Sabtu, 5 Februari 2011

Mesir, bukan setakat Piramid dan Sungai Nil

Tags

MESIR,BUKAN SETAKAT PIRAMID DAN SUNGAI NIL
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

Tiket sudah dibeli.Tapi hasrat Asraf untuk belajar di Al-Azhar, universiti tertua di dunia itu mahu tidak mahu terpaksa ditangguhkan kerana terjadi pergolakan di Mesir.Puluhan ribu orang turun di jalan-jalan menunjukkan perasaan kecewa dan marah terhadap Presiden Hosni Mubarak yang berkuasa sejak 30 tahun. Ratusan orang mati,ribuan orang cedera dan terluka.Semua pelajar Malaysia terpaksa pulang ke tanahair atau singgah sementara di Jeddah menunggu badai amarah kembali reda.

Gejolak yang berlaku di Kaherah itu amat menarik untuk diteliti.Rakyat Mesir barangkali mempunyai sebab tersendiri sehingga mereka sanggup keluar mendesak presiden mereka untuk berundur.Sukar untuk menidakkan bahawa peristiwa ini berlaku sedikit banyak dipengaruhi oleh rangkaian kejadian di Tunis namun jika kita meneliti senario di dunia Arab,kita dapat menduga sebab musabab terjadinya peristiwa yang mendorong rakyatnya sanggup memperlihatkan kepedihan mereka.

Pendapatan yang rendah,kemiskinan dan kekayaan yang tidak merata, korupsi yang menggejala,serta represi yang dialami rakyat adalah antara bibit bibit yang tumbuh,mengakar dan menjalar menjadi kehampaan dan kekecewaan yang telah lama menunggu waktu untuk meledak.Tetapi Mesir boleh dikatakan sebuah negara yang makmur namun tekanan yang telah lama dirasakan oleh sebahagian besar rakyatnya menyebabkan mereka mhukan pergantian kepimpinan dan menggesa agar Hosni Mubarak melepaskan jawatan.

Juga menarik untuk disemak ialah sikap pentadbiran Obama terhadap apa yang berlaku di Mesir itu. Hosni Mubarak adalah sekutu utama mereka dan mendukung pemerintahan itu sekalipun ia tidak lagi bersesuaian dengan pandangan mereka terhadap demokrasi.

Jika mereka menyokong Mubarak, ia bermakna mereka kelihatan seolah-olah anti demokrasi. Sebagaimana yang kita ketahui, tempoh pemerintahan Hosni Mubarak telah berakhir pada 2009 tetapi kerana sokongan Amerika, beliau masih berada di tampuk pemerintahan negara itu.Melihat senario yang ada, kelihatan Hosni Mubarak sedang menghitung hari-hari terakhirnya.Bagaimanapun, kita tidak dapat menerima campur tangan Amerika terhadap kedaulatan negara lain dan sikap pentadbiran Hosni sendiri yang dilihat mengetepikan suara dan aspirasi rakyatnya,sebenarnya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Alasan yang diberikan Hosni hanyalah bahawa jika beliau turun takhta, keadaan akan bertambah kusut lagi.Hosni juga mengatakan bahawa beliau khuatir Ikhwanul Muslimin, yang ditakuti Washington tetapi mendapat sokongan rakyat akan memegang kuasa.

Hakikat bahawa gerakan pembangkangan kali ini lebih kuat, dengan munculnya ilmuan dan tokoh seperti Mohamad El Baradei dan juga parti-parti lan, menyebabkan apa yang berlaku di Mesir itu tidak luput dari sorotan dunia.Ikhwanul Muslimin,sebuah parti yang telah lama berjuang tetapi diharamkan pemerintah tidak terlepas dari tudingan sebagai pemicu kebangkitan rakyat.

Namun walaupun mereka mengatakan tidak berminat untuk mengambil alih kuasa tetapi mereka tetap mendesak agar Mubarak berundur.

Apa yang berlaku di Tahrir Square,(bukan Tiananmen Square) menunjukkan tahap kemarahan rakyat.Kita tidak mahu rakyat Mesir terpecah belah dan memudahkan anasir luar mengambil kesempatan di antara kesempitan. Kita tidak mahu ada unsur luar yang sengaja memprovokasi agar dunia Islam sentiasa berada dalam keadaan yang tidak tenteram.

Pergolakan politik yang berlaku di Mesir itu menyebabkan Asraf, anak sahabat saya, Ustaz Abu Masykur tidak dapat melanjutkan pelajaran ke Mesir. Mungkin selain Asraf, ramai lagi anak anak lain sedang berura-ura untuk melanjutkan pelajaran mereka ke Kahrerah, Iskandariah, Asfahan atau daerah-daerah yang menganjur sepanjang Sungai Nil.Meskipun tempatnya jauh tetapi tanah Mesir sentiasa dekat di hati kita.

Mesir adalah tempat dimana ramai nabi dan rasul kita pernah memanfaatkan hidup mereka untuk menyampaikan berita-berita mengenai kebenaran, keadilan dan kebaikan.Jika tidak silap saya, antara nabi kita yang bermukim diMesir yang terkenal ialah Nabi Yusuf,Nabi Ibrahim,Nabi Musa,Nabi Harun dan banyak lagi nabi nabi Allah yang lain.Selain itu,bermula dari Mesir juga, kebangkitan nasionalisme dan gerakan menentang penjajah di Nusantara mendapat pengaruh dari tokoh tokoh penting disana.

Mesir juga mengingatkan kita tentang tokoh gerakan pembaharu seperti Muhammad Abduh, Jamaluddin Afghani,dimana gerakan mereka itu sangat berpengaruh di Nusantara melalui terbitan buku dan majalah seperti Al Manar dan sebagainya.Banyak tokoh tokoh kita memang pernah belajar di Kaherah.Saya banyak menyaksikan Mesir melalui karya-karya Naquib Mahfouz, Tawfiiq Al Hakim. dan gambaran yang diberikan Habiburrahman El Shirazy dalam banyak novel-novelnya seperti Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih membantu pemahaman kita terhadap Mesir.

Bila bercakap tentang Mesir, saya akan teringat mengenai orang kampung kami yang meninggal di Mesir ketika cuba memasang antena TV di rumahnya sewanya. Meskipun begitu, mereka yang belajar di Al Azhar tetap memiliki tempat yang terhormat kerana ketinggian ilmu dan komitmen mereka terhadap untuk mendapatkan pendidikan walaupun terpaksa berdepan dengan kesukaran.

Saya teringat betapa ramai rakan-rakan yang belajar di bumi Mesir itu, antaranya. Ustaz Datuk Haji Mohd.Arifin Arif, ADUN Membakut, Ustaz Datuk Haji Suhaili Said, Datuk Haji Utoh Said Haji Usbah, Dr.Haji Mohd.Kassim Tussin,Ustaz Awang Laiman, Abdullah Maria,Ustaz Matning Rajunah,Ustaz Md Akmal Othman, Ustaz Jadmin Mohd.Soon, Antara mereka ramai yang menjadi tokoh yang terkenal dalam bidang masing-masing.

Ini menunjukkan betapa dekatnya hubungan kita dengan Mesir.Jadi apabila berlaku pergolakan dan kekacauan di Mesir, ia turut mengusik kedamaian di hati kita.Kini seramai 14,000 rakyat Malaysia di Mesir sedang dibawa keluar dari negara itu.Apa saja yang berlaku di Mesir tetap memiliki pengaruh bukan saja terhadap dunia Arab malah dunia Islam keseluruhannya.

Saya fikir, sebagai sebuah negara yang memiliki pengaruh dan wibawa yang cukup besar dalam dunia Islam dan dunia internasional, sudah sewajarnya negara kita mengambil peranan dalam proees untuk mencari kedamaian yang berkekalan di Kaherah dan dunia Islam yang lain.

Banyak perkara yang mengingatkan saya tentang Mesir.
Bukan setakat piramid dan sungai Nil.

3 comments

Ar Rayah News - Mesir, Seruan Khilafah Menuju Perubahan Hakiki

http://ibnuyassir.blogspot.com/

Allahyarham Kasbi dan isterinya Nurul Faridah adalah jiran terdekat kami di kalangan pelajar malaysia ketika tinggal di mansoura, mesir, 2 jam perjalanan dari kaherah pada tahun 2002-2003

beliau seorang yang baik dan suka membantu orang. sebenarnya beliau jatuh di sebuah bangunan ketika membantu membetulkan arial rumah sahabatnya yg juga kenalan saya pada waktu malam, sedangkan tuan rumah meminta beliau menanti sebentar kerana hendak mengambil lampu suluh.

sudah takdirkan ketentuan Allah SWT, beliau meninggal dunia dan dikebumikan di bumi mesir yang sarat dengan perjuangan para nabi dan ulama'. saya ingat lagi, penduduk mansoura sendiri heboh dengan peristiwa yang menimpa pelajar malaysia ini.

kalau tidak salah, yb di kawasan berkenaan telah menanggung kos pengangkutan untuk membawa allahyarham ke kaherah dan disemadikan di sana, dan saya sendiri berpeluang masuk ke dalam, meletakkan janazah allahyarham. al-fatihah.

Terima kasih sdr ibnuyassir atas maklumat yang dikongsikan.

Sdr. abunuha,
saya tak menyangka ustaz berada di Mesir ketika arwah Kasbi itu kembali kerahmatullah di Mansoura. Terima kasih atas informasi yang diberikan. semoga rohnya ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman.