Jumaat, 4 Februari 2011

Rakaman perjalanan di Semporna 31 Jan-2 Feb 11

Tags

Kalau takut dipukul badai, jangan berumah di tepi pantai.
Saya teringat peribahasa itu ketika menginap di floating pada hari itu.Bukan kerana kami berani, tapi saya telah berjanji kepada anak-anak bahawa kalau kami ke Semporna, saya akan membawa mereka ke hotel yang terletak di atas air itu.
Tahun lalu semua tempat sudah penuh tetapi alhamdulillah,kali ini anak-anak dapat merasai bagaimana rasanya tidur sambil dibuai suara ombak.

ii- Haji Abdul Rahman agak sibuk juga tetapi beliau cukup bermurah hati untuk menempah bilik di Dragon Inn itu.Untuk family room, dikenakan sewa sebanyak RM120 satu malam tetapi malam kedua, isteri saya tidak sanggup lagi melihat kerenah anak-anak yang sentiasa berkejar-kejaran di atas jambatan.Jadi kami memilih untuk bderpindah ke City Inn, di tengah pekan Semporna.

iii- Jam 3.00 petang, selepas makan tengahari, kami dibawa Mail ke kebunnnya yang terletak kira-kira 2km dari Simpang Semporna-Kunak.Peneroka meminta kerajaan agar memberikan hak kepada mereka untuk terus meneroka tanah, yang ketika ini dikatakan dituntut oleh satu pihak lain.
Saya sempat menemuramah dan mengambil gambar mereka sementara anak-anak asyik menuliskan nama mereka di pokok pokok kaktus.

iv- Kami menikmati makan malam di sebuah restoran di sisi jalan, berdekatan bot Arung Hayat. Selepas itu, kami ke kedai Guardian membeli ubat kerana Mehran,Fawzan dan farhan batuk-batuk dan demam selesema.

v. Tidak lama kemudian, Ustaz Haji Abu Masykur Arifin Nasution membawa kami berkeliling Semporna. Saya mengenali Ustaz sejak saya masih belia lagi, iaitu sejak Perkampungan Sasterawan di Sandakan 7-9 Disember 1986. Ketika itu beliau bertugas di Kuala Penyu.
Kini beliau telah bertugas di Semporna hampir 15 tahun, 8 tahun di Inabah Kamal dan kemudian dilantik Guru Besar Sekolah Agama Islam Pekan Semporna yang dianugerahkan pentadbiran terbaik sekolah agama tahun lalu. Sebelum ini, Ustaz Masykur pernah bertugas selama 13 tahun di Kuala Penyu dan sebelum itu, dua tahun di Pitas.

vi. Keesokan harinya, kami juga sempat bertandang dan dijamu makan tengahari di rumahnya di pekarangan sekolah Sekolah Agama Islam Semporna.Kemurahan dan kebaikan hati Ustaz itu tetap jadi kenangan kami sekeluarga. Anaknya Asraf dijadual ke Mesir pada 20 Februari tetapi keadaan masih kacau di kaherah,mungkin terpaksa ditangguhkan.Taufik pula masih menunggu keputusan peperiksaan SPM manakala Rofiqah masih PMR.

Saya sempat juga menyungkil beberapa pengalamann Ustaz Masykur selama 31 tahun dalam kiprah dakwahnya di Sabah.Terselit pengalaman-pengalaman lucu dan menarik. juga cabaran-cabaran dakwah yang perlu dihadapi.

Saya rasa ingin menulis mengenai halangan atau kekangan yang dikenakan oleh pemilik-pemilik supermarket di beberapa tempat di Pantai Timur, yang tidak membenarkan pekerja mereka mengenakan tudung.Bagi saya, ia sesuatu yang tidak patut, apatah lagi Islam merupakan agama rasmi di negara ini.

vii. Memang ramai juga rakan rakan di Semporna yang tak sempat diberi khabar mengenai kunjungan kali ini. Saya ternampak Madsakiran ketika kami minum kopi di Kedai Kopi United.Saya juga terlupa telefon Saidin Bashir, wartawan Utusan Borneo di Semporna.

viii. Md.Aziz memberitahu bossnya, Datuk Shafie Apdal akan merasmikan satu majlis di Lihak Lihak jam 3.00 petang.Katanya, dia akan minta SUKnya menjemput saya tetapi saya tak sempat datang kerana petang itu, jadual balik ke Tawau.

ix. Selepas tiga hari di Semporna, kami pulang ke Tawau menaiki bas Tong Talun dengan tambang RM10.00 seorang.Setiap seorang diberikan sebotol air mineral dan beberapa biji gula gula kiss me.

x. Satu jam empat puluh minit kemudian kami turun di Terminal Bas Tawau, dengan sedikit letih tetapi gembira.