Wednesday, February 9, 2011

Sekadar apresiasi kepada tukang gunting rambut bernama Ah Lee

Sejak beberapa hari lalu saya mencari Ah Lee. Sudah dua tiga kali saya berkunjung ke Sinsuran tetapi saya diberitahu, Ah Lee masih bercuti. Walaupun berasa rimas kerana tak dapat bergunting rambut, saya tetap menunggu Ah Lee.

Rupanya, tanpa sedar, saya telah bergunting di kedai gunting Mei Mei itu sejak lebih 20 tahun lalu, dan tukang gunting saya ialah Ah Lee. Entah berapa ribu sudah kepala orang yang telah dipangkas rambutnya. Kalau sehari beliau menggunting rambut seramai purata 12 orang, bermakna dalam setahun beliau menggunting rambut seramai 3,000 hingga 4,000 orang.

Saya sendiri hanya bergunting rambut dengan Ah Lee.Tak tahu kenapa tapi saya rasa selesa bergunting rambut dengannya. Saya duduk dan tanpa bertanya lagi, dia tahu fesyen rambut yang saya sukai.

Sebelum Ah Lee, saya memang suka bergunting dengan abang ipar saya, Sh Baharun. Saya juga bergunting dengan Cikgu Bakri, dan sebelum itu dengan arwah Payatung. Sewaktu kecil, ayah sayalah yang selalu menggunting rambut saya, dengan pesan supaya saya jangan memberitahu orang lain bahawa beliau yang menggunting rambut saya kerana katanya, kalau orang tahu, nanti orang berduyun-duyun datang bergunting ke rumah kami.

Sejak 90-an iaitu sejak saya bekerja di DBP, saya bergunting rambut dengan Ah Lee di kedai gunting rambut Mei Mei. Waktu itu usia Ah Lee sudah 20 tahun. Kami sebenarnya sebaya, cuma saya kini sudah dikurnai 3 anak, Ah Lee baru dikurniakan dua anak.

Kami dilahirkan pada tahun yang sama. 1969. Tahun ayam, kata Ah Lee. Dia meminta saya berjaga-jaga kerana tahun 2011, tahun arnab,mengikut kepercayaannya bisnes tak menjadi bagi orang yang lahir pada tahun ayam. Jaga sikit dompet kamu, katanya, kerana kalau tak hilang,mungkin ada risiko dicuri orang.
Saya tersenyum kerana kebetulan pula, dompet saya hampir hilang dalam bas Tung Ma, tiga hari sebelum tahun baru Cina.

Ah Lee baru balik dari Tambunan kerana mengiringi tarian singa. Mujurlah beliau bekerja kelmarin kerana kalau tidak, tidaklah dapat saya bergunting rambut.
Saya teringat, Tan Sri Pandikar yang selalu bergunting di kedai gunting yang sama, sejak berpuluh tahun di KK.Juga Datuk Anifah Aman yang khabarnya suka bergunting rambut di Jalan Gaya.

Entah kenapa tidak ramai di antara kita, khususnya belia kita, yang memilih kerja menggunting rambut. Bayangkan betapa lumayan pendapatan mereka. Bayangkan kalau tak ada tukang gunting di dunia ini, sudah tentulah rambut kita panjang menggerbang kerana tidak digunting.

Saya sebenarnya kagum betapa tingginya ketekunan dan komitmen Ah Lee menggunting rambut, iaitu sejak masih bujang hinggalah kini sudah beranak dua. saya juga kagum dengan kapitan Cina KK, yang menjadikan kerjaya tukang gunting rambut untuk berhubung dan memimpin masyarakatnya.

No comments: