Ahad, 20 Februari 2011

Tentang lelaki yang menjual nombor

Tags

Sudah lama saya memerhatikannya. Pada hari hari tertentu, beliau kelihatan sibuk. Duduk di depan skrin komputer. Sebentar kemudian mencetak keputusan cabutan itu dan memperbanyaknya. Setelah diperbanyak, beliau dengan giat dan ligat berjalan dari satu tempat ke satu tempat di tengah bandaraya ini untuk menjual kertas yang diperbanyaknya itu. 50 sen satu. Berjalan dari meja ke meja itu, beliau boleh menjual puluhan kertas keputusan cabutan itu. Saya tidak pasti apakah kanak-kanak PTI yang berkeliaran itu juga menjadi pekerjanya untuk menjual kertas yang difotokopi itu. Sebenarnya saya kagum dengan semangatnya. Dia bekerja keras untuk hidup di tengah kotaraya ini. Juga rajin menjual apa saja yang boleh menghasilkan duit. Saya rasa dia bukan Melayu. tapi saya lihat ramai juga orang Melayu yang membeli kertas keputusan nombor ekor yang dijualnya itu. Kemudian mereka bercakap sesama sendiri tentang nasib baik dan tidak baik. Tentang nombor yang hampir kena, tentang nombor yang tak dibeli, tentang nombor tertentu yang diramalkan dan di`pelihara' bertahun-tahun lamanya. Setiap hari tertentu, nombor itu sajalah atau nombor yang melintas dalam mimpi mereka saja yang diberi untuk `cari nasib'. Tapi yang mengagumkan saya ialah melihat orang itu bersemangat, sentiasa berlumba, bersaing, cekap , menjual dari meja ke meja keputusan nombor ekor itu. Sebentar kemudian dia sudah berada di tempat lain untuk menjual di meja lain pula. Berapa pendapatannya satu malam?. Saya tidak pasti tetapi kalau sehelai kertas fotokopi itu boleh dijual 50 sen sekeping, bayangkan kalau dia dapat menjual 100 keping atau 200 keping satu malam. Dia tak payah beli nombor. Dia hanya jual nombor kepada orang orang yang kaki nombor. Sementara yang lain menepuk nepuk dahi kerana tak kena nombor, dia senang hati kerana dapat menjual nombor. Saya perhatikan dia sudah lama menjual keputusan nombor ekor itu. Mungkin sudah lebih satu tahun. Saya tidak tahu berapa pendapatannya, tapi saya tahu dia dapat hidup hanya dengan menjual kertas berisi nombor-nombor itu.