Friday, March 18, 2011

OKK Haji Masrin dan Seni Iranun yang hampir pupus

OKK HAJI MASRIN BERCAKAP MENGENAI SENI IRANUN YANG HAMPIR PUPUS

MESKIPUN pernah menjadi satu bangsa yang paling dominan di nunsatara pada abad ke17 dan abad ke 18 di kepulauan Nusantara, suku bangsa Iranun kini merupakan suku minoriti di negeri ini. Masyarakat Iranun dianggarkan berjumlah kira-kira 25,000 orang yang mendiami sebanyak 22 kampung di daerah Kota Belud, satu kampung di Kudat dan tiga kampung di Tungku Lahad Datu. Selain itu, masyarakat Iranun boleh ditemui di Kampung Likas, Warisan Inanam dan beberapa daerah lain di Sabah.

Suku bangsa Iranun yang satu ketika dahulu mampu membina kapal besar, membuat meriam, memiliki teknologi membuat garam, simen, mahir dalam ilmu pelayaran dan perkapalan, kini sebahagian besarnya menjadi nelayan dan petani manakala generasi mudanya kini menceburi perkhidmatan kerajaan, swasta, perniagaan dan sebagainya.

Bagaimanapun, suku bangsa Iranun yang dikenali kerana memiliki khazanah kebudayaan dan kesenian yang tinggi, kini semakin terancam pupus akibat digilis roda peredaran zaman. Generasi baru Iranun semakin tidak mengenali lagi bentuk seni tradisi seperti seni puisi Iranun iaitu bayuk, sambirunga, diguani, darangen, pananaroen dan sebagainya.

Wartawan Utusan Borneo, Abd.Naddin Hj.Shaiddin mewawancara Ketua Daerah Kota Belud, Orang Kaya Kaya (OKK) Haji Masrin Haji Hassin yang juga Pengerusi Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun sejak 2002. Beliau merupakan seorang tokoh budaya Iranun yang masih mengamalkan dan mempertahankan khazanah budaya itu daripada ancaman kepupusan kerana minat generasi muda yang masih luntur terhadap seni bayuk itu.

OKK Haji Masrin pernah berkhidmat sebagai guru bahasa Inggeris di Tandek pada tahun 1971 hingga 1974. Beliau kemudian menceburi bidang perniagaan sebelum melanjutkan pelajaran di Xavier University, di Cagayan de Oro, iaitu salah satu universiti tertua di Filipina. Beliau dilantik sebagai Ketua Daerah sejak 1996.

Temubual ini dijalankan sepanjang perjalanan dari Kota Kinabalu -Johor Bahru -Stulang Laut-Tanjung Pinang-Batam-Pekan Baru-Batam-Tanjung Pinang-Stulang Laut-Senai seterusnya dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu baru-baru ini.

Utusan Borneo: Boleh jelaskan sedikit mengenai takrif bayuk?
HMHH: Bayuk merupakan salah satu genre sastera berbentuk puisi dalam tradisi masyarakat Iranun. Seni Bayuk menggunakan bahasa yang puitis, penuh metafora, indah, menggunakan bahasa kalsik, mempunyai pembayang dan maksud dan sebagainya. Seni Bayuk mempunyai kesamaan dengan pantun, gurindam, nazam dan sebagainya.

Utusan Borneo: Sejak bila OKK berminat mengumpul bayuk?
OKK Haji Masrin Haji Hassin (HMHH): Saya minat mengumpul bayuk dan tarsila (salasilah) sejak berusia 12 tahun iaitu ketika masih di bangku sekolah darjah lima pada tahun 1965. Saya mengumpul dan mempelajari bayuk iaitu seni puisi Iranun dari ibu saya sendiri, Hajah Afsah Datu Abpa. Beliau merupakan seorang ahli bayuk yang terkenal ketika itu. Malah seni bayuknya itu tidak habis sehingga beliau kembali ke rahmatullah.

UB: Apakah OKK sudah menyedari kepentingan seni bayuk ketika itu?
HMHH: Pada mulanya, ketika itu tidak ramai yang menyedari mengenai kepentingan memelihara budaya Iranun. Malah satu ketika, pada tahun 1968, saya pernah ditegur oleh abang saya ketika ternampak saya menulis bayuk dalam buku catatan. Apa gunanya menulis bayuk, katanya kerana ketika kebanyakan orang berlumba-lumba mencapai kemajuan dalam sains dan tekonlogi. Saya tak menjawab sebaliknya menutup buku catatan dan menyembunyikannya di bawah tikar.

Dalam hati kecil saya ketika itu, saya melihat betapa pentingnya merakam dan mencatat bayuk atau seni puisi yang mengandungi pesan-pesan berupa nasihat, pengajaran, kata-kata hikmat, nilai keindahan bahasa, sejarah yang menunjukkan ketinggian peradaban masyarakat Iranun.

Namun pada tahun 1978, sebaik-baik menamatkan pengajian dari Mindanao, sikap abang saya, Pinjaman, terhadap bayuk banyak berubah.Beliau kemudian belajar seni bayuk setelah menempuh pengalaman di sana, iaitu ketika tidak dapat menjawab soalan kerana bayuk menggunakan bahasa tinggi, bahasa klasik Iranun yang hanya orang mempelajarinya saja yang mengerti mengenainya.

UB: Kalau menurut OKK, mana yang lebih dulu, Iranun di Mindanao atau Iranun di Sabah?
HMHH: Bagi saya kewujudan masyarakat Iranun di Sabah adalah lebih awal lagi. Banyak bukti dapat kita berikan, pertama tatabahasa kita lebih banyak berbanding dengan tatabahasa Iranun di Mindanao. Kedua, seni bayuk atau seni puisi kita mempunyai jumlah perenggan yang lebih panjang, mempunyai pembayang atau ilano dan maksud sedangkan seni bayuk tidak lagi terpelihara keasliannya. Selain itu, dari segi adat istiadat, ternyata adat istiadat Iranun di sabah jauh lebih kaya dengan Iranun di Mindanao.

Malah Profesor Dr.Mamitua Saber, seorang profesor di Mindanao State Universiti mengakui bahawa bahasa Iranun di Tempasuk lebih asli lagi. Prof.Mamitua merupakan seorang tokoh sejarah di Mindanao itu sendiri, semasa hidupnya mengakui bahawa nenek moyang mereka berasal dari Tempasuk.

UB: Berbalik kepada seni bayuk. Boleh ceritakan sedikit, bilakah seni bayuk dipersembahkan?
HMHH: Biasanya seni bayuk dipersembahkan ketika majlis-majlis keramaian iatu majlis peminangan, majlis perkahwinan, menyambut tetamu, dan hari-hari istimewa yang lain.

UB: Banyak kebimbangan mengenai kepupusan seni bayuk dalam masyarakat Iranun. Apa komen OKK?
HMHH: Ya, banyak kebimbangan mengenai kepupusan seni bayuk.Setelah datangnya kemodenan dan globalisasi, seni bayuk itu semakin dilupakan orang.Padahal seni bayuk merupakan salah satu bukti ketinggian peradaban Iranun. Bahasa bayuk boleh disesuaikan mengikut topik yang berbeza.

Misalnya ada seni puisi bayuk yang khas untuk kanak-kanak, ada yang untuk remaja, biasanya mengenai adab pergaulan, persahabatan manakala bayuk untuk orang dewasa mungkin bercerita mengenia masa depan, semangat kepahlawanan, adab berbangsa dan bernegara dan sebagainya.Bayuk a menggunakan bahasa metafora, iaitu bahasa Iranun klasik yang puitis dan indah. Didalamnya terkandung emosi, lebih menyentuh jiwa berbanding degan bahasa harian.

Kadang-kadang dalam satu majlis, terdapat dua kumpulan yang berbalas-balas bayuk, dan kita memhami betapa indahnya bahasa dan perlambangan yang digunakan oleh mereka. Apatahlagi, bahasa Bayuk mempunyai makna berlapis yang menunjukkan ketinggian bahasa Iranun. Bayuk mempunyai dua rangkap, empat rangkap dan enam rangkap. Kalau dulu, kanak-kanak mampu belajar bayuk kerana waktu itu tidak ada hiburan seperti radio dan tv. Tak ada internet, facebook atau twitter seperti sekarang. Komputeri pun belum mereka pernah tengok.

UB: Bagaimana minat orang Iranun terhadap seni Bayuk?
HMHH:Minat masyarakat Iranun terhadap seni bayuk terutamanya di kalangan generasi muda agak mengecewakan. Tidak ramai yang menaruh minat terhadapnya. Hanya beberapa orang, antaranya Mabulmaddin Haji Shaiddin, yang berusaha untuk mengumpul sedikit seni bayuk ini. Selain itu terdapat mahasiswa yang menaruh minat untuk membuat kajian mengenainya. Namun generasi muda Iranun perlu menyedari betapa pentingnya seni bayuk ini dipertahankan.

UB: Bagaimana pula minat pengkaji luar terhadap seni bayuk?
HMHH: Para sarjana barat minat mengkaji seni tradisi Iranun seperti yang pernah dilakukan oleh Profesor Emiritus Howard P.Mc Kaughan, yang membuat kajian sejak 1996. Mc Kaughan pernah berkata bahawa "since these Bayuk represent very early oral tradition, and because of the metaphoric style, they are often hard to understand, even for many of the Iranun speakers"

UB: Apa pengalaman OKK yang tidak dapat dilupakan sepanjang menceburkan diri dalam seni bayuk ini?
HMHH: Oh, banyak pengalaman menarik. Pernah satu ketika dalam satu kunjungan ke Mindanao, saya pernah berbalas bayuk dengan seorang tokoh bayuk di sana iaitu Hajah rahmah. Beliau seorang pakar Bayuk yang handal.Mujurlah saya juga banyak menyelidik mengenai Bayuk ini.
Di Marawi City, saya juga pernah diajukan dengan satu bayuk yang agak sukar untuk dijawab.

Bunyinya begini `papanuk ka kun saken a nuri, dapai su samber ku da' ka kasampiruti?" Ungkapan berbentuk kata-kata kiasan ini amatlah indah, terutamanya bagi pencinta bahasa Iranun. Ia agak sukar diterjemahkan dalam bahasa Melayu. Terjemahannya lebih kurang begini, "kau menyatakan akulah burung nuri yang jadi milikmu, sedangkan kilas kibaran sayapku pun tak dapat kau jerat"

Bayangkan sajalah ungkapan `samber da' ka kasimparuti' itu. samber maksudnya hembusan atau tiupan, dalam bayuk ini samber membawa makna bekas kibaran sayap burung nuri itu manakala sampirut membawa makna jerat atau menjerat.
Perkara ini amatlah mustahil berlaku.Bayangkan bagaimana kita mampu menjerat bayang, atau menjerat bekas kibaran burung nuri.
Tapi bagaimana kita boleh mengatakan bahawa burung nuri itu milik kita, sedangkan bayangnya atau bekasnyaa saja kita gagal untuk menjerat atau mengenalinya.

Dalam bahasa biasa, bagaimana kita dapat mengatakan sesuatu itu milik kita, kekasih kita atau burung nuri kita, sedangkan `samber'nya saja kita tidak dapat menjeratnya. Inilah antara ketinggian bahasa dan betapa mendalamnya pengertian yang boleh dipetik dalam bayuk Iranun.

Jika seorang wanita, sepanjang perkenalan anda dengannya, tiba-tiba bertanya kepada anda `papanuk ka kun kakak saken a nuri, dapai su samber ku ku da' kakasimpuri', apakah yang akan anda jawab. Ia sebenarnya meminta pengesahan, kerana perhubungan anda dengannya sering diperkatakan orang walaupun sebenarnya kalian tidak mempunyai apa-apa hubungan.Jika ia ditanyakan pada anda, wanita itu pastilah inginkan pengesahan atau tindakan selanjutnya daripada anda sama ada mahu melanjutkan perhubungan itu atau sebaliknya.

Tetapi ungkapan itu, papanuk ka kun saken a nuri, dapai su samber ku ku da'ka kasimpiruti' walaupun sekadar ungkapan biasa, tetapi maknanya amat mendalam.Ia tidak bertujuan untuk mengaibkan sebaliknya hanya satu pertanyaan sejauh mana anda mencintainya.

UB: Boleh OKK berikan contoh bayuk yang dekat dengan kehidupan masyarakat Iranun?

HMHH: Satu lagi bayuk yang indah ialah bayuk yang berbunyi "Begaika sa tanda,ka mititaiku ku ragat, dawag ka sa padoman, a mirapas ku sa kaludan".
Bayuk itu mungkin boleh diterjemahkan seperti begini"Berikan isyarat, untuk ku meniti gelora, berikan pedoman, untuk merentas lautan".

Dalam alam pemikiran Iranun, kehidupan selalu dihubungkan dengan gelora,ombak gelombang,angin kencang, lautan yang luas dan yang sejenisnya.Oleh sebab itu,insan Iranun yang memilih untuk merenangi lautan atau meniti gelora mestilah cekap membaca arah angin,kerlipan bintang-bintang dan sebagainya.Sebuah pelayaran tidak mungkin dimulakan sebelum mereka mahir membaca isyarat alam. Orang orang tua kita dahulu mahir membezakan yang mana bintang `manuk, yang mana `balatik', yang mana `mamoro-poro', yang mana `laya', yang mana `pagi, yang mana `bubu, yang mana bintang `makabangas, yang mana pula `karani'.

Kemahiran membaca isyarat alam ini merupakan satu keperluan sebelum memulakan sebuah pelayaran.Dengan melihat bintang,mereka dapat meramalkan musim, apakah musim kemarau, apakah musim hujan ataau apakah musim angin bertiup kencang.

Jika ramalan angin kencing, berdasarkan tanda-tanda di langit, mereka akan menangguhkan pelayaran menunggu cuaca teduh dan iklim berubah.Bagaimanapun, seorang pelayar menyedari dengan jelas bahawa pelayaran selalu berhadapan badai gelora, selalu bergelombang, arusnya kuat, tidak sentiasa tenang.Kerana itu, apabila mereka memilih untuk berlayar, mereka siap menghadapi segala kemungkinan, dengan tabah dan cekal.

Orang Iranun, dalam sejarah dan budayanya, sanggup merentas lautan dalam untuk meneruskan perjuangan. Namun sebelum mereka meniti gelora, mereka tidak segan segan untuk meminta agar diberikan pedoman untuk menyeberang samudera.

Melalui bayuk-seni puisi Iranun yang tinggi nilainya ini-jelas menunjukkan bahawa perjalanan kehidupan yang dijalani itu tidaklah dapat dipisahkan dengan ombak gelora, angin kencang atau lautan yang luas.

Puisi-puisi klasik kita, iaitu bayuk, memiliki khazanah kata Iranun yang kaya. Itulah sebabnya bahasa ini digelar `walu a magatag atag'., kerana satu benda boleh diungkapkan dalam banyak kata.

UB: Apa komen OKK mengenai sikap ibu bapa yang kurang memberikan perhatian terhadap bahasa ibunda mereka khususnya bahasa Iranun?
HMHH: Sikap ibubapa yang tidak mengajar anak-anak mereka untuk bertutur dalam bahasa Iranun sejak kecil amatlah dikesalkan. Jika perkara ini berlarutan lama-kelamaan nanti ia akan menyebabkan bahasa Iranun akan pupus. Oleh sebab itu, ibubapa hendaklah mengajar bahasa ibunda kepada anak-anak mereka.
Bercakap mengenai bahasa dan budaya Iranun, sebenarnya sukubangsa Iranun memiliki khazanah sastera tradisi yang kaya. Antaranya darangen, bayuk, tinubay, diguani, sambirungan, iringa dan sebagainya. Kita khuatir semua ini akan pupus jika tidak ada usaha untuk merakamkan dan mendokumentasikannya.

UB: Selain bayuk, saya difahamkan OKK membuat kajian mengenai salasilah. Setakat mana perkembangannya:
HMHH: Saya mula mengkaji salasilah sejak tahun 60-an. Sudah banyak salsilah yang dibuat tetapi masih terdapat lima lagi salasilah (gyneology) yang belum dapat disiapkan kerana kekangan waktu.

UB: Boleh OKK ceritkan mengenai peranan yang dimainkan oleh Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) yang OKK ketuai?
HMHH: Sejak ditubuhkan pada tahun 2002, BKI yang dinaungi oleh Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, (kini Yang Di Pertua Dewan Rakyat) telah berusaha untuk memulihara bahasa, budaya dan sastera tradisi Iranun. BKI juga telah menerbitkan lebih 80 buku-buku kecil termasuk buku kanak-kanak dan kalendar. Untuk ini kami terhutan budi dengan Muzium Sabah atas sumbangan untuk mencetak kamus bergambar bahasa Iranun dan cerita-cerita tradisi Iranun.

Selain itu, kami juga berterima kasih kepada usaha dan bimbingan yang dilakukan oleh Karla J.Smith dan Jim Smith, yang banyak membantu usaha merakam dan mendokumentasikan bahasa dan sastera Iranun pada peringkat awal penubuhan BKI.

BKI juga mendirikan pusat-pusat latihan dan perpustakaan di setiap zon yang telah dikenalpasti dan menempatkan semua buku-buku bahasa Iranun dan lain-lain bacaan dan buku-buku dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

Objektif utama projek ini untuk mengadakan kelas-kelas pra sekolah dengan menggunakan bahasa Iranun sebagai bahasa pengantar selain itu menyediakan sebanyak mungkin bahan-bahan bacaan dan rujukan untuk diserahkan kepada Kementerian Pelajaran untuk pertimbangan pihak Kementerian untuk bahasa Iranun diajar di sekolah-sekolah sebagai POL (People own language) dan akhirnya sebagai mata pelajaran.

Selain itu, BKI juga akan melatih individu dari masyarakat Iranun yang minat untuk menjadi tenaga pendidik dalam bahasa Iranun. Masalahnya sekarang ialah kekurangan sumber dana kewangan dan kakitangan untuk menggerakkan segala cita-cita murni itu.

UB: Akhir sekali apa harapan OKK terhadap seni budaya Iranun?
HMHH: Kita berharap agar seni budaya Iranun termasuk bayuk dapat dipulihara.Semoga generasi muda Iranun menaruh minat yang tinggi untuk mempelajari seni bayuk supaya mereka dapat menguasai seni budaya masyarakat mereka. Jika bahasa dan budaya termasuk di dalamnya seni dan sastera Iranun dapat dipelajari dan dipelihara, maka kita yakin suku bangsa Iranun tidak akan hilang di dunia.

2 comments:

nhaj said...

assalamualaikum. buyuk yg sgt menarik. iranun mmg kaya dgn ungkapan yg penuh makna. malangnya anak muda sprt sy kurang pengetahuan mengenainya. apatah lagi ibubapa tidak pernah menceritakan tentang seni iranun ini. saya sgt tertarik setelah menemui blog en.abdnaddin ni. perasaan utk mengenali iranun dgn lebih mendalam muncul tiba2. mmg btl ramai ibubapa yg tidak memberi pendedahan kpd anak2 mengenai iranun dan kebudayaannya, namun sebagai seorang anak muda jgk harus mengkaji sendiri tntg bangsa iranun ini. terima kasih atas ruangan yg menarik yg telah membuka minda.

sumaya said...

assalamualaikum abdnaddin..menarik!! satu ungkapan yang boleh saya katakan disini.seni iranun memang sangat-sangat menarik,kebudayaan dan tradisinya.mapia malandi tantu..
saya terjumpa blog ini secara tak sengaja,amat menarik minat saya untuk membacanya.saya sebagai generasi muda pada tika ini..sangat rasa sedikit kecewa kerana..pada zaman ini anak-anak bangsa iranun sendiri tidak tahu bagaimana untuk bertutur dalam bahasa mereka sendiri...binaling tiga ma lukus ku muna..sagit ambuh sa ragku....bukan apa sejak kecil kami tidak terdedah dengan pertuturan ini..hanya menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa utama.makanya saya sangat sedih pada mulanya,kerana tidak faham atau bertutur bahasa itu..langkah yang sewajarnya.saya berkawan dengan kawan-kawan yang pandai berbahasa iranun.belajar sendiri la katakan.allhamdulillah sekarang sedikit sebanyak saya boleh bertutur dan memahami bahasa iranun.kabole den!!! mala bagel sa pengak ma pasang ka pamberrak...kata kawan2ku. (^^)"2711