Sabtu, 5 Mac 2011

percakapan pendek di kedai lilok

Tags

PERCAKAPAN PENDEK DI KEDAI LILOK

Ketika ditanya mengapa ponteng sekolah, pelajar itu memberitahu dia terpaksa menjaga adiknya yang masih kecil. Orang tuanya bekerja sebagai penoreh getah. Oleh sebab itu, kanak-kanak itu terpaksa mangkir beberapa hari kerana ibubapa mereka menoreh getah, bukan saja di kebun mereka malah mengambil upah menoreh di kampung sebelah untuk menambah pendapatan.

Harga getah sekarang meningkat RM8.00 sekilo. Setiap hari mereka mampu menoreh getah lebih 30 kilogram.Kadang-kadang mereka mulai menoreh jam 11.00 malam kerana banyak susu getah pada waktu itu. Hasilnya lumayan. Bayangkan kalau mereka dapat menoreh getah dua puluh hingga tiga puluh kilogram dalam sehari?

Sejak harga getah naik, dalam satu hari, sepuluh hingga dua puluh pelajar tidak hadir ke sekolah sama ada untuk membantu ibubapa mereka atau menjaga adik kecil mereka di rumah.Jumlah keciciran di kalangan pelajar luar bandar masih tinggi kerana tahap kesedaran mereka terhadap pentingnya pelajaran untuk masa depan anak-anak mereka masih rendah.

"Sungguhpun begitu, kami para guru, tidak mengalah.Kami terus mengajar dan cuba sedaya upaya kami untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa betapa pentingnya pelajaran untuk masa depan anak-anak mereka," kata rakan saya, guru besar yang berpengalaman 32 tahun dalam bidang perguruan tetapi baru beberapa tahun bertugas di sebuah sekolah di kawasan Ulu Kimanis.

Saya lupa nama sekolah tempat dia mengajar itu. Walaupun sudah lama mengenalinya, tetapi itulah pertama kali kami terserempak ketika makan sambil menikmati ikan bakar di kedai Lilok itu. Dia memilih ikan bakar yang entah kenapa dipanggil sempena nama seorang penyanyi terkenal tahun-tahun 70-an dan 80-an dulu.Saya yang hampir selesai makan memilih seekor ikan tomanung. Harga ikan mahal sekarang tetapi di kedai yang meskipun milik orang tionghua tetapi penjual makanannya muslim manakala minuman dijual oleh `auntie' cina itu segalanya mengalir dalam keistimewaan Sabah yang tersendiri dan unik.

Entah bagaimana kami terlibat dalam percakapan mengenai profesion perguruan itu. Guru besar itu mengeluhkan sikap sebilangan guru yang terlibat dalam perniagaan MLM sehingga kadang-kadang menjejaskan tumpuan dan komitmen mereka terhadap pembelajaran murid. Ada kalanya, dia melihat ada guru yang membentak murid akibat kerugian dalam perniagaan. "Sedangkan gaduh dengan bini pun terbawa-bawa ke sekolah, rugi dalam perniagaan tentu terbawa-bawa ke sekolah juga," katanya.

Ada juga guru yang dilihatnya sering berkirim sms (sistem mesej singkat) ketika sedang mengajar murid. Ia sedikit banyak mengganggu konsentrasi ketika mereka mendidik murid-murid mereka. katanya, ada juga guru yang kurang bersungguh-sungguh ketika mengajar tetapi berhabis pula ketika mengajar kelas tuisyen.

Itulah antara cabaran profesion perguruan ketika ini, katanya kepada saya. Menurutnya, ada juga guru yang orientasinya kepada soal elaun semata-mata ketika memilih bertugas di sekolah luar bandar. Kerjaya guru, tidak seperti dulu lagi, katanya. Dahulu kerjaya guru begitu dihormati tetapi kini pandangan masyarakat terhadap mereka agak menurun.

Sempat juga kami berkongsi cerita mengenai ketabahan dan kegigihan guru-guru yang ditugaskan di pedalaman yang jauh seperti Tagibang Kota Marudu dan pulau-pulau yang terpencil seperti Pulau Mantanani dan sebagainya. Ada yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan talian telefon untuk menelefon isteri, suami atau keluarganya. Ada yang terpaksa berjalan kaki berjam-jam lamanya untuk sampai di sekolah tempat mereka bertugas. Malah ramai di antara mereka hanya keluar sebulan sekali untuk membeli barangan keperluan.

Saya juga sempat menceritakan kunjungan saya ke pulau Larapan, sebuah pulau tidak jauh dari pekan Semporna. Saya menyaksikan betapa ramainya anak-anak berusia 10 tahun tercicir dari persekolahan padahal di pulau itu terdapat sebuah sekolah yang cantik dan lengkap. Sebabnya anak-anak yang memasuki tahap dua iaitu dari tahun empat hingga enam diarah untuk bersekolah di sekolah berpusat di Pulau Bum-Bum.

Kebanyakan ibu bapa tidak mempunyai kemampuan dari segi ekonomi dan emosi untuk menghantar anak mereka bersekolah sejauh itu.
Mereka tidak mempunyai pendapatan yang tinggi untuk menyekolahkan anak mereka ke pulau lain apatahlagi anak-anak itu masih kecil dan menurut mereka masih `kencing di tilam'

Mereka merayu agak anak-anak mereka dibenarkan bersekolah di sekolah Larapan demi masa depan mereka.Jika dahulu keputusan mengarahkan anak-anak pulau berdekatan untuk menduduki bangku sekolah di Pulau Bum-Bum kerana alasan sekolah kurang murid, rasanya adalah lebih baik, pelajar-pelajar itu diberi peluang untuk meneruskan persekolahan di pulau itu.

Perbualan kami memang rancak juga tatkala saya teringat betapa dahulu sewaktu kecil dalam darjah satu, saya pernah dimandikan oleh guru sekolah di sungai ketika melihat keadaan saya yang comot. Saya masih ingat namanya, dan sangat berterima kasih kepada cikgu saya itu kerana beliaulah salah seorang yang turut mewarnai perjalanan hidup saya sehingga menjadi orang dan bukan orang-orangan seperti hari ini. Saya teringat betapa guru-guru kami dahulu selalu dedikasi dalam tugas mereka mengajar dan mendidik murid.

Sambil bercakap itu, tergambar dalam peta minda wajah-wajah guru-guru kami dahulu. Saya juga teringat betapa besarnya pengorbanan guru dalam mendidik anak bangsa mereka. Betapa besar jasa mereka terhadap negara dan bangsa ini. Merekalah yang telah memberi kesedaran kepada anak bangsa untuk berusaha agar berupaya keluarga daripada minda yang terjajah.

Entah berapa lama kami duduk di Kedai Lilok itu. Ikan bakar di pinggan saya sudah habis tinggal tulang.Soal-soal pendidikan anak bangsa terus hinggap di fikiran. Saya teringat betapa bimbangnya guru-guru sandaran yang tidak disambung perkhidmatan mereka. Saya diberitahu betapa banyaknya sekolah di luar bandar yang masih kekurangan guru, kekurangan pelbagai prasarana, kemudahan komputer dan sebagainya.

Saya yakin punca utama kemiskinan dan kemelaratan adalah kerana kurangnya pendidikan. Punca utama kejumudan, kebekuan malah jenayah keganasan adalah kerana mereka tidak mendapat akses terhadap pendidikan. Pendidikan menjadi sebegitu penting sehingga sering diperintahkan dalam agama, bahawa menuntut ilmu itu adalah kewajiban yang perlu dilaksanakan sepanjang hayat.

"Saya fikir kesedaran di kalangan masyarakat kita terhadap pentingnya pendidikan masih kurang," kata guru besar, rakan saya itu. Kerana itu, masih banyak yang tidak mementingkan pendidikan untuk anak-anak mereka. Kita serba salah juga untuk memaksa ibubapa menghantar anak mereka ke sekolah kerana ibu bapa selalu berkata `kalau kami tidak menoreh getah, apa yang kami makan cikgu?'

Ya, betul juga tu cikgu, kata saya kepadanya. Tidak semua orang menjadi kapten. Kalau kita tak boleh jadi guru, tidak apa. Yang penting kita menjadi menjadi orang yang berguna untuk negara.