Monday, June 20, 2011

satu catatan di perkampungan sasterawan ke-8

SEORANG rakan penulis dari utara terpaksa berhenti di perhentian bas di Tuaran kerana tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Ketika itu beliau dalam perjalanan untuk menghadiri Perkampungan Sasterawan ke-8 yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah pada 18 dan 19 Jun 2011.

"Kali ini saya menunggang motosikal," katanya. Jika tidak silap, kali terakhir Perkampungan Sasterawan diadakan di Beringgis Resort pada 2004, beliau datang menaiki lori.

Walaupun sibuk dengan tugasnya sebagai imam di kampungnya, beliau tetap meluangkan masa untuk menghadiri perkampungan sasterawan yang dianggap penting itu. Sejak kali pertama Perkampungan Sasterawan itu diadakan pada 10 hingga 12 April 1981, ramai penulis dan peminat sastera telah menyertai program yang menghadirkan penulis terkenal, sarjana, sasterawan dan budayawan negeri dan nasional untuk sama-sama berkampung membincangkan perkembangan sastera mutakhir.

Saya sendiri hadir Perkampungan Sasterawan kedua yang diadakan pada 7-9 Disember 1986 di Sandakan iaitu kira-kira 25 tahun yang lalu. Ketika itu baru berusia 17 tahun, masih dalam semangat menggelora, ghairah berhujah, perkampungan itu meninggalkan banyak kesan terhadap diri saya kemudiannya.Seingat saya, Mumin Mail dari RTM sempat menemuramah saya untuk rancangan radio nasional dan disiarkan beberapa kali di radio.

Saya tidak pasti kenapa saya dipilih untuk ditemuramah tetapi yang saya ingat, saya sentiasa berdiri untuk mengajukan soalan dan menghujah pendapat dan penjelasan daripada ahli panel termasuklah Prof.Dr.Nik Safiah Karim, Dr Othman Puteh (kini Allahyarham) dan sebagainya. Perkampungan Sasterawan dengan tema `Profesionalisme Dalam Penulisan' itu memang menyeronokkan bukan saja kerana membincangkan mengenai profesionalisme dalam dunia penulisan tetapi juga menjadi satu wadah yang mempertemukan penulis-penulis baru dengan penulis dan sasterawan terkenal tanahair, yang kemudiannya turut membantu membina dan mematangkan diri dengan segala aspek dunia kepenulisan.

Sejak 1986,saya berkesempatan hadir dalam hampir kesemua Perkampungan Sasterawan yang diadakan selepas itu. Perkampungan Sasterawan yang Ke-3 di Wilayah Persekutuan Labuan pada 1990,Perkampungan Sasterawan ke-4 di Tawau pada tahun 1992, Perkampungan Sasterawan ke-5 di Kota Kinabalu pada 1996, Perkampungan Sasterawan ke-6 di Kota Belud 1999 dan Perkampungan Sasterawan yang ke-7 di Beringgis Papar.

Ketika hadir dalam Perkampungan Sasterawan ke-8 kali ini, saya teringat nostalgia ketika pertama kali menghadiri Perkampungan Sasterawan di Sandakan kira-kira dua puluh lima tahun yang lalu. Seperti yang turut diakui Ag Karim Kadir, yang juga pertama kali hadir dalam perkampungan sasterawan pada masa itu, semangat dalam bidang sastera memang tinggi. Karim teringat ketika pertama kali bertanya Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad dalam satu sesi dalam perkampungan itu.

Saya teringat kata-kata Dr.Othman Puteh yang menyatakan kalau acara seperti Perkampungan Sasterawan itu dapat melahirkan enulis `janganlah ramai, sepuluh orangpun sudah memadai', program itu dianggap berjaya.

Kami menginap di Asrama Majlis Perbandaran Sandakan. Ketika itu ada masalah bekalan air, jadi ada juga di antara kami tak dapat mandi. Pada sebelah malamnya, saya dan Cikgu Alkesah Bidin mencari telur penyu, yang ketika itu bolrh didapati di pasar Sandakan. Antara nama-nama yang ikut serta dalam perkampungan sasterawan ketika itu yang masih saya ingat ialah Hajah Zaiton Ajamain,Hasyuda Abadi, Azmah Nordin, Ag Ramlee Gati, Abu Masykur Nasution, Obasiah Haji Osman, Jaliha Jaman,Sitti Rahmah G.Ibrahim, Bob Sarman Ali, Bakri Lumundaya,Allahyarham Dr. Datu Bandira Datu Alang, Sabri Haji Ahmad, Rosni Dullah,Hasnah Anjam, Azlan Dayukan, Jamaludin Moksan,Iriansyah Yunus, Mahmud Jahar,ABM Fajeer,Sainah Mustakim, Saripudin Kanda,Bob S Nean,Zieck,Shaama Erda,Inzura Haji Kosnin, Tawil Beddu,Sarudi Samali, Bitan Jamani, dan ramai lagi.

Kali ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah meneruskan tradisi untuk mengadakan Perkampungan Sasterawan bagi edisi yang ke lapan. Masih terdapat beberapa rakan yang mengikuti perkampungan sasterawan 86 hadir dalam perkampungan kali ini. Antaranya Sitti Rahmah G.Ibrahim, Hasyuda Abadi, A.Karim Kadir, Bob Sarman Ali dan lain-lagi. Khabarnya ada juga yang pernah mengikuti perkampungan sasterawan yang pertama yang hadir dalam perkampungan sasterawan kali ini tetapi saya kurang maklumat mengenainya.

Paling menarik dalam perkampungan kali ini adalah sejumlah besar penulis-penulis muda berbakat besar. Antaranya Ruhaini Matdarin, Faridah Abd.Hamid, Pena Alam, Ara Aranam,Aloy,Kunia Gilong dan ramai lagi. Juga kehadiran penulis-penulis seperti Siba Nita AS, Saibil Madun, Asmuin Satri, Nandra Hitong, Jair Sulai,Mabulmaddin Shaiddin, Norawi Haji Kata,Katherina Tati, Ony Latifah Osman, Jasni Yakub,Suli8 Bakar ANs, Hajah Hasnah Sambas,penulis-penulis dari Sandakan, Kota Belud, kudat, Keningau juga turut meramaikan lagi perkampungan sasterawan yang mempertemukan penulis untuk berkongsi dan bertukar-tukar fikiran demi kemajuan sastera Sabah.

Perkampungan Sasterawan kali ini juga diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh Ketua Pengarah DBP Malaysia, Dato Termuzi Abd.Aziz, Kertas kerja olehProf.Datuk Dr Zainal Abidin Borhan Setiausaha Satu GAPENA, Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas, Ahli Kehormat IPS, Laliman Haji Ahmad, Dr.Chacho Haji Bulah, Siti Aisah Murad, Dr.Asmiaty Amat (UMS) dan sebagainya.


Hidup adalah perulangan-perulangan, catat Hasyuda Abadi ketika saya minta autografnya pada tahun 1986. Demikianlah, Perkampungan Sasterawan kali ini tak dapat dipisahkan dengan hayat kepenulisan dan kepenyairan kami, mungkin kerana kami adalah antara `sepuluh orang-mungkin lebih ramai lagi' yang dapat dilahirkan setelah perkampungan sasterawan 86 itu.

Bayangkan kalau setiap Perkampungan Sasterawan yang diadakan itu dapat melahirkan sekurang-kurangnya 10 penulis, setiap program sastera yang diadakan dapat membina seorang atau dua orang penulis, sejak berpuluh-puluh tahun lalu, atau katakanlah sejak DBP ditubuhkan tahun 1977 di Sabah, berapa agaknya jumlah penulis yang kita miliki sekarang?

Walaupun demimian, jumlah itu masih kecil jika dibandingkan dengan Penduduk Sabah yang berjumlah lebih tiga juta sekarang. Kalau sepuluh peratus saja penduduk Sabah menulis alangkah baiknya. Atau mungkin sepuluh peratus daripada jumlah sepuluh peratus itupun sudah cukup memadai bagi memartabatkan dunia penulisan dan industri perbukuan kita.

No comments: