seseorang yang menjadi warganegara Malaysia boleh diisytiharkan sebagai Sultan Sulu ke-33 dan menubuhkan pula kerajaan Sulu dalam buangan di Sabah.

Sejarah tidak pernah berbohong. Sejarah hanya dimanipulasi pihak-pihak tertentu untuk kepentingan mereka.Tetapi sejarah, jika kita pelajari secara saksama, merupakan rangkuman fakta sebenar dan tidak boleh dimungkiri mengenai berahi kuasa, ketamakan dan keserakahan, penjajahan dan kedaulatan, juga kebijaksaan dan kemerdekaan.

Adalah tidak dapat dinafikan bahawa penjajahan, termasuk didalamnya penjajahan minda, melahirkan apa yang dinamakan `mentaliti terjajah'. Inilah yang menyebabkan kita menganggap bahawa dengan memiliki kekayaan, kedudukan atau kuasa, kita boleh menguasai fikiran dan mengaburi keupayaan orang lain dalam berfikir. Untuk dilihat berwibawa dan tinggi martabatnya, maka kita mengenakan busana dengan segala pingat dan pangkat di dada, dan menuntut pula orang lain untuk tunduk kepada kita.

Semuanya kerana ketamakan dan keserakahan. Sejarah Nusantara, hampir kesemuanya, berkisar mengenai bagaimana golongan penjajah, dari manapun asalnya, berebut harta, khazanah dan rempah-rempah dengan menjalankan pelbagai tipu muslihat untuk menguasai negeri kita. Mereka menerapkan faham kolonialisme, pecah dan perintah untuk menguasai wilayah kita dengan segala pujuk rayunya.

Barangkali inilah sebabnya, Sultan Abdul Mumin terpaksa memberitahu `seluruh negara di muka bumi' bahawa beliau berasa perlu untuk menganugerahkan bahagian tertentu di bawah kekuasaannya, dan sejak itu negeri kita terpisah pisah dan dipisah-pisahkan penjajah. Perkara ini, sudah tentu tidak terlepas dari taktik golongan penjajah untuk menguasai rantau ini.

Dalam prosesnya, banyak kerajaan, banyak kesultanan, banyak negeri yang kemudiannya dikalahkan, dan terhapus dalam tinta sejarah. Ini perlu diakui sebagai akibat proses sejarah yang panjang. Apa yang penting ialah kita memahami hakikat sejarah dan bangkit daripada ketertinggalan kita, dan kelemahan dan kedunguan kita.

Janganlah kita berfikir dan terpesona dengan kegemilangan lama. Sebaliknya marilah kita berfikir secara rasional dan bijaksana mengenai bagaimana seharusnya kita menata masa depan dengan lebih cemerlang. Kita memang perlu membaca sejarah tetapi kita hendaklah mengambil iktibar daripadanya.

Demikianlah, apabila seseorang tiba-tiba mengaku sebagai `Sultan' dengan segala kemegahannya, ramai di antara kita bukan saja terkejut atau mempertikaikannya tetapi juga khuatir, kalau kalau peristiwa itu akan menggalakkan lebih ramai lagi orang yang suka bermimpi dan menuntut yang bukan-bukan pada masa akan datang.

Pelbagai kerenah manusia telah kita pelajari dan saksikan sepanjang sejarah iaitu sejak Sultan Abdul Mumin Brunei menyerahkan surat tauliah pada 29 Disember 1877, semenjak Sultan Sulu, Jamalul Kiram II mangkat pada 1936 dan semenjak beliau menyerahkan kuasa politiknya mengikut Perjanjian Carpenter pada 1915. Tidak mustahil sekiranya muncul lagi orang-orang yang mengaku dan mengangkat dirinya `sultan', dan tidak mustahil sekiranya masih ada juga orang orang yang tidak tahu menahu menjadi pengikutnya.