Monday, May 16, 2011

Sejenak bersama Pa'Min

Bagi yang tidak mengenalinya secara peribadi, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, 53,Yang di-Pertua Dewan Rakyat mungkin kelihatan garang. Sebenarnya disebalik perwatakannya yang tegas itu,beliau seorang yang suka berjenaka, baik hati, toleransi,suka mendengar pendapat orang lain, prihatin dan sebagainya.
Pandikar menceburi bidang politik pada tahun 1982 apabila bertanding di kawasan Parlimen Kota Belud tetapi tewas. Beliau kemudian bertanding dalam pilihanraya kecil Usukan dan berjaya memenangi kerusi itu atas tiket USNO.
Selepas itu, beliau menubuhkan parti BERSIH dan bertanding dalam pilihanraya 1986 di Lahad Datu tetapi sekali lagi kalah. Bagaimanapun, beliau diberi kata-kata semangat oleh gurunya, Haji Muda dengan mengatakan "Pandikar, sungguhpun kau kalah tapi sebenarnya kau menang".. Tidak lama kemudian beliau dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah pada tahun 1986, dan beliau yang ketika itu berusia 31 tahun, dianggap sebagai Speaker termuda di negara-negara Komanwel.
Selepas itu, beliau menjadi Ahli Dewan Negara dan kemudian turut mengasaskan Angkatan Keadilan Rakyat Sabah (AKAR). Selepas menang kerusi Tempasuk pada 1994 atas tiket BN-AKAR, beliau dilantik menganggotai Kabinet Negeri sebagai Menteri kebudayaan Belia dan Sukan. Dalam tempoh 1994-1999, beliau pernah menjawat jawatan Menteri Pertanian dan Perikanan, Menteri Kerjaya dan sebagainya. Pada 1999, beliau tidak bertanding kerusi DUN, sebaliknya dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1999-2002.

Dalam kegiatan NGO, Pandikar, merupakan Timbalan Presiden Pertubuhan Sabah Bajau Bersatu (USBO) dan penaung Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) sejak ditubuhkan 15 tahun lalu.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN menemui beliau dirumahnya untuk mengadakan temuramah. Bagaimanapun, Pandikar yang lebih mesra dipanggil Pa' Min bercerita mengenai pelbagai tajuk, yang sebahagiannya dapat dirakamkan dan sebahagian lagi dilanjutkan melalui soalan melalui internet,sms dan sebagainya.

UB: Apa persediaan yang Pa'Min lakukan sebelum mempengerusikan Persidangan Dewan Rakyat?
Pa'Min: Setiap kali parlimen bersidang, saya sentiasa membuat persediaan pada malam sebelumnya.Jika giliran saya pada sebelah pagi, malam sebelum itu, saya akan membaca semua soalan yang akan ditanyakan dalam sesi soal jawab. Daripada semua soalan itu, saya dapat menjangka jawapan yang diberikan, mana yang akan memicu kontroversi dan sebagainya.Pokoknya, saya mempersiapkan diri secara mental.

UB: Apa pandangan Pa'Min terhadap sikap wakil rakyat ketika berbahas di Parlimen yang ada kalanya mengajukan perkataan yang tidak sepatutnya?
Pa'Min:Wakil rakyat di negara ini perlu membudayakan adab sopan, budi bahasa dan nilai murni ketimuran ketika menyampai suara rakyat pada sesi perbahasan di Parlimen.Sebilangan wakil rakyat berkenaan tidak menunjukkan sikap sebagai “Yang Berhormat” apabila mengeluarkan kata-kata kesat dan menjerit-jerit sehingga berlakunya pembaziran masa ketika sesi perbahasan.Perlukah anggota-anggota Parlimen bersikap kasar seperti di Korea Selatan dan Taiwan yang menyaksikan anggotanya saling bertumbuk dan membaling kerusi untuk menjadikan Parlimen Malaysia bertaraf dunia?,”
Parlimen Malaysia boleh menjadi sebuah parlimen bertaraf dunia pada masa depan sekiranya wakil rakyat bersikap lebih matang dalam perilaku mereka dan tidak melanggar peraturan mesyuarat yang ditetapkan oleh speaker Dewan Rakyat.
Sebagai perbandingan, beliau berkata anggota-anggota House of Commons di England pernah bersikap kasar ketika era 1940-an tetapi kini, mereka lebih matang dan tidak membuang masa dengan bergaduh sebaliknya membahaskan isu-isu yang sangat menarik.
Selain itu, wakil rakyat tidak seharusnya mendakwa bahawa Parlimen bertindak zalim sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan sesuatu peraturan yang ditetapkan oleh speaker Dewan Rakyat.
Wakil rakyat juga tidak harus mempolitikkan sesuatu isu untuk kepentingan peribadi atau sekadar mencari publisiti tetapi menghujahkan sesuatu isu secara rasional dan mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Wakil rakyat perlu menjaga imej mereka, kerana sesi perbahasan di Parlimen kini dapat disaksikan orang ramai menerusi televisyen dan pada masa yang sama gelagat mereka juga akan diperhatikan juga

UB: Bagaimana Pa'Min melihat kedudukan Pa'Min sebagai Speaker Parlimen?
Pa'Min: Saya menganggap diri saya sebagai Speaker Parlimen, bukan sebagai Speaker mana-mana parti atau kelompok tertentu. Apapun keputusan yang saya buat, sama ada di dalam atau luar parlimen, saya lakukan untuk kepentingan Parlimen malaysia.

UB: Kita beralih ke soal lain.Apa pandangan Pa'Min mengenia kontrak sosial?
Pa'Min: Kontrak sosial adalah persafaham dan persetujuan awal di antara pemimpin-pemimpin dari Sabah, Sarawak, Singapura dan Malaya, yang telah dijadikan asas untuk menggubal satu perlembagaan sebuah negara baru, Negara Malaysia.
Pada yang tersurat dan tersirat, Malaysia adalah negara yang diwujudkan oleh empat wilayah yang mempunyai entiti dan autonomi kuasa sendiri. Itulah pemikiran “founding fathers” Negara Malaysia.
Makna 1Malaysia yang menjadi gagasan Perdana Menteri Keenam adalah selaras dengan apa yang telah diilhamkan dan dipersetujui oleh “founding fathers” negara tercinta, Malaysia.
Saya begitu teruja dengan slogan 1Malaysia, cetusan minda Perdana Menteri keenam. Semoga makna slogan ini adalah menyamai bait-bait yang telah digariskan oleh "founding fathers" negara Malaysia iaitu, "membangun bersama sebagai satu bangsa Malaysia". Dalam masa yang sama, semangat kontrak sosial (bagi Sabah) seperti isu ‘20 Perkara’ (hak-hak rakyat Sabah dalam Malaysia) yang di aktifkan semula, akan terus subur di jiwa rakyat jelata, sama seperti pemikiran ‘founding fathers of Malaysia’, di antaranya Datu Mustapha Datu Harun dan Donald Stephens untuk diabadikan selama-lamanya.

Jika sekiranya makna 1Malaysia adalah sama seperti yang diilhamkan dan dipersetujui oleh “founding fathers of Malaysia” termasuk pemimpin-pemimpin dari Sarawak dan Sabah, maka tidak ada alasan yang munasabah kenapa dan mengapa rakyat jelata di Sabah dan Sarawak harus terpengaruh oleh "janji manis" dari pihak tertentu.

UB: Apa pandangan Pa'Min terhadap generasi muda?
Pa'Min: Dahulu, walaupun ibu bapa buta huruf, namun mereka dihormati oleh anak-anak yang berpengajian tinggi. Anak-anak tidak tergamak atau berani menempelak atau mengaibkan ibu bapa dikhalayak ramai kalau pendapat atau pandangan mereka bercanggah. Anak-anak dengan rela mengalah, bukan kalah mempertahankan hujah tetapi berpegang pada suatu etika, "hormat" ibu bapa dan takut tulah. Tetapi, mereka yang bersikap sedemikian rupa, rata-rata berjaya di dalam perjuangan hidup mereka.

UB: Bagaimana pula sikap pemimpin dahulu dan sekarang?
Pa'Min: Dahulu, demi kepentingan rakyat jelata, pemimpin-pemimpin pelbagai bangsa berunding, berpakat dan berkerjasama. Mereka mengenepikan kepentingan diri jauh sekali menuding jari. Sikap ikhlas itu berbaloi. Mereka telah dapat mengisi kemerdekaan negara dengan dasar dan polisi yang kejayaannya dapat kita nikmati bersama dizaman kita. Akan tetapi, pemimpin-pemimpin dizaman ini walaupun berbekal pelbagai pengalaman dan ilmu di dada, asyik bersengketa, menuding jari dengan tidak memperdulikan sasarannya.

UB: Baru-baru ini Pa'Min ada mengulas pasal bunyi katak? boleh ulas sedikit?
Pa'Min:Baru-baru ini penyelidik (Indraneil Das dan Alexander Haas, Universiti Hamburg) menemui sejenis katak di Taman Nasional Kubah Sarawak yang terkecil di Asia, Africa dan Eropahpa. Saiz katak - berwarna merah-dan-oren - ini cuma sebesar biji kacang Pis (Peas). Katak ini ditemui bukan kerana mereka ternampak badannya dahulu tetapi terdengar suaranya yang unik berbanding dengan suara katak-katak yang lain yang terdapat di persekitaran kawasan tersebut.
Dalam konteks penemuan ini, "suara" nya yang nyaring jika dibandingkan dengan badannya yang amat kecil telah menyebabkan katak yang terkecil ini ditemui dan dikenal pasti spesisnya ( Microhylid ) yang kini diberikan nama Microhaylanepethicola.
Suara yang kedengaran nyaring/bising itu tidak semestinya dicetuskan/berasal dari badan yang bersaiz besar atau bilangan yang ramai.Sebesar-besar suara yang dicetuskan oleh badan yang kecil, lebih besar suara yang dicetuskan oleh badan yang besar.

UB: Kalau tidak lagi menjadi speaker, apa yang Pa'min mahu lakukan?
Pa'Min: Saya mungkin menulis blog seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir dengan blognya Che' Det. Barangkali juga saya akan meneruskan hobi memancing di tengah laut, menulis buku dan sebagainya.

UB: Setahu saya, Pa'Min juga menulis blog. Apa topik yang selalu menjadi topik perbincangan Pa'Min? Apa definisi blog bagi Pa'Min?Apa pandangan Pa'Min terhadap bloggers? Boleh ceritakan sedikit?
Pa'Min: Bagi saya, Bloggers adalah kumpulan individu yang mempunyai kebolehan memaparkan buah fikiran untuk disebar luaskan ke lapangan siber yang tidak bersempadan. Mereka ini sungguh berbakat dalam bidang yang mereka pilih dan mereka paparkan tajuk yang dapat memberi kepuasan kepada mereka masing-masing.
Latar belakang mereka pula dari pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang ilmuan, cendikiawan, pengamal politik, usahawan dan sebagainya. Semuanya "bersatu minat", menulis mengikut citarasa, kemahuan hati, minat dan kehendak mereka.

Ada Bloggers yang profesional, cuma menulis perkara yang masuk akal; ada Bloggers yang suka berfikir maka tulisannya pula menjemput rakan sama memikir; ada Bloggers yang ilmuan dan berpelajaran tinggi tetapi memperlihatkan tulisan kebudak-budakan menggelikan hati; ada Bloggers pengamal politik maka sudah tentu tulisannya mengenai kegiatan politiknya setiap detik. Tidak ketinggalan juga bloggers yang di dalam paparannya mempamerkan dirinya sebagai pengkritik. Seolah-olah dia maha mengetahui serba-serbi serta mencerminkan keperibadian diri yang sempurna dan tiada cacat celanya.....dan sebagainya....dan sebagainya....

Yang melucukan, hampir semua Bloggers menggunakan nama semaran dan jolokkan. Ada yang memilih nama yang elok dan cantik, kalau disebut sangat menarik; ada pula yang memilih nama makanan dan tulisan dan komennya sungguh menggiurkan; bermacam-macam lagi nama ciptaan yang menjadi pilihan termasuklah nama serangga, benda, manusia dan binatang.

Ada Bloggers yang serius dan ikhlas mereka menggunakan nama sendiri. Paparan dan tulisan mereka berkualiti tinggi. Ia mencerminkan bahawa si penulisnya mempunyai budi pekerti dan jati diri. Mereka ini bertanggungjawab pada pendapat yang mereka sebarluaskan, sebab itu mereka tidak berselindung pada nama yang direkacipta dan samaran.
Bagi saya berblog dengan satu tujuan, ingin berkongsi pengalaman dengan rakan Bloggers yang lain. Semoga pendapat dan pandangan dihargai. Kalaupun tidak janganlah dikeji dan diberikan komen yang bukan-bukan.

UB: Pernahkah Pa'Min rasa terguris kerana dikritik dalam blog?
Pa'Min: Seperti kata pepatah, bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelombang. Saya tidak terkecuali dari melakukan kesilapan yang tidak disengajakan. Untuk itu,kadang kita tidak terlepas dari bahana dan bebanan dosa mengumpat, mengeji dan mencerca.
Bagi saya berblog adalah salah satu senaman minda. Sekiranya digunakan dengan niat yang baik, ternyata ianya sungguh berfaedah kepada seluruh umat manusia dimuka bumi ini.

UB: Apa nasihat Pa'Min terhadap rakan-rakan bloggers?
Pa'Min:Rakan-rakan di lapangan cyber, berbloglah dengan sesukahati dan niat yang bersih. Ingatlah bahawa Yang Maha Berkuasa sentiasa memerhati apa jua yang anda lakukan dan di mana jua anda berada.

UB: Bagaimana Pa'Min berkomunikasi dengan generasi muda?
Pa'Min:Saya sentiasa mengikuti perkembangan, aspirasi dan perjuangan generasi pelapis melalui twitter, facebook, blog, dan sebagainya.

No comments: