Monday, May 16, 2011

Rahim Bakri, akrab dengan kehidupan kampung

SAMA seperti anak-anak kampung yang lain, ketika kecilnya Datuk Abdul Rahim Bakri gemar bermain bola, mandi sungai, mandi hujan bersama rakan-rakannya. Pada waktu yang lain, Rahim suka memancing atau memukat ikan di Teluk Marudu atau di sungai. Selain itu, beliau juga suka melastik burung atau memanjat mangga yang banyak di kampungnya di Kampung Rosob, Pitas. Jika tidak ada kelas mengaji,Rahim juga suka mengikut kawan-kawannya menangkap ketam di waktu malam. Pengalaman-pengalaman yang dimilikinya ini menjadikan beliau begitu akrab dengan kehidupan masyarakat kampung dan membuat beliau lebih mengerti kehendak dan keperluan masyarakat akar umbi di luar bandar.

Pahit manis kehidupan rakyat, dengan segala keperitan, kemiskinan yang mereka hadapi, menjadikan Rahim yang kini Ahli Parlimen Kudat mampu bercakap bagi pihak rakyat di Dewan Rakyat.Rahim terpilih sebagai calon Barisan Nasional dalam pilihanraya 2004 dan memenangi kawasan Parlimen Kudat dengan majoriti 7,000 undi. Selepas itu, dalam PRU 2008, Rahim sekali lagi memenangi kerusi Parlimen Kudat dengan kelebihan undi yang meningkat iaitu 9,989 undi. Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri luar pada tahun 2008 dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan pada 2009 hingga sekarang. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Faridah Wasli dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Edlee, 21, Nabilah 18 dan Ahmad Haikal,13.

Abdul Rahim Bakri dilahirkan di Kampung Rosob Pitas pada tahun 1961.Beliau merupakan anak keenam daripada lapan adik beradik. Ayahnya, Bakri Sukur bekerja sebagai kakitangan Jabatan Pertanian dan ibunya Dessy Edward Walker, seorang suri rumah. Kedua-dua ibu bapanya mempunyai pandangan jauh terhadap kepentingan pendidikan. Rahim menduduki sekolah rendah di SK Rosob dan melanjutkan pelajaran di SMK Kudat pada tahun 1974-1978. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran dalam Tingkatan Enam di SMK Menggatal pada tahun 1979-1980. Selepas lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan HSC, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dari tahun 1981-1985. Setelah itu, beliau bekerja dalam sektor perbankan, sektor korporat sebelum menceburkan diri dalam bidang politik. Beliau pernah menjadi Presiden of Malaysia Friendship Trade Centre di Taiwan sebelum bertanding dalam pilihanraya 2004.

Wartawan Utusan Borneo, Abd.Naddin Haji Shaiddin menemubual beliau di celah-celah kesibukan tugasnya sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Kudat dalam satu pertemuan di salah sebuah hotel terkemuka, di ibu negeri untuk berkongsi mengenai pengalaman beliau sebagai pelajar di sebuah sekolah di luar bandar hingga pengalamannya sebagai Timbalan Menteri.



UB: Boleh Datuk ceritakan sedikit mengenai latar belakang Datuk sebelum menjadi Timbalan Menteri?
ARB: Selepas mendapat segulung ijazah dari Universiti Sains Malaysia, saya pulang ke Sabah. Dua minggu selepas itu, saya menghadiri temuduga dan ditawarkan kerja sebagai pegawai bank dan kemudian di tempatkan di Tawau. Selepas sembilan tahun berkhidmat sebagai pegawai bank, saya bekerja pula dalam sektor korporat. Saya pernah menjawat jawatan sebagai pengarah Sabah Energy Corporation, Pengarah Asian Supply, Synergy Marine, Pengarah Sabah Berjaya dan kemudian menjadi Presiden Malaysia Friendship Trade Centre di Taipei, Taiwan.UB: Siapakah yang banyak memberi galakan kepada Datuk?
ARB: Orang yang banyak memberi galakan kepada saya ialah ayah saya . Beliau berpandangan jauh.Beliau percaya bahawa hanya dengan pendidikan, nasib masyarakat boleh diubah. Beliau banyak memberi galakan agar saya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat yang lebih tinggi. Malah apabila beliau kembali ke rahmahtullah pada tahun 1981, antara yang dipesankannya ialah agar memastikan pelajaran saya tidak terganngu.Waktu itu saya masih belajar di USM Pulau Pinang. Dia pesan kepada keluarga agar `jangan kamu ganggu' takut pelajaran saya terganggu. Hanya selepas kenduri 20 hari, barulah saya mendapat surat yang menyatakan bahawa ayah saya sudah pergi buat selama-lamanya. Beliau seorang yang banyak memberikan inspirasi. Beliau menasihatkan supaya untuk berjaya lebihkan usaha, utamakan integriti dan menghormati orang lain.


UB: Setahu saya, jarak antara Pitas dan Kudat agak jauh juga. Apa pengalaman Datuk yang boleh dikongsikan bersama pembaca?
ARB: Selepas menamatkan sekolah rendah, saya menduduki sekolah menengah di SMK Abd.Rahim Kudat, ketika itu namanya masih SMK Kudat. Saya menumpang bot nelayan untuk merentasi Teluk Marudu dalam perjalanan kira-kira dua jam. Kadang-kadang ada ombak kuat tetapi kami tak ada pilihan, terpaksa juga melaluinya. Demi untuk mendapatkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

UB: Jadi Datuk tinggal di asrama? Ada pengalaman menarik?
ARB: Memang banyak pengalaman menarik juga. Ketika tinggal di asrama, banyak hal yang dapat dipelajari. Makan nasi berlauk ikan masin, ikan sardin, sayur kangkung dan sebagainya. Walaupun begitu, pelajar luar bandar tidak kurang hebatnya.

UB:: Apa pandangan Datuk mengenai pelajar luar bandar?
ARB: Jika diberi peluang, pelajar luar bandar juga mampu mencatat kecemerlangan. Walaupun dalam kekangan, mereka masih boleh berjaya jika diberikan peluang bersaing.

UB: Bagaimana situasi pembelajaran ketika itu?
ARB: Ketika zaman kami, kemudahan infrastruktur tudaj ada. Buku teks tidak ada.kalau adapun tidak mencukupi.Surat khabar tidak ada. Keadaan sekarang memang jauh berbeza kerana pelajar mudah akses terhadap internet dan sebagainya. Ketika kami sekolah, apakan lagi komputer, kemudahan bukupun tidak ada.


UB: Selepas SMK Abdul Rahim, di mana destinasi datuk selanjutnya?

ARB: Selepas mencapai keputusan peperiksaan yang baik dalam SPM, saya melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di SMK Menggatal. Antara rakan sekolah saya ialah Prof Dr.Kassim Haji Mansor, Haji Sairin Ibrahim, Jilid Kuminding sekarang Konsul Jeneral Malaysia di Hong Kong, Datuk Awang Buhtaman, Prof.Madya Dr.Mahmud Sudin, dan ramai lagi. Selepas lulus dalam peperiksaan STPM, saya melanjutkan pelajaran di USM pada tahun 1981-185.


UB: Siapa idola Datuk?
ARB: Idola saya ialah Tun Dr.Mahathir Mohammad dan Tun Razak. Sebagai anak yang dilahirkan di kampung, kami mendapat manfaat daripada dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Tun Razak. Melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) orang-orang seperti saya, yang tinggal di ceruk kampung, mampu melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti.



UB: Difahamkan Datuk juga menguasai bahasa tamil dan bahasa mandarin. Boleh ceritakan sedikit bagaimana dan dimana datuk mempelajari kedua-dua bahasa itu?
ARB: Ketika di universiti dulu, daripada 42 rakan sekelas, hanya lapan orang Melayu selebihnya orang Cina dan India. Saya belajar dan bergaul bersama mereka. Lama kelamaan kerana minat terhadap bahasa, akhirnya saya mampu menguasai bahasa tamil dan bahasa mandarin. Sewaktu bertugas di Taipei, saya mengambil kelas malam untuk belajar mandarin.Selain itu, saya juga belajar mandarin daripada pemandu teksi. Akhirnya saya mampu menguasai bahasa mandarin.


UB: Berapa ramai pelajar dari Sabah ketika itu?
Daripada kira-kira 10,000 pelajar di USM ketika itu, hanya terdapat 26 pelajar dari Sabah. Antaranya arwah Datuk Ismail Abbas, sasterawan negeri yang lebih dikenali sebagai Amil Jaya. Arwah Datu Bandira Datu Alang, penulis, pernah menjadi pegawai di Felda, pengurus besar SAFMA dan pernah juga menjadi Pesuruhjaya PAS Sabah. Selain itu, Datu Basrun Datu Mansur, kini Pengurus Besar Korporasi Pembangunan Desa (KPD). Itu antara rakan saya di Universiti.

UB: Dalam tulisan-tulisan Datuk yang tersiar di suratkhabar, Datuk suka menulis perkara yang ada kaitannya dengan sejarah?
ARBL Saya minat kepada sejarah kerana melalui sejarah, kita dapat merancang masa depan dengan baik. Dengan belajar sejarah, kita tidak akan mengulangi kesilapan masa lalu. Kita melihat betapa tamadun seperti Latin, Greek dan sebagainya mempunyai ketamadunan yang tinggi tetapi kemudian mereka jatuh. Kita lihat tamafun Cina yang membina Tembok Besar Cina,kira-kira 200 tahun sebelum masihi. Mereka membuat ubat bedil dan sebagainya untuk mempertahankan negaranya. etapi kemudian sejarah menunjukkan bahawa kerana perpecahan, dan sebagainya, Hong Kong di perintah Inggeris, Macao oleh Portugis malah Cina pernah dikalahkan Jepun. Ini semua dapat kita pelajari dengan baik suapay tidak mengulangi kesilapan.

UB: Apa yang datuk dapat dengan membaca? Apa jenis buku yang Datuk minati?

ARB: Saya membaca untuk mendapatkan pengetahuan baru, maklumat baru, pendapat baru,pengalaman baru.Itu sebabnya saya suka membaca. Buku yang saya minati ialah buku mengenai hubungan antarabangsa dan ekonomi.

UB: Sesuai dengan tugas Datuk, sudah tentu datuk banyak melawat ke luar negara. Boleh kongsikan sedikit pengalaman datuk?
ARB: Saya pdernah berkunjung ke seluruh negara Asean, Negara China dari Beijing, Shanghai, Xian, Nanjing.Guangdong, Macao, Hong Kong. Saya pernah melawat India, menyaksikan denyut kehidupan di New Delhi, Kazahkstan, Timur tengah,Saya pernah ke Mongolia, Korea Utara, Korea Selatan, Iran dan sebagainya.

UB: Apa yang kita dapat pelajari daripada perjalanan itu?
ARB: Banyak yang kita boleh pelajari sepanjang perjalanan itu. Di Pyongyang misalnya, kita menyaksikan betapa kota itu begitu menitikberatkan soal kebersihan dan alam sekitar. Sikap rakyatnya yang begitu prihatin terhadap soal kebersihan dan sebagainya. Di Melbourne Australia, pihak kerajaan tempatan menyediakan pengangkutan awam percuma dari satu tempat ke satu tempat dengan lebih berkesan.

UB: Sepanjang empat tahun di Taiwan, apa yang boleh kita contohi dari negara itu?
ARB: Kita boleh mencontohi betapa negara yang mempunyai penduduk kira-kira 25 hingga 26 juta orang itu, dengan kawasan seluas setengah daripada Sabah memajukan diri dalam bidang pertanian, produk dan sebagainya. Taiwan merupakan antara pengeluar komputer yang terbesar di dunia. Kita dapat lihat kesungguhan rakyatnya memajukan diri dan membantu negaranya untuk maju. Walaupun, negara itu padat, masih perang dingin dengan Cina, mengalami bencana alam seperti gempa bumi dan sebagainya, tak ada sumber asli tetapi negara itu boleh maju .

UB: Bagaimana pandangan Datuk mengenai pengangkutan awam di negara kita?
ARB: Sebenarnya masih banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan mutu pengangkutan awam. Ketika ini, hanya terdapat 16 peratus pengguna pengangkutan awam.Kita mahu meningkatkan kepada 25 peratus menjelang tahun depan dan 40 peratus menjelang 2020. Kita mahu meningkatkan sistem pengangkutan awam supaya ia lebih efesien lagi.
UB: Apa pandangan Datuk mengenai sistem pengangkutan awam di Kota Kinabalu?
ARB: Saya fikir, Bandaraya Kota Kinabalu mulia dari sekarang membuat perancangan. PBT harus menyediakan tanah jika ingin membangunkan sistem pengangkutan awam seperti MRT pada masa depan. Tanah semakin mahal dan pihak berkuasa tempatan harus bersedia mulai dari sekarang.

UB: Bagaimana kita mengurangkan kemalangan Datuk?
ARB: Sebagaimana yang kita ketahui, jumlah kemalangan setahun ialah 6,800 kes. Sebanyak 4,000 daripadanya melibatkan kemalangan motosikal. Seramai 19 orang sehari maut kerana kemalangan, 11 daripada penunggang motosikal. Untuk mengurangkan kadar kemalangan, kita mestilah memperhebatkan penguatkuasaan, buat pemeriksaan yang ketat dan sebagainya.melaksanakan pendidikan pengguna jalan raya dan mengajarkan mengenai keselamatan dan kurikulum sekolah. Selain itu, kita haruslah memperhebatkan kempen melalui media elektronik, media massa dan sebagainya.

No comments: