Monday, June 20, 2011

Kisah Tun Sakaran di Zaman Jepun

MEMANG banyak perkara yang boleh diteladani daripada kisah-kisah menarik yang dialami oleh Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran bin Dandai, Yang Di Pertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA). Beliau yang juga mantan Yang Di Pertua Negeri Sabah yang kelapan (1995-2002), pernah menjadi Ketua Menteri Sabah daripada 17 Mei 1994 hingga 27 Disember 1994, Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi 1990-1994. Sebelum itu, beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Semporna 1967-1994.Ketika pemeintahan USNO, Beliau pernah menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah (1971-1974), Menteri Pertanian dan Perikanan (1974-1976).

Lahir pada 15 April 1930, Tun Sakaran belajar di Sekolah melayu Semporna 1937-1941 dan ketika pendudukan Jepun, beliau belajar di Sekolah Jepun pada 1942-1945. Selepas Perang Dunia Kedua, beliau belajar di Government Vernacular School Semporna. Kemudian beliau dilantik sebagai Keranai Anak Negeri di Pejabat Daerah Semporna pada 31 Ogos 1948. Pada tahun 1950-an, beliau pernah ditugaskan di Pulau Tambisan,dan pada 1958, beliau bertugas sebagai Kerani Besar Semporna pada 1960.Tidak lama kemudian pada tahun 1962-1967, beliau dilantik sebagai Ketua Daerah Semporna. Kerjaya politiknya bermula ketika menyertai rundingan Pembentukan Persekutuan Malaysia 1962-1963. Beliau pernah menjadi Ketua Pemuda USNO Semporna 1964-1967, Timbalan Presiden USNO 1984 dan menjadi Ketua Penaja UMNO Bahagian Semporna 1991.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berkesempatan untuk menemuramah beliau di Hotel Hilton, Kuching ketika menghadiri majlis perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-54 yang diadakan di Kuching, Sarawak pada 13 hingga 17 Jun lepas.Dalam temuramah yang berlangsung kira-kira dua jam itu,Tun Sakaran menceritakan kisah-kisah ketika zaman persekolahan, pendudukan Jepun, penjajahan kolonial, dan soal dedikasi dan komitmen dalam perjuangan.

UB: Terima kasih kerana sudi ditemuramah oleh Utusan Borneo. Kami ingin berkongsi pengalaman Tun ketika zaman persekolahan dahulu yang sudah tentu berbeza dari sekarang.Boleh ceritakan sedikit keadaan dan suasana pada ketika itu?
Tun: Keadaan pada masa sekarang berbanding dengan zaman penjajahan dahulu memanglah jauh berbeza.Kemudahan infrastruktur sekolah pada zaman sekarang jauh lebih baik.Dulu zaman kami tidak seperti ini. Kita patut mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita perolehi. Ketika pemerintahan British, sistem pelajaran pada masa itu lebih menitikberatkan agar pelajar menguasai menulis, membaca dan mengira. Bagaimanapun, pelajaran saya terganggu ketika pencerobohan tentera Jepun pada tahun 1941.

UB: Bagaimana pula sistem pendidikan yang diajarkan ketika zaman pemerintahan Jepun?
Tun: Ketika zaman Jepun, mereka cuba menerapkan nilai-nilai patriotik dalam jiwa pelajar. Pembelajaran lebih tertumpu kepada pembelajaran bahasa Jepun. Sekolah Jepun memang agak berbeza dengan `vernacular school' di zaman British. Walau bagaimanapun, pemerintahan Jepun lebih keras. Mereka cuma menyerapkan budaya dan semangat patriotik di kalangan pelajar sekolah dan penduduk tempatan. Pendekatan dan sistem pemerintahan yang mereka amalkan itu menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat.

UB: Apa pengalaman Tun semasa bersekolah itu?
Tun: Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 4.00 pagi. Mendayung perahu kecil yang diberi nama kaya-kaya.Kira-kira jam 7.00 pagi kami sampai di sekolah. Ada kalanya dari Tinagayan itu, kami diiringi oleh buaya. Ada masa kami nampak buaya.Walaupun kami takut, tapi itu tidak menghalang kami untuk pergi ke sekolah. Setelah sampai, perahu kami tambatkan di satu tempat yang jauh. Supaya kalau air surut kami boleh limpas. Selepas itu kami berjalan di tengah hutan. Kadang-kadang kami dikejar beruk yang pendek ekornya itu.Malah ada rakan kami pernah digigit beruk. Banyaklah kesusahan yang dialami ketika itu.Pernah pula satu ketika kena sengat ikan sembilang. Ada juga ikan kapu' ikan berbisa yang boleh menyerupai pasir, boleh menyerupai batu.

UB: Berapa ramai rakan-rakan sekolah Tun ketika itu?
Tun: Kami ada lapan orang. Antaranya Haji Gidek Ibnu Hassan, Abdul Basah Keruda, Haji Bakti Anuali,, Haji Rumaling Janalullah, Ibno Baddiri Ibno Salleh, Samsula Janalullah, Ma' Alullah.

UB: Apa bekal ke sekolah?
Tun: Ketika itu bekal kami ke sekolah hanyalah sebiji ketupat dan ikan goreng. Bekal ini biasanya kami simpan di satu tempat.Kini berdekatan hospital. Kadang-kadang bekalan kami yang kami sangkutkan atau gantungkan itu diambil orang.Ketika pendudukan Jepun itu, kehidupan terasa lebih teruk.Sampai tiada makanan, tiada ubat. Peperangan itu telah memberi kesedaran mengenai makna penderitaan dan kesengsaraan hidup.
Kami terpaksa mengangkat air sendiri, Bahkan kami pernah makan ubi kayu mentah semasa kami berjalan mencari bahan-bahan makanan. Waktu itu umur saya kira-kira 12 tahun. Kehidupan sekarang berbeza dengan masa dijajah dahulu. Seperti bumi dan langit.

UB: Boleh ceritakan sedikit suasana pemerintahan Jepun?
Tun: Pemerintahan Jepun terkenal dengan kekerasan dan kekejamannya. Ramai penduduk Semporna yang ditangkap oleh tentera Jepun kerana mereka disyaki membantu Alliance (Tentera Bersekutu) yang ketika itu berpengkalan di Bongao. Ramailah ketua-ketua kampung yang ditahan kerana disyaki bersubahat.Padahal mereka hanya menjalankan kegiatan tukar barang di pekan Semporna. Jepun menyangka mereka menghantar barang untuk membantu Amerika. Sebab itu mereka menangkap penduduk tempatan. Sebahagian mereka diseksa dengan pelbagai bentuk penyeksaan. Ada yang diberi minum air sabun, dikasari, ditendang, dipukul dan diseksa sedemikian rupa. Antara mereka yang ditangkap itu ialah pakcik Amat Jamli yang berkahwin dengan makcik saya. Yang lain termasuklah Panglima Habibuddin bin Sekati, Hani bin Jahaludin, Jabilan bin Jahaludin. Nasib ketiga-tiga bapa saudara saya ini gaka begitu malang. Panglima Habibbudin meninggal semasa dalam tahanan Jepun, Hani bin Jahaludin dan Jabilan bin Jahaludin pula oleh tentera Jepun ke Tawau dan sehingga kini pusara mereka tidak ditemui.
Selain itu, beberapa ketua kampung dan dua peniaga Cina juga telah dibunuh oleh tentera Jepun.

UB: Selain itu apalagi kekejaman Jepun?
Tun: Kekejaman tentera Jepun bukan hanya menangkap orang dan menyeksa mereka. Mereka juga melakukan rampasan binatang-binatang ternakan yang dipelihara oleh orang kampung.Makanan penduduk juga dirampas. Apa saja yang mereka nampak semuanya dirampas. Sebab itu, penentangan dan kebencian penduduk kampung juga semakin menebal terhadap Jepun. Tentera Jepun sentiasa memburu orang-orang kampung. Ramai diantara mereka terpaksa bersembunyi di pulau-pulau dan beberapa buah kampung berdekatan seperti Kampung Tinagayan, Kampung Bubul, Tampi-Tampi, Pulau Menampilik, Kampung Lihak-Lihak, Pulau Timbun Mata dan Melanta Tutup. Oleh sebab itu orang-orang kampung berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Di kalangan mereka yang diburu Jepun itu termasuklah pakcik yang juga mertua saya, Datu Panglima Haji Abdullah bin Panglima Uddang. Beliau diburu Jepun kerana beliau merupakan bekas kakitangan British sebelum penjajahan Jepun ke Semporna. Oleh sebab itu, ramai ahli keluarga beliau yang turut bersembunyi daripada turut dikesan oleh tentera Jepun.

UB: Tun pernah menyaksikan pertempuran Jepun dengan pasukan tentera Bersekutu?
Tun: Saya pernah menyaksikan pertempuran antara tentera Jepun dengan Tentera Bersekutu di Semporna. Antaranya ialah pengeboman oleh tentera Amerika ke atas kapal tentera laut Jepun yang bersembunyi di Tagasan, Menampilik dan Nusa Tengah. Selain itu, saya pernah juga menyaksikan bagaimana pasukan tentera Bersekutu menggunakan 'Petty Boat' yang sangat laju, dilengkapi dengan senjata perang seperti mesingan (machine gun) dan lain-lain lagi untuk menyerang tentera Jepun di laut. Ketika itu, peluru-peluru pasukan tentera Bersekutu dilepaskan ke arah Tentera Jepun telah dapat menembusi beberapa perkampungan di kampung Bubul dan Bogaya. Walaupun tempoh pemerintahan tentera Jepun cuma sebentar, hampir lima tahun tetapi ia telah meninggalkan kesan besar terhadap kehidupan masyarakat. Dimana mereka sentiasa teringat kekejaman Jepun. Kesan penindasan dan kekejamam Jepun itu telah menimbulkan kesedaran dan keinsafan kepada diri saya sendiri.

UB: Apa yang dapat kita pelajari daripada peristiwa ini?
Tun: Peristiwa ini boleh menjadi iktibar kepada generasi muda anak bangsa kita. Peristiwa ini perlu direnungi kerana banyak pengajaran daripadanya. Betapa sukarnya hidup di zaman penjajahan.Makanan tidak ada, sampai ubat pun tidak ada. Bahkan kami sempat makan ubi mentah, biji jagung tua yang direbus dan sebagainya. Semua ini boleh menjadi p0engajaran kepada kita semua. Kita hendaklah mensyukuri nikmat kemerdekaan ini. Jika dibandingkan dahulu dan sekarang, amatlah jauh berbeza. Cuma masyarakat dahulu, suku tolong menolong, suka bergotong royong dan suka menbantu antara satu sama lain. Nilai-nilai itu sekarang semakin pupus dan itu patut dihidupkan semula, semangat gotong royong dan tolong menolong itu.

2 comments:

Nurul Azlee said...

BIODATA TUN SAKARAN @ HASYIM BIN DANDAI BIN AJIBBUDIN @ KAJIBUK BIN JAMALUDDIN @ TOLA BIN JALALUDDIN @ AMBALI BIN MAULANA SYARIFUDDIN HASYIM @ SUNAN DARJAT . TUN SAKARAN SEORANG MANTAN PEMBESAR NEGERI SABAH DI SAMPING SEORANG ULAMA YANG BANYAK MENIMBAH ILMU AGAMA ISLAM KEPADA ULAMA MEKKAH DAN ULAMA NUSATARA DAN ULAMA TEMPATAN

NUKILAN KERAJAAN BIN HJ PINAMPAN @ MUHAMMAD SULAIMAN BIN HJ JIKATAN @ HASSAN BIN JAHALUDDIN @ KADDA BIN JAMALUDDIN @ TOLA BIN JALALUDDIN @ AMBALI BIN MAULANA SYARIFUDDIN HASYIM @ SUNAN DARJAT

Nurul Azlee said...

TUN SAKARAN @ HASYIM BIN DANDAI BIN AJIBUDDIN @ KAJIBUK BIN JAMALUDDIN @ TOLA BIN JALALUDDIN @ AMBALI BIN MAULANA SYARIFUDDIN HASYIM .TUN SAKARAN MANTAN PEMBESAR NEGERI SABAH YANG BANYAK PENGALAMAN MENTADBIR NEGERI SABAH KERANA PERNAH BEKERJA DI BAWAH DUA PENTADBIRAN PENJAJAH IAITU BERITISH DAN JEPUN DI SAMPING SEORANG ULAMA YANG BANYAK MENIMBAH ILMU AGAMA ISLAM KEPADA ULAMA MEKKAH DAN ULAMA TEMPATAN

NUKILAN KERAJAAN BIN HJ PINAMPAN @ MUHAMMAD SULAIMAN BIN HJ JIKATAN @ HASSAN BIN JAHALUDDIN @ KADDA BIN JAMALUDDIN @ TOLA BIN JALALUDDIN @ AMBALI BIN MAULANA SYARIFUDDIN HASYIM @ SUNAN DARJAT