Monday, June 27, 2011

di kedai Lilok bercakap tentang Bersih 2.0

Tak ada ikan lain.Hanya yang ada ikan tulai dan ikan baulu sementara ikan yang selalu dirujuk dengan nama seorang penyanyi 80-an, itu sudah habis dibeli orang.
Saya makan sendirian.Kebetulan semua rakan dan taulan yang dihubungi, kalau tidak berada di rumah, pulang kampung.
Si Asam sedang berada di rumah dan malas keluar KK, sementara Amai Shafiq pulang KB manakala si Ineng pula masih berada di kampung.

Selepas menyiapkan beberapa artikel, saya sengaja ke Lilok untuk mencari ikan bakar, sementara fikiran saya masih tetap mengarah kepada peristiwa kehilangan segenggam kunci pada sebelah paginya.

Sambil minum lemon tea panas, baru saya ternampak rakan yang bertugas di JASA. Beliau bertanyakan saya mengenai kalau-kalau ada perhimpunan Bersih yang diadakan di Sabah.

Saya memberitahunya saya kurang maklumat mengenainya. Tapi saya memberitahunya bahawa reaksi berlebihan oleh pihak-pihak tertentu terhadap Perhimpunan Bersih 2.0 yang dijangka diadakan pada 9 Julai depan di Kuala Lumpur telah menyebabkan perhimpunan itu mendapatkan perhatian pro dan kontra di seluruh negara.

Oleh kerana sering disiarkan di kaca tv dan media perdana, dan hampir kesemua berita yang tersiar itu anti bersih, maka ia menimbulkan rasa ingin tahu orang ramai, tentang apakah salahnya Bersih itu. Kalangan yang berada di pihak pembangkang, mempunyai sebab yang munasabah mengapa mereka mahukan perhimpunan Bersih itu antaranya menuntut pilihanraya yang adil, menuntut akses terhadap media, tempoh berkempen yang lebih lama, penggunaan dakwat hitam dan sebagainya. Sementara itu, di pihak yang satu lagi, mereka menyifatkan perhimpunan itu bakal menimbulkan gangguan terhadap perniagaan, mampu menimbulkan situasi yang tidak diingini dan mengganggap bahawa perhimpunan itu tidak perlulah diadakan, atau kalau diadakan pun, mungkin dibuat di tempat atau lokasi lain misalnya stadium.

Beberapa perkara menimbulkan kelucuan, atau mungkin gangguan bagi pihak yang lain. Seseorang yang berbaju kuning bersih bahkan tidak dibenarkan solat maghrib di masjid bandaraya Likas, bahkan di ibu negara, ramai yang ditahan kerana memakai baju yang dianggap mampu menimbulkan keadaan yang tidak gembira kepada pihak yang menentang perhimpunan itu.

Bahkan Pak Samad juga disoal kerana menulis puisi, mengenai keresahannya terhadap demokrasi yang lara.Sayang sekali kerana keresahan orang tua ini tidak ditanggapi dengan bijaksana.

Kepada seorang teman yang bertanya mengenai Bersih itu, saya memberitahu bahawasanya, situasi politik di Sabah dengan di semenanjung agak berlainan.Suasananya berbeza.Isu yang diperjuangkan pun berbeza. Tapi saya fikir, reaksi dan respon yang berlebihan, sehingga kita mendapati ramai orang membuat laporan polis, itulah yang menyebabkan Bersih 2.0 itu mendapat sorotan, bahkan terpaksa kita soroti kerana banyak yang bertanya dan menyorotinya-secara berlebihan.

2 comments:

samizul.net said...

Assalamu'alaikum Tuan Abb. Naddin.. ^^,

Saya ada sedikit maklumat mengenainya. Jemput baca ya..

ANGRY BIRDS PUN SOKONG BERSIH 2.0?

BERSIH 2.0 SABAH [RASMI]

abd naddin said...

terima kasih atas respon. barangkali tulisan Sdr Amin Ahmad dapat juga dibaca untuk ditelaah.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/3921-bersih-dan-kebebasan-berhimpun