Jumaat, 18 Mac 2011

chef johan, satu dalam seribu

Tags

CHEF JOHAN, SATU DALAM SERIBU

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

WALAUPUN tidak begitu dikenali di negeri kelahirannya sendiri , tetapi Chef Johan melakar nama bukan saja di Kuala Lumpur malah hampir ke seluruh seantero dunia.

Beliau mungkin satu dalam sejuta.Anak petani dari suku kaum Rungus, kelahiran Kudat pada 11 Januari 1956 ini,tidak menyangka ayunan langkah kaki yang dimulakan di sebuah kampung kecil di utara Sabah ketika masih remaja telah membawanya menempuh perjalanan beribu batu, merentas pelbagai sempadan negara, bukan sekadar mempromosi makanan malah membantu mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan terbaik di mata dunia.

Lebih dikenali sebagai `King Chef' di luar negara , Chef Johan Sinam telah berkecimpung selama 23 tahun dalam dunia masakan. Beliau bukan saja seorang chef selebriti, malah berpeluang mendekati golongan VVIP termasuk kerabat diraja, menyediakan hidangan untuk tetamu VVIP seperti Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agung, Sultan Mizan Zainal Abidin, bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Sinawatra, dan duta-duta besar.

Keramahan serta sikap prihatin dan pendekatan dalam menitikberatkan pemakanan sihat membuatkan kehadirannya sering disenangi. Bukan sekali dua, malah setidak-tidaknya setiap bulan, Chef Johan Sinam pasti mendapat undangan untuk mengiringi pembesar negara ke luar negara.

"Menyediakan hidangan tetamu VVIP dan pembesar negara bukanlah satu tugas yang mudah dan boleh di anggap enteng," katanya. "Namun peluang untuk menyiapkan hidangan untuk pembesar dan sultan juga boleh di atakan satu dalam sejuta," katanya.

"Bukan semua orang akan mendapat peluang seumpama itu dan ia merupakan satu penghormatan yang besar untuk seseorang individu itu," katanya kepada Utusan Borneo.

Chef Johan sering menyediakan santapan diraja. Antara pengalaman yang masih segar dalam ingatannya sehingga kini ialah ketika menyediakan santapan di raja di Thailand. "Masa itu hati saya memang berdebar," katanya.

"Selagi majlis itu belum selesai, selagi itu saya susah hati," katanya. "Sebab semua jemputan kenamaan akan merasai masakan saya," katanya lagi.
"Malah saya tidak boleh tidur semalaman ketika itu," katanya.

Menurutnya, menu juga akan berubah pada setiap hari. Beliau cukup cerewet dan berhati-hati dalam menyediakan hidangan untuk tetamu istimewa.Katanya walaupun golongan ternama tidak terlalu pemilih , tetapi dalam pemilihan makanan, Chef Johan tahu mengenai selera mereka kerana sudah berpengalaman dalam bidang ini.


Soalnya, makanan yang disajikan perlulah berkhasiat, kata Chef Johan lagi. "Kebiasannya mereka sukakan masakan kampung," katanya.

Walaupun bukan tugas yang mudah tetapi pengalaman menyediakan hidangan untuk tetamu VVIP tetap merupakan satu pengalaman yang berharga dan sukar dilupakan.

Walaupun tidak berapa dikenali di Sabah, Chef Johan cukup bangga kerana dikenali di Semenanjung Malaysia dan di luar negara sebagai anak jati Borneo dan Malaysia . Di kalangan petugas kedutaan, dia dikenali sebagai King Chef.

Tugasnya tidak sekadar mempromosikan makanan semata-mata bahkan turut mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang terkemuka.
Beliau pernah mewakili negara ke Amerika Syraikat, China, Vietnam, Cambodia, Bangkok, Laos dan Sudan.Ketika mengiringi DYMM Yang Di Pertuan Agong ke Laos, pada 26 hingga 28 Mei 2008, beliau turut mendapat penghargaan.Tidak lama kemudian, pada Disember tahun yang sama, beliau juga turut menyertai promosi makanan dan kebudayaan di Vientianne, dengan tugas utamanya mempromosi makanan dan juadah tradisional Malaysia.

Chef Johan mempunyai tiga anak dan tiga cucu. Sejarah kehidupan lelaki ini memang panjang. Sebelum menceburkan diri dalam bidang masakan, Chef Johan pernah bertugas di Chartered Bank Kota Kinabalu dan beberapa institusi kewangan selama 15 tahun. Selepas itu, beliau kemudian beralih arah ke dunia masakan, ke satu bidang yang sama sekali baru tetapi telah membawa lembaran baru dalam kehidupannya.

Dia tahu dunia barunya itu pasti akan membawa tuah.Tanpa mengenal putus asa, Chef Johan sentiasa merebut peluang dan membina kerjayanya sebagai Chef. Bermula di Kudat Marina Resort, yang menjadi sebahagian saksi permulaan lakaran episod kerjaya, disitulah Chef Johan mula mencipta nama.

Bintangnya kemudian terus gemerlapan, apabila diundang untuk menjayakan slot untuk program Televisyen RTM `Untuk Mu Wanita' pada tahun 2003. Penghijrahannya ke Semenanjung Malaysia terys membantu mengembangkan lagi kerjayanya.

Dia tahu bidang masakan ini mempunyai masa depan yang cerah. Dia dan anak lelaki bungsunya, Chef Aga juga melibatkan diri dalam menjayakan ceramah-ceramah di kolej-kolej kulinari swasta dan separuh kerajaan, antaranya Legend College, Inti College dan Jabatan Laut Diraja. Selain ceramah, Chef Johan juga mengadakan promosi produk dan antara pelanggannya ialah Bernas, Covolab Chocolate, MPOC dan banyak lagi.

Beliau juga mempunyai syarikat di Kuala Lumpur iaitu Chef Johan Kitchen Consultants. Kerana itu, beliau diberikan penghargaan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia untuk mewakili Malaysia mempromosi makanan dan kebudayaan Malaysia di luar negara dan dinobatkan sebagai selebriti chef di Malaysia. Di samping itu juga, Chef Johan merupakan perunding makanan bebas local dan mengiringi VVIP dalam lawatan ke luar negara.

Lantaran itu, Chef Johan sememangnya menggalakkan anak muda berkecimpung dalam dunia masakan kerana ia menjanjikan kehidupan yang selesa dan pendapatan yang lumayan jika kita bersungguh-sungguh.

Kini selain tugasnya sebagai chef, Chef Johan juga menjadi perunding makanan, penceramah undangan dan penceramah jemputan dalam sektor makanan di dalam dan luar negara.Jejak kejayaan yang telah dirintisnya mungkin boleh oleh generasi belia kerana bidang masakan sentiasa menantikan bakat-bakat baru yang mampu menyerlah hingga ke peringkat antarabangsa.

3 comments

bangga sebab chef johan pernah datang ke college tmpt saya blajar...inti college

hmm.. i know him.. he is nice person.. also his son Aga.. hope to see them soon. From Indonesia