Monday, February 14, 2011

`Walau layar mengisi dunia, tidak dapat menghampir kastum'

`Walau layar mengisi dunia, tidak dapat menghampir kastum'.
Inilah sepotong pantun (saya tidak ingat pembayangnya) yang dikatakan ibu saya kepada arwah ayah saya ketika mereka baru berkenalan dahulu.

Walau layar mengisi dunia, saya tiba tiba terbayang bagaimana bentuk lautan kiranya setiap sudutnya dipenuhi kapal layar.Meskipun pantun ini merakamkan sikap keengganan pihak wanita yakni ibu saya, tetapi ia lebih sekadar menduga bagaimana dalamnya kasih ayah saya kepada ibu saya.

Katanya, `walaupun layar mengisi dunia, ia tidak dapat menghampir kastum'. Mulanya saya tidak mengerti apa makna kastum, dan apa itu kastum. Rupanya `kastum' merujuk kepada pelabuhan.Di kalangan masyarakat Iranun dan Bajau dulu, menyebut pelabuhan itu sebagai `kastum' kerana di setiap pintu masuk pelabuhan itu akan ada pemeriksaan kastam.

Jadi bayangkan, walaupun betapa banyaklah layar yang `mengisi dunia' tetapi ia tetap tidak dapat menghampiri pelabuhan.Dalam bahasa Melayu di kampung kami, selalu disebut `menghampir kastum'.

Pantun ini menjelaskan kepada kita beberapa perkara. Pertama, tradisi berpantun yang hidup subur dalam budaya orang lama yang kini semakin pupus. Kedua, bahawa kehidupan masyarakat kampung khususnya pada zaman-zaman 50-an, 60-an dan 70 an tidak dapat dipisahkan dengan kastum atau pelabuhan.

Kebanyakan penghijrah dari kampung khususnya dari Kota Belud, Kudat ketika itu bekerja sebagai buruh pelabuhan. Ketika itu, kebanyakan mereka paling tinggipun hanya mengecap pendidikan setakat darjah satu atau darjah dua, kerana akses kepada pendidikan agak sukar terutamanya sekolah di luar bandar.
Ketiga, pada masa itu, masyarakat Iranun akrab dengan kapal layar, walaupun dua ratus tahun sebelum itu mereka merupakan pelayar pelayar yang hebat di nusantara.

Keempat, kastum atau pelabuhan pada ketika itu menempati kedudukan istimewa di kalangan masyarakat kampung yang terpencil kerana kebanyakan orang yang berjaya, dapat pula memiliki rumah dan tanah, di kawasan bandaraya adalah mereka yang pada asalnya bekerja sebagai buruh pelabuhan dan mempunyai hubungan ekonomi dengan keluar masuk kapal di pelabuhan.

Kita dapat juga menyimpulkan bahawa kaum wanita Iranun ketika itu, bukan mudah didekati. Perlu perjuangan untuk mempersunting seorang gadis Iranun.Mereka agak skeptis terhadap pujukrayu lakilaki, sehingga dikatakan bahawa `walaupun layar mengisi atau memenuhi dunia' yang agak bombastik bunyinya, ia tetap tidak dapat menghampiri atau tidak dengan mudah dapat berlabuh di pelabuhan.

Pelabuhan, rupanya-rupanya bukan setakat tempat nakhoda menambatkan kapalnya tetapi juga tempat bermulanya ketamadunan. Hampir semua kota, pada zaman bahari, didirikan berdekatan pelabuhan. Sarjana Dr.Adrian Lapian yang mengkaji mengenai dunia pelayaran di nusantara pada abad ke-16 dan ke-17, tidak menafikan hakikat ini.

Jikalau pelabuhan dapat dihubungkan dengan peradaban, kapal layar (sebelum kedatangan kapal enjin) merupakan sarana pengangkutan utama yang bergerak dan menghubungkan pelabuhan ke pelabuhan yang lain. Sudah pasti, layar tidak dapat digunakan tanpa bantuan angin. Pada ketika itu, semua nakhida kapal bijak membaca arah angin sehingga banyak istilah angin muncul antaranya angin selatan, angin barat, angin timur, utara, tenggara dan sebagainya, yang digunakan dgn bijak oleh pelaut Cina dan India dan Arab juga Eropah untuk berdagang di selat Melaka.

Tanpa bantuan angin, jelas sekali walau layar mengisi dunia, tak akan dapat menghampiri `kastum'. Tapi kalaupun ada angin, kapal layar tidak dapat bergerak tanpa keahlian seorang nakhoda.

No comments: