Sabtu, 26 Mac 2011

Datuk Bobbey,tokoh yang dekat dengan rakyat

Tags

MULANYA saya bercita-cita menjadi seorang pendidik,kata Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Bobbey Ahfang Suan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Nabawan ini tidak pernah terfikir untuk menjadi wakil rakyat. "Apa yang saya fikirkan ketika itu ialah bagaimana membantu mendidik anak bangsa agar mereka menjadi sebuah masyarakat yang berpengetahuan dan berpelajaran supaya kehidupan mereka bertambah baik dan dapat keluar dari belenggu kemiskinan.Datuk Bobbey Ahfang Suang berasal di Kampung Tampanon, Pensiangan.Dilahirkan pada tahun 1954, beliau menerima pendidikan awal di GPS Pekan Pensiangan sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SMK Keningau. Selepas tamat persekolahan, beliau bekerja sebagai kerani di Lembaga Padi Sabah. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dan berjaya memperolehi Diploma Pendadbiran Awam. Sekembalinya ke Sabah, beliau dilantik sebagai Pegawai Daerah Nabawan. Tidak lama kemudian beliau ditukarkan ke Jabatan Pembangunan Negeri.

Pada tahun 1983, Bobbey sekali lagi berangkat keluar negara dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Pentadbiran Awam dari Universiti Canterbury. Selepas balik dari UK, beliau ditugaskan di Bahagian Protokol selama satu tahun sebelum dilantik sebagai Pegawai Daerah Sipitang pada tahun 1986. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pegawai Daerah Tenom pada tahun 1990.

Beliau merupakan anak kedua dari lima adik beradik. Mendirikan rumahtangga dengan Datin Barbara Edward dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nester Suan,32, kini pengusaha cafe dan Kimberky Suan, 21, yang kini menuntut di Universiti Auckland New Zealand dalam bidang Sains Pemakanan.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual Datuk Bobbey Ahfang Suan (DBAS) disalah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri, Rabu lepas

UB: Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk diwawancara Datuk. Boleh ceritakan sedikit pengalaman Datuk sebelum menjadi wakil rakyat?
DBAS: Sebelum menjadi wakil rakyat, saya pernah bertugas kerani di Lembaga Padi Sabah (LPS) iaitu selepas saja menamatkan persekolahan di SMK Keningau. Kemudian saya ke United Kingdom untuk melanjutkan pelajaran sehingga memperolehi Diploma dalam bidang Pentadbiran Awam.Sekembalinya ke Sabah, saya dilantik sebagai Pegawai Daerah Nabawan. Selepas itu, saya ditukarkan ke Jabatan Pembangunan Negeri.

Tidak lama kemudian, pada tahun 1983, sekali lagi saya berangkat ke England untuk melanjutkan pelajaran. Setelah berjaya memperolehi ijazah sarjana muda dalam bidang Pentadbiran Awam dari Universiti Canterbury, saya ditugaskan pula di bahagian protokol selama satu tahun. Kira-kira pada tahun 1986, saya dilantik sebagai Pegawai Daerah Sipitang. Selepas itu, pada tahun 1990, saya dilantik pula sebagai Pegawai Daerah Tenom sehinggalah menceburkan diri dalam politik.

UB: Bagaimana Datuk mula terlibat dalam politik?
DBAS: Penglibatan saya dalam politik pada tahun 1994. Ketika itu,saya mendapat dorongan dari rakan-rakan untuk bertanding dalam pilihanraya. Kata mereka, melalui politik, saya dapat berkhidmat dengan lebih baik untuk membantu rakyat untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Ekoran itu, saya meletakkan jawatan dalam perkhidmatan kerajaan dan bertanding dalam pilihanraya atas tiket BN-UMNO di DUN Kemabong tetapi kalah kepada Datuk Rubin Balang . Selepas menerima kekalahan itu, saya menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Saya tidak bertanding dalam pilihanraya 1999, sebaliknya saya menumpukan komitmen dalam bidang perniagaan.

Bagaimanapun, pada tahun 2004, saya dipilih untuk bertanding di kampung halaman saya sendiri iaitu di Nabawan dan menang dalam pilihanraya itu setelah mendapat kepercayaan rakyat. Kemudian saya dilantik sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan.


UB: Apa perbezaan zaman dahulu dengan zaman sekarang, khususnya dalam mendapatkan akses dalam bidang pelajaran?
DBAS: Dahulu kami berjalan kaki ke sekolah. Rumah saya terletak kira-kira dua kilometet dari sekolah.Ketika itu tak ada jalanraya seperti sekarang. Selepas sekolah rendah, saya bersekolah di SMK Keningau, satu kelas dengan Datuk Radin Maleh. Juga satu sekolah Datuk Dr.Maximus Ongkili. Ketika itu, SMK Keningau merupakan satu-satunya sekolah menengah terbaik di kawasan pedalaman.

UB: Siapa yang menjadi idola Datuk sehingga berjaya dalam kehidupan?
DBAS: Saya mendapat dorongan untuk belajar bersungguh-sungguh dari kedua ibu bapa saya. Mereka mahukan anak-anak untuk berjaya dan mendapat pekerjaan. Ketika menunggu keputusan peperiksaan tingkatan tiga, saya dijanjikan pekerjaan oleh Pegawai Daerah ketika itu, Benjamin Mohamad iaitu kalau lulus ada kerja untuk saya. Tetapi bila melihat kelulusan saya yang agak baik dalam tingkatan tiga, beliau tidak mengambil saya kerja sebaliknya menggalakkan saya belajar ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
Kemudian selepas lulus dalam tingkatan lima, ketika bekerja sebagai kerani di Lembaga Padi Sabah, saya terhutang budi kepada Tun Hamdan Abdullah, mantan Yang DiPertua Negeri, yang ketika bertugas sebagi Pengarah di Lembaga Padi Sabah. Beliaulah yang banyak mendorong saya untuk segera melihat dunia luar dan meluaskan wawasan untuk berjaya ke peringkat yang tinggi.

UB: Apakah cabaran utama yang Datuk hadapi ketika menjadi Pegawai Daerah Nabawan ketika itu?
DBAS: Boleh dikatakan banyak cabaran yang dihadapi. Kemudahan infrastruktur agak kurang memuaskan. Keadaan jalan raya tidak seperti sekarang.Dahulu yang ada, hanya jalan tanah, jalan kelikir pun tidak ada. Untuk berhubung dari satu tempat ke satu tempat, hanya menggunakan radio call atau telefon. Kemudahan internet, ataupun telefon bimbit tidak ada malah belum didengar ketika itu. Apatah lagi, Nabawan merupakan sebuah daerah yang terpencil. Jadi cabaran yang dihadapi amatlah tinggi.Kehidupan masyarakat juga susah.

UB: Apa perasaan Datuk ketika berkhidmat sebagai DO ditempat sendiri ketika itu?
DBAS: Sebagai anak tempatan kita memang berasa bangga dapat berkhidmat di daerah sendiri. Kita berasa yakin kerana mengenali masyarakat tempat kita berkhidmat. Kita mengenali adat istiadat, dan budaya mereka. Ini memberikan kita keyakinan untuk menjalankan tugas yang diamanahkan.

UB: Pernah Datuk terfikir untuk menjadi wakil rakyat?
DBAS: Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi YB. Pada mulanya saya hanya bercita-cita untuk menjadi pendidik. Dalam fikiran saya ketika itu, saya hanya ingin mendidik dan membantu melahirkan sebuah masyarakat yang berpengetahuan dan berpendidikan kerana saya percaya hanya melalui pendidikan saja, yang dapat membawa mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.


UB: Apa harapan Datuk setelah menjadi wakil rakyat?
DBAS: Saya ingin melihat taraf hidup rakyat di Nabawan dapat ditingkatkan. Selain meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan yang saya wakili, saya juga menggalakkan mereka unbtuk menceburkan diri dalam bidang pertanian. Untuk itu, setiap tahun saya menyediakan peruntukan melalui peruntukan DUN untuk membekalkan benih-benih getah untuk ditanam . Sejak tahun 2005, setiap tahun saya menyediakan RM150,000 untuk membeli benih getah. Kini getah-getah yang ditanam pada tahun 2005 itu mula membuahkan hasil, dan dengan sendirinya meningkatkan taraf hidup keluarga mereka. Saya menggalakkan orang kampung agar menngerjakan tanah-tanah mereka.

UB: Apa komen Datuk terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan?
DBAS: Sistem penympaian atau delivery system amatlah penting.Banyak perancangan kerajaan tidak dapat dilaksanakan dengan tepat dan betul kerana sikap kakitangan awam, yang lambat dan tidak melaksanakan arahan yang sepatutnya. Apa yang menjadi kebimbangan sayaialah melihat tahap tenaga pelaksana di sektor awam dari pelbagai sudut termasuklah kecekapan dalam sistem pentadbiran dan mentaliti serta sikap di pihak pelaksana perlu ada perubahan atau penaikantaraf terlebih dahulu.

Perubahan ini perlu kerana kita akan berhadapan dengan sektor swasta dan pelabur yang tidak suka membuang masa atau enggan menerima banyak birokrasi.

"Perlaksanaan projek-projek biasa di peringkat daerah-daerah pun masih banyak kepincangan, terutamanya yang berkaitan dengan program pembasmian kemiskinan.,

UB: Akhir sekali Apa hobi Datuk ketika ada masa terluang?
DBAS: Jika ada masa terluang, saya suka membaca buku. Selain itu, saya juga suka berjalan menjelajah kampung-kampung di kawasan saya. Jika ada masa saya suka memancing ikan di Sungai Saliuh dan Sungai tagol. Aktiviti memancing ini dapat mendekatkan saya dengan alam, saya dapat menenangkan fikiran dan meredakan tekanan dan mendekatkan saya dengan kehidupan rakyat.