Thursday, May 5, 2011

Catatan 5 Mei di Kampung Payas-payas

Sebelum pulang ke rumah di Kampung Tamau, saya menyempatkan diri untuk singgah di rumah cikgu Ismail Sidik di Kampung Payas-Payas Kota Belud untuk menyaksikan persiapan akhir majlis perasmian Bangunan TASKA Bahasa Iranun,Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun Sabah (BKI)yang dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr.Haji Mohd Puad Zarkashi, sebelum solat Jumaat.

Yang Di Pertua BKI, OKK Haji Masrin Haji Hassin sedang bersembang sembang di bawah khemah bersama rakan-rakan lain. Antaranya Juarah Asoi, Haji Abd Muar, Samdin Edam, Iskandar, dan beberapa rakan lain termasuklah Bai Carina S.Sinsuat, CEO, Strategic Action of Mass Based Alliances for Social and Agro-Industrial Progress SAMASA Inc. dari Datu Odin Sinsuat, Maguindanao, juga suaminya, Ather N.Sajid Ph.D, NE Chairman EOil & Gas Company.Inc, juga berpejabat di Datu Odin Sinsuat.

Percakapan dengan mereka amat menarik.Bai Carina dari keluarga besar Datu Odin Sinsuat, seorang yang berminat soal budaya dan juga berminat untuk mengadakan semacam kerjasama dan hubungan yang erat dalam bidang budaya antara orang Iranun di manca negara.

Tetapi Ather N.Said Ph.D, seorang ahli ekonomi yang berasal dari Punjab Pakistan. Beberapa ketika saya hanya menikmati goreng pisang yang dihidangkan cikgu Ismail. Namun kemudian percakapan kami semakin menarik apabila tiba-tiba saja saya teringat akan penyair Maulana Iqbal, seorang penyair besar di anak benua Asia itu. Ather agak tertarik, terlebih lagi apabila juga turut meminati puisi Iqbal.Saya katakan bahawa kami juga suka membaca Jalaludin Rumi, Sa'di Shirazy dan bukunya Gulistan dan sebagainya.

Dari profesor Ather juga saya mendapat hujahan yang menarik betapa perlunya membangun kerjasama antara masyarakat Iranun di Sabah dan masyarakat Iranun, Maranao dan Maguindanao di Mindanao, yang mempunyai kesamaan bahasa, budaya, kepercayaan dan sebagainya.

Beliau melihat betapa Sabah boleh menjadi negeri yang penting dalam dunia perdagangan antarabangsa pada masa akan datang. Dr.Ather melihat betapa Lahad Datu, khususnya POIC, mampu menjadi Rotterdam of the East.

Ini kerana Lahad Datu boleh menjadi pelabuhan yang strategik menghubungkan Malaysia, Indonesia, Filipina, untuk membangunkan ekonomi di rantau ini.

British benar, katanya ketika satu ketika dahulu mengadakan perjanjian Inggeris Belanda 1824, yang hasilnya antaranya menyebabkan munculnya kota-kota semacam Hong Kong dan Singapura.

Mrenurut pengamatannya, terdapat perbezaan layanan antara penjajah British di anak benua India-Pakistan dan India berbanding dengan negeri misalnya Sabah. Di Sabah, yang dipentingkan penjajah ialah `quick money' kerana Sabah diperintah oleh North Borneo Chartered Company, yang mementingkan perdagangan dan melupakan aspek pendidikan dan lain-lain.

Usaha penyelidikan dan pendidikan tidak dihargai, katanya oleh penjajah ketika itu.Sehingga Stanford Raffles, sepulangnya dari Asia Tenggara, meninggal dalam keadaan miskin dan tidak mendapat pencen hanya kerana mendirikan sekolah di Singapura.

Menarik sekali hujahnya mengenai bagaimana hubungan budaya, bahasa, sosial juga pada gilirannya mampu menumbuhkan potensi ekonomi yang tidak sedikit dan membawa impak besar terhadap BIMP-EAGA dan Sabah Development Corridor.

Juga satu hal yang menarik, apabila Dr.Ather memuji program realiti tv Imam Muda, yang menurutnya menjadi ikutan negara-negara Islam lain kerana mengubah persepsi masyarakat terhadap imam.

Katanya, jika dahulu pendidikan agama-antara produknya menjadi imam, dianggap sebagai perkara kedua jika tidak berjaya dalam akademik, malah belajar agama dianggap sebagai pilihan kedua dan tersisih, tetapi program realti tv Imam Muda itu meletakkan persespi masyarakat Islam di seluruh terhadap imam berubah, menjadi satu yang prestij malah glamour.

Beliau juga memberitahu seorang penulis dari Jepun yang pernah menulis mengenai dunia maritim pada abad-abad yang lalu di Asia Tenggar dan peranan yang dimainkan orang Iranun dalam perdagangan, tetapi kemudian diganggu oleh kewujudan penjajah, yang datang untuk menguasai rempah-rempah.
Bai Carina S.Sinsuat juga mengkhabarkan mengenai kewujudan Iranun Development Council (IDC) di Mindanao. Saya teringat mengenai Barok Mangutara, salah seorang penggerak utamanya. Percakapan mengalir mengenai tokoh-tokoh Iranun seperti Alex Tomawis, yang meninggal. Juga mengenai kemenangan Samira Gutoc-Tomawis, Amirah Ali Lidasan, yang masih anak saudaranya dan sebagainya.

Dr.Ather teringat pula Nash Maulana, wartawan di sana yang katanya ada iras saya. wartawan mempunyai peranan besar. saya teringat juga mengenai seorang rakan saya, Naguib Sinarimbo, Excecutive Secretary ARMM, yang meskipun pendiam tetapi mempunyai pemikiran yang `articulate'.

OKK Haji Masrin berharap agar bangsa serumpun ini mampu membina kerjasama yang kukuh melalui seminar, hubungan budaya, people-to-people contact, dan sebagainya. Orang Iranun di Sabah, Maranao, Iranun dan Maguindanao di Mindanao, keturunan Iranun di Indonesia juga dapat bersama untuk memikirkan pelestarian budaya sebagai satu bangsa besar dan perkara yang sama pernah dibincangkannya dengan Aleem Basher Manalao, yang pernah menjadi Mayor di Marawi City.

BKI sedang dalam usahanya untuk memperkasa bahasa dan budaya Iranun. BKI dibawah naungan Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia, setakat ini telah menghasuilkan lebih 300 buku dalam bahasa Iranun, mempunyai tiga sekolah Taska, enam guru termasuk guru penolong yang digaji persatuan.

"Kehidupan berterusan bahasa ibunda sebenarnya bergantung kepada masyarakat itu sendiri sebagai penuturnya, tetapi apabila bilangan penuturnya semakin berkurangan, menyebabkan bahasa ibunda semakin terhakis," kata Cikgu Ismail Sidik, tenaga penting BKI merangkap Setiausaha Agung BKI dan Penyelia Taska bahasa ibunda (Warisan).

Sebagai langkah awal, BKI memulakan program untuk mendidik anak-anak bahasa ibunda melalui taska.Matlamat program pendidikan bahasa ibunda membolehkan anak-anak mengetahui warisan, asal usul dan kesedaran identiti, katanya.

Selaras dengan kewujudan Taska bahasa ibunda ini,anak-anak juga diberi pendidikan berdasarkan kurikulum yang disediakan sebelum melangkah ke pra sekolah dan sekolah rendah.

Bai Carina dan Dr.Ather agak kagum melihat usaha BKI itu. Malam sudah larut, dan kami bersalaman sambil menyatakan kegembiraan kerana sempat bertemu.

4 comments:

Aulia Rahmania Putri ♛ said...

follow balik blog aku yaa
http://sauliarp17.blogspot.com ,
thanks :)

abd naddin said...

ok.sila ikuti blog adik kita dari bogor ini.salam

Milus bin Hj. Abd. Wahad said...

tahniah sdr abd naddin atas artikel ini dan amat menarik untuk diteruskan dan dijadikan asas bagi hubungan ekonomi dalam BIMP EAGA. Saya ada menulis artikel yang tak seberapa tentang 'SIDC' Sabah Iranun Development Centre...ianya setakat lontaran budak-budak...kita pun bukan pakar ekonomi, namun saya ada hadir satu seminar tentang BIMP EAGA ini khusus kepada penglibatan umat Islam antara Malaysia(Sabah/Sarawak), Indonesia (Kalimantan) dan Filipina (Mindanao)..sebenarnya ada peluang besar sekiranya ada usaha bersungguh-sungguh antara kerajaan untuk merealisasikan BIMP EAGA ini.

abd naddin said...

saya fikir usaha perlu dipergiatkan untuk mengukuhkan hubungan ekonomi, budaya, people to people contact, antara negara-negara dalam bimp-eaga dan saya bersetuju dengan pendapat saudara bahawa peluang terbuka luas untuk diterokai bersama-sama