Monday, May 16, 2011

Sabah, seperti rumah kedua saya, kata Soepeno Sahid

SABAH, SERUMAH KEDUA SAYA, KATA SOEPENO SAHID

SEJAK bertugas sebagai Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Bapak Soepeno Sahid telah memainkan peranan untuk meningkatkan hubungan baik antara Kota Kinabalu dan Jakarta. Sebagai seorang diplomat yang memiliki visi dan wawasan yang luas, Soepeno telah mengadakan pelbagai program untuk meningkatkan imej dan citra negaranya di Sabah.

Soepeno Sahid dilahirkan di Blora, Jawa Tengah pada 12 Oktober 1956 . Anak ketiga dari lima adik beradik ini memperolehi pendidikan rendah dan menengahnya di kota kelahirannya sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Diponegoro, Semarang sehingga lulus dalam bidang hukum (Undang-Undang) pada tahun 1980.

Sebelum bertugas di Kementerian Luar pada tahun 1982,Soepeno pernah berkhidmat di Departemen Agama dan Departemen Tenaga Kerja. Ayahnya, Bani Sahid merupakan seorang tokoh masyarakat yang dihormati di kampungnya manakala ibunya Sumiyaton, seorang ibu yang pengasih. Soepeno telah berumahtangga dengan Ibu Hardinih Budi Sulistyo dan dikurniakan dengan lima anak iaitu Hardityo Mahendra Sahid,Berrindo Risqianandha Sahid,Dionne Puspita A Sahid,Cindy Ramadhani Sahid,Cinthya Ramadhanti Sahid.

Selepas Asar Jumaat lepas, Bapak Soepeno Sahid (SS) mempersilakan wartawan Utusan Borneo, Abd.Naddin Hj Shaiddin masuk ke ruang kerjanya untuk menemuramah beliau mengenai pengalamannya sepanjang berkhidmat di Sabah, hobi di masa lapang, kenangan masa kecil dan sebagainya.

UB: Terima kasih kerana bapak sudi meluangkan waktu untuk diwawancara. Sebelum bertugas di Kota Kinabalu, anda pernah bertugas di mana?

SS: Sebelum bertugas sebagai Konsul Jenderal di Kota Kinabalu, saya pernah bertugas di Kedutaan Besar Indonesia di Canberra pada tahun 1986-1990. Kemudian pada tahun 1992-1997, saya ditugaskan pula di Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Nanamu, Papua New Guinea. Selepas beberapa tahun di Jakarta, saya ditugaskan pula di Kuala Lumpur sebagai Kepala bahagian Konsuler Kedutaan Besar Indonesia di pada 2000 hingga 2005.

UB: Apa pengalaman sepanjang yang tidak dapat dilupakan sepanjang berkhidmat di Kuala Lumpur?
SS: Anda mungkin masih ingat kes pembantu rumah, Nirmala Bonat yang mendapat layanan yang tidak berperikemanusiaan daripada majikannnya. Sewaktu kes itu, saya yang menanganinya. Itu sebabnya ketika itu, wajah saya sering kelihatan di media dan tv kerana sering diwawancara wartawan mengenai kes Nirmala Bonat itu. Perlakuan terhadap Nirmala itu amat tidak manusiawi, wajahnya, badannya disterika dan sebagainya.

UB: Bagaimana layanan terhadap warga Indonesia di Sabah? Apakah KJRI pernah mendapat aduan serupa?
SS: Alhamdulillah, di Sabah keadaannya amat baik sekali. Sepanjang bertugas di negeri ini, saya tidak pernah mendapat laporan mengenai layanan kasar terhadap pembantu rumah Keadaannya amat baik di sini. Kalau di KL, setiap hari saya menerima sehingga 10 aduan satu hari tetapi di Sabah, saya hampir tidak menerima laporan mengenai adanya kekasaran terhadap pembantu rumah.

UB: Berapa jumlah pembantu rumah warga Indonesia di Sabah?
SS: Mengikut statistik pada 2010, terdapat seramai 400,000 warga Indonesia yang bekerja di Sabah. Kebanyaknnya pekerja dalam sektor sektor perladangan perkilangan dan pembinaan. Hanya 1.5 peratus atau 1,500 bekerja dalam pekerja pembantu rumah. Kita belum menerima aduan mengenai perlakuan kasar terhadap pekerja Indonesia di sabah, Sehingga shelter yang ada di KJRI nyaris kosong.

UB: Kelihatan anda sering sibuk.Kapan ada masa lapang? Apa yang anda lakukan jika ada masa lapang?
SS: Jika ada masa waktu terluang, saya suka bermain bowling, main golf, membaca buku dan sebagainya. Kadang-kadang saya menggunakan waktu hujung minggu untuk membuat kunjungan silaturrahim ke ladang-ladang. Jadi saya libur selama dalam perjalanan.

UB: Saya tertarik dengan nama anda. Jika tidak keberatan, apa maksud Soepeno dalam bahasa Jawa?
SS: Soepeno maksudnya impian. Ketika dilahirkan ayah saya, Bani Sahid menamakan saya Soepeno kerana beliau menginginkan anak laki-laki.Kebetulan saya anak ketiga. Dua kakak saya perempuan.Bila saya lahir, almarhum ayah saya memberikan nama Soepeno. Orang tua saya mengimpikan saya menjadi orang yang berhasil. Itu sebabnya, saya diberi nama Soepeno.

UB: Apa hal yang menarik di Sabah, kalau menurut pendapat anda? Apakah anda merasa asing di sini?
SS: Sejak bertugas di sini, lebih satu tahun lalu, tepatnya pada 23 Januari 2010, saya merasa agak gembira. Saya menganggap Malaysia rumah kedua saya kerana kesamaan bahasa dan budaya. Bahkan hampir semua anak saya di Malaysia dan bersekolah di Kuala Lumpur. Dari segi bahasa dan budaya, Sabah hampir sama dengan Kalimantan. Bahkan perayaan pesta menuai iaitu selepas panen juga di sambut masyarakat di Kalimantan iaitu sama seperti Pesta Menuai atau Gawai di Sarawak.

UB: Apa program-program yang dilakukan oleh KJRI untuk mengeratkan hubungan Sabah dan Indonesia dalam bidang seni?
SS: Setiap tahun kita mengadakan pertunjukan kesenian, peragaan busana (fashion show) untuk memperkenalkan budaya masing-masing. Pada tahun ini kita merancang untuk mengadakan pertunjukan busana muslim, yang kini semakin banyak mendapat sambutan.

UB: Siapa idola anda? Apa yang menarik pada mereka?
SS: Kalau sebut mengenai idola, saya suka Bung Karno, Presiden Indonesia yang pertama.Beliau merupakan seorang negarawan yang pro rakyat.Saya juga meminati Nelson mandela, yang berjuang melawan aparthied. Walaupun terpenjara, beliau tetap bersemangat berjuang sehingga dasar Aparthied dapat dimansuhkan.
Saya juga meminati Tun Dr.Mahathir Mohammad. Saya suka kata-katanya, makmurkan jiran anda. Bagi saya beliau merupakan seorang negarawan yang berkaliber.

UB: Anda suka membaca? Apa jenis buku yang ANDAsuka baca?
SS: Saya suka membaca buku politik, psikologi, undang-undang dan sebagainya. Sesuai dengan latar belakang pendidikan dalam bidang undang-undang saya suka membaca buku yang berkaitan dengannya. Saya baru saha habis membaca buku Memoir Dr.Mahathir yang bertajuk Doctor in A House.

UB: Siapa penyanyi yang anda minati?
SS: Sewaktu di kampung, saya suka mendengar radio. Saya suka mencari siaran luar negeri, BBC, RTM, ABC dan sebagainya. Antara penyanyi yang saya minati ialah Sharifah Aini, Broery Marantika, Koes Plus dan sebagainya. Saya juga meminati Ebiet G.Ade kerana lirik-lirik lagunya yang memiliki ajaran hidup.
Selain itu, saya juga minat wali Band, kerana lagu-lagunya juga membawa pesan kebaikan dan sebagainya.

Sementara itu, minat saya terhadap seniman P.Ramlee pula muncul ketika saya bertugas di Kuala Lumpur. saya memiliki semua cdnya.

UB: Apa nasihat anda kepada generasi muda?
SS: Belajarlah dengan lebih banyak.Setiap manusia tak pernah sempurna.

1 comment:

elmart pontianak said...

Alhamdulilah saya ketemu blog anda. Saya berasal dari pontianak kalimantan barat.. Kebetulan saya baru saja pulang dari sana mengunjungi embah saya. Bapak saya bisa dibagi nomor kontak atau email bapak soepeno karena saya ingin rekomendasi beliau untuk study saya di indonesia. Harap bapak sedia membantu dengan membalas ke akun email google saya. Terimakasih. Wassalam wrwb.