Sabtu, 12 Februari 2011

Satu obituari kepada arwah Wahab Haji Rumashid

Tags

"Amai Aliban baru saja kembali ke rahmatullah," kata Ustaz Haji Awang Laiman ketika terjumpa di Likas, tengahari tadi 12 Feb. Ketika itu saya sedang bercakap dengan Amai Murni (Mulkaseh Haji Renda) mengenai kampung kami yang mengambil bahagian dalam pertandingan kebersihan peringkat Bandaraya Kota Kinabalu.

Amai Aliban atau nama sebenarnya Wahab Haji Rumashid merupakan aktivis budaya dan masyarakat yang gigih. Orang kampung kami memanggilnya Amai Aliban kerana sudah menjadi budaya kami, seseorang itu dipanggil menggunakan nama anak sulungnya.

Arwah Wahab pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bumiputera Iranun Sabah (PISBA). Beliau merupakan seorang pendukung yang kuat terhadap kemajuan dan pembangunan masyarakat Iranun, baik dari segi sosial dan budaya.Beliau juga dikenal sebagai salah seorang tenaga utama, disamping Sdr Alimun Haji Unggoh, yang memperkenal dan mempromosikan tarian sumaranun, dayang sulut sulampid dan mang mang bumbungan dalam tahun tahun 80-an dan 90-an.

Pemergiannya ke alam baqa- dalam usianya lingkungan 70- merupakan satu lagi kehilangan besar bagi masyarakat di kampung Merabau, Kota Bungan, Tamau, dan sekitarnya.

Beliau juga merupakan salah seorang agen perubahan di kampung kami. Arwah Wahab merupakan salah seorang yang mula-mula sekali memiliki kereta `pairit' dari Kota Belud ke Api-Api ketika jalanraya masih bengkang bengkok dan mengambil masa hampir dua jam setengah untuk sampai ke ibu kota. Kereta Pairit adalah pengangkutan utama dari daerah kecil itu ke Kota Kinabalu. (Sebutan pairit itu,mungkin berasal dari pirate bermakna kereta sapu tapi digunakan dengan meluas dengan makna baru iaitu kereta pengangkutan awam dari kampung ke pekan).

Sepanjang ingatan saya, hanya empat orang dari kampung kami yang memiliki land rover (kemudiannya bas mini) yang menjalankan perniagaan pengangkutan dari KB ke KK. Mereka ialah arwah Jairin Idtung, arwah Haji Ak Atoh Tawar dan arwah Sadim Haji Samad. Dengan kepulangan arwah Wahab, maka generasi pertama agen perubahan di kampung kami telah tiada.

Saya menyebut mereka agen perubahan, kerana melalui mereka masyarakat dari kampung kami, dan dari Kota Belud amnya, melihat dunia luar dari Kota Belud. Ketika itu, perjalanan dirasakan amat jauh dan dengan tambang RM5.00, ramai orang memilih untuk ke ibu negeri, sama ada untuk bekerja, melanjutkan persekolahan atau urusan-urusan lain.

Saya bahkan pernah menaiki kereta arwah Sadim Haji Samad tanpa membayar tambang kerana saya baru saja selesai SPM ketika itu, dan pergi ke Kota Kinabalu untuk menimba pengalaman.

Mereka inilah, pakcik Wahab dan kawan-kawannya yang lain, yang menjadi agen perubahan dari kehidupan nelayan dan petani yang dijalani penduduk kampung beralih kepada menjadi pegawai dan kakitangan kerajaan, kakitangan swasta, ahli perniagaan dan sebagainya.

Ketika itu, suratkhabar belum begitu berpengaruh dalam kehidupan kerana tidak banyak dibaca orang. Peti televisyen juga hanya dimiliki beberapa orang di kampung kami .Kami selalu menonton di rumah halaman kedai arwah Jairin, Pa' Darun, Cikgu Ujud, Haji Ahmad dan lain-lain.

Kereta Pakcik wahab, arwah Jairin, Arwah Badtuan (Hj Ak Atoh Tawar) dan Pakcik Sadim lah yang menjadi sarana pengangkutan awam dari kampung kami ke Kota Belud kemudian ke Kota Kinabalu.

Tanpa mereka,Kampung Merabau, Tamau, Kotabungan dan sekitarnya mungkin agak lambat menerima perubahan dan pembangunan.

Pakcik Wahab atau Amai Aliban telah kembali ke rahmatullahi hari ini.Semoga rohnya ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman dan beramal saleh.Al Fatihah.