Sabtu, 19 Februari 2011

Puisi, berita terkini dan kopi yang tidak bergula

Tags

PUISI, BERITA TERKINI DAN KOPI YANG TIDAK BERGULA

Saya sedang memakan biskut ketika ketika tibatiba abang sepupu bertanya melalui sistem mesej singkat (SMS) mengenai pilihanraya kecil yang akan diadakan secara serentak di Merlimau dan Kerdau.

"APA berita terkini? Ada isu terbaru? ," tanyanya. Saya tidak memberi jawapan yang meyakinkan kerana kepala saya dipenuhi persoalan yang berkaitan dengan puisi. Kerana sebait puisi Kassim Ahmad, Partai Rakyat kalah dalam pilihanraya kecil Pasir Puteh pada tahun 1974.

Puisi Sidang Roh yang menuai kontroversi itu telah dimanipulasi dengan baik oleh ahli-ahli politik pada waktu itu sebagai salah satu isu sekaligus senjata yang digunakan untuk menumbangkan parti lawan dan memenangi pilihan raya.

Puisi Tak Terkuburkan? Saya ingat sebuah filem dokumentari mengenai Ibrahim Kadir arahan Garin Nugroho pada tahun 2000.Filem hitam putih itu bercerita mengenai seorang penyair yang ditangkap di Aceh dan sempat mencipta puisi ketika dipenjara selama 22 hari dalam tahun 1965 ketika terjadi pergolakan politik di Indonesia. Akhirnya beliau dilepaskan kerana ternyata salah tangkap.

Di medan Tahrir, ketika rakyat Mesir berhimpun se lama 18 hari, muncul seorang penyair bernama Tamim Al-Bargouty. Tamim merupakan seorang penyair yang diusir dari negerinya kerana menentang Perang Iraq.Beliau pindah ke Amerika dan menjadi pensyarah disana.

Beliau mengirimkan sajak di akhbar tempatan. Kemudian puluhan ribu fotokopi sajak-sajaknya disebarkan. Kemudian Sajaknya dibacakan melalui siaran televisyen Al-Jazeera dan dipancarkan ke layar besar. Akhirnya Hosni Mubarak yang telah berkuasa 30 tahun lamanya terpaksa berundur.

Penyair dan sajaknya, kata rakan saya Hasan Aspahani dari Batam Pos, mengingatkan kekuasaan yang lupa. Katanya, puisi (meskipun) dianggap hal yang remeh dan rapuh memang mempunyai peranan yang unik. Katanya, menulis sajak adalah untuk menjaga kewarasan, merawat akal sihat.

Apa isu terkini? Mungkin tak ada isu yang besar. Tetapi seorang ibu tua dari Kota Belud memberitahu bahawa kini sudah hampir empat bulan mereka tidak menerima bantuan kebajikan. "Pegawai berkata mereka akan datang ke rumah untuk melihat keadaan kami, sama ada kami layak menerima bantuan atau tidak.Tetapi sehingga kini, sudah empat bulan, mereka tidak juga datang-datang," katanya.

"Bagi mereka yang ada pendapatan, mungkin perkara itu tidak apa-apa. Tetapi bagi kami, kematian suami, dengan anak yang ramai, selalu sakit-sakit, bantuan kerajaan itu amat bermakna," kata Kakak Mayang.

Saya teringat Robert Foo, Timbalan Presiden Majlis Persatuan Warga Tua Sabah (COSCA) yang tidak berpuas hati kerana ramai warga tua yang tidak menerima bantuan RM300 sejak Ogos lepas kerana sedang mengkaji semula bagi menentukan status penerima.

"Kita menyokong tujuan dan objektif kajian semula itu supaya mereka yang tidak layak dikeluarkan dari senarai. Bagaimanapun, masa yang diambil terlalu lama sehingga menjejaskan penerima yang miskin dan betul betul memerlukan.

"Jabatan mahu kaji semula no problem...kita sokong...tapi kenapa ambil masa terlalu lama...Orang tua yang miskin tidak boleh tunggu terlalu lama kerana mereka amat perlukan bantuan," katanya sambil menambah, wang itu bukan saja diperlukan untuk keperluan seharian tetapi juga digunakan untuk ubat-ubatan.

Sebenarnya saya tidak dapat memusatkan fikiran. Kehilangan fokus, antara isu terkini, bantuan orang tua, pilihanraya kecil, tokoh-tokoh yang asyik berbalah kerana kepentingan politik mereka, dan puisi yang tak terkuburkan.

Apa cerita baru mengenai `Sultan' Sulu? Apa perkembangannya? Sesungguhnya saya tidak dapat menjawab dengan pasti. Saya teringat sebuah pantun lama yang popular di kawasan Pantai Barat Sabah yang bunyinya `minum kopi tidak bergula, pahit-pahit kuminum juga, kalau datang hatiku gila, ambil kayu pukul kepala'.

Saya sedar betapa ramai orang kampung di luar bandar yang minum kopi tidak bergula kerana kehidupan mereka yang tidak berkecukupan. Mereka terpaksa meminum air kehidupan walaupun pahit.Mereka terpaksa menelan kepahitan itu kerana kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak dan sebagainya.

Kenaikan harga barangan dan petrol, kata Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak, merupakan satu fenomena global."Tiada satu negara pun terlepas daripada kesan kenaikan itu," katanya.

Namun saya tidak pasti kepada siapa pantun itu ditujukan dan kenapa orang-orang dulu menciptanya. Kalau datang hatiku gila, ambil kayu pukul kepala!. Saya fikir soal `hatiku gila' ini berlaku kerana tekanan perasaan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Kerana itu, apabila didatangi sejenis kegilaan seperti itu, maka tanpa usul periksa, `ambil kayu pukul kepala'.

Minum kopi tidak bergula banyak kebaikannya dari segi kesihatan, asalkan jangan memukul kepala bila terasa pahitnya kehidupan.

UTUSAN BORNEO
20 FEBRUARI 2011