Wednesday, July 20, 2011

Catatan di Hotel Courtyard 1Borneo

Selepas menghadiri Bengkel Kerja Pengumpulan Entri Bahasa Sukuan anjuran DBP Sabah di Hotel Courtyard, 1 Borneo, Sabtu dan Ahad lepas, saya terasa makin banyak yang tak selesai. Tatabahasa bahasa Iranun memang agak kompleks. Saya fikir tidak ramai yang telah membuat kajian yang teliti mengenainya. Selain Prof.Howard Mc Kaughan, Karla Smith, Prof Datuk Dr Asmah Haji Omar, terdapat beberapa kajian yang dibuat, antaranya oleh Ahmad Mushtah Maning, dalam disertasinya yang dikemukakan di Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Dalam jawatankuasa penyelidik bahasa Iranun yang saya dilantik pengerusinya itu, anggota jawatankuasa penyelidik ialah Cikgu Ismail Sidik, Saudara Julkhan Haji Arin, Mohd.Isha Jutor, Mabulmaddin Hj Shaiddin dan Sapari Rajun yang tak dapat hadir.

Walaupun kami disebut pakar penyelidik, kami sebenarnya bukan pakar. Kami hanya mengumpul kosa kata dalam bahasa Iranun dan mencari kata yang telah ditentukan domainnya. Domain kali ini ialah mengenai pakaian dan aksesori, muzik dan tarian serta pantang larang. Cara kerja kami ialah mencari dan mengumpul sebanyak banyak entri dalam bahasa sukuan untuk kemudian dicarikan padanan, takrif, ayat dalam bahasa sukuan dan terjemahannya dalam bahasa Melayu.

Saya sendiri sudah terlibat dalam kajian penyelidikan bahasa Iranun ini sejak tahun 1988, yakni ketika saya masih berusia 18 tahun. Bersama kami dalam bengkel kerja itu ialah JK Penyelidik bahasa Bajausama yang kini dipengerusikan Saudara Radik Taim dan JK Penyelidik Bahasa Kadazandusun yang dipengerusikan Puan Rita Lasimbang.

Sebelum saya, antara pakar penyelidik yang pernah terlibat dalam kajian penyelidikan bahasa ini ialah Allahyarham Dr.Datu Bandira Datu Alang dan Cikgu Alkesah Bidin. Selain itu, satu ketika pada tahun 80-an, Sdr Datu Masdan Nurasin juga pernah terlibat dalam projek pengumpulan kosa kata bahasa Iranun ini.

Kami pernah beberapa kali bersidang di peringkat Sabah dan Sarawak, di Kuching, di Miri dan sebagainya. Berbincang mengenai bahasa memang sesuatu yang amat menarik dan mencabar. Tetapi bahasa adalah satu bidang yang tak akan ada habishabisnya.

Saya merasa memang banyak hal yang perlu diteliti, dicatat, dirakam, didokumentasi, dibukukan dan diterbitkan. Memang terdapat kekangan dari segi dana, misalnya untuk penerbitkan kamus dan sebagainya, tetapi sungguhpun begitu, terdapat beberapa kosakata yang telah dimasukkan dalam kamus dewan, kamus peristilahan, daftar kata dan sebagainya, dan sedikit masa lagi, semua hasil kajian dan penyelidikan itu akan dapat digunapakai secara online di seluruh dunia setelah Projek Pangkalan Data Bahasa Sukuan DBP beroperasi sepenuhnya nanti seperti yang dicita-citakan.

Makin banyak kerja penyelidikan perlu dibuat agar bahasa ibunda kita tidak hilang ditiup angin perubahan yang semakin lama semakin kencang ini.

2 comments:

Ujie said...

pertama kali saya tau bahasa Iranun ni..cetek ilmu sungguh! Bahasa suku mana ya?

abd naddin said...

Ujie, bahasa Iranun adalah bahasa yang digunakan oleh suku bangsa Iranun. Suku bangsa ini terdapat di Sabah khususnya di Kota Belud, Kota Kinabalu, Kudat, Lahad Datu dan sebagainya.
Untuk makluman Ujie, Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia adalah dari sukubangsa Iranun. Salam dan terima kasih