Tuesday, June 7, 2011

dari stesen keretapi ke hotel Melde

Dari stesen keretapi Beaufort, kami berjalan kaki saja ke MelDe Hotel.Hari masih pagi.Cuaca agak cerah walaupun pagi tadi di ibu kota hujan turun dengan lebatnya.

Perjalanan dengan keretapi jam 7.45 dari Stesen Tanjung Aru juga agak selesa. Keretapi bergerak dengan kelajuan yang sederhana di atas landasannya yang baru.Perhentian pertama di Putatan, kemudian Kinarut, lalu Kawang, Papar, Kimanis, Bongawan, Membakut dan Kemudian Beaufort.Jika tak silap, perkhidmatan keretapi ini dimulakan sekitar tahun 1906, mulanya untuk mengangkut hasil getah dan tembakau.

Sepanjang perjalanan itu kita dapat melihat pemandangan yang mengasyikkan. Kita melihat pekan-pekan lama Kinarut, Kimanis,Bongawan, Membakut, yang sebentar lagi mungkin luput oleh arus kemodenan.

Keretapi berjalan melalui kampjung-kampung, rawa-rawa, terowong, sawah padi, sungai,tepi pantai dan sempat pula kami menyaksikan orang berkebun sayur, menjemur ikan bilis di Bongawan dan sebagainya.

Tidak hairanlah ramai yang tertarik menaiki keretapi.Ia boleh dijadikan satu sarana pengangkutan yang baik, dan boleh digunakan oleh pelancong untuk menikmati keindahan alam negeri ini.

Rupanya dalam perjalanan itu, ramai juga yang menaiki keretapi itu buat kali yang pertama. Memang perjalanan itu berbaloi kerana mutu perkhidmatan keretapi Tanjung Aru-Beaufort yang boleh dibanggakan.

Alangkah baiknya kalau perkhidmatan keretapi ini merangkumi perjalanan dari Tanjung Aru ke Beaufort, Tanjung Aru ke Kudat, Kudat ke Pitas, Pitas ke Sandakan, Sandakan ke Lahad Datu, Lahad Datu ke Tawau, Tawau ke Kalabakan, Kalabakan ke Nabawan, Nabawan ke Keningau,Keningau ke Tenom dan seterusnya. Barangkali 20 atau 30 tahun lagi, sekiranya kerajaan mahu menyediakan sistem pengangkutan awam yang terbaik.

Mungkin, baik juga barangkali kalau hal ini ditanyakan kepada Datuk Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pengangkutan yang articulate itu.Apa rancangan kerajaan untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam khususnya keretapi. Mungkinkah kalau perkhidmatan itu diberikan kepada syarikat swasta dan diberi konsesi 40 hingga 50 tahun, asalkan rakyat dapat menggerakkan roda ekonomi mereka dengan lebih cepat dari sati tempat ke satu tempat yang lain.

Akhirnya kami tiba di MelDe hotel. Dalam perancangan kami, hanya mahu berehat sebentar. Tapi kemudian anak-anak tertidur dan kami keletihan.Terbangun tengahari itu, melihat hujan yang semakin melebat. Kami sempat ke G-Mart di Pasar Am Beaufort, melihat jalan yang dinaiki air dan padang sekolah Kung Ming yang juga dinaiki air.

Malam itu, Ah Chong, taukeh Worshop kawan si Rainus membawa kami ke seberang dan minum di warung di hadapan CNF Hypermarket Beaufort Jaya fasa Dua. Ah Chong, juga rupanya rakan baik kepada Cikgu Hajat Kota Belud, "macam abang adik,"katanya.

Kami makan sup tulang. Saya teringat di Beaufort selalunya sup kerbau kerana mereka jarang makan daging sapi dan lebih sukakan daging kerbau.

"Hujan macam ini, biasa di sini," kata Ah Chong sambil meminta kami agar jangan risau. Saya tahu, hasil perbualan dengan beberapa kawan termasuk YDP PBTM, Abd.Sanon Sapri, yang mengatakan, di kampungnya di Lupak sudah dinaiki banjir.

Sebelum naik ke hotel, kami ke restoran mamak untuk mengambil bubur yang dipesan.Agak lucu juga apabila taukeh kedai itu memberikan satu belanga kepada kami.
Takkanlah pula belanga itu kami bawa ke hotel.Akhirnya kami minta tapau saja. Sebaik tiba, Fawzan dan farhan bermain pencil warna yang membuat mamanya geram.

Johawalia mengsms yang ketika itu berada di KK untuk bertanya sama ada kami sempat mengelilingi Beaufort atau tidak? banjir ka di sana?

No comments: