Thursday, July 14, 2011

dimana mahu tanam tembuni? catatan dari pertanyaan seorang rakan

Dimana mahu tanam tembuni?
Itulah kerisauan seorang rakan kami, yang tiba-tiba dihadapkan dengan persoalan dimana seharusnya menanam tembuni.

Mengikut adat tradisi , tembuni bayi yang baru dilahirkan mesti ditanam dalam tanah. Tetapi saudaranya yang baru melahirkan anak itu, tidak lagi tinggal di kampung sebaliknya menetap di apartmen.

Seluruh keluarga mereka tinggal di apartmen. Sedangkan di apartmen tidak ada tanah untuk dijadikan tempat menanam tembuni.
Bolehkah tembuni itu ditanam di tanah orang lain.

Mengikut kepercayaan orang kampung, tembuni itu tidak boleh ditanam sembarangan kerana dikhuatiri ia boleh mempengaruhi tabiat bayi. Tidak pasti sejauh mana kebenarannya tetapi ia boleh menyebabkan bayi kuat menangis dan sebagainya.

Rakan kami itu dari keluarga sino kadazan. Beliau terpaksa menghubungi sanak saudara dan rakan-rakannya untuk mengetahui bagaimana caranya menanam tembuni sekiranya tidak punya tanah.

Saya tidak lagi bertanya apa kesudahan persoalan yang dihadapinya tetapi saya mulai berfikir betapa tanah, begitu kuat kaitan dan hubungannya dengan kehidupan manusia.
Sekurang-kurangnya kehidupan rakyat di negeri ini. Tanpa tanah seseorang mungkin sukar disebut sebagai orang yang bertanahair? Betapa pentingnya tanah bagi kehidupan seorang rakyat, sehingga mereka sanggup berbuat sesuatu yang diluar akal yang waras.

Misalnya, baru-baru ini ada seseorang yang saya temui di belakang mahkamah, agak kecewa kerana kalah dalam satu kes tuntutan tanah.

Saya begitu terkejut kerana antara solusi yang dipertimbangkannya ialah keluar parti. Beliau kecewa dengan parti yang beliau menjadi ahlinya.Tapi apa hubungan keputusan mahkamah itu dengan parti.

Solusi kedua ialah beliau akan memutuskan imigrasi keluar negara kerana beliau tidak percaya dengan sistem keadilan. Saya masih boleh dapat terima. Tetapi apabila beliau berkata akan meninggalkan keyakinannya kerana hakim yang membuat keputusan itu dilihatnya tidak adil, saya tidak dapat menerima alasannya. Betapa tipisnya iman di dada, betapa beliau tidak lagi dapat berfikir dengan betul setelah merasa dianiaya.

Saya menasihatkan beliau agar segera memfailkan rayuan di mahkamah yang lebih tinggi.Barangkali dengan menampilkan buktibukti baru, keputusan mahkamah boleh berubah.
Tanah memang mempunyai kaitan yang erat dengan kehidupan manusia, tapi mahu bagaimana lagi jika kita mendapati kita sendiri tidak punya tanah.

Bayangkan jika semua tanah yang ada ditanahair kita yang kita cintai ini bukan lagi milik kita? Namun persoalannya bukan begitu.

Kemodenan juga kemajuan, dan pembangunan semakin hari semakin menghimpit kita, Sekarangpun, kita terpaksa tinggal di apartmen,di flat, dan yang seumpamanya.

Apabila kita tinggal di flat atau apartmen, hampir pasti bahasa dan budaya etnik kita akan terancam. Kita tidak dapat lagi bercakap dalam bahasa ibunda kita kerana kita berhadapan dengan kemajmukan bahasa yang juga membawa kepada kemajmukan budaya. barangkali tradisi kenduri kendara, tradisi budaya kita yang lain terpaksa kita tinggalkan kerana kita tidak lagi tinggal dalam komuniti kita.

Jangan sebut soal bercucuk tanam. Dari segi bahasa, akibatnya kita kehilangan sebegitu banyak kosakata, dari segi budaya ketika kehilangan sebegitu banyak amalan tradisi kita, dan akhirnya kita melahirkan satu bentuk budaya baru, yang tidak pasti bagaimana bentuknya.

Soal-soal asas seperti persoalan jati diri, persoalan bangsa, persoalan tanahair, persoalan patriotisme, dan sebagainya akan terbentur dengan simen simen peradaban.

Saya fikir jika kerajaan tidak menggubal satu dasar yang membolehkan seseorang mempertahankan budaya dan bahasanya, maka identiti kita terancam hilang. Sebab itu sebelum kita kehilangan segalanya, sebelum segalanya pupus, kita hendaklah `ambil tahu' mengenai budaya, mengenai tradisi supaya kita tidak menjadi makhluk yang terlepas daripada akar sejarah dan budayanya.

saya fikir persoalan rakan saya mengenai soal menanam tembuni itu telah menyebabkan saya terfikir betapa pentingnya tanah, dan betapa akrabnya hubungan tanah dan kehidupan kita.

No comments: